
Bila seseorang mendirikan rumahtangga, perkara utama yang dicarinya ialah kebahagiaan bersama pasangan dan anak-anak yang bakal dilahirkan hingga akhir hayatnya. Dalam merealisasikan impiannya, pasti setiap orang akan meletakan sepenuh kepercayaan kepada pasangannya dengan harapan berlaku jujur kepadanya.
Tapi langit tidak selalu cerah hingga ke petang. Tidak kira suami atau isteri, kadangkala mereka mudah terpedaya dengan godaan luar hingga membuatkannya melanggar janji setia kepada pasangannya.
1) Bahaya bila pasangan hilang kepercayaan
Tetapi tidak KEPERCAYAAN. Sekali ia dikhianati, ia akan hilang untuk selama-lamanya. Pada masa itu, walaupun si suami berada dalam keadaan yang benar, si isteri sukar untuk mempercayainya.
2) Elak ‘penipuan’ dalam hubungan
Mula menipu dan tidak jujur dengan pasangannya. Bila semuanya terbongkar, pergaduhan akan berlaku, dan yang paling teruk ialah perceraian untuk jalan penyelesaiannya. Tapi bagi pasangan yang kental, berfikiran waras dalam mengawal emosinya, mungkin kemaafan telah tersedia untuk pasangan.
3) Tak salah pasangan menyiasat
Isteri akan mula ‘menyiasat’ segala gerak geri suami. Dan jika sekali lagi si suami ditangkap menipu, isteri akan berhenti ‘menyiasat’. Suami mungkin sangkakan isterinya tak marah lagi. Tapi sangkaan itu salah.
4) Jangan sampai pasangan ‘meluat’ dengan perangai
Jika berlaku situasi itu, maknanya isteri dah muak dengan tingkahlaku suami dan tidak ambil peduli dengan apa yang berlaku. Apa yang terlintas di fikirannya ialah menyusun strategi bagaimana untuk mengurangkan kebergantungan terhadap suami.
5) Persiapan mental
Dia perlu menyiapkan diri dari segi material, fizikal dan mental untuk berhadapan dengan apa sahaja kemungkinan yang berlaku.
Perkenalan Di Instagram Akhirnya Ke Jinjang Pelamin. Lelaki Ini Kongsi Dia Nekad DM Demi Gadis Idaman

Alangkah gembiranya rasa hati saat cinta Muhammad Ereezulhairi bin Azmi dan Nusyafiqa binti Abdul Rahman terikat dalam sebuah janji setia untuk sehidup semati. Bertemakan ‘Grand Crystal’ untuk majlis resepsi, mahligai bahagia yang dibina menyempurnakan lagi cinta dua sejoli ini. Moga hubungan dibina kekal abadi.
Perkenalan Bermula
Kami kenal pada 27 Jun 2017 apabila saya memberanikan diri meninggalkan message di laman Instagram Iqa dengan mengucapkan ‘ Selamat Hari Raya’. Lebih gembira, ucapan saya dibalas Iqa keesokan harinya. Bermula dengan perbualan ringkas, akhirnya kami bertukar nombor telefon antara satu sama lain. Dari situ, bibit cinta kami bermula.
Keistimewaan pasangan
Iqa seorang yang penyayang serta jujur di dalam hubungan ini. Dia sentiasa ada dengan saya di dalam susah dan senang. Namun apa yang orang tidak tahu mengenai Iqa, dia juga seorang yang kelakar. Berkenalan dalam tempoh masa yang agak pendek, tetapi bagai telah lama mengenalinya.
Detik lamaran
Lamaran dibuat dua kali. Pertama bila kami keluar berjalan di taman sekitar Putrajaya. Pada masa itu, sedang asyik bersembang, saya menanyakan hasrat saya untuk memperisterikan Iqa. Alhamdulillah, lamaran saya diterima baik oleh Iqa walau baru beberapa kali berjumpa.Kedua apabila saya membawanya makan malam di Tamarind Spring. Sewaktu itu, saya benar-benar melutut dan membuat lamaran dengan dihiasi belon dan dekorasi indah.
Lokasi bulan madu
Pada asalnya kami membuat keputusan berbulan madu di Cameron Highland tetapi saya suka memberikan kejutan. Makanya kami ke Jeju Island pada saat-saat akhir untuk menikmati saat indah setelah bergelar suami isteri.
