
Kata orang, cukup mudah buat wanita untuk kumpul pahala dalam perkahwinan. Hanya dengan taat pada suaminya, jaga makan pakai suaminya, sanggup berkorban buat suaminya, semuanya sudah dianggap pahala. Apatah lagi buat si isteri yang sanggup membanting tulang bekerja untuk sama-sama membantu suami mencari rezeki, demi mendapat reda Allah.
Namun dalam sedar tak sedar, apakah pula kesannya buat si suami? Berdosakah dia dalam membiarkan si isteri bekerja? Ini perkongsian Ustazah Sharifah Zabidah berkenan hal ini.
“Banyak pahala awak dapat sebab sanggup berkorban tolong saya bayar itu ini segala bil dan belanja dalam rumah, jaga anak dan kerja 24 jam urus semuanya..” – Suami
“Banyak pahala awak dapat sebab duduk dengan MIL, ikut permintaan MIL dan suami. Dapat berbakti pada keluarga suami walaupun hati awak banyak tercedera…” – Ipar yang dia sendiri tak nak duduk dengan maknya.
“Banyak pahala awak dapat sebab sabar dengan suami dan memaafkan segala kecurangan dan kekasaran dia.. InshaALLAH besar ganjaran awak…” – Kawan baik
“Banyak pahala awak dapat sebab redha kena kerja macam robot 24 jam dan tanggung perbelanjaan rumahtangga sama-sama dan jaga anak dengan sempurna…” – Mertua
“Banyak pahala awak dapat lahirkan dan besarkan anak-anak walaupun suami lepas tangan segalanya sedangkan awaklah ibu, awaklah bapa…” – Jiran
DI SAAT ISTERI MENJADI SETABAH ASIAH
Kadang-kadang, pahala-pahala terkumpul sang isteri yang disebutkan – itulah saksi 1001 episod kegagalan suami memainkan peranan.
Dalam kita mengingatkan betapa banyaknya PAHALA yang si isteri dapat dalam baktinya, jangan lupa ingatkan juga betapa banyaknya DOSA yang suami dapat dalam lekanya.
Di saat isteri ditempa menjadi segagah lelaki sejati,
Si suami membesar menjadi semanja tuan puteri.
Di saat isteri memilih menjadi setabah Asiah sang permaisuri,
Lelaki menjadi seperti Firaun pada kerasnya hati.
Beginilah ALLAH memuliakan seseorang dalam satu ujian,
Dan ALLAH menghinakan seorang lagi dalam ujian yang sama.
Duhai suami,
Di saat kau meminta isterimu menjadi seperti Asiah pada sakitnya disakiti, namun tetap mentaati
Dalam tak sedar kau juga menjadi seperti suami Asiah, yang menjadi begitu keras hati, tak sedar istidraj ILAHI.
Suami yang kejam yang mendapat isteri yang cukup bersabar atas kekejamannya bukanlah suami yang beruntung tapi suami yang malangnya menggunung.
Duhai isteri,
Keluarkan suamimu dari lena dan lekanya.
Sanggupkah kerana ‘kesabaranmu’ yang diam menanggung segalanya,
Menjadi sebab utama suamimu kelak dibakar di neraka?
Buat para suami, hargailah setiap perkara yang dilakukan isteri anda yang sama-sama bergolok gadai demi rumah tangga. Pandanglah mukanya dan buka telinga seluas-luasnya mendengar isi hatinya. Bukan niatnya untuk membebel tapi kerana dia sebenarnya mempercayaimu lebih daripada orang lain dan percaya hanya kamu duhai suami yang mampu menenteramkan jiwanya. Jangan kau bandingkan setiap perkara yang dilakukan isterimu dengan orang lain kerana sesungguhnya ia akan melukakan hati isterimu. Bersama-samalah dalam melayari bahtera walau ada ujian dan pasang surutnya.
Betul Ke Kahwin Dengan Kekasih Dari Zaman Sekolah Lebih Bahagia?

Mesti masa zaman persekolah kita pernah bercinta bukan? Ada juga hubungan percintaan tersebut yang berakhir ketika tamatnya tempoh persekolahan dan ada yang berakhir ke jinjang pelamin! Menurut kajian yang pernah dikongsikan, berkahwin dengan kekasih zaman sekolah itu ternyata lebih terjamin dan bakal berakhir dengan kebahagian sehingga ke akhirnya, betul ke?
1. ADA DENGAN KITA UNTUK HADAP PERKARA BESAR DALAM HIDUP
Dialah yang ada dengan kita waktu suka dan duka termasuklah masa kita peroleh keputusan PMR/PT3/SPM, sewaktu pegang skrol graduasi di konvokesyen Universiti, waktu kita tertekan menghadap situasi di alam pekerjaan, waktu kita menangis gembira di hari pernikahan, waktu kita meneran melahirkan zuriat untuk dari dulu sampai sekarang semua momen berharga dapat dikongsi bersama!
2. KEMUNGKINAN UNTUK BERCERAI SANGAT RENDAH
Kalau dah kekal sampai hari ni sejak dari zaman sekolah dahulu, sukar rasanya untuk si dia meninggalkan kita sewenangnya. Dari remaja sampai dah berumur macam ni kalau si dia masih sanggup bersama kita, itu adalah cinta yang paling agung dan pasti ramai pasangan lain yang iri melihat.
3. RAPAT DENGAN KELUARGA MERTUA
Tak dinafikan ada orang yang bercerai sebab tak tahan dengan keluarga mertua. Tapi kalau kita kahwin dengan kekasih zaman sekolah, ibu bapa mereka pasti sudah kenal rapat dengan kita betul tak? Jadi tak ada masalah untuk nak mesra dan jadi rapat dengan ahli keluarga pasangan kita.
4. TEMPOH DARI RAKAN MENJADI KEKASIH BANTU KUATKAN EMOSI
Kita yang dulu bukanlah kita yang sekarang. Waktu muda memang lebih banyak drama daripada yang logik betul tak? Maklumlah masing-masing belum matang. Oleh itu, tempoh waktu perkenalan sudah lebih lama dan pastinya si dia dapat mengenal baik buruk kita secara mendalam. Setakat merajuk dan amarah kita tu, semuanya dalam poket dia. Dia mesti boleh handle!
5. MILIKI HATI & JIWA KENTAL
Sebab dalam tempoh perkenalan yang sangat lama dari zaman sekolah, dah selalu sangat bertengkar, bergaduh, salah faham dll. Jadi bila dah jadi suami isteri, rasanya tak ada masalah pun untuk satu sama lain bergaduh besar. Asalkan keduanya kekal berada di sisi masing-masing, merajuk pun mesti sekejap je.
6. KALAU BERNASIB BAIK, KAMPUNG PUN DEKAT
Bila sudah berkenalan di alam persekolahan, besar kemungkinan untuk anda mempunyai kampung mertua dekat dengan rumah anda sendiri. Biasalah, setiap kali ada cuti umum atau hari perayaan tidak perlu lagi nak bergaduh nak balik kampung siapa kan?
Takut Kahwin Lambat? Jom Cuba Tips Rare Ni!
Jodoh, kematian dan rezeki adalah rahsia Allah yang tak boleh dijawab atau ramal oleh sesiapa pun. Jangankan bomoh, juru tilik atau pak nujum, Rasulullah SAW sendiri dan para Nabi sebelumnya sama sekali tak diberitahu oleh Allah SWT tentang perkara ini.
1. Bersemagat Dan Bersedia Menghadapinya
Diantara hikmah dirahsiakan ketiga perkara tersebut adalah agar kita sentiasa bersemangat mencari dan bersedia menghadapinya.
Agar kita bersegera kerja kuat, semangat dan ikhlas dalam mencari rezeki kerana dengan kaya, banyak amalan kebaikan yang kita boleh dilakukan. Apalagi dalam Islam, banyak ibadah yang hanya boleh dilakukan jika seseorang itu kaya, dan tak boleh dilakukan jika keadaannya sebaliknya, seperti ibadat haji, zakat, sedekah dan kahwin (mahar).
Kematian juga dirahsiakan waktunya agar insan yang hidup selalu istiqamah dalam kebaikan kerana tak tahu bila nyawanya akan dipanggil. Boleh dibayangkan jika seseorang mengetahui waktu kematiannya, dia akan terus menerus melakukan maksiat dan bertangguh untuk bertaubat dan melakukan kebaikan sehingga waktu ajalnya sudah dekat.
2. Tidak Akan Turun Dari Langit
Begitu juga dengan jodoh. Dirahsiakan dengan siapa, bagaimana dan bila agar manusia selalu beramal, berusaha memperbaiki diri dan melayakkannya, serta sedaya upaya mungkin dalam mencarinya. Memang jodoh kita tak akan tertukar, tapi ia tak akan turun jatuh ke riba dari langit ke tujuh tanpa sebab musabab.
Sesiapa yang sabar dan bersungguh-sungguh mencarinya, maka Allah SWT pun akan mendatangkannya calon yang sesuai dengan kesabaran dan kesungguhannya itu.
Semua yang terjadi, cepat atau lambat di muka bumi ini adalah pencaturan kuasa Allah SWT. Semua pasti ada hikmah yang besar di sebalik berlakunya suatu kejadian ataupun lambatnya ia berlaku.
Yang dimaksud menyegerakan kahwin adalah dalam mempersiapkan diri, bersegera dalam mengikhtiarkannya, juga tak bertangguh jika peluang sudah ada di depan mata kerana bertangguh-tangguh dalam jodoh hanya akan membawa kepada kerugian pada diri sendiri.
3. Menolak Bukan Bermakna Menunda Pelaksanaan Ibadah
Sudah banyak kisah, dimana seorang wanita menolak lamaran yang datang pertama kali dengan alasan masih belajar, kemudian jodoh tak datang lagi padanya. Bukankah penolakan yang pertama boleh menjadi pintu bagi penolakan kedua, ketiga dan seterusnya?
Bukankah menolak bermakna menunda pelaksanaan ibadah menikah yang terdapat banyak kebaikan di dalamnya? Semoga Allah SWT melindungi kita dari sekian banyaknya syubhat dan keburukan melambat-lambatkan pernikahan. Sekali lagi, tak ada istilah terlambat.
Yang paling penting adalah segera kata “Saya Setuju” ketika peluang itu datang kerana peluang tak mungkin datang dua kali. Bersegeralah kerana ajal juga boleh datang bila-bila masa. Harapannya, kita tak mati bujang kerana itu adalah “kerugian” yang teramat.
Hati Yang Tenang Dan Rasa Selesa Dengan Si Dia Adalah Petunjuk Si Dia Jodoh Anda

Jodoh sebenarnya boleh dikenal pasti melalui beberapa perwatakan dan sifat. Pada artikel kali ini, saya akan kongsikan dengan anda beberapa tip untuk mengenali si dia adalah jodoh anda.
1. Tidak Berlakon
Tanda yang pertama yang anda boleh perhatikan ialah si dia tidak berlakon di hadapan anda. Cuba lihat cara dia bercakap atau melakukan apa-apa aktiviti. Adakah perlakuan itu dilakukan dengan secara spontan atau dibuat-buat. Jika dia sendiri kurang selesa dengan gayanya, dia mungkin sedang berlakon. Namun apabila si dia tampil bersahaja dan tidak berlakon, ia adalah calon pasangan yang sesuai buat anda.
2. Susah Senang Bersama
Pasangan yang kita pilih mestilah sanggup menerima kita di waktu senang mahupun susah. Seperti kata peribahasa Melayu, ‘berat sama dipikul, ringan sama dijinjing.’ Ada orang, hanya mahu menjadi peneman kita pada waktu senang sahaja. Pada waktu yang susah tidak mahu bersama. Jika si dia jodoh anda, si dia pasti sentiasa ada untuk anda pada waktu susah ataupun senang. Ketika inilah perhubungan anda dan si dia diuji.
3. Menerima Diri Anda Seadanya
Apapun kisah silam yang pernah anda lakukan, si dia tidak ambil peduli. Si dia tidak kisah siapa anda sebelum ini dan sanggup menerima diri anda seadanya. Apa yang penting baginya adalah siapa anda sekarang. Walaupun anda seorang yang tidak kaya, tidak cantik dan mempunyai bermacam-macam kekurangan, si dia tetap bersama anda. Itulah tanda jodoh anda. Jangan lepaskan si dia yang mempunyai perwatakan sebegini.
4. Sentiasa Jujur
Selain itu, untuk mengenali jodoh yang baik adalah anda dapat melihat sifat kejujuran pada diri si dia. Walaupun sesuatu perkara itu pahit untuk diluahkan, namun si dia tetap jujur untuk membicarakan tentangnya. Dia tidak pandai menipu dan berbohong kepada anda. Sifat jujur ini ada pada diri Rasulullah S.A.W. hatta sebelum dilantik menjadi Rasul.
Oleh kerana itulah, masyarakat Arab jahiliah pada masa itu suka kepada perwatakan Rasulullah S.A.W. sehingga baginda digelar sebagai ‘Al -Amin’ yang bermaksud orang yang dipercayai. Allah S.W.T. juga telah berfirman di dalam surah An-Najm yang bermaksud:
“Dan tiadalah yang diucapkannya itu (Al-Quran) menurut kemahuan hawa nafsunya. Ucapannya itu tiada lain hanyalah wahyu yang diwahyukan kepadanya”
(Surah An-Najm : Ayat 4-5)
5. Dipercayai Dan Mempercayai
Saling mempercayai adalah kunci kepada suatu perhubungan yang kuat. Jika anda tidak ada rasa percaya kepada si dia, itu tandanya dia mungkin bukan jodoh yang terbaik untuk anda. Sifat percaya dan dipercayai ini sangat berkait rapat dengan sifat jujur yang saya sebutkan sebelum ini. Oleh sebab itu, anda mesti menjadi orang yang dipercayai dan mempercayai si dia.
6. Boleh Berkomunikasi Dan Berbincang
Komunikasi bermaksud perhubungan secara langsung ataupun tidak langsung dengan menggunakan perantaraan seperti surat, mesej, telefon dan sebagainya. Komunikasi perlukan teknik dan masa yang betul supaya salah faham tidak berlaku. Ada orang berpisah kerana tidak pandai berkomunikasi dengan pasangan atau yang lebih malang tidak berkomunikasi langsung.
Oleh sebab itu, tanda jodoh yang baik ialah si dia perlu ada sifat untuk berkomunikasi dan sedia berbincang jika timbul sesuatu isu. Sesuatu masalah perlu diatasi dengan cara dan teknik yang betul seperti saling berkomunikasi demi menjaga perhubungan yang telah dibina.
7. Memahami Diri Anda
Tanda si dia adalah jodoh anda yang seterusnya ialah si dia adalah seorang yang memahami diri anda. Memahami diri adalah suatu yang agak mustahil jika anda belum benar-benar taaruf (kenal) dengan lebih mendalam bakal pasangan anda itu. Jadi ambil masa untuk taaruf dengan bakal pasangan. Cuba untuk memahami si dia dan begitulah juga sebaliknya.
8. Mengakui Kelemahan
Tiada manusia yang sempurna di dunia ini. Semua orang ada kelemahan masing-masing. Namun calon jodoh yang terbaik buat anda ialah apabila si dia sanggup mengakui kelemahan dan kekhilafan diri jika ada terbuat benda yang salah. Si dia tidak ego dan sanggup merendahkan dirinya untuk meminta maaf. Itulah salah satu tanda jodoh yang baik.
9. Petunjuk Setelah Anda Beristikarah
Solat ‘istikarah’ merupakan cara yang terbaik dalam urusan memohon petunjuk daripada Allah S.W.T. Ia adalah perkara yang penting di mana setelah pelbagai usaha dilakukan untuk mendapatkan jodoh, maka sandaran dan kebergantungan kita pada akhirnya ialah hanya kepada Allah S.W.T. Inilah yang dinamakan tawakal. Mungkin selepas anda melakukan solat istikarah, anda akan mendapat petunjuk daripada Allah S.W.T. Mempunyai hati yang tenang dan rasa selesa dengan si dia juga boleh jadi petunjuk bahawa si dia adalah jodoh anda.
Sumber : BaitulMuslim
Gambar sekadar hiasan
Rupanya Isteri Janganlah Ikut Sama Hantar Jenazah Suami Ke Pusara

Menghantar jenazah ke kubur merupakan kelaziman, sebagai salah satu tanda memberi penghormatan terakhir.Namun buat wanita yang bergelar isteri, rupanya perkara tersebut adalah tidak boleh dilakukan.
Baca perkongsian nota yang diperoleh daripada kelas Dhuha Muslimat bersama Habib Ali Zaenal Abidin Bin Abu Bakar Al-Hamid ketika ceramah di Masjid Darul Ehsan, Taman Tun Abdul Razak Ampang.
Habib membahaskan tafsir ayat surah Al-Baqarah ayat 234-237. Ayat 234 ada kaitan dengan soalan yang ditanyakan disebabkan banyak berlaku kesilapan dalam hal ini diakhir zaman ini.
Bolehkah wanita menghantar jenazah suaminya ke kubur?
Jawapannya:
TIDAK BOLEH !!
Khususnya bagi isteri yang suaminya yang meninggal, kerana iddahnya telah bermula, dan isteri tidak boleh keluar meninggalkan rumah suami kecuali darurat. Darurat ini bukan mengikut persepsi kita, tapi mengikut apa yang ditetapkan oleh syarak.Antara sebab yang dibenarkan utk meninggalkan rumah suami adalah jika keselamatannya terancam. Sebab-sebab seperti ingin menziarahi kubur, atau menghadiri majlis ilmu tidaklah termasuk sebab yang darurat.
Ibadah mesti mengikut cara yang diatur oleh Allah, bukannya mengikut hawa nafsu. Jadi, kalau ingin suami yang meninggal mendapat redha Allah Ta’ala, isteri tidak boleh keluar daripada rumah suaminya selama 4 bulan 10 hari. Yang beri suami dan yang tidak izinkan keluar ialah Allah SWT, jadi kita kena patuhi arahan Allah dan bukan dengar apa masyarakat kata.
■Ambil iktibar daripada kisah Ummu Salamah yang pada asalnya ingin menunjukkan cara ratapan luar biasa ketika suaminya meninggal. Tetapi setelah dilarang oleh Nabi SAW, dia akur dan menurut apa yang diajar Rasulullah SAW, dan akhirnya dia diberi ganjaran oleh Allah diperisterikan oleh lelaki terbaik, iaitu baginda RasuluLlah SAW sendiri. Iktibarnya – bila mana mendahulukan Allah, pasti ada ganjaran tidak kira sama ada akan diberikan ketika di dunia ataupun disimpan untuk akhirat.
■Isteri tidak perlu merasa bersalah dengan tanggapan masyarakat yang mungkin mengatakan –“Isterinya tak hantar suaminya ke kuburlah.” Dan isteri juga tidak perlu rasa bersalah dan membuat helah seperti isteri ikut tapi duduk dalam kereta saja, atau duduk jauh sikit daripada tempat dikebumikan. Perasaan bersalah itu perlu diambil kira berdasarkan hukum Allah, dan bukan hukum budaya masyarakat. Jangan takut apa orang cakap.
■Pada zaman Rasulullah SAW sudah ada golongan wanita yang hendak ikut ke kubur, lalu Nabi SAW bertanya kepada mereka, “Kamu hendak pergi kubur, adakah kamu pikul jenazah itu? Jawab mereka, “Tidak.” Baginda Rasulullah SAW bertanya lagi, “Adakah kamu akan masuk ke dalam kubur untuk menguburkan jenazah?” Jawab mereka, “Tidak.” Lalu Rasulullah SAW berkata, “Kamu balik kamu dapat ganjaran, lebih baik daripada kamu ikut dan kamu dapat dosa.”
Ini bukan menunjukkan yang agama ini tiada perasaan kepada kaum wanita. Hari ini orang akan mengatakan seorang isteri tidak penuhi hak suami jika isteri tidak hantar jenazah ke kubur. Lama-kelamaan orang akan kata tidak penuhi hak suami jika tidak semua ahli keluarga hadir di kubur. Generasi akan datang pula akan kata tidak penuhi hak suami jika tidak masuk dalam kubur. Perubahan demi perubahan akan berlaku jika ianya dicipta mengikut akal fikiran manusia atau budaya tempatan yang sumbernya tidak tetap. Tapi jika ikut hukum Allah, ia sama saja tidak kira di mana berada – Malaysia, Indonesia atau Yaman dll.
■Jika ada yang kata, “Eh awak tak penuhi hak suami awaklah.
Jawab padanya, “Eh, Allah yang suruh saya tak ikut.” Oleh itu, pastikan apa yang kita buat itu adalah sesuai mengikut apa yang Allah Ta’ala suruh.
■Jika ikut cakap orang kita dapat dosa, tapi ikut cakap Nabi SAW, yang tidak pernah bercakap kecuali ianya wahyu daripada Allah Ta’ala, kita akan dapat pahala. Maka, rugi jika seseorang itu ikut cakap orang ! Di akhirat nanti bukan kawan itu yang akan membela kita di hadapan Allah, bahkan dia akan menjauh daripada kita.
■Jika isteri ingin melihat suami buat kali terakhir atau ingin solatkan, bawa jenazah pulang ke rumah sebelum dikebumikan. Siapa kata jenazah tidak boleh dibawa pulang ke rumah jika telah dimandi (dan disolatkan) di masjid?
■Jika ingin solatkan, baca Quran atau apa saja – buat di rumah agar isteri tidak perlu keluar. Kalau boleh mandikan di rumah lebih baik, tapi kalau tidak boleh, bawa ke masjid, dan kemudian bawa balik ke rumah. Nak buat tahlil di masjid boleh, tapi isteri buat di rumah saja.
■Isteri tidak boleh keluar menunggu suami dimandikan di masjid atau seumpamanya, kerana *iddah bermula setelah suami meninggal.*
■Perempuan, kalau hendak pergi ke kubur, pergi pada hari selain daripada hari pengkembumian. Kecuali, jika satu kampung. itu tiada lelaki, semuanya perempuan. Maka, dalam hal ini – perempuan yang bawa jenazah, yang gali kubur, yang kebumikan, yang uruskan semuanya.
■Perempuan bukan dilarang pergi ke kubur, tapi risau berlaku perkara yang tidak sesuai dengan syarak jika ikut bersama lelaki yang menguruskan jenazah. Kita pun lihat sendiri banyak berlaku, perempuan ahli keluarga duduk di hadapan kubur, dan sekelilingnya semuanya lelaki. Batasan antara lelaki dan perempuan tidak lagi diperhatikan. Tambahan pula kalau perempuannya tidak menjaga cara berpakaian yang sopan dan menurut syarak.
■Biarkan orang lelaki siap menguruskan. Esok pagi-pagi, baru anak dan ahli keluarga pergi untuk bacakan Yasin ke… dan akan dapat baca dalam keadaan tenang dan tidak bercampur dengan lelaki.
■Ambil iktibar daripada kisah anak perempuan Nabi Syuaib, yang ketika ingin mengambil air daripada perigi. Walaupun memerlukan, mereka tidak beratur bersama lelaki, tetapi mereka tunggu jauh daripada perigi sehingga lelaki selesai, baru mereka akan ambil air. Sama juga kalau hendak ziarah kubur, tunggu orang lelaki selesai dulu, pergi keesokan harinya.
■Terdapat banyak perbahasan ulama dalam kes isteri yang kematian suami dan perlu keluar bekerja, kerana memang sukar mendapatkan cuti selama 4 bulan 10 hari. Dalam keadaan darurat, seseorang dibenarkan melakukan sesuatu yang haram sekalipun.
Dalam hal ini, kalau isteri bekerja, perlu dilihat adakah pekerjaan itu keperluan darurat atau tidak. Kalau dengan dia tidak bekerja, tapi keperluan asasnya dapat dipenuhi, maka itu bukan darurat yang membolehkan dia untuk keluar bekerja. Tapi, kalau dengan dia tidak bekerja, dia tidak boleh makan atau anak-anaknya tiada yang menanggung, atau keluarga suaminya tidak mampu menanggungnya, dia ada sebab yang menyebabkan dia tidak boleh berhenti kerja, tapi sebab dan daruratnya itu perlu diambil kira oleh syarak dan bukan oleh diri sendiri.
Jadi, dalam hal ini, dia boleh keluar bekerja tetapi tetap tidak boleh meninggalkan tuntutan lain seperti berhias, dan melakukan hanya yang diperlukan sahaja dan keluar dari rumah pergi kerja, dan kemudian pulang ke rumah, dan tidak pula singgah di tempat-tempat yang tidak berkaitan. Kalau nak pergi kedai, cuma untuk keperluan beli makanan dan minuman sahaja.
Wallahu’alam bissawab.
Sumber: Suhaidah Abd Wahab