
Ramai yang mengeluh sebab jodoh lambat sangat nak jumpa, tapi kalau nak tahu disebabkan korang single la banyak benda korang boleh buat dalam hidup ni.
Banyak masa lapang
Apabila anda masih bujang, anda mempunyai banyak masa lapang. Anda tidak perlu menghabiskan masa dengan orang lain hanya demi mempertahankan sebuah hubungan dan anda boleh melakukan apa sahaja yang anda suka setiap kali anda mahu. Anda tidak perlu memberi masa kepada orang lain. Disebabkan ada banyak masa lapang inilah, anda ada peluang untuk pergi bersenam dan lakukan aktiviti mencantikkan diri dan buat badan dan rupa fresh sepanjang masa. Bestkan single dan tak kahwin lagi.
Dapat lebih fokus pada kerjaya
Menjadi single memberikan anda banyak masa dan tenaga untuk fokus hanya pada kerjaya. Anda tidak perlu berfikir mengenai hati dan perasaan orang lain. Anda boleh mengejar kerjaya dan impian dalam apa cara yang dimahukan dan tidak perlu mendapat persetujuan sesiapa.
Anda boleh mengikut jadual anda sendiri
Sekiranya anda masih bujang, anda hanya mempunyai satu jadual untuk diikuti. Anda tidak perlu mengikut jadual orang lain dan mengubahsuai jadual sendiri untuk menyesuaikannya demi orang lain. Ini memberi anda kebebasan untuk melakukan semua kerja on time dan mempunyai banyak masa lapang untuk diri sendiri.
Mempunyai lebih banyak peluang
Menjadi single juga memberi anda peluang yang anda boleh kecapi dan tidak perlu bekerja demi orang lain. Ia memberikan anda kebebasan kepada anda untuk memilih jalan hidup secara bebas tanpa harus mempertimbangkan penerimaan orang lain.
Berbelanja hanya untuk diri sendiri
Apa sahaja yang anda peroleh, semua untuk diri anda. Tidak perlu berbelanja mahal untuk kekasih dan ambil ia sebagai satu kesempatan untuk membeli apa saja untuk diri anda. Orang kata dah penat bekerja keras, bersusah payah, mesti nak ada reward untuk diri sendiri, bukan…
Anda mempunyai kawalan penuh ke atas kehidupan anda
Hidup bujang memberikan anda kawalan sepenuhnya dan mutlak ke atas kehidupan anda dan anda boleh membawanya ke mana saja anda mahu tanpa perlu berunding atau mengambil persetujuan daripada orang lain (selain ibu bapa anda). Sebagai contoh, anda boleh mengembara bila masa yang anda suka dan anda boleh makan apa sahaja yang anda ingini, tanpa dinilai oleh orang lain!
Sesungguhnya Lebih Baik Single Dari Berhubungan Tapi Tak Bahagia

Imam Ibn Qayyim al-Jauziyah dalam karyanya Miftah Dar Sa’adah mengungkapkan tanda kebahagiaan pada diri seseorang itu ada tiga iaitu:-
#1- Bersyukur dengan nikmat yang diberikan.
#2- Sabar ketika mendapat ujian dari Allah.
#3- Bertaubat segera jika ada melakukan dosa.

Ulama’ Yang Membujang
Syaikh Abd Fattah Abu Ghuddah rahimahullah taala ada mengarang sebuah kitab yang berjudul ‘al-Ulama’ al-Uzzab Alladzina Atharu al-Ilm’ (Para ulama’ yang membujang kerana cinta pada ilmu).
Karya ini memuatkan kisah-kisah 36 orang tokoh ulama’ Islam kurun 131 hijrah yang tidak sempat berkahwin kerana sibuk berkhidmat untuk ilmu dan agama.
Antaranya ada ulama’ yang terkenal yang sehingga kini kitab mereka dijadikan rujukan oleh para mufti di negara kita seperti Imam Abu Zakaria Muhyiddin Ibn Syaraf al-Nawawi, Imam Muhammad Ibn Jarir al-Tabari, dan juga Syaikhul Islam Taqiyuddin Abul Abbas Ibn Taimiyah dan lain lagi.
Mereka ini berhempas pulas siang dan malam hanya semata-mata untuk berkhidmat dengan ilmu agama. Karya kitab mereka saya jamin kalau ditanya oleh pelajar agama kebanyakannya pun pasti belum habis dibaca.
Berjilid tebal karya emas yang mereka tinggalkan dengan mengorbankan keperluan diri mereka seperti kahwin. Persoalannya, adakah tokoh-tokoh ini tidak bahagia? Malah direkodkan ketika Ibn Taimiyah di dalam penjara, anak muridnya Ibn Qayyim merakamkan ucapan gurunya terkenal iaitu;
“Apa yang dilakukan oleh musuh-musuhku terhadapku? Sesungguhnya keindahan syurga dan tamannya ada di hatiku.”
Ini bermakna dengan cara kita mengenali diri kita dan memenuhi dada kita dengan pelbagai perkara positif baik dari segi agama atau kehidupan, nescaya kita sudah cukup merasa bahagia.
Sekali lagi, ‘single’ bukannya lambang kehinaan dan kesengsaraan. Usahlah diratapi seolah-olah kita ini lemah sekali.
Bukankah hati yang terisi dengan cinta kepada Allah S.W.T sudah membahagiakan? Refleksi diri kita semula.
إِنَّ الَّذِينَ قَالُوا رَبُّنَا اللَّهُ ثُمَّ اسْتَقَامُوا تَتَنزلُ عَلَيْهِمُ الْمَلائِكَةُ أَلا تَخَافُوا وَلا تَحْزَنُوا وَأَبْشِرُوا بِالْجَنَّةِ الَّتِي كُنْتُمْ تُوعَدُونَ نَحْنُ أَوْلِيَاؤُكُمْ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَفِي الآخِرَةِ وَلَكُمْ فِيهَا مَا تَشْتَهِي أَنْفُسُكُمْ وَلَكُمْ فِيهَا مَا تَدَّعُونَ نزلا مِنْ غَفُورٍ رَحِيمٍ
“Sesungguhnya orang-orang yang mengatakan: “Rabb kami adalah Allah” kemudian mereka meneguhkan pendirian mereka (beristiqamah), maka malaikat akan turun kepada mereka (dengan memberi khabar gembira): “Janganlah kamu merasa takut dan bersedih hati; dan bergembiralah dengan (memperoleh) syurga yang telah dijanjikan Allah kepadamu. Kamilah penolong-penolongmu dalam kehidupan dunia dan di akhirat; di dalamnya (syurga) kamu memperoleh apa yang kamu inginkan dan memperoleh (pula) apa yang kamu minta”. Sebagai hidangan (balasan yang kekal bagimu) dari (Allah) Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang” (Surah al Fushilat 41: 30-32)
Nabi S.A.W juga ada bersabda:
مَنْ كَانَتِ الدُّنْيَا هَمَّهُ ، فَرَّقَ اللهُ عَلَيْهِ أَمْرَهُ ، وَجَعَلَ فَقْرَهُ بَيْنَ عَيْنَيْهِ ِ، وَلَمْ يَأْتِهِ مِنَ الدُّنْيَا إِلَّا مَا كُتِبَ لَهُ ، وَمَنْ كَانَتِ الْآخِرَةُ نِيَّـتَهُ ، جَمَعَ اللهُ أَمْرَهُ ، وَجَعَلَ غِنَاهُ فِيْ قَلْبِهِ ، وَأَتَتْهُ الدُّنْيَا وَهِيَ رَاغِمَةٌ
Barangsiapa tujuan hidupnya adalah dunia, maka Allâh akan mencerai-beraikan urusannya, menjadikan kefakiran di kedua kelopak matanya, dan ia tidak mendapatkan dunia kecuali menurut ketentuan yang telah ditetapkan baginya. Barangsiapa yang niat (tujuan) hidupnya adalah negeri akhirat, Allâh akan mengumpulkan urusannya, menjadikan kekayaan di hatinya, dan dunia akan mendatanginya dalam keadaan hina.” – (Hadis Riwayat Imam Ahmad dan Ibn Majah)
Kadangkala bersendirian lebih baik daripada berada dalam satu perhubungan yang tidak membawa diri kita ke jalan sepatutnya, yang mencederakan emosi kita saban waktu sehingga kita rasa lebih baik bersendirian semula.
Kebahagiaan sebenar ialah apabila kita berpegang teguh dengan agama Allah S.W.T melalui jalan ketaqwaan, kebaikan, amal soleh dan tidak mensyirikkan tuhan.
Selagi mana kita jelas dengan matlamat hidup kita tentulah kita dapat meraih kebahagiaan sebenar walaupun status kita masih bujang. Berhentilah dari meletakkan sangkaan meleset bahawa orang yang ‘single’ harus berasa sedih kerana keseorangan.
Rasa Cinta Sahaja Tidak Cukup Untuk Berkahwin

Rasa Cinta Sahaja Tidak Cukup Jika Mahu Berkahwin
Kita hanya akan benar-benar mengenali seseorang SETELAH KAHWIN dengannya, tidur sebantal, makan sepinggan, duduk sebumbung. Baru tahu masa itu dia tidur berdengkur, baru tahu rupanya jenis lepas berak tak reti ‘flush’, baru tahu cepat stres kalau ada masalah, baru tahu pemarah apabila ditegur, baru tahu, baru tahu..
Bercinta hatta 10 tahun, gayut tiap-tiap malam, dating tiap-tiap hari BELUM CUKUP untuk mengenali seseorang.
Kahwin bukan hanya tentang dating halal, snap gambar romantik dapat konvo sama-sama, boleh pegang-pegang tangan, boleh makan bersuap, semua yang sweet-sweet manis-manis (sampai diabetes katanya), everything goes smooth all the time and live happily ever after.
Kalau kamu lihat yang INDAH-INDAH daripada kawan yang baru kahwin, itu semuanya hanya apa yang dia mahu perlihatkan kepada dunia. Realitinya susah payah perit air mata yang disembunyikan. Siapa yang tahu?
Kita hidup di alam realiti, bukan fantasi. Jangan hanya berangan yang indah-indah tanpa memikirkan AMANAH dan TANGGUNGJAWAB yang bakal dipersoalkan.
.
Alasan sudah kenal lama sangat atau untuk ‘elak maksiat‘ saja TIDAK CUKUP untuk kahwin segera. Sebab jika masa bujang gunakan alasan kahwin untuk pelihara maruah bagaimana kamu yakin kamu dapat menjaga maruah selepas nikah?
Kalau sebelum kahwin tidak mampu bersabar atau bertahan dengan ujian yang kecil atau sedikit, bagaimana kamu jangkakan untuk bersabar dan bertahan dengan ujian yang besar dan banyak selepas berkahwin?
Bersediakah kamu, pulang kerja penat, lapar, mengantuk tetapi BERSABAR apabila isteri tak masak sebab alahan mengandung atau anak meragam.
Bolehkah kamu TETAP TERSENYUM, menyinsing lengan memasak di dapur kemudian menyuapkan makanan ke mulut isteri kamu yang juga lapar, urus kencing berak dan mandikan anak-anak untuk beri isteri ruang untuk dirinya? Basuh, lipat baju yang menimbun? Atau kamu akan sengaja pulang lewat sebab mahu lari dari menjaga anak-anak dan makan sahaja di luar?
Yang perempuan sudah bersediakah untuk mentaati seorang lelaki yang baru hadir dalam hidup, bersediakah menanggung jerit perih alahan mengandung, sakit bersalin, berpantang, realiti anak mahu mengempeng berjam-jam sampai badan menggigil lapar dan lesu yang amat? You are giving your life for your children. JANGAN MIMPI hendak makan, mandi, tidur dengan aman selagi anak masih kecil.
Apabila kamu membentak marahkan orang tua, kenapa susahkan orang nak kahwin. Padahal kamu tidak sedar. Ibu bapa sedang mendidik kamu bahawa kehidupan selepas kahwin itu BUKAN MUDAH sebab itu mereka mahu kamu berdikari sekurang-kurangnya cuba hadapi susah sendiri tanpa harapkan orang lain sebab kahwin memang senang tetapi menjadi ketua keluarga dan ibu rumah tangga itu tidak mudah!
.
Tak sedikit yang rumah tangganya runtuh disebabkan masalah KEWANGAN, TIDAK FAHAM dan TIDAK MELAKSANAKAN TANGGUNGJAWAB, TIADA KEPERCAYAAN, PERSEFAHAMAN serta lain-lain. Walaupun asalnya perkahwinan itu diawali atas dasar cinta yang mendalam.
Malangnya kita hanya menyedari setelah kahwin. Untuk menjayakan hidup berumah tangga. Cinta saja tak cukup rupanya. Barulah kita sedar quote ‘rezeki setelah nikah’ itu perlu diusahakan dan disertakan dengan ujian bukannya terus bergolek masuk dalam mulut.
Cuma ketika itu baru kita sedar, betul apa mak ayah kata… “cinta saja tak cukup”.. Moga Allah mudahkan perjalanan kami ……….
kredit:Nasihat ustaz kazim elias
**Pesanan buat yang belum kahwin.
Suami Jangan Pernah Menganggap Pernikahan Dengan Isteri Itu Satu Penyesalan, Ia Bisikan Syaitan!

Pertemuan, pernikahan, ajal, maut semua telah diaturkan oleh Allah SWT. Kita sebagai hambanya perlu redha dengan apa yang terjadi. Mungkin ada yang lebih baik Allah akan berikan kepada kita atas dugaan yang menimpa.
Dalam sesebuah perkahwinan, isteri dan anak adalah menjadi tanggungjawab suami. Begitulah asam garam rumah tangga, pasti ada pahit dan manisnya. Kita tidak akan lari dengan pergaduhan. Namun, berbincanglah secara baik sekiranya ia menjadi semakin rumit. Jangan biarkan rumah tangga anda musnah hanya disebabkan masalah berlaku.
Soalan :
Apakah hukum suami berkata menyesal bernikah tetapi suami tiada niat untuk menceraikan isteri? Adakah ia termasuk dalam lafaz talaq?
Jawapan :
Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.
Sebelum menjawab persoalan di atas, perlu difahami terlebih dahulu berkenaan hukum talaq menggunakan lafaz yang jelas dan talaq menggunakan lafaz yang tidak jelas (kiasan). Pengarang kitab al-Fiqh al-Manhaji menyebut:
Pertama: Talaq Menggunakan Lafaz yang Jelas
Lafaz talaq yang jelas (صريح) ialah lafaz yang digunakan, yang menunjukkan maksud talaq secara jelas dan tidak dapat diandaikan kepada maksud lain. Ia merupakan talaq yang jelas menggunakan lafaz yang tidak membawa makna lain kecuali talaq.
Lafaz yang jelas juga termasuk terjemahan lafaz talaq dalam bahasa lain selain daripada bahasa Arab berdasarkan penggunaannya yang lumrah dalam masyarakat sebagaimana lafaz talaq yang biasa digunakan oleh orang Arab.
Hukum Talaq Menggunakan Lafaz yang Jelas: Penceraian dengan lafaz yang jelas menyebabkan jatuh talaq sama ada berniat talaq ataupun tidak. Hal ini kerana lafaz yang jelas dan maksud yang muktamad menunjukkan talaq tidak perlu kepada niat ketika melafazkannya.
Kedua: Talaq Menggunakan Lafaz yang Tidak Jelas (Kiasan)
Sementara lafaz talaq yang tidak jelas atau kiasan (كناية) ialah yang tidak menunjukkan maksud talaq secara jelas dan boleh diandaikan dengan maksud yang lain selain talaq.
Terdapat banyak lafaz talaq secara kiasan, antaranya:
- Engkau tiada apa-apa lagi denganku.
- Engkau berasingan daripadaku.
- Engkau terputus hubungan denganku.
- Kembalilah kepada keluargamu.
- Pergilah ke mana engkau mahu.
- Pergi jauh daripadaku.
- Asingkanlah diri daripadaku.
- Aku biarkan kamu dengan caramu.
- Engkau haram bagiku.
Semua lafaz ini dianggap sebagai lafaz kiasan yang menunjukkan talaq kerana ia membawa maksud talaq dan maksud yang lain.
