
Jika anda menghadapai masalah suami yang sudah mula curang atau menggatal, jangan terburu-buru mencurigai suami. Jika anda bersikap begitu, ia akan lebih mempercepatkan lagi proses anda diduakan.
90 peratus suami akan berfikir, “Elok-elok aku tak buat hal, cemburu tak tentu pasal. Aku pasang satu lagi baru padan muka”!
Sama ada dengan tanda atau tidak, naluri setiap isteri akan dapat merasakan sesuatu jika suami tidak setia. Cuma pastikan, kecenderungan naluri anda tidak dibuat-buat. Ia akan datang sendiri ketika anda berada dalam keadaan tenang. Jangan pula mendesak diri sendiri untuk berfikir bukan-bukan.
LAWAN PERASAAN NEGATIF
Cubalah lawan perasaan negatif yang datang. Jangan sekali-kali serang suami membuta tuli. Lontarkan soalan yang tidak berunsur tuduhan atau curiga, cukup sekadar bertanya. Pada masa sama, nilailah setiap patah jawapan diberikan.
BAGAIMANA JIKA SAYA MASIH BERASA CURIGA?
- Sekiranya masih ada rasa curiga, kembalilah kepada Allah dengan solat istikharah.
- Istikharah tidak semata-mata memberikan jawapan tetapi petunjuk untuk anda menerima takdir dengan penuh redha.
- Dalam kata lain, jika benar suami sudah terperangkap dalam cinta tiga dimensi, bertenanglah.
- Hadap suami dengan penuh sopan, dan ajaklah berbincang.
- Ingatkan dia pada tanggungjawab yang bertambah, dunia dan akhirat.
- Jangan sekali menunjukkan anda membantah. Sifat lelaki seperti layang-layang, dicabar angin kencang, semakin tinggi melayang.
Ingat, jika anda minta suami fikirkan dalam keadaan santun dan tenang, itu langkah berkesan untuk anda mempengaruhi keputusan suami. Insya-Allah, kena caranya, anda akan kekal bersama hingga ke syurga.
Bila Dah Kahwin Perbelanjaan Seharian Kena Rancang Sebaiknya Bukan Macam Zaman Bujang Dulu

Bukan senang nak jadi pasangan yang bijak handle bab ekonomi rumah tangga, tetapi nak tak nak anda patut tahu caara cukupkan duit belanja dengan caara paling berkesan. Seronok tarik barang waktu membeli barang dapur, sekali tengok bil yang kena bayar, terus rasa menyesal. Ini kes ambil barang ikut kehendak!
Adakah anda pernah sedar, berapa banyak bajet keseluruhan yang dibelanjakan untuk membeli barangan dapur dan barangan runcit? Berbelanja membeli barangan keperluan ini memang tidak dapat dielakkan. Tetapi terdapat beberapa cara untuk menjadikannya anda mampu melakukannya.

Rancang terlebih dahulu barangan dapur
1. Rancang hidangan atau menu makanan supaya anda ada makanan lebih yang boleh dijadikan bekalan untuk makan tengah hari keesokan harinya. Atau sejuk beku makanan lebih untuk dijadikan hidangan cepat pada hari-hari berikutnya.
2. Buat bekal sendiri. Beli makanan ringan atau salad dalam kuantiti besar. Bungkus dan jadikan bekal yang boleh dijadikan sebagai makanan segera yang mudah dibawa ke mana sahaja.
3. Bersih dan susun peti sejuk dan almari menyimpan makanan sebulan sekali. Guna barang yang anda beli dan masih ada dalam simpanan sebelum anda membeli barang baru. Ini juga dapat mengelakkan anda daripada membeli barang yang sama yang masih ada dalam simpanan.
4. Jika anda menyimpan barang atau makanan, periksa tarikh luput makanan itu bagi mengelakkan anda mengguna atau menyimpan barang atau makanan yang tidak boleh digunakan lagi.
5. Luangkan masa sekali seminggu untuk mencuci dan memotong sayur-sayuran dan buah-buahan. Ini akan mempercepatkan penyediaan makanan. Caara ini juga boleh membantu anda menyediakan snek atau makanan ringan yang mudah dibawa ke sana-sini.
Berikut adalah tip menjimatkan perbelanjaan membeli-belah barangan dapur dan barangan runcit untuk berjimat:
1. Setiap kali keluar membeli barang, pastikan perut anda penuh. Ini dapat mengelakkan anda kurang membeli makanan ringan atau barang yang anda tidak perlukan. Caara ini juga dapat memastikan anda beli barangan dapur dan barangan runcit yang memang anda perlukan sahaja.
2. Biasakan membuat senarai barang yang ingin dibeli. Kekal kepada senarai itu terutamanya jika anak-anak ada sama ‘membantu’ dalam membeli-belah.
3. Rancang hidangan atau menu makanan untuk seminggu sebelum anda membeli-belah. Beli barang yang ada dalam hidangan atau menu. Mula merancang makanan untuk tiga atau empat hari jika anda rasakan seminggu itu terlalu lama.
4. Beli barang sekali seminggu sahaja. Ini kerana anda cenderung berbelanja lebih jika anda setiap hari ke kedai atau beberapa kali ke kedai dalam masa seminggu
5. Berbelanjalah di kedai yang biasa anda kunjungi apabila berasa letih, stres atau ketika mahu cepat. Anda sudah pasti akan menjumpai barangan yang diperlukan dengan cepat dan mudah.
Beli barang secara bajet
1. Jangan beli makanan ringan kerana ia lebih mahal dan kurang menyihatkan.
2. Jadi kreatif dan cuba makanan baru. Anda mungkin bertemu dengan makanan murah yang anda suka.
3. Membeli-belah dengan kalkulator dapat membantu anda mengetahui jumlah wang yang perlu dikeluarkan untuk membeli barang. Jika anda membeli-belah dengan anak-anak, berikan mereka kerja untuk mengira berapa banyak yang dibeli. Caara ini juga dapat membantu anda merancang dalam berbelanja.
4. Beli barangan yang tidak boleh dimakan seperti sabun basuh atau beg sampah di kedai yang menawarkan harga murah.
5. Sentiasa periksa harga barang untuk mengetahui sama ada barang tersebut ada tawaran harga murah atau diskaun. Jika ada kupon, boleh gunakan. Anda juga boleh menggunakan apps membeli-belah yang terdapat dalam telefon pintar anda.
Gambar hiasan : Tangkap Pictures
Diuji Dengan Tingkah Laku Isteri, Itulah Ujian Kesabaran Buat Lelaki Bergelar Suami

Sabar adalah sifat orang mulia dan dalam al-Quran banyak kali disebut antara sifat orang yang akan masuk syurga adalah yang bersabar. Justeru, andai kita sentiasa bersabar, akan layak masuk syurga.
Ustaz Muhammad Abdullah al-Amin memetik firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan bersabarlah terhadap apa yang diucapkan oleh mereka (yang menentangmu), dan jauhilah mereka dengan cara yang baik.” (Surah al-Muzzammil, ayat 10)
Bertolak daripada sifat-Nya Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang, Allah SWT memerintahkan sekalian hamba-Nya supaya kasih mengasihi antara satu sama lain. Seseorang hamba hanya akan memperoleh kasih sayang Allah SWT apabila dia mengasihi makhluk-Nya.
Kasih sayang sesama insan akan membuahkan sikap bertolak ansur, hormat menghormati dan sedia berkorban demi kebahagiaan orang tersayang. Kedamaian dan kasih sayang adalah teras utama dalam hubungan suami isteri.
Perkahwinan yang tidak didasarkan kepada perasaan kasih terhadap satu sama lain, tidak disulami dengan kemesraan adalah satu perkahwinan yang tidak bahagia dan tidak bermakna.
Lantaran, Allah SWT menjadikan perasaan kasih mesra antara suami isteri sebagai satu sunah yang ada padanya tanda kekuasaan dan keagungan.
Ini seperti firman-Nya yang bermaksud: “Dan antara tanda yang membuktikan kekuasaan dan rahmat-Nya, bahawa Dia menciptakan untuk kamu isteri daripada diri kamu sendiri supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikan antara kamu perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan yang menimbulkan kesedaran bagi orang yang berfikir.” (Surah ar-Rum, ayat 21)
Layan isteri dengan baik
Justeru, Rasulullah SAW sering menasihati suami sebagai ketua keluarga supaya melayani isteri dengan sebaik-baiknya. Suatu ketika, ramai isteri datang menemui isteri Rasulullah SAW mengadu mengenai layanan buruk diterima daripada suami mereka.
Tidak dapat dinafikan, manusia masing-masing ada kelemahan dan kekurangan sama ada isteri mahupun suami. Cara terbaik untuk mengatasinya ialah dengan bersabar dan tidak memperbesarkan kelemahan itu.
Firman Allah SWT bermaksud: “Dan bergaullah kamu dengan mereka (isteri kamu) dengan cara yang baik. Kemudian jika kamu (berasa) benci kepada mereka (kerana tingkah lakunya, janganlah kamu terburu-buru menceraikannya) kerana boleh jadi kamu bencikan sesuatu, sedangkan Allah hendak menjadikan pada apa yang kamu benci itu kebaikan yang banyak untuk kamu.” (Surah an-Nisa, ayat 19)
Bersabar dengan perangai buruk pasangan
Diriwayatkan, Rasulullah SAW bersabda: “Mana-mana lelaki yang bersabar di atas keburukan perangai isterinya, Allah akan berikannya pahala seperti yang diberikan kepada Ayyub kerana bersabar di atas bala yang menimpanya. Mana-mana isteri yang bersabar di atas keburukan perangai suaminya, Allah akan berikannya pahala seperti yang diberikan kepada Asiah binti Muzahim, isteri Firaun.”
Bersama kita renungi kisah seorang lelaki yang mengunjungi Umar bin Khattab untuk mengadu mengenai perangai isterinya. Dia berdiri di luar pintu menunggu Umar keluar. Tiba-tiba dia terdengar isteri Umar sedang meleterinya, sedangkan Umar diam tidak menjawab walau sepatah pun.
Lelaki itu beredar sambil berkata kepada dirinya, “Jika beginilah keadaan Umar, seorang Amirulmukminin yang selalu keras dan tegas, maka bagaimana dengan aku? Selepas itu Umar keluar dari rumahnya dan melihat lelaki tadi beredar. Umar memanggilnya dan bertanya tujuan kedatangannya.
Lelaki itu berkata, “Wahai Amirulmukminin, aku datang untuk mengadu mengenai perangai isteriku yang buruk dan suka berleter kepadaku. Tadi aku mendengar isteri anda pun begitu juga. Lalu aku berkata kepada diriku: Jika begini keadaan Amirulmukminin dengan isterinya, maka bagaimana dengan aku?

Umar berkata kepadanya, “Wahai saudaraku, sesungguhnya aku bersabar mendengar leterannya kerana dia mempunyai hak ke atas aku. Sesungguhnya dia memasak makanan aku, mengadun roti untuk aku, membasuh pakaian aku dan menyusui anakku, padahal semua itu tidak diwajibkan ke atasnya. Dia juga menenangkan hatiku daripada melakukan perbuatan yang haram (zina). Sebab itulah aku bersabar dengan kerenahnya.
Lelaki itu menjawab, “Wahai Amirulmukminin, demikian jugalah isteriku. Umar pun berkata kepadanya: Maka bersabarlah wahai saudaraku. Sesungguhnya kerenahnya itu tidak lama, hanya seketika.”
Jadikan Pelukan Sebagai Amalan Suami Isteri, Ini 6 Kelebihan Buat Rumah Tangga Bahagia!

Menurut kajian, pelukan dapat mengubati rasa gusar, penyakit, berseorangan, tekanan dan kebimbangan. Malah dikatakan juga suami yang memeluk isteri akan panjang umur kerana pelukan dan sentuhan menyebabkan tubuh manusia mengeluarkan pelbagai hormon termasuk endorfin yang baik untuk kesihatan tubuh.
Ternyata pelukan yang mesra, hangat dan romantis dapat memberikan pelbagai kelebihan. Bahkan ia juga merupakan satu terapi antara suami isteri, ibu bapa dan anak-anak. Jom kita tengok kelebihannya.
1. Tingkatkan keyakinan diri
Apabila pasangan selalu memeluk kita dengan penuh kasih sayang, ia akan meningkatkan rasa yakin pada diri sendiri. Anda akan rasa yakin bahawa anda sempurna dan sangat dicintai.
2. Tingkatkan kepercayaan kepada pasangan
Apabila suami isteri saling berpelukan, mereka akan lebih terbuka dan sling mempercayai antara satu sam lain. Segala masalah mudah untuk dikongsi dan dirasai antara satu sama lain.
3. Memanjangkan umur
Apabila kerap berpelukan akan menimbulkan rasa bahagia dalam diri. Mood anda juga akan lebih stabil dan ceria, sekali gus mengurangkan risiko untuk anda mendapat penyakit.
4. Melegakan otot badan
Apabila anda melakukan pergerakan untuk memeluk atau dipeluk pasangan, anda menggunakan otot tubuh. Ini sekali gus dapat melegakan masalah pada otot dan meningkatkan peredaran darah di dalam tubuh badan\.
5. Meredakan kesedihan
Pelukan tidak hanya dilakukan ketika anda gembira, bahkan ia sangat diperlukan apabila anda bersedih. Walaupun tanpa sepatah perkataan, dengan hanya memeluk pasangan akan mengurangkan kesedihan yang dialami, selain membuatkan pasangan rasa anda prihatin dengan apa yang dirasainya.
6. Mengajar erti memberi dan menerima
Pelukan merupakan perlakuan antara dua orang atau lebih pada satu-satu masa. Aktiviti pelukan mmebolehkan satu pihak memberi dan satu pihak lagi akan menerima. Ini menunjukkan keseimbangan di antara kedua-dua pihak lantas menimbulkan perasaan kasih dan sayang.