Berjumpa Dan Berbuat Baik Dengan Bekas Isteri Bagi Tujuan Maslahat Anak Adalah Diharuskan

Soalan:
Assalamualaikum wbt
Suami saya masih berjumpa dengan bekas isteri atas alasan berjumpa anak (berumur 4 tahun) dan meluangkan masa dengan anak. Mereka hanya keluar bertiga. saya telah cadangkan untuk bawa sesiapa untuk dijadikan orang keempat di antara mereka, tetapi bekas isterinya tidak setuju, malahan saya juga tidak diizinkan untuk ikut. bekas isteri telah mendapat hak penjagaan anak semasa penceraian mereka dahulu. bekas isteri telah meletakkan syarat jika ingin berjumpa dengan anak hanyalah dengan ada dia dan tidak boleh membawa sesiapa termasuklah saya. bekas isteri juga tidak mengizinkan jika hanya suami yg membawa anak untuk keluar atas alasan tidak percaya yg suami tidak membawa anaknya berjumpa dengan saya.
Soalan saya:
1) Apa hukumnya mereka masih berjumpa walaupun dengan niat meluangkan masa bersama anak?
2) Apa yang perlu saya lakukan untuk menasihati mereka?
3) Apa nasihat ustaz untuk saya tidak ada perasaan ragu ragu atau curiga terhadap suami semasa mereka berjumpa/keluar?

Jawapan:
Waalaikumussalam wbt,
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah ﷻ, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad ﷺ, ahli keluarga,para sahabat serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda ﷺ sehingga Hari Kiamat.
Hukum Bekas Pasangan Suami Isteri Berjumpa
Pada asalnya, hukum bekas pasangan suami isteri berjumpa adalah sama seperti dua orang yang ajnabi (asing) berlainan jantina berjumpa. Berkenaan hukumnya, ia perlu melihat kepada keperluan. Sekiranya tidak ada keperluan, sedangkan perjumpaan membawa kepada memandang, berkhalwat, dan bercakap secara mesra antara satu sama lain, maka tidak dibenarkan. Ini berdasarkan firman Allah ﷻ:
قُل لِّلْمُؤْمِنِينَ يَغُضُّوا مِنْ أَبْصَارِهِمْ وَيَحْفَظُوا فُرُوجَهُمْ ۚ ذَٰلِكَ أَزْكَىٰ لَهُمْ ۗ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا يَصْنَعُونَ
Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan.”
(Surah al-Nur: 30)
Berkata Imam Ibn Jarir al-Tobari berkenaan tafsir ayat ini: “Hendaklah mereka menahan pandangan mereka daripada apa yang mendatangkan syahwat pada padangan terhadapnya, daripada jenis perkara yang dilarang Allah untuk memandang kepadanya… maka itu lebih suci bagi diri mereka di sisi Allah dan lebih banyak kelebihan.”
Rujuk Jami` al-Bayan (19/154)
Namun begitu, dalam situasi hajat dan darurat, harus sesama ajnabi itu memandang antara satu dan lain. Para ulama menggariskan beberapa panduan berkenaan hal-hal keperluan yang mengharuskan memandang:
- Meminang
- Belajar
- Berubat
- Bermuamalat
- Kesaksian dalam kes mahkamah
- Hakim meminta sumpah dan menjatuhkan hukum
Rujuk al-Mu`tamad fi al-Fiqh al-Syafie (4/50)
Pengecualian ini berdasarkan kadar keperluan sahaja dan tidak melebihi daripada keperluan. Jika tujuannya adalah untuk berseronok-seronok, maka diharamkan. Sebahagian ulama berpendapat harus lelaki memandang wanita pada wajah dan dua tapak tangannya jika aman daripada fitnah dan tidak disertai dengan syahwat. Ini dipersetujui oleh Imam al-Bajuri. Rujuk al-Taqrirat al-Sadidah Qism Ibadah (hlm. 205)
Berdasarkan fakta dan hukum di atas, kami berpendapat hukum bekas pasangan suami isteri berjumpa adalah diharuskan. Ini kerana suami masih lagi memiliki tanggungjawab terhadap anak yang berusia empat tahun itu daripada sudut memberikan nafkah dan pendidikan. Pastinya, itu akan membawa kepada hubungan muamalat yang melibatkan perjumpaan dan perbualan dengan bekas isteri yang merupakan penjaga bagi kanak-kanak tersebut. Status ibu sebagai penjaga bagi anak di bawah umur mumaiyiz sudah dinaskan di dalam hadis:
Hal ini berdasarkan hadith, Abdullah bin `Amru berkata:
أَنَّ رسول الله صلى الله عليه وسلم جاءَتْهُ امْرَأَةً، فقَالَتْ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، إِنَّ ابْنِي هَذَا كَانَ بَطْنِي لَهُ وِعَاءً وَثَدْيِي لَهُ سِقَاءً وَحِجْرِي لَهُ حِوَاءً وَإِنَّ أَبَاهُ طَلَّقَنِي وَأَرَادَ أَنْ يَنْتَزِعَهُ مِنِّي فَقَالَ لَهَا رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم: أَنْتِ أَحَقُّ بِهِ مَا لَمْ تَنْكِحِي
Maksudnya: “Rasulullah SAW ditemui oleh seorang wanita dan berkata: “Wahai Rasulullah! Sesungguhnya akulah yang mengandungkan anakku ini, susukulah yang menjadi minumannya, dan akulah penjaganya. Bapanya telah menceraikan aku dan sekarang dia ingin mengambil anakku.” Rasululllah SAW bersabda: “Kamu lebih berhak daripadanya, selagi kamu tidak berkahwin lain.”
Riwayat Abu Daud (2276)
Justeru, berjumpa dan berbuat dengan bekas isteri bagi tujuan maslahat anak adalah diharuskan.
Adapun berkenaan dengan khalwat, maka tidak boleh mereka berkhalwat atau bersendirian kerana mereka adalah ajnabi. Wajib terdapat orang ketiga yang boleh menemani mereka sama ada mahram bagi wanita atau wanita Muslim yang terpercaya yang diyakini boleh menegah mereka daripada melakukan perzinaan. Tidak disyaratkan orang tengah tersebut adalah isteri kedua tersebut. Boleh juga sesi perjumpaan itu dibuat di khalayak ramai dalam keadaan yang tidak menimbulkan fitnah. Hukum ini berdasarkan hadis Abdullah bin Abbas R.Anhuma bahawa Rasulullah ﷺ bersabda:
لاَ يَخْلُوَنَّ رَجُلٌ بِامْرَأَةٍ إِلَّا مَعَ ذِي مَحْرَمٍ
Maksudnya: “Jangan sekali-kali seorang lelaki itu bersendirian dengan seorang perempuan melainkan terdapat bersamanya mahram.”
Riwayat al-Bukhari (5233) dan Muslim (1341)
Dalam riwayat al-Tirmidzi (2165) daripada Ibn Umar R.Anhuma, Baginda ﷺ juga bersabda:
إِلَّا كَانَ ثَالِثَهُمَا الشَّيْطَانُ
Maksudnya: “…melainkan antara kedua mereka ada syaitan (jika tiada mahram atau seumpamanya).”
Nasihat Kepada Mereka
Berdasarkan jawapan bagi soalan pertama, kami mencadangkan agar puan yang bertanya menasihati mereka dengan perkara berikut:
- Hendaklah mereka menjaga pergaulan mereka semata-mata untuk maslahat anak dan bukan untuk tujuan maksiat.
- Hendaklah mereka mendapatkan khidmat orang tengah yang boleh menegah mereka daripada melakukan maksiat, atau berjumpa di khalayak ramai.
- Menasihati suami agar menjalankan tugas dengan baik sebagai seorang ayah dengan menyediakan nafkah dan pendidikan sempurna kepada anaknya.
- Menasihati suami agar sentiasa berlaku jujur dan adil dalam setiap tindakan yang akan memberikan kesan kepada kedua-dua keluarga.
- Berdoa agar setiap pihak mendapat kebaikan dan hidup dalam kasih sayang dengan Allah ﷻ sekalipun selepas bercerai.
Mudah-mudahan, pesanan ini akan memberikan manfaat kepada semua.
Mengelakkan Perasaan Ragu-Ragu Dan Curiga Kepada Suami
Selain daripada nasihat yang kami sebutkan di atas, kami mengatakan bahawa kecemburuan puan dalam hal ini menandakan puan adalah normal dan kebiasaan bagi wanita. Namun, janganlah sampai kecemburuan itu menghasilkan natijah yang buruk hanya kerana prasangka. Justeru hendaklah puan bersangka baik kepada Allah ﷻ dan menyerahkan urusan diri kepada-Nya setelah kita sudah bertawakkal dan berusaha.
Daripada Abu Hurairah RA, sabda Rasulullah ﷺ
أَنَا عِنْدَ ظَنِّ عَبْدِي بِي
Maksudnya: “Sesungguhnya Aku di sisi sangkaan hamba-Ku dengan-Ku.”
Riwayat al-Bukhari (7505) dan Muslim (2675)
Berkata Imam al-Nawawi dalam Syarh Sahih Muslim (6/44): “Berkata Qodhi Iyyadh bahawa satu pendapat itu bermaksud keampunan bagi orang yang bersangka baik dengan Allah apabila dia meminta ampun, dan penerimaan apabila dia meminta taubat, dan kemustajaban doa apabila dia memohon, dan kecukupan apabila dia minta kecukupan. Pendapat lain pula mengatakan bahawa yang dikehendaki daripadanya ialah pengharapan dan impian mendapatakan keampunan, dan pendapat ini yang lebih sahih.”
Rasullullah ﷺ pernah mengajar para sahabat doa yang baik diamalkan pada waktu pagi dan petang. Anas bin Malik RA pernah mendengar Rasulullah ﷺ berpesan kepada anaknya Fatimah R.Anha akan satu doa yang dibaca pada pagi dan petang:
يَا حَيُّ يَا قَيُّومُ بِرَحْمَتِكَ أَسْتَغِيثُ، أَصْلِحْ لِي شَأْنِي كُلَّهُ، وَلَا تَكِلْنِي إِلَى نَفْسِي طَرْفَةَ عَيْنٍ
Maksudnya: “Wahai Yang Maha Hidup! Wahai Yang Maha Mentadbir! Dengan rahmat-Mu aku meminta tolong, agar engkau perbaiki bagiku akan urusanku kesemuanya, dan janganlah kiranya engkau biarkan aku uruskan diriku sendiri sekalipun dengan sekelip mata.”
Riwayat al-Nasaie (10330)
Sebagai seorang wanita, hendaklah puan meningkatkan ketaqwaan dan serta mempersiapkan diri dengan ilmu rumahtangga yang sebenar mengikut al-Quran dan al-Sunnah berkenaan hak-hak diri sendiri, pasangan dan perkara penting yang berkaitan dengannya, seperti undang-undang keluarga Islam dalam Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 dan Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993.
Puan juga boleh merancang aktiviti pembangunan insan bersama dengan suami seperti menghadiri kuliah berkeluarga di pusat-pusat pengajian seperti masjid dan surau. Begitu juga dengan melakukan ibadah bersama seperti solat berjemaah, bertadarus al-Quran dan berpuasa bersama. Dengan itu, puan akan lebih banyak masa yang berkualiti dan pasti akan membekaskan memori yang positif dalam hubungan suami isteri. Pastinya ini akan menegah unsur-unsur negatif seperti sangka buruk dan hal remeh temeh, kerana rumah tangga itu telah dibina atas dasar kehambaan kepada Allah.
Cabaran Bertunang Ialah Bila Anda Jumpa Orang Lebih Baik Dari Tunang Sendiri

Seringkali kita mendengar ucapan; “Ajal maut, rezeki dan jodoh itu merupakan rahsia Allah S.W.T” Dari situ, kita yakin bahawa jodoh kita pasti ada cuma masanya saja yang belum tiba. Setiap manusia mempunyai watak yang berbeza-beza. Begitu juga pasangannya.
Bertunang sebenarnya salah satu kaedah untuk mengenali pasangan dengan lebih teliti. Ia merupakan fasa perkenalan dan persediaan bagi pasangan yang bakal mendirikan rumah tangga. Islam memandang pertunangan itu sebagai satu jalan untuk mencapai matlamat yang besar iaitu berkahwin namun, ia bukanlah syarat sah sebuah perkahwinan.
