Kehidupan wanita bergelar isteri 20 tahun lalu jauh berbeza dengan isteri masa kini. Kesedaran pentingnya pendidikan dan peluang untuk belajar hingga ke universiti menjadikan wanita kini lebih berdikari. Bukan saja mempunyai kerjaya malah mampu melaksanakan pelbagai urusan seharian sendiri.

Mengapa isteri masa kini lebih berdikari? Adakah golongan itu melakukannya dengan rela atau terpaksa? Sejauh mana keikhlasan dalam hubungan suami isteri apabila terpaksa menanggung pelbagai tugasan yang seharusnya dilakukan bersama pasangan? Jika ditanya kepada sang isteri mungkin semua persoalan itu tidak mempunyai jawapan yang tepat.

Lumrah hidup berpasangan perlukan kesefahaman dan tolak ansur. Tuntutan hidup masa kini memerlukan isteri lebih bijak bertindak dan tidak mengharapkan sepenuhnya bantuan suami.

Atas faktor itu juga menjadikan semakin mudah dilihat sang isteri lebih memilih untuk berdikari, namun apa juga pilihan, biarlah ia berpada dan jangan sampai membuatkan ada hati yang terluka.

Mungkin pada niatnya, ramai isteri memilih untuk berdikari atas faktor terpaksa namun ada juga yang tidak mahu membebankan suami namun fitrah seorang lelaki mahukan dirinya dihormati, golongan itu menganggap wanita harus berharap dan bergantung kepada mereka namun sejauh mana bantuan dan kesefahaman yang diberikan si suami untuk membuatkan dirinya terus disanjungi?

Apabila si isteri terlalu berdikari, ia secara tidak langsung menyebabkan rasa hormat dan kebergantungan kepada suami menjadi longgar.

Banyak perkara dan keputusan dilakukan sendiri dan lebih memburukkan keadaan apabila si isteri langsung tidak berbincang dengan suami termasuk dalam hal yang memerlukan dia membuat keputusan.

Situasi ini mungkin tidak menimbulkan masalah pada peringkat awal namun apabila si isteri berterusan dengan sikap itu dan mahu melakukan semua perkara sendiri, ia secara tidak langsung akan menyebabkan suami berasa tidak dihormati dan tercabar. Bagaimanapun, ada juga suami yang seolah-olah suka dengan tindakan dilakukan isteri kerana mereka terlepas daripada banyak tanggungjawab yang memenatkan.

Mengupas mengenai isu isteri berdikari, kaunselor keluarga Zumasni Rajikin berkata, senario ini berpunca daripada sikap suami yang lebih senang membiarkan isteri untuk berdikari dan melakukan banyak perkara atas usaha sendiri.

IKLAN

“Melalui kajian dan perhatian saya, hampir separuh daripada wanita memilih untuk berdikari disebabkan sudah terbiasa. Ia merujuk kepada tuntutan tanggungjawab harian hingga mengakibatkan ada wanita yang pada mulanya memilih untuk meminta tolong namun akhirnya tetap perlu melakukannya sendiri kerana tidak mendapat bantuan yang diharapkan.

“Ia berlaku atas pelbagai sebab dan faktor, mungkin si suami tidak cukup masa untuk membantu atau mungkin juga disebabkan sikap malas. Namun ada sesetengah kes si isteri itu sendiri tidak berterus terang dan berpura-pura menunjukkan semua dalam keadaan baik, tetapi jauh di sudut hati mengharapkan bantuan suami untuk meringankan kerjanya.

“Perlu diingat, kebanyakan lelaki perlu disuruh atau diingatkan. Mungkin permintaan ini perlu diulang beberapa kali. Isteri tidak boleh menganggap suami boleh faham sendiri tanpa perlu disuruh. Faktor itulah yang menjadi penyebab ramai wanita era kini memilih untuk berdikari walaupun dalam keadaan mereka terpaksa,” katanya.

Menurut Zumasni, keadaan menjadi lebih buruk apabila si isteri berterusan menunjukkan semuanya dalam keadaan terkawal dan berterusan berdikari tanpa menyuarakan isi hati sebenar.

“Saya lihat semakin ramai isteri yang pergi menghantar dan mengambil anak dari sekolah, pergi ke pasar basah membeli keperluan dapur, membetulkan atau menyelenggara kereta di bengkel hinggakan melakukan pemeriksaan kandungan di klinik sendirian tanpa ditemani suami.

“Ia belum lagi menyentuh soal si isteri yang perlu membetulkan lampu atau suis di rumah yang rosak, memandu pulang ke kampung halaman sendiri hanya ditemani anak-anak serta menguruskan hal perihal anak-anak daripada A hingga Z. Hebat bukan? Walaupun pada zahirnya sikap berdikari ini nampak hebat namun lama kelamaan ia boleh mendatangkan kesan negatif dalam hubungan suami isteri dan paling membimbangkan adalah perceraian,” ujarnya

IKLAN

Menurutnya, walaupun si isteri boleh melakukan semua perkara itu, ingatlah ia perlu berpada. Apa juga alasan dan sebab, suami tetap perlu menjalankan peranannya sebagai ketua keluarga dan tidak membiarkan si isteri menggalas semua urusan rumah tangga.

“Saya sangat tidak gemar jawapan suami yang mengatakan isterinya memang suka lakukan semua perkara sendiri tanpa dibantu kerana tidak ada seorang pun wanita yang terlalu hebat sehinggakan mampu melakukan semua tugasan tanpa bantuan. Janganlah berterusan memaksa isteri berdikari walhal mereka sangat dahagakan bantuan walaupun sedikit. Ingatlah, isteri anda bukannya robot yang boleh ditukar ganti bateri, mereka hanya manusia biasa yang tahu penat dan perlukan bantuan.

“Istilah berdikari ini sangat luas, wanita memang perlu diajar berdikari terutama apabila berdepan sebarang kemungkinan akan datang namun bukanlah dengan cara melakukan semua tugasan sendiri hinggakan mereka langsung tidak ada masa berehat. Boleh ajar mereka berdikari dengan cara didikan bukannya paksaan kerana ramai isteri kini berdikari hanya disebabkan terpaksa,” katanya.

Zumasni berkongsi antara elemen yang perlu dititikberatkan suami dalam menangani situasi si isteri berdikari:

1. Jangan biarkan isteri menguruskan terlalu banyak perkara tanpa bantuan.

IKLAN

2. Layani isteri dengan memanjakannya dan sentiasa berada di sampingnya agar isteri boleh mengharapkan bantuan suami.

3. Jangan biarkan si isteri selalu membuat keputusan atau menyelesaikan masalah dengan sendiri, lama-kelamaan isteri akan terbiasa dan tidak lagi meletakkan suami sebagai keutamaan dalam membuat sebarang keputusan.

4. Banyakkan masa mendengar luahan dan cerita isteri meskipun kadangkala tidak berupaya membantu.

5. Jangan terlalu kerap meninggalkan isteri bersendirian di rumah.

6. Jangan terlalu sibuk dengan urusan kerja, komuniti dan lain-lain tanpa mengambil kira masa bersama isteri.

7. Aktifkan amalan yang sepatutnya dilakukan oleh seorang suami bersama isteri seperti solat berjemaah, makan bersama, membaca al-Quran dan sebagainya.

 

Sumber: Harian Metro

Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI