Perkahwinan adalah ibadat. Justeru, pasangan yang ingin berkahwin, perkara pertama dan utama yang perlu disematkan di fikiran ialah mereka akan tunaikan salah satu ibadat yang dituntut oleh Islam. Apabila disebut ibadat, ia mesti dilaksanakan dalam ruang legar syariat.

Berkahwin bukan hanya untuk suka-suka atau mengikut adat manusia semata-mata. Tetapi ia mempunyai tujuan yang suci murni. Antara tujuannya ialah untuk memperoleh zuriat keturunan yang baik.

ALLAH berfirman: "Dan ALLAH menjadikan bagi kamu dari diri kamu sendiri pasangan-pasangan (isteri), dan dijadikan bagi kamu dari pasangan kamu: anak-anak dan cucu-cicit, serta dikurniakan kepada kamu dari benda yang baik lagi halal; maka patutkah mereka (yang ingkar itu) percaya kepada perkara yang salah (penyembahan berhala), dan mereka kufur pula akan nikmat ALLAH?" (Surah An-Nahl: 72)

Majlis Sehari Disambut Meriah Tetapi Hidup Berumah Tangga Berhari-Hari Penuh Rasa Gelisah

Terpaksa tangguh kahwin

Tetapi, dilema yang dihadapi sesetengah pasangan muda mudi yang sedang bercinta ialah terpaksa menangguhkan perkahwinan disebabkan pelbagai syarat diletakkan ibu bapa atau waris. Duit hantaran yang terlalu tinggi, barang hantaran yang mewah, mesti ada kereta dan rumah terlebih dahulu, mencapai standard gaji pendapatan tertentu, membiayai kos majlis perkahwinan, barang kemas serba satu, persalinan lengkap dari atas ke bawah, majlis persandingan yang gorgeous dan beraneka ragam karenah lagi.

Kebiasaannya, yang menghadapi cabaran ini adalah di pihak lelaki.

Kadang-kadang hasrat pasangan perempuan ialah ingin menyempurnakan segera ikatan pernikahan dengan lelaki pilihannya. Tetapi, hasrat tersebut terhalang dengan sikap ibu bapa dan keluarga yang tersilap dalam melihat keutamaan. Akad nikah yang dituntut syariat sepatutnya disempurnakan dahulu tetapi ditangguhkan demi memenuhi tuntutan diri sendiri.

Maka, terpaksalah si anak teruna bertungkus lumus berkerat tulang siang dan malam bekerja demi mengumpulkan wang hantaran, membeli barang hantaran dan sebagainya. Kadang-kadang, apabila ditanya mengapa terlalu tinggi wang hantaran? Dijawab oleh ibu bapa si anak dara, wang itulah akan digunakan untuk membiayai majlis perkahwinan.

Persoalannya, mengapa harus dibebankan kepada anak teruna dengan tuntutan yang tidak pun disuruh oleh Islam? Rukun nikah yang Islam tetapkan sudah cukup tetapi masih lagi tidak dapat menyempurnakan tuntutan ibadah ini dek kerana tuntutan manusia. Maka, berjuanglah si anak teruna menghadapi emosi dirinya.

IKLAN
Majlis Sehari Disambut Meriah Tetapi Hidup Berumah Tangga Berhari-Hari Penuh Rasa Gelisah

Kalau boleh mudahkanlah bab kahwin ni

Bagaimana Islam meletakkan panduan dalam hal ini? Perhatikan beberapa hadis berikut bagaimana Islam memuji dan menggalakkan urusan pernikahan yang dimudahkan. Bahkan di situlah adanya pintu kebaikan dan keberkatan.

Imam Ahmad meriwayatkan: "Di antara kebaikan wanita ialah memudahkan maharnya dan memudahkan rahimnya." (Riwayat Ahmad, di dalam Musnadnya, no. 23957. Dihasankan oleh Sheikh Al-Albani di dalam Sahihul Jami’, 2/251)

Dalam riwayat lain ada lafaz tambahan yang menyatakan, "Iaitu, memudahkan rahimnya untuk melahirkan."

