Tanggungjawab Suami dalam Perkahwinan: Amanah Besar yang Menentukan Redha Allah

Tanggungjawab suami dalam perkahwinan bukan sekadar menemani dan menjadi pasangan hidup sehingga ke akhir hayat. Ia adalah ikatan janji dua insan yang menjadi saksi untuk mendapat keredhaan Allah. Sebab itu dalam perkahwinan, jangan lupa tanggungjawab yang bakal dipikul terutamanya lelaki. Banyak redha Allah yang dijanjikan untuk lelaki yang memikul tanggungjawab sebagai suami.

Suami Sebagai Pemegang Amanah

Ketahuilah wahai lelaki, saat kamu menerima perempuan yang kamu nikahi itu sebagai amanah dari Allah Subhanahu Wa Ta’ala yang dahulunya dalam jagaan walinya, maka saat itu segalanya kini terletak pada bahu kamu. Sesungguhnya kehidupan alam perkahwinan itu juga menentukan pengakhiran kehidupan kita selepas hidup berdua nanti.

Menerima Pasangan dengan Segala Kekurangan

Saat kamu memilih dia menjadi yang halal dalam hidup kamu, kamu bukan hanya menerima dia sebagai isteri kamu. Itu juga bermakna kamu menerima segala kekurangan pasangan kamu. Sedarilah isteri kamu itu juga manusia biasa yang serba kekurangan. Lengkapilah kekurangan yang ada pada pasangan kamu dengan kelebihan yang kamu miliki.

Ads

Tanggungjawab Suami dalam Perkahwinan Menurut Islam

Wahai lelaki, saat kamu menerima dia dalam hidup kamu, maka itu bermakna kamu sedia menerima tanggungjawab sebagai suami. Kamu perlu menjalankan tugas dengan berusaha sedaya upaya memberi nafkah zahir dan batin, memelihara, memberi tanggungan serta keselamatan. Tidak cukup di situ, kamu juga wajib memberi bimbingan dan panduan ke jalan yang diredhai Allah Subhanahu Wa Ta’ala.

Lafaz Penyerahan Amanah

Ingat lagi lafaz penyerahan amanah dari ayah si perempuan saat kamu mengambil puterinya dari jagaannya:

Ads

“Adalah saya ayahnya, wali kepada pengantin perempuan, dari saat ini menyerahkan tanggungjawab nafkah, pemeliharaan, keselamatan, kasih sayang dan tanggungjawab agama Islam kepadamu sebagai suami yang sah. Semoga diberkati Allah Subhanahu Wa Ta’ala ke atas kamu dan orang di bawah tanggungan kamu serta zuriat keturunan kamu.”

Mendidik Isteri Sebagai Amanah

Isteri itu adalah amanah dari Allah Subhanahu Wa Ta’ala untuk kamu bimbing menjadi wanita solehah. Didiklah dengan agama, bukan dengan kekerasan. Kekerasan tidak akan mampu menewaskan kelembutan. Berilah kasih sayang dan cinta kamu sepenuhnya kepadanya. Kerana kelak nanti kamu akan dipertanggungjawabkan atas amanah yang kamu pikul.

Ads

Kesimpulan

Berkahwinlah kerana taqwa dan rasa takut kepada Allah serta mengharapkan redha Allah dalam rumah tangga kalian. Kerana dalam hidup ini redha Allah jualah yang kita harapkan.

Wallahu A’lam.

Kredit: Muhammad Shafari

Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI