
Ramai lelaki sekarang merungut, perempuan zaman kini lebih tengok lelaki berduit dan berharta. Lebih lihat yang berkereta dari bermotosikal. Korang setuju ke?
Amir Syahir menerusi laman Facebook berkongsi bahawa bukan semua perempuan mata duitan. Mereka sebenarnya lebih memikirkan masa depan. Ayuh kita baca perkongsiannya.
*****
Ada aku post pasal kahwin, ada kenalan FB komen: “Susah nak cari perempuan yang sanggup susah senang bersama. Perempuan nak lelaki kaya yang ada kereta je”.
Bro. Tak semua perempuan nak lelaki yang kaya raya. Tapi perempuan tu mestilah fikir masa depan dia. Kau kenalah yakinkan dia kau mampu sara hidup dia.
Takkan kau nak ajak dia dating naik motosikal. Batas aurat dia pun kau kena jaga. Bukannya kau dan dia dah kahwin.hubu
Kalau kau naik motosikal tapi kau mampu yakinkan dia yang kau mampu jaga dan sara dia, itu lagi bagus. Aku dulu pun ada motosikal je. Tetapi Alhamdulillah isteri aku boleh terima aku seadanya.
Kau ada motosikal tapi simpanan kahwin dah ada. Elok lagi dah ada rumah sebijik untuk duduk lepas kahwin. Terus perempuan tu yakin kau boleh sara hidup dia.
Ayah perempuan tu pun yakin nak lepaskan anak dia kepada kau. Mestilah dia nak yang terbaik untuk anak gadis dia.
Ini tak, kalau setiap kali dating kau asyik pinjam duit dia je, mesti dia fikir dua tiga kali nak kahwin dengan kau. Lepastu kadang-kadang mintak dia topupkan la.
Kau jangan fikir perempuan sekarang mata duitan. Mereka cuma berjaga-jaga. Itu semua demi masa depan mereka. Tugas kau ialah siapkan diri sebaiknya sama ada daripada segi kewangan, tanggungjawab dan sebagainya. Kah!
[ASY]
#AmirSyahir
“Saya Galakkan Wanita Ushakan Ada Simpanan Sendiri Sebelum Jadi Isteri..” – Dr Azizul Azli

Bila sebut kahwin, pastinya menggembirakan semua orang. Bukan sahaja lelaki mahupun perempuan. Namun disebalik kegembiraan itu, pasti ada cabaran yang perlu ditempuhi pasangan bakal mempelai. Tak lain tak bukan, pastinya kewangan yang kukuh dan stabil untuk menjadikan majlis korang berjalan dengan lancar dan meriah.
Lelaki ini kongsi, sebelum kahwin, bukan sahaja lelaki malah perempuan juga perlu memiliki harta sendiri.
#TabungWanita.
WANITA PERLU BERHARTA
Saya galakkan wanita ada harta sebelum jadi isteri tercinta. Kita tak boleh jangka apa akan berlaku pada kita.
1. Ushakan ada simpanan sendiri sebelum jadi isteri.
2. Jika dapat belilah sebuah rumah pelaburan sebagai persediaan.
3. Jika suami tercinta beri duit nafkah, ushakan buat simpanan sendiri. Jangan belanja semuanya.
4. Jika suami tiada wawasan kewangan, rahsiakan berapa simpanan yang ada. Tak cerita semua bukan dosa.
5. Jangan serahkan masa depan pada orang lain, rancang masa depan sendiri.
6. Belajar bawa kenderaan dan ada lesen sendiri.
7. Buat catatan setiap perbelanjaan. Tahu setiap wang kita kemana.
8. Suami hanya pinjaman tuhan sahaja. Bila bila masa boleh dijemput pergi atau digoda oleh wanita misteri.
Bersedia sebelum datangnya ujian dan badai melanda.
“Alahhh lelakikan ada?”
Bersedialah hadapi bencana
Semoga berjaya
Azizul Azli Ahmad.
#GadisBestariAdaSimpananSendiri
Isteri Dalam Wudhuk, Suami Minta Urutkan Badan. Batal Atau Tidak?

Salam Ustaz, Saya ingin mengetahui tentang wuduk. Adakah batal wuduk itu bila bersentuhan antara suami & isteri. Ada yang berpendapat batal wuduk itu dan ada yang tidak batal.
Jawapan:
Dalam masaalah ini para ulama berbeza pendapat kepada 3 golongan:
1. Berpandangan menyentuh atau bersentuhan antara lelaki dan wanita (termausk suami dan isteri) membatalkan wudhu dalam apa keadaan sekalipun, samaada sentuhan itu beserta syahwat ataupun tidak. Inilah pandangan mazhab al-Imam al-Syafie R.H.
Dalilnya mazhab pertama antaranya:
i- Ayat al-Quran:
أَوْ لاَمَسْتُمُ النِّسَاء
Maksudnya: “Atau kamu menyentuh wanita.” – maka kamu perlu mengambil wudhu.
2. Berpandangan menyentuh wanita tidak membatalkan wudhu samaada sentuh dengan syahwat ataupun tidak. Ini adalah pandangan dalam mazhab Hanafi R.H.
Dalil mazhab kedua antaranya:
i. Hukum asal orang yang berwudhu adalah kekal wudhunya selama-mana tidak ada dalil yang menunjukkan sesuatu perkara yang dilakukannya itu membatalkan wudhunya. Maka dalam bab menyentuh wanita ini tidak ada dalil yang menunjukkan ia membatalkan wudhu. Adapun tentang ayat di atas, mazhab Hanafi memahami ianya membawa maksud bersetubuh bukan bersentuhan dalam ertikata kulit dengan kulit semata-mata. Selain itu terdapat hadith yang menunjukkan bersentuhan semata-mata tidak membatalkan wudhu, dan hadith-hadith ini menguatkan lagi pandangan mazhab Hanafi yang mengatakan maksud sentuhan di dalam ayat di atas adalah dimaksudkan kepada jima’ atau bersetubuh. Hadith-hadith tersebut ialah:
ii. Daripada ‘Aisyah R.’anha:
كُنْتُ أَنَامُ بَيْنَ يَدَيْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَرِجْلَايَ فِي قِبْلَتِهِ فَإِذَا سَجَدَ غَمَزَنِي فَقَبَضْتُ رِجْلَيَّ فَإِذَا قَامَ بَسَطْتُهُمَا
Maksudnya: “Aku pernah tidur dihadapan Rasulullah S.A.W. dalam keadaan dua kaki-ku di hadapan kiblat baginda (dan baginda sedang menunaikan solat), lalu apabila baginda hendak sujud, baginda memegang kaki-ku, lalu akupun menarik kaki-ku (untuk membolehkan baginda sujud), apabila baginda bangun, aku lunjurkan semula dua kaki-ku tadi.” (HR al-Bukhari)
iii. Daripada ‘Aisyah juga:
فَقَدْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَيْلَةً مِنْ الْفِرَاشِ فَالْتَمَسْتُهُ فَوَقَعَتْ يَدِي عَلَى بَطْنِ قَدَمَيْهِ وَهُوَ فِي الْمَسْجِدِ وَهُمَا مَنْصُوبَتَانِ وَهُوَ يَقُولُ : اللَّهُمَّ أَعُوذُ بِرِضَاكَ مِنْ سَخَطِكَ ، وَبِمُعَافَاتِكَ مِنْ عُقُوبَتِكَ
Maksudnya: “Aku kehilangan Rasulullah S.A.W. pada suatu malam di tempat tidur-ku, aku meraba-raba mencari baginda, lalu dua tanganku tersentuh belakang kakinya, dan baginda di dalam masjid (sedang sujud menunaikan solat), kedua-dua kaki baginda itu ditegakkan, dan baginda membaca: “Ya Allah, aku memohon perlindungan dengan keredhaan-Mu dari kemurkaan-Mu, dan dengan kemaafan-Mu dari kemuerkaan-Mu.” (HR Muslim)
Zahir dari kedua-dua hadith ini jelas menunjukkan Nabi S.A.W. pernah menyentuh ‘Aisyah R.A. ketika baginda menunaikan solat. Demikian juga ‘Aisyah R.A. juga pernah menyentuh Nabi S.A.W. ketika baginda menunaikan solat. Jika sentuhan antara lelaki dan wanita itu membatalkan wudhu sudah tentu Nabi S.A.W. akan membatalkan solatnya disebabkan wudhu baginda terbatal kerana baginda telah disentuh oleh ‘Aisyah.
Para ulama dari mazhab al-Syafie mengemukan jawapan terhadap hadith ini. Namun jawapan mereka dianggap lemah oleh ulama mazhab lainnya, iaitulah mereka berpendapat barangkali sentuhan yang berlaku antara Nabi S.A.W. dan ‘Aisyah itu berlaku dengan berlapik. Alasan ini dianggap lemah oleh ulama mazhab lainnya, sehingga al-Syaukani berkata: “Takwilan ini merupakan takalluf dan bersalahan dengan zahir (dalil).”
3. Berpendapat bersentuhan antara lelaki dan perempuan dengan syahwat membatalkan wudhu jika tanpa syahwat tidak membatalkan wudhu. Ini adalah mazhab Malik dan Hambali.
Pandangan ini merupakan hasil daripada menggabungkan antara nas-nas yang ada dalam masaalah ini, iaitu ayat al-Quran yang bermaksud: “Atau apabila kamu menyentuh wanita (kamu perlu berwudhu)” kerana zahir ayat ini menunjukkan seolah-olah batal wudhu dengan hanya bersentuhan antara lalaki dan wanita, dengan hadith-hadith yang menunjukkan berlakunya persentuhan antara Nabi dan ‘Aisyah, dan baginda tidak memperbaharui wudhu.
Sebahagian ulama, terutama yang berpendapat tidak batal wudhu dengan bersentuhan antara lelaki dan wanita berpendapat, cara menggabungkan nas-nas seperti yang dilakukan oleh ulama mazhab Malik dan Hambali ini benar jika ayat al-Quran di atas memaksudkan dengan bersentuhan itu adalah semata-mata bersentuhan antara kulit. Akan tetapi terdapat penafsiran yang sahih yang menunjukkan ayat tersebut memaksudkan jima’ atau bersetubuh bukan semata-mata bersentuhan. Ini sepert yang ditafsirkan oleh Ibn Abbas R.A. dan penafsiran ini dipilih oleh Ibn Jarir, dan penafsiran Ibn ‘Abbas ini didahulukan berbanding penafsiran lain, kerana Nabi S.A.W. pernah berdoa kepada Ibn ‘Abbas dengan doa baginda yang berbunyi:
اللهم فقّهه في الدين وعلمّه التأويل
Maskudnya: Ya Allah fakihkanlah ia (Ibn ‘Abbas) dalam hal-ehwal agama dan ajarkanlah dia tafsir (al-Quran).” (HR Ahmad, al-Albani telah mensahihkan hadith ini di dalam Tahkik al-Tohawiah)
Selain itu banyak ayat al-Quran lain yang menggunakan kalimat menyentuh (المس) dengan maksud jima’ atau bersetubuh, antaranya firman Allah S.W.T.:
لاَّ جُنَاحَ عَلَيْكُمْ إِن طَلَّقْتُمُ النِّسَاء مَا لَمْ تَمَسُّوهُنُّ أَوْ تَفْرِضُواْ لَهُنَّ فَرِيضَةً
Maksudnya: “Tidak mengapa jika kamu mentalak isteri kamu sebelum kamu menyentuh (yakni membawa maksud bersetubuh) mereka atau sebelum kamu menentukan mahar mereka.” (al-Baqarah : 236)
Di dalam ayat yang lain Allah berfirman:
وَإِن طَلَّقْتُمُوهُنَّ مِن قَبْلِ أَن تَمَسُّوهُنَّ وَقَدْ فَرَضْتُمْ لَهُنَّ فَرِيضَةً فَنِصْفُ مَا فَرَضْتُمْ
Maksudnya: “Jika kamu mentalak isteri-isteri kamu sebelum kamu menyentuh (yakni membawa maksud bersetubuh), pada hal kamu telah menentukan mahar mereka, maka bayarlah setengah daripada mahar yang telah kamu tentukan itu.” (al-Baqarah: 237)
Di dalam ayat yang lain lagi Allah berfirman dengan menggunakan kalimah menyentuh dengan maksud bersetubuh:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا نَكَحْتُمُ الْمُؤْمِنَاتِ ثُمَّ طَلَّقْتُمُوهُنَّ مِن قَبْلِ أَن تَمَسُّوهُنَّ فَمَا لَكُمْ عَلَيْهِنَّ مِنْ عِدَّةٍ تَعْتَدُّونَهَا فَمَتِّعُوهُنَّ وَسَرِّحُوهُنَّ سَرَاحًا جَمِيلًا
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu menikahi wanita-wanita yang beriman, kemudian kamu ceraikan mereka sebelum kamu menyentuh (yakni sebelum kamu menyetubuhi) mereka, maka tidak wajib ke atas mereka iddah bagi mu yang kamu minta menyempurnakan nya, maka berilah mereka mut’ah dan lepaskan lah mereka itu dengan cara yang sebaik-baiknya.” (al-Ahzab: 49)
Berdasarkan ini semua, maka pandangan yang lebih kuat dan lebih hampir kepada maksud yang dikehendaki oleh Allah dan Rasul dalam persoalan ini adalah pandangan mazhab Hanafi yang mengatakan tidak batal wudhu dengan bersentuhan antara lelaki dan wanita. Inilah juga pandangan yang dipilih oleh Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah, dan ulama semasa seperti al-Syeikh Abdullah ‘Aziz Abdillah bin Baz, al-Syeikh Muhammad bin Soleh al-‘Uthaimin, para ulama dari Lujnah Fatwa Arab Saudi dan ramai para ulama yang lain lagi.
Wallahu a’lam.
Elak Sebelum Terlambat, Jangan Jalinkan Hubungan Cinta Jika Masih Merasakan 5 Perkara Ini!

Menjalin hubungan sebagai sepasang kekasih dengan seseorang yang amat dicintai pastinya menjadi impian setiap orang. Tambahan pula, orang yang menjadi pasangan anda itu merupakan pilihan hati anda sendiri. Anda juga mungkin mengimpikan seseorang yang mampu mendampingi anda dalam keadaan apa sekalipun.
Namun, pernahkah anda terfikir pasangan anda itu benar-benar individu yang tepat untuk dijadikan pasangan sehidup semati? Sekiranya anda masih rasa ragu-ragu dalam perhubungan yang sedang anda jalinkan, anda harus lakukan sesuatu sebelum terlambat.
Jangan sesekali meneruskan hubungan cinta sekiranya anda masih merasakan lima perkara ini.
1. BELUM ‘MOVE ON’ DARIPADA BEKAS KEKASIH
Saat putus cinta merupakan transisi di mana anda harus mula hidup kembali tanpa kekasih. Saat inilah anda cuba membuka hati untuk mengenali orang baharu di sekeliling anda, sekali gus cuba membuka hati anda kembali untuk bercinta lagi. Walaupun perasaan cinta masih ada untuk bekas kekasih, namun anda kena cuba move on!
Jika perkara ini masih anda rasakan, ada baiknya anda berfikir lebih mendalam mengenai keputusan anda untuk menjalinkan hubungan lain dengan orang baharu kerana anda masih menyimpan perasaan masa lalu anda itu. Ketika anda terlalu terburu-buru membuat komitmen, hal yang buruk pasti akan terjadi. Bukannya bahagia, yang ada hanyalah pihak yang disakiti. Daripada membuat hati lain terluka, fikirkanlah kembali sebelum anda membuat keputusan.
2. ADA ORANG LAIN DI HATI ANDA
Perkara ini sering terjadi. Ada seseorang yang sudah anda sukai sejak sekian lama, namun rasa suka itu hanya disimpan dalam-dalam sambil berharap ada satu keajaiban yang akan membuatkan dia menghampiri anda. Pada waktu yang sama, ada pula seseorang yang meminta anda menjadi kekasihnya. Jika hal ini terjadi, sebaiknya anda tidak cuba menjalinkan hubungan dengannya. Fikirkanlah, jangan sampai hati lain yang terluka kerana anda, hanya kerana untuk mengubah status single anda.
3. BELUM YAKIN DENGAN KEPUTUSAN
Jika masih belum yakin dengan keputusan anda untuk membuat komitmen bercinta dan berpacaran, sebaiknya anda tunda dahulu keinginan anda itu. Memang betul, hal tertentu tidak akan berjalan baik tanpa dicuba. Namun, tentunya ia akan menjadi perkara yang sia-sia jika akhirnya anda berdua menghadapi perpisahan kerana tidak yakin dengan hubungan tersebut. Lebih baik gunakan waktu anda itu untuk menguatkan niat. Yakinlah terlebih dahulu, kemudian baru cuba untuk memberi komitmen yang baharu sepenuhnya.
4. SI DIA SUDAH PUNYA KEKASIH
Menjadi orang ketiga dalam perhubungan memang sulit. Oleh itu, lebih baik anda tidak terjerumus ke dalam posisi yang sulit ini. Anda sudah mengetahui bahawa si dia yang anda sukai itu sudah mempunyai kekasih. Namun tetap saja dia minta anda terlibat dengannya. Anda memang mencintainya sepenuh hati, tapi gunakan juga logik akal anda untuk mempertimbangkan perasaan orang lain.
5. KASIHAN DAN TIDAK SEDAP HATI
Menjalin hubungan disebabkan rasa kasihan tidak boleh menjamin kebahagiaan dalam sesebuah hubungan. Oleh itu, jangan pernah mulakan hubungan dengan rasa kasihan atau tidak sedap hati ya! Anda pasti merasa tidak sedap hati bahkan kasihan kerana kelakuan baiknya terhadap anda. Namun, jangan salah ertikan kata hati anda dan jangan mulakan sesuatu kerana keterpaksaan.
Mungkin saja anda percaya bahawa lama-kelamaan cinta itu akan datang kerana anda cuba untuk mencintainya. Namun, percayalah bahawa mungkin sukar untuk memaksa hati melakukannya. Ingat ya, cinta yang tulus itu datangnya dari hati. Fikirkan keputusan anda sebelum menjalinkan hubungan dengannya.