Hukum Talaq Menggunakan Lafaz Tidak Jelas (Kiasan): Lafaz talaq kiasan walaupun selalu digunakan untuk maksud talaq, seperti: “Engkau haram atasku” tidak menyebabkan jatuh talaq melainkan apabila suami berniat menceraikannya. Jika suami berniat yang lain selain talaq atau bermaksud apa-apa pun, maka tidak jatuh. (Lihat kitab al-Fiqh al-Manhaji, 3/14-18).
Apa Hukum Suami Berkata “Menyesal Bernikah dengan Isteri”?
Berdasarkan persoalan yang timbul, kami dapati ucapan yang dilafazkan tersebut bukanlah lafaz talak. Ia tidak termasuk sama ada di dalam lafaz talaq yang jelas atau tidak jelas. Ia hanyalah sekadar satu kata-kata meluahkan perasaan kekesalan yang tidak ada kaitan dengan konsep talaq yang dibincangkan. Oleh itu, talaq tidak jatuh terhadap isteritersebut.
Kami berpendapat, amat perlu belajar serta mendalami hukum-hakam berkaitan perkahwinan terlebih dahulu sebelum berlangsungnya perkahwinan. Begitu juga, kami mengambil peluang di sini untuk menasihati agar berbincanglah dengan baik setiap permasalahan yang timbul dan mohonlah kepada Allah SWT agar diberi pertolongan dalam menyelesaikan konflik yang berlaku.
Sekiranya memerlukan orang tengah untuk mendamaikan pertelingkahan, maka lakukanlah sebagaimana firman Allah SWT:
وَإِنْ خِفْتُمْ شِقَاقَ بَيْنِهِمَا فَابْعَثُوا حَكَمًا مِّنْ أَهْلِهِ وَحَكَمًا مِّنْ أَهْلِهَا إِن يُرِيدَا إِصْلَاحًا يُوَفِّقِ اللَّـهُ بَيْنَهُمَا ۗ إِنَّ اللَّـهَ كَانَ عَلِيمًا خَبِيرًا
Maksudnya: “Dan jika kamu bimbangkan perpecahan di antara mereka berdua (suami isteri) maka lantiklah “orang tengah” (untuk mendamaikan mereka, iaitu), seorang dari keluarga lelaki dan seorang dari keluarga perempuan. Jika kedua-dua “orang tengah” itu (dengan ikhlas) bertujuan hendak mendamaikan, nescaya Allah akan menjadikan kedua (suami isteri itu) berpakat baik. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui, lagi Amat mendalam pengetahuanNya.”
(Surah al-Nisa: 34-35)
Ibn Kathir berkata: “Ali bin Abi Talhah mengatakan daripada Ibnu Abbas R.Anhuma: Allah SWT memerintahkan mereka untuk mengutus seorang lelaki yang soleh (dipercayai) daripada pihak keluarga lelaki dan seorang yang sama daripada pihak keluarga wanita. Hal ini untuk meneliti siapa di antara keduanya yang melakukan perkara buruk. Jika suami yang melakukan keburukan, maka mereka dapat melindungi isteri dan membataskan kewajipannya dalam memberi nafkah. Jika isteri yang melakukan keburukan, mereka dapat mengurangkan haknya dari suami dan menahan nafkah yang diberikan kepadanya.” (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 2/302)
Selain itu, boleh meminta pandangan dan nasihat daripada para ulama’, ibu dan ayah, saudara mara yang amanah, rakan-rakan yang dipercayai dan adil yakni yang baik agamanya. Jika tidak, maka rujuklah kepada peguam, hakam dan sebagainya.
Sekiranya di Wilayah Persekutuan, boleh mendapatkan nasihat daripada Bahagian Perkahwinan dan Pembangunan Keluarga (BPPK) yang merupakan salah satu bahagian di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) yang bersedia membantu pada bila-bila masa. Ini bagi mendapatkan mendapatkan khidmat runding keluarga (kaunseling) dan sebagainya. Atau sekiranya menetap di negeri lain, boleh juga merujuk kepada badan yang menjalankan khidmat nasihat di negeri-negeri berkaitan.
Mudah-mudahan Allah memberikan ketenangan dan kebahagiaan kepada kita dalam melayari kehidupan rumahtangga dan tercapai apa yang dimaksudkan dengan Baiti Jannati. Amin.
WallahuA’lam.
Sumber : Mufti Wilayah Persekutuan