Dalam kemanisan pertunangan, kita berisiko untuk melakukan perkara diluar jangkaan. Misalnya seperti bergaduh, syak wasangka buruk, cemburu buta, melanggari batas pergaulan dan yang lebih buruk ada sehingga ke tahap berzina. Kadang kala apabila merasakan hubungan tidak lagi sehaluan, Akhirnya masing-masing mengambil keputusan untuk memutuskan ikatan pertunangan.
Benarlah kata orang;
“Bertunang penuh dengan dugaan dan cabaran”
Oleh sebab itu, dinasihatkan kepada pasangan yang sudah bertunang agar tempoh pertunangan hendaklah disingkatkan. bertunang merupakan jalan terdekat kepada perkahwinan. Di mana, seorang lelaki dan seorang perempuan sudah bertekad dan bersedia untuk membina keluarga sendiri.
Namun, ramai yang kecundang serta tidak mampu untuk meneruskan perjalanan panjang tersebut. dalam islam, bertunang bukanlah asbab yang membolehkan sesuatu hubungan yang haram menjadi halal. Ada garis panduan yang perlu kita fahami dan ikuti untuk memastikan ikatan pertunangan itu mendapat redha dan rahmat Ilahi seterusnya membentuk rumahtangga yang sakinah, mawaddah dan rahmah.
Justeru itu, disediakan 7 tip bagi pasangan bertunang mengekalkan hubungan mereka hingga ke alam perkahwinan;
.
#1- Menjaga Batas Pergaulan
Walaupun sudah bertunang, masih ada batasan antara kita dan pasangan. Masing-masing perlu faham tentang agama, adab dan akhlak dalam pergaulan. Tidak semestinya sudah bertunang maka segalanya boleh dilakukan.
Pasangan bertunang tetap tidak boleh keluar berdua-duaan, kecuali jika ada bersama mereka mahram. Tidak boleh berpegangan tangan dan tidak boleh menayangkan aurat kepada pasangan. Tidak sama sekali!
Dalam proses pertunangan, seharusnya kita dan pasangan perlu sehabis daya mengelakkan diri dari perbuatan dosa dan maksiat hatta berbalas pesanan ringkas sekalipun. Setiap batasan agama perlu dijaga, agar kita dan pasangan tidak terjebak dengan fitnah atau berzina yang boleh membinasakan.
#2- Mengeratkan Hubungan Dengan Keluarga Pasangan
Kadangkala kita dan pasangan terlupa dek kerana terlalu sibuk bekerja dan sibuk menyiapkan persiapan perkahwinan. Ya! terlupa tentang keluarga pasangan.
Barangkali kita pernah dengar tentang ayat ini;
“Apabila seseorang itu berkahwin, dia bukan sahaja mengahwini pasangannya malah mengahwini seluruh isi keluarganya.”
Nah, oleh sebab itu, ketika bertunang, seharusnya kita mengambil peluang untuk mengenali keluarga pasangan dengan lebih dekat dan cuba mengeratkan hubungan silaturahim dengan mereka sebelum mendirikan rumahtangga.
Sama ada menelefon bertanya khabar ibu bapanya ataupun pergi sendiri menziarahi mereka dengan membawa buah tangan. Sekurang-kurangnya nanti apabila sudah berkahwin, tidaklah berasa janggal atau kekok dengan keluarga mertua.
#3- Berbincang Ketika Berselisih Faham
Apabila kita dan pasangan berjauhan, maka muncul lah bisikan syaitan untuk memporak-perandakan hubungan. Ketika inilah saat paling getir dalam proses pertunangan.
Kadangkala timbul khabar angin yang memperkatakan perihal buruk pasangan. Baik dari percakapan langsung mahupun dari media sosial. Lantas, fikiran menjadi celaru dan buntu dalam membuat keputusan. Malah, mungkin juga terlintas dibenak fikiran;
“Apakah aku tersalah memilih pasangan?”
Seeloknya, bertemu mukalah dengan pasangan sambil ditemani mahram. Berbincang dengan cara baik dan sama-sama berusaha mencari jalan penyelesaian. Boleh juga meminta nasihat dan pandangan dari keluarga kedua belah pihak. Bersikap rasional, banyakkan bertenang. Jangan bermain dengan emosi kerana ia boleh mewujudkan perasaan gelisah dalam hati dan terburu-buru dalam membuat keputusan.
#4- Mengamalkan Sikap Bertolak Ansur
Setelah mengikat tali pertunangan, sesetengah orang sukar untuk bersabar dan bertolak ansur dengan pasangan. Jangan begitu. Rintangan dan cabaran dalam pertunangan tidaklah sehebat cabaran dalam perkahwinan. Sebaiknya, masing-masing perlu banyak bersabar dan mengawal sikap buruk dalam diri. Semakin dekat dengan majlis perkahwinan, semakin tekanan demi tekanan muncul. Daripada perkara kecil sehinggalah perkara besar.
Masing-masing perlu bijak menangani masalah dan menunjukkan sikap bertolak ansur dengan pasangan. Jika pasangan tidak bersetuju dengan sesuatu perkara, maka dengarlah pula pendapatnya. Walaupun kita berasa keputusan kita sudah tepat namun jangan pula berasa pandangan pasangan langsung tidak penting!
.
#5- Memahami Situasi Pasangan
Banyak kes pasangan bertunang memutuskan ikatan pertunangan dengan sebab dan alasan tidak lagi sehaluan. Jika diamati, kebanyakan dari mereka adalah pasangan yang sudah pun mengenali antara satu sama lain mungkin sudah bertahun lamanya.ebenarnya, bukan tidak sehaluan tetapi kita yang tidak mampu untuk memahami situasi pasangan. Mana tidaknya, pasangan bekerja siang dan malam hanya untuk mengumpul wang hantaran tidak termasuk lagi yang lain-lain.
Tetapi kita pula menyangka pasangan tidak ada masa untuk kita. Kadangkala, kita marah atau cemburu tak tentu pasal apabila melihat pasangan kita berjalan dengan kenalannya ataupun rakan sekerjanya.
Kita selalu berfikiran negatif terhadap pasangan kita sedangkan pasangan kita langsung tidak seperti yang kita bayangkan. Cubalah untuk memahami situasi pasangan. Siasat atau bertanyalah dahulu sebelum membuat sebarang andaian yang merugikan.
#6- Menerima Kelebihan Dan Kekurangan
Setelah bertunang, kita hanya memerlukan masa beberapa bulan atau setahun saja lagi untuk mengenali pasangan. Kadangkala, kita belum masak dengan perangainya atau belum melihat sifat tersembunyinya. Namun, perlu kita setkan dalam akal dan hati kita bahawa setiap manusia pasti mempunyai kelebihan dan kekurangannya yang tersendiri. Ketika bercinta, komitmennya berbeza dan pasti berubah setelah berumah tangga.
Percayalah, apabila kita sentiasa bersyukur dan menerima pasangan apa adanya, pasti Allah tambahkan lagi nikmat yang tak disangka-sangka. Kata ustaz Hasrizal abd jamil dalam salah satu bukunya yang berjudul, Aku Terima Nikahnya;
“Dalam soal berumah tangga jangan terlalu memilih dan hanya mencari yang sempurna. Terimalah seseorang seadanya. Kebaikannya disyukuri, kekurangannya diredai.”
#7- Perancangan Selepas Berkahwin
Sebelum menginjak ke alam rumah tangga, pastikan kita dan pasangan terlebih dahulu memikirkan dan berbincang tentang perancangan setelah berkahwin. Misalnya, tentang tempat tinggal. Setelah berkahwin, kebanyakannya si isteri perlu mengikut suaminya sama ada berpindah ke rumah mertua ataupun berpindah ke rumah sendiri.
Kalau perkara sebegini tidak dibincangkan terlebih dahulu, takut nanti apabila sudah berkahwin, perkara ini menjadi asbab kepada pergaduhan atau lebih teruk lagi jika ada campur tangan mertua. Walaupun kelihatan remeh, namun jangan memandang enteng. Perincikan setiap perkara atau buat keputusan dan persetujuan awal kedua belah pihak ketika dalam fasa pertunangan lagi. Jadi, mudahlah bagi kita dan pasangan untuk membayangkan masa depan setelah berumah tangga nanti.
Tuntasnya, hakikat pertunangan dalam Islam membawa seribu satu hikmah. Dalam usia pertunangan, kita dan pasangan bakal berdepan dengan pelbagai perkara baru dan sentiasa mencuba untuk menyesuaikan diri menghadapi episod rumah tangga yang akan datang.