Assalamualaikum wbt. Tuan mufti, sy nak bertanya berkenaan penggunaan replika cek semasa akad nikah sebagai mas kahwin. Kalau bakal suami telahpun memindahkan wang mas kahwin tersebut ke dalam akaun bakal isteri. Tetapi semasa akad nikah nanti, kami hanya mempamerkan replika cek dengan jumlah mas kahwin tersebut. Soalan saya, apakah semasa lafaz akad nikah, mas kahwin tersebut dikira dalam bentuk tunai ataupun dikira sebagai hutang kerana wang tersebut tidak ada pada tempat akad nikah berlansung?

Jawapan

Mas kahwin mengikut dewan Bahasa dan pustaka edisi yang keempat bermaksud, pemberian wajib yg berupa wang (al-Quran dsb) oleh pengantin lelaki kepada pe­ngantin perempuan semasa upacara akad nikah, mahar; bermaskahwinkan mempunyai atau meng­gunakan sesuatu sebagai mas kahwin: ada pula yg hanya Surah al-Ikhlas dan ada juga membayar mas kahwin sebanyak 100 dinar.

Mas kahwin di dalam Bahasa Arab di disebut sebagai al-Sadaq iaitu harta yang wajib diberikan oleh suami kepada isterinya dengan sebab akad nikah. Ia dinamakan sadaq untuk menunjukkan bahawa lelaki tersebbut benar-benar ingin berkahwin. (Lihat: al-Fiqh al-Manhaji, 4/75)

Mas Kahwin Guna Replika Cek, Sah Atau Tidak Akad Nikah Itu?

Pensyariatan

Mas kahwin merupakan satu kewajipan yang dikenakan terhadap suami selepas menyempurnakan akad perkahwinan ini sepertimana firman Allah SWT:

وَآتُوا النِّسَاءَ صَدُقَاتِهِنَّ نِحْلَةً

Maksudnya: Dan berikanlah kepada perempuan-perempuan itu maskahwin-maskahwin mereka sebagai pemberian yang wajib

(Surah al-Nisa’, 4)

Al-Sadaq, diwajibkan ke atas suami sama ada di sebutkan di dalam akad dengan kadar yang jelas seperti harta dengan sebutan satu ribu lera Syria atau pun tidak disebut di dalam akad. (Lihat: al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’e 4/75)

IKLAN

Dr Muhammad Zuhaili di dalam kitabnya mendatangkan pandangan Imam Mawardi dengan menyatakan, asal dalil pada kewajipan mas kahwin ketika nikah adalah al-Quran, Sunnah dan Ijma’. (Lihat: al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’e, 4/111)

Menyebut Mas Kahwin di Dalam Akad

Tidak menjadi rukun untuk menyebut mas kahwin ketika akad nikah dan bukanlah salah satu daripada syarat-syaratnya.

Harus untuk tidak menyebutnya di dalam akad nikah dan sah akadnya akan tetapi perbuatan itu dimakruhkan. Akan tetapi disunatkan menyebutnya di dalam akad nikah. Ini seperti yang disebutkan di dalam al-fiqh al-Manhaji:

“Sunat hukumnya menyebut kadar mas kahwin semasa akad nikah. Ini kerana Rasulullah SAW tidak pernah meninggalkan daripada menyebutnya dalam mana-mana perkahwinan. Menyebutnya dapat mengelakkan pertelingkahan antara suami isteri. Walaupun begitu perbuatan itu bukanlah satu perkara yang wajib. Ulama juga bersepakat, harus sekiranya tidak menyebut di dalam akad akan tetapi perbuatan itu adalah makruh”. (Lihat: al-Fiqh al-Manhaji, 4/76)

Mas Kahwin Guna Replika Cek, Sah Atau Tidak Akad Nikah Itu?

Mas Kahwin Secara Segera dan Tangguh

IKLAN

Mas kahwin merupakan hak milik yang khusus bagi seorang isteri. Permberian mas kahwin tidak disyaratkan untuk disegerakan atau ditangguhkan. Dan isteri berhak dalam menentukan keadaan ini, dan ini kerana mas kahwin merupakan hak milik isteri.

Ini seperti yang dinyatakan Dr. Muhammad Zuhaili di dalam kitabnya: “Mas kahwin merupakan hak bagi isteri dan hak pemilikan itu berlaku ketika akad nikah yang sahih dan hukum syara’ tidak mensyaratkan menyegerakan mas kahwin ketika akad atau selepas akad” (Lihat: al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie’, 4/116)

Begitu juga yang terdapat di dalam kitab al-Fiqh al-Manhaji, “Pemberian mas kahwin tidak disyaratkan segera dan ia boleh ditangguhkan kesemuanya sebelum persetubuhan. Ini kerana maskahwin itu milik isteri dan ia berhak menentukan sama ada ia disegerakan atau ditangguhkan mengikut kehendaknya”. (Lihat: al-Fiqh al-Manhaji, 4/78)

Mas kahwin merupakan hak milik mutlak bagi seorang isteri. wali tidak berhak terhadapnya. Walaupun ia berhak menerimanya sebagai wakil namun ia adalah hak sepenuhnya bagi seseorang isteri. Ini sepertimana firman Allah SWT:

فَلَا تَأْخُذُوا مِنْهُ شَيْئًا ۚ أَتَأْخُذُونَهُ بُهْتَانًا وَإِثْمًا مُّبِينًا

Maksudnya: maka janganlah kamu mengambil sedikitpun dari harta itu. Patutkah kamu mengambilnya dengan cara yang tidak benar dan (yang menyebabkan) dosa yang nyata?

IKLAN

(Surah al-Nisa’, 20)

Kesimpulan

Berdasarkan kepada persoalan dan dalil yang diberikan, dapat disimpulkan bahawa:

Mas kahwin tidak menjadi kewajipan di dalam mempamerkan atau disebut di dalam akad semasa pernikahan. Disunatkan untuk menyebutnya semasa akad nikah. Ini bagi mengelakkan daripada terjadinya pertelingkahan.
Adapun mas kahwin wajib diberikan oleh suami kepada isterinya sama ada secara tunai ataupun berhutang dengan persetujuan isterinya.
Mempamerkan mas kahwin semasa majlis akad nikah merupakan adat dan bukanlah syarat sah perkahwinan. Oleh itu, menggunakan replika cek semasa akad nikah adalah di haruskan. Ini bagi memudah cara bagi membawa mas kahwin tersebut. Ini seperti firman Allah SWT:

يُرِيدُ ٱللَّهُ بِكُمُ ٱلۡيُسۡرَ وَلَا يُرِيدُ بِكُمُ ٱلۡعُسۡرَ

Maksudnya: Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran.

(Al-Baqarah: 185)

Dan sekiranya suami telah melakukan pembayaran ia termasuk di dalam kategori membayar mas kahwin secara tunai. Sebaiknya, pihak lelaki membawa bukti transaksi seperti resit ketika majlis akad nikah bagi mengelak berlakunya salah faham. Semoga Allah SWT memudahkan segara urusan di dunia dan akhirat.

 

SUMBER : MUFTIWP.GOV.MY

Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI