Tanpa kita sedar, dalam perjalanan kehidupan ini, kita sebenarnya menyaksikan banyak hubungan yang bermula dan berakhir. Baik sahabat, teman-teman mahupun kekasih, ia suatu proses natural yang menghangatkan lagi kisah hidup. Minda berkecamuk kerana bercampur-aduknya berbagai-bagai perkara atas timbulnya unsur yang merumitkan ini. Tidak dapat dinafikan, didatangi cinta lama sudah pasti mengganggu kehidupan harian apatah lagi jika sudah ketemu pengganti.

Kisah ini dicoretkan oleh seorang gadis yang hanya mahu dikenali dengan nama Zara Amirah. Dalam e-mel yang diutuskan kepada admin, Zara Amirah menceritakan kisah cinta pertamanya yang terkandas di tengah jalan. Luka putus cinta diubati sendiri meskipun sakitnya memakan masa yang cukup lama untuk sembuh. Pada saat-saat Zara Amirah sudah menemui cinta yang baharu, dia dihulur salam cinta pertama yang kecundang. Ikuti perkongsian Zara Amirah tentang kisah cintanya.

Sakitnya Putus Cinta

Hubungan cinta aku dan Ilham Fitri berakhir setelah lima tahun menganyam kasih. Walaupun perit untuk menerima kenyataan itu, siapalah aku yang mampu menidakkan ketentuan Ilahi. Tidak ku sangka, hubungan akrab antara Ilham dan rakan sekuliahnya, Julia telah membibitkan rasa cinta pada keduanya. Aku pasrah! Mungkin inilah dinamakan tiada jodoh. Sedangkan yang bertunang pun boleh putus, inikan pula aku yang sedang bercinta.

Sakitnya putus cinta, hanya Allah sahaja yang tahu. Namun, aku masih mampu mengawal diriku agar tidak hilang pertimbangan. Ku ubati lukaku sendiri. Agak lama juga aku memujuk hati untuk melupakan cinta pertama yang banyak mengajar aku erti kehidupan yang sebenar. Bertahun-tahun aku tutup pintu hatiku untuk menerima cinta dari seorang lelaki sehingga akhirnya tembok cinta itu berjaya dipecahkan oleh lelaki bernama Hakimi.

Hakimi datang tepat pada waktunya apabila aku sudah benar-benar bersedia untuk membuka  kembali pintu hatiku untuk insan bergelar lelaki. Kehadiran Hakimi banyak membuka mataku bahawa aku juga berhak mendapat cinta dan sayang daripada lelaki lain. Sudah cukup lama aku memenjarakan diriku kerana kecundang di dalam kancah percintaan. Sejak Hakimi muncul, aku kembali percaya bahawa ada sinar baru dalam medan percintaan yang sudah sekian lama aku jauhi.

IKLAN

Diganggu Kekasih Lama

Hubungan aku dan Hakimi berjalan lancar seperti pasangan kekasih yang lain. Kami hanya bertemu pada hujung minggu sahaja lantaran masing-masing sibuk dengan kerjaya. Namun, aku percaya, Hakimi setia denganku kerana Hakimi seorang teruna yang amat menjaga solatnya serta batas-batas pergaulan antara kami berdua. Kami juga merancang untuk mengikat tali pertunangan kerana mahu segera membina masjid.

Dalam aku menyemai kasih dan sayang pada Hakimi, aku dikejutkan dengan panggilan telefon oleh seorang jejaka. Lelaki itu tidak lain dan tidak bukan, Ilham Fitri. Dia kembali menagih cinta yang dahulunya telah dibuang jauh. Aku terpempan kerana tidak menyangka yang Ilham Fikri akan kembali mencariku semula sedangkan aku sudah membuang jauh-jauh dia dari hidupku.

Ternyata, Ilham Fitri bukanlah lelaki yang mudah berputus asa. Pernah dia membuat kejutan dengan datang ke pejabatku. Terkejut bukan kepalang aku. Berani sungguh dia menjejakkan kakinya ke tempat aku mencari rezeki sedangkan aku dan dia sudah tidak punya apa-apa hubungan. Tidak cukup datang ke pejabat, panggilan telefon, setiap hari, Ilham Fitri kerap menghantar kiriman bunga padaku sehingga aku naik rimas dan ‘lemas.’

IKLAN

Setiap kali datang berjumpa denganku, Ilham Fitri tidak habis-habis menyebut memori cinta kami. Aku rasa cukup terganggu jiwa dan raga. Kisah Ilham Fitri datang menggangguku tidak ku ceritakan pada Hakimi kerana aku bimbang akan melukakan hatinya. Entah bagaimana, suatu hari, Hakimi telah terserempak dengan aku ketika bertemu Ilham Fitri di lobi pejabat. Memang ketara perubahan pada wajahnya.

Cinta Psiko

Aku diburu kekesalan. Sepatutnya, sejak awal lagi sudah ku beritahu pada Hakimi tentang perkara yang sebenar. Hari demi hari, Ilham Fitri terus menggangguku. Aku sudah tidak dapat bertahan lagi. Sudah puas ku jelaskan pada Ilham Fitri bahawa kisah cinta kami sudah lama menjadi sejarah. Sudah ada lelaki lain yang bertakhta di hatiku iaitu Hakimi.

IKLAN

Ilham Fitri berang kerana aku enggan menyambut cintanya kembali. Dia tidak dapat menerima kenyataan yang aku bukan lagi miliknya. Perlakuannya juga kasar sehingga pernah menyakitkan tubuhku. Ku cuba menghubungi Hakimi untuk menjelaskan perkara sebenar namun gagal. Merajuk benar Hakimi denganku. Kiriman WhatsApp ku hantar sebagai perantara. Syukur kerana akhirnya Hakimi mahu menyambut panggilanku.

Sikap Ilham Fitri semakin melampau dan menakutkan. Ketika aku keluar berdua dengan Hakimi, dia telah memukul Hakimi. Pernah dia membaling cat merah di halaman rumah sewaku hingga aku takut hendak keluar rumah. Tayar kereta Hakimi juga pernah dipancitkan. Ilham Fitri benar-benar psiko.

Bimbang keselamatan aku dan Hakimi terus terancam, kami telah membuat laporan pada pihak polis. Suatu hari, Ilham Fitri telah menceroboh masuk ke dalam rumah sewaku. Dia mengugut akan mencederakan aku jika aku menolak cintanya. Mujur ketika itu rakan serumahku menyedari kehadiran Ilham Fitri lantas menghubungi pihak polis.

Akhirnya, Ilham Fitri telah ditangkap oleh pihak polis atas kesalahan menceroboh dan mengugut. Aku berasa amat bersyukur kerana telah terlepas daripada ujian yang maha menakutkan ini. Kini, aku sedang menghitung hari membina mahligai indah bersama Hakimi, lelaki yang aku cintai. Moga-moga impian kami untuk hidup bersama akan menjadi kenyataan. Kisah cintaku bersama Ilham Fitri sudah lama ku lempar jauh, biar ia jadi lipatan sejarah dalam hidupku dan tidak mahu ku kenang lagi.