
“ SAYA NAK ISTERI CANTIK, RAMPING, NAMPAK MUDA SELALU”
Mudahnya membuat pesanan tapi besar kerjanya untuk melaksanakan. Wahai suami, nak isteri sihat sempurna kena ingat, banyak benda dia laksanakan untuk rumahtangga itu, jangan kita terus minta apa yang kita mahu. Cukup memahami dia dengan jaga waktu tidurnya, ajar lelaki ini.
Jangan Biarkan Isteri Tak Cukup Tidur
Semalam saya biar je isteri saya tidur dulu. Saya pula yang ambil giliran tidurkan anak-anak.
Ada 5 sebab kenapa saya taknak isteri saya selalu tidur lambat dan tak cukup tidur :
Saya kan nak isteri saya kekal ramping. Saya tahu kalau selalu tidur lambat ni akan membuatkan isteri saya gemuk ( obesity ). Ada kajian pada tahun 2004 mengatakan mereka yang tidur kurang daripada 6 jam lebih berisiko untuk gemuk dibandingkan mereka yang tidur lebih daripada 6 jam.
Saya kan nak isteri saya cantik macam bidadari di depan mata saya. Saya tahu tak cukup tidur hanya akan membuatkan hormon cortisol ( stress hormone ) dalam badan dia makin banyak. Cortisol ni akan break down kolagen pada kulit tau. Makin cepat kurang kolagen, makin tak elastic dan tak mulus la kulit isteri saya. Bahasa mudahnya adalah, MAKIN CEPAT TUA! Aduh!
Saya juga taknak isteri saya pelupa. Saya sangat perlukan seorang isteri yang boleh ingatkan saya ketika saya terlupa. Kalau dua-dua pelupa memang kucar kacir rumahtangga. Tahu tak, tak cukup tidur ni boleh buatkan seseorang tu jadi pelupa? Longterm memory otak lebih mudah terbentuk pada level tidur yang paling dalam sekali. Kalau kurang tidur, kucar kacir la sistem memori tu.
Saya taknak isteri saya stress, depresi dan mengalami mood disorder. Saya tahu biasanya orang ada penyakit depression dan anxiety ni biasanya tidur kurang daripada 6 jam sehari. Saya nak mood isteri saya stabil dan bahagia kerana saya percaya mood bahagia isteri saya akan mempengaruhi mood saya dan anak-anak juga.
Saya taknak isteri saya sakit-sakit. Kekurangan tidur yang melampau dan berpanjangan boleh menyebabkan penyakit yang sangat fatal antaranya :
– serangan jantung
– risiko nak kena darah tinggi meningkat
– risiko nak kena kencing manis meningkat
– sistem imun pun jadi makin lemah
Jadi saya pesan sangat kepada diri sendiri dan para suami semua, tengok tengokkanlah kualiti tidur isteri kita ye terutamanya yang ada anak kecil. Tak salah pun bergilir jaga anak kan.
Tolong sampaikan pesanan ni ye.
Perkahwinan Bawah Umur Perlu Kebenaran Bertulis Mahkamah

Sesiapa pun tidak menafikan bahawa perkahwinan antara Rasulullah SAW dengan Sayidatina Aisyah RA menjadi dalil bahawa perkahwinan dengan perempuan yang belum baligh atau di bawah umur merupakan sesuatu yang dibenarkan oleh syarak. Walau bagaimanapun menurut kepada realiti masa kini, penggubalan undang-undang ataupun peruntukan-peruntukan tertentu yang terkandung dalam undang-undang perlu ada bagi mengawal perkara ini dan bagi memastikan maslahah kepada pihak-pihak yang terlibat, terutamanya kepada pihak perempuan dilindungi dan terjamin.
Pada pandangan peribadi penulis perkahwinan dengan pihak bawah umur seboleh mungkin perlu dielak melihat kepada suasana semasa. Semua maklum bahawa di peringkat ini, sama ada kanak-kanak ataupun golongan awal remaja masih begitu mentah untuk mengenali dunia. Hidup mereka masih memerlukan bimbingan dan pemantauan orang dewasa tertentu dari kalangan ibu bapa, waris atau penjaga yang sah menurut syarak ataupun undang-undang bagi memastikan mereka dapat membesar, mendapat didikan dan melalui proses kematangan secara sejahtera. Jauh sekali untuk menerima sebarang tanggungjawab yang berat dalam dunia rumah tangga.
Sheikh Abdullah al-Manie, salah seorang anggota Majlis Ulama Kanan Saudi juga berpandangan bahawa perkahwinan antara Rasulullah SAW dengan Sayidatina Aisyah tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk mewajarkan perkahwinan anak gadis di bawah umur. Pandangan beliau ini sebagai reaksi kepada perkahwinan seorang gadis berumur 12 tahun dengan seorang lelaki berusia 80 tahun di Buraidah, Arab Saudi.
Melihat kepada fenomena yang kurang sihat ini yang berlaku di negara berkenaan, kerajaan Riyadh berusaha untuk mewujudkan peruntukan bagi umur minimum untuk berkahwin dan umur yang dipilih adalah antara 16 dengan 18 tahun, iaitu umur yang telah diperuntukkan oleh undang-undang keluarga Islam di Malaysia.
Akal yang rasional akan memandang perkahwinan bawah umur bagi situasi di bandar Buraidah tersebut sebagai sesuatu yang tidak adil malah mungkin juga ia sebenarnya manipulasi terhadap golongan bawah umur ini sebagaimana yang berlaku di Riau tidak berapa lama dahulu. Iaitu, perkahwinan antara seorang gadis pada usia 15 tahun dengan seorang lelaki telah agak berumur dan berada. Sebagai ganjaran, bapa kepada gadis tersebut menerima habuan termasuk wang dan juga tanah. Ini jelas menunjukkan suatu eksploitasi terhadap konsep pernikahan yang boleh dilakukan oleh seorang wali mujbir. Diberitakan bahawa tiga tahun tempoh perkahwinan yang dilalui hanya memberi penderitaan kepada gadis berkenaan dan beliau mengalami trauma yang teruk sebelum nekad keluar dari perkahwinan yang dipaksakan terhadapnya.
Walaupun perkahwinan bawah umur boleh dibubarkan melalui fasakh oleh wanita berkenaan apabila ia mencapai umur matang, tetapi, bukankah jauh lebih baik ia tidak dilangsungkan sama sekali apabila pihak-pihak yang terlibat terutamanya wali dapat melihat bahawa pernikahan atau perkahwinan yang hendak dilangsungkan tidak akan memberi kebahagiaan kepada pihak yang masih berada di bawah umur.

Undang-undang Keluarga Islam di Malaysia sebenarnya telah kemas disusun bagi mengawal dan mengurus perkahwinan yang melibatkan pihak atau pihak-pihak bawah umur bagi memastikan kebajikan pihak-pihak yang terlibat dalam perkahwinan tersebut terjamin. Umur minimum yang dibenarkan untuk perkahwinan biasa sebagaimana yang diperuntukkan oleh Undang-undang Keluarga Islam di Malaysia adalah tidak kurang 18 tahun bagi lelaki atau 16 tahun bagi perempuan.
Perkahwinan yang melibatkan pihak bawah umur perlu mendapatkan kebenaran secara bertulis daripada mahkamah, dan permohonan berkenaan adalah dipohon oleh individu yang hendak berkahwin dan bukannya pihak lain seperti bakal suami ataupun wali.
Sebelum pihak mahkamah ataupun hakim memberi kebenaran terhadap perkahwinan yang dicadangkan itu, hakim perlu berpuas hati terlebih dahulu dengan alasan-alasan yang dikemukakan oleh pihak pemohon, seterusnya beranggapan bahawa ia adalah perkahwinan yang munasabah untuk dilaksanakan. Termasuk juga jika ia melibatkan perkahwinan poligami.
Dalam membuat pertimbangan bagi membenarkan perkahwinan yang dicadangkan itu, hakim biasanya akan memanggil wali dan juga bakal suami untuk mengetahui sebab-sebab mengapa perkahwinan perlu dilaksanakan, berpuas hati bahawa pihak-pihak mampu untuk melaksanakan tanggungjawab suami isteri dan suami mempunyai pendapatan atau mampu untuk memberi nafkah kepada isteri. Sekiranya hakim tidak berpuas hati dengan keterangan yang diberikan termasuklah jika hakim melihat wali seperti individu yang kurang bertanggungjawab, maka hakim akan memanggil sesiapa sahaja seperti ketua kampung untuk membantu beliau mencapai keputusan terhadap permohonan tersebut. Kes-kes atau keadaan yang memaksa hakim untuk memberi kebenaran lazimnya adalah seperti telah berlaku keterlanjuran ataupun pihak yang memohon telah mengandung di luar nikah.

Melihat kepada kes-kes yang berlaku di Buraidah, Kampung Jelawang di Kuala Krai hinggalah ke Riau, semuanya dilakukan oleh wali mujbir, iaitu bapa kepada anak-anak gadis terbabit yang sepatutnya memberi perhatian, kasih sayang dan perlindungan. Sebaliknya, ibu kepada setiap kanak-kanak inilah yang bertungkus-lumus berusaha bagi memperjuangkan hak dan kebebasan anak masing-masing. Golongan wanita atau ibu, bukanlah wali, dan hukum syarak tidak meletakkan peranan wali dari kalangan wanita, akan tetapi nampaknya golongan inilah yang lebih mampu untuk melihat kemaslahatan anak-anak di bawah umur ini. Ini kerana mereka tidak mudah terpancing dengan diayah-diayah jalan pintas menuju ke gerbang syurga sebagaimana yang dipromosikan oleh golongan yang mendakwa berilmu tetapi tidak tanak dengan ilmu yang ada. Masih banyak lagi cara untuk mendapat keredaan dan ganjaran pahala Allah SWT yang cukup besar tanpa menggadai anak yang masih manja sifatnya dan memerlukan penjagaan penuh daripada ibu bapa atau penjaga yang diamanahkan.
Sebenarnya, selain daripada prosedur tertentu bagi perkahwinan yang melibatkan pihak-pihak bawah umur demi menjaga kebajikan mereka, undang-undang juga memperuntukkan seksyen-seksyen tertentu bagi mengelak perkahwinan yang dibuat secara paksa ataupun mengakadnikahkan pihak-pihak tanpa ada kebenaran berkahwin. Jika sabit kesalahan, seseorang itu boleh dihukum dengan denda tidak melebihi RM1,000.00, penjara tidak melebihi enam bulan ataupun kedua-duanya sekali.
Penulis mencadangkan supaya hukuman ditambah dengan memperuntukkan hukuman sebat supaya fenomena “harapkan pagar, pagar makan padi” tidak berlanjutan di kalangan masyarakat Islam terutamanya di negara tercinta ini. Memperkasakan undang-undang yang sedia ada, adalah sebagai suatu usaha untuk mengajar pihak-pihak bagi memahami pengertian sebenar kepada pelaksanaan tanggungjawab terhadap amanah yang diberikan.
OLEH : Puan Siti Shamsiah binti Md Supi
SUMBER : http://www.ikim.gov.my/
GAMBAR HIASAN : TANGKAP PICTURES
Lima Tahun Pertama Perkahwinan Adalah Fasa Yang Mencabar Buat Pasangan Suami Isteri

Perkahwinan ibarat mengemudi kapal. Ada masa ia berjalan dengan lancar dan ada masa dilanda ombak. Jangan sangka hanya perkara yang indah sahaja akan terjadi dalam perkahwinan. Hakikatnya, banyak perkara yang akan kalian lalui bersama, sama ada susah atau senang.
Mudah sahaja kita hampir putus asa bila segala persediaan kahwin kita mengalami dugaan dan rintangan yang memeningkan kepala. Lelaki ini kongsi, biasanya lima tahun pertama dugaan hebat betul. Dah lepas lima tahun kalau kau dan pasangan terselamat menghadapi cabaran hidup bersama, korang akan kekal bahagia.
Kau baru bina masjid tu, banyak lagi dugaan perkahwinan kau akan hadapi. Kalau kau tak bersedia dan kuat untuk hadapi cabaran, bahtera perkahwinan kau akan tenggelam di dasar lautan.
Biasanya lima tahun pertama dugaan hebat betul. Dah lepas lima tahun kalau kau dan pasangan terselamat menghadapi cabaran hidup bersama, korang akan kekal bahagia.

***
Antara panduan untuk membina keluarga bahagia adalah:
- Kalau boleh solat bersama. Tak boleh lima waktu, solat Isya dan Subuh berjemaah okay lah. Biar sinar agama hadir dalam keluarga korang. Barulah setan nak hasut, nak fitnah macam-macam lari jauh-jauh.
- Mendalami ilmu untuk jadi yang terbaik. Ilmu Tuhan ini luas. Belajar ilmu agama. Ilmu memasak, ilmu pengurusan kewangan dan sebagainya. .
- Bersyukur kerana mempunyai pasangan hidup. Yakinlah bahawa pasangan kita adalah yang terbaik ketentuan dan anugerah terindah daripada Tuhan.
- Senyumlah apabila sampai ke rumah. Hal ehwal kerja letak tepi bila dah jejak kaki ke rumah. Masalah kerja jangan bawa masuk ke rumah.
- Sentiasa berbual dengan pasangan setiap hari. Kalau gaduh pun berkomunikasi guna pen dan kertas pun tak apa. Gaduh manja tu perkara biasa. Tapi jangan gaduh lama-lama.
- Telefon, mesej ataupun WhatsApp jika pasangan berjauhan dengan korang. Tanya la khabar ke dah makan ke. Alah, macam kau bercinta dulu-dulu. Masa bercinta sapa nak letak telefon dulu pun boleh gaduh.
- Sentiasa hiburkan hati pasangan dengan lawak hambar korang. Bergurau senda. Kau tak kelakar pun takpe. Janji kau mampu buat si dia tersenyum. Setiap gurauan manja mengeratkan hubungan suami isteri.
- Amalkan makan bersama setiap hari. Makan sambil cerita apa yang dia dah buat hari ini. Secara tak langsung kau tahu masalah dia.
- Bantu isteri melakukan kerja rumah. Kau tak perlu jadi sado untuk menyapu rumah. Kau tak perlu ada six pack untuk kemas rumah. Tolong dia memasak pun okay. Jadi tukang kacau jadilah daripada duk main Fesbuk manjang.
- Tegur kesilapan pasangan dengan cara terbaik. Beri nasihat secara berkasih sayang. Jangan tegur secara kasar.

***
Jom berkongsi lagi di ruangan komen supaya boleh dijadikan amalan bersama.
Ayuhlah kita sama-sama menuju kebahagiaan rumah tangga. Kah!
[ASY]
Bila Wanita Mudah Memaafkan Tetapi Sukar Melupakan Berbanding Lelaki. Ini Sebabnya…

Saat menghadapi pergaduhan dengan pasangan, wanita seringkali menjadi seorang yang pemaaf dalam apa keadaan sekalipun. Manakala lelaki lebih mudah melupakan apa yang berlaku walau mereka sukar memaafkan. Namun perlu diingat walaupun wanita sanggup memaafkan, wanita sukar untuk melupakan apa yang telah mereka alami.
Lukanya masih berbekas di hati nurani. Dia akan mengingati apa yang telah terjadi dan menyimpannya di dalam hati sekalipun mulut sudah mengucapkan kata maaf. Mengapa?
Emosi Kuasai Memori
Kajian di Amerika Syarikat menjelaskan wanita memiliki memori atau ingatan yang lebih kuat berbanding lelaki. Jika lelaki memiliki 60 peratus ingatan, wanita pula mempunyai 75 peratus memori iaitu 15 peratus lebih daripada kamu lelaki.
Lebih membuatkan situasi menjadi kronik memori yang berlebihan itu terdiri daripada emosional memori yang membuatkan wanita sukar melupakan perkara yang melibatkan perasaan mereka terutama peristiwa yang membawa kesedihan, kemarahan mahupun kegembiraan.
Malah emosi diakui, pakar psikologi dan para saintis sebagai tunjang kepada memori seseorang wanita. Saintis menjelaskan wanita sememangnya cukup peka dan sukar melupakan peristiwa yang melibatkan perasaan dan emosi.
Pemeriksaan mangnetic resonance imaging (MRI) yang dilakukan ke atas kaum Hawa mendapati memori wanita menunjukkan tindak balas yang sangat memberangsangkan tatkala berfikir, berbicara dan melihat sesuatu yang melibatkan perasaan. Hal ini secara tidak langsung menunjukkan sistem otak wanita berfungsi dengan lebih baik dalam menguruskan emosi berbanding lelaki.
Sukar Kikis Kenangan
Turhan Canli, profesor psikologi di University of Stony Brook, Amerika Syarikat, menjelaskan wanita turut memiliki otak bersifat memori autobiografi yang membuatkan mereka sukar untuk mengikis atau melupakan sebarang kejadian atau kenangan yang memedihkan dan menyakitkan dalam hidup mereka.
Apatah lagi, kesemua kejadian yang berlaku memberikan kesan besar pada diri mereka. Sedangkan lelaki tidak mudah dikuasai oleh emosi meskipun mereka memiliki ingatan kuat tentang peristiwa yang menimpa diri mereka.
Situasi ini bukan sahaja membuatkan wanita sukar melupakan apa yang terjadi ke atas diri mereka tetapi ia turut menjadi punca kemurungan dalam diri. Sememangnya wanita lebih stres berbanding lelaki kerana otak mereka lebih cenderung untuk terus memikirkan memori-memori buruk dan akan terus memikirkan sehingga menyebabkan depresi.
Bukan itu sahaja, sebahagian otak wanita memiliki peredaran darah yang lebih tinggi termasuk bahagian yang mengawal bahasa dan perbuatan sehingga membuatkan mereka memiliki ingatan yang cukup tajam dalam mengingati kisah pahit dalam hidup.
Satu lagi faktor yang membuatkan wanita sukar melupakan sesuatu kejadian ialah paras hormon estrogen yang tinggi. Kajian menunjukkan hormon estrogen berupaya mengaktifkan saraf dan meningkatkan peredaran darah ke otak. Kadar estrogen yang tinggi secara tidak langsung meningkatkan memori dan proses pembelajaran sehingga menyukarkan wanita untuk melupakan sesuatu peristiwa.
Bagaimana Memaafkan dan Melupakan?
1. Memaafkan dengan ikhlas
Kebanyakan individu memaafkan musuh mereka kerana tidak mahu menyimpan dendam dan membiarkan dendam memusnahkan diri mereka. Namun, dalam masa yang sama hati mereka tidak ikhlas untuk memaafkan. Akibatnya, mereka masih sering mengingati peristiwa lalu dan sukar melupakan segala kejadian yang berlaku. Oleh itu apabila anda mengambil keputusan untuk saling bermaaf-maafan berusaha untuk melakukannya dengan seikhlas mungkin.
2.Maaf bukan Mainan
Perkataan maaf itu cukup mahal harganya, Ia bukan suatu kata yang boleh dilafazkan dengan sesuka hati atau sekadar menyedapkan hati orang yang mendengarnya. Sekali mengucapkan kata maaf maknanya anda telah bersedia untuk melupakan segala kepahitan yang berlaku serta membuka lembaran baru dalam kehidupan. Dengan cara itu, hati akan menjadi lebih tenang dan bersedia untuk benar-benar memaafkan dan melupakan apa yang terjadi.