Abu Daud meriwayatkan dari 'Uqbah bin 'Amir r.a., dia mengatakan Rasulullah SAW bersabda: "Sebaik-baik pernikahan ialah yang paling mudah." (Riwayat Abu Daud, no. 2117, kitab An-Nikah. Dinyatakan Al-Albani sebagai diterima menurut syarat Imam Muslim di dalam Al-Irwaa’, 6/345)

IKLAN

Pernah berlaku dalam satu peristiwa, bagaimana Rasulullah SAW menguruskan perkahwinan seorang sahabat begitu mudah sekali.

Sahl bin Sa'd Al-Sa’idi RA berkata: "Aku bersama sahabat Nabi SAW di sisi Rasulullah SAW, tiba-tiba berdirilah seorang wanita lalu berkata: "Wahai Rasulullah, sesungguhnya dia telah menyerahkan dirinya kepadamu, lihatlah kepadanya, apa pandanganmu?" Baginda SAW pun diam dan tidak menjawab sesuatu pun. Kemudian berdirilah wanita itu dan berkata: "Wahai Rasulullah, sesungguhnya dia telah menyerahkan dirinya kepadamu, lihatlah kepadanya, apa pandangan mu?" Baginda SAW pun diam dan tidak menjawab sesuatu pun. Kemudian wanita itu pun berdiri untuk yang kali yang ketiga dan berkata: "Sesungguhnya dia telah menyerahkan dirinya kepadamu, lihatlah kepadanya, apa pandanganmu?"

Kemudian berdirilah seorang lelaki lalu berkata: "Ya Rasulullah, nikahkanlah saya dengannya." Baginda SAW pun bertanya: "Adakah kamu memiliki sesuatu?" Lelaki itu berkata: "Tidak."

IKLAN

Kemudian Baginda SAW pun berkata: "Pergilah dan carilah (mahar) walaupun sebentuk cincin besi." Kemudian lelaki itu pun mencarinya dan datang kembali kepada Rasulullah SAW sambil berkata: "Saya tidak mempunyai apa-apa walaupun sebentuk cincin besi."

Maka Rasulullah SAW bersabda: "Adakah engkau ada menghafaz ayat al-Quran?" Lelaki itu berkata: "Ada, saya hafal surah ini dan itu." Kemudian Rasulullah SAW bersabda: "Pergilah, telah aku nikahkan engkau dengan dia dengan mahar berbentuk hafazan al-Quran mu." (Sahih Al-Bukhari, Kitab An-Nikah, hadis no: 5149)

Nanti ada anak, lagilah kena urus duit sebaiknya, so pilih majis gah atau lampin anak?

Kadang-kadang si lelaki terpaksa membelanjakan wang simpanannya demi memenuhi jumlah wang hantaran yang tinggi. Ada yang sampai menjual barang itu dan ini. Ada juga pasangan yang sanggup menghabiskan wang yang banyak kerana inginkan majlis perkahwinan yang mewah, indah dan meriah ala-ala artis terkenal. Mereka terlupa, majlis perkahwinan artis mendapat tajaan syarikat pelbagai, sedangkan majlis mereka atas tajaan diri sendiri.

Ibu bapa dan pasangan pengantin, apabila mengambil keputusan untuk mengahwinkan anak atau berkahwin, bukan hanya perlu fikir pengurusan majlis perkahwinan yang sehari sahaja, tetapi yang lebih utama, fikirkan juga bagaimana untuk uruskan hidup selepas berkahwin yang berhari-berhari. Bukan hanya sediakan duit belanja untuk pelamin, tetapi lebih utama sediakan terlebih dahulu duit untuk beli lampin.

Jangan sampai majlis perkahwinan yang hanya sehari disambut begitu meriah dan indah tetapi kehidupan berumah tangga berhari-hari selepas itu penuh dengan resah gelisah. Resah dengan hutang. Gelisah mencari pendapatan bagi menunaikan kewajipan nafkah kerana wang simpanan telah habis dibelanjakan.

Mudahkanlah urusan perkahwinan. Utamakan yang utama. Perkahwinan adalah ibadat. Uruskan dengan panduan syariat agar pengantin dilimpahi berkat, majlis dinaungi rahmat.

Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI