Perjanjian Pra Perkahwinan Boleh Dilakukan Selagi Tidak Bertentangan Dengan Syariat Islam

Share

Apakah pandangan Islam tentang perjanjian pra perkahwinan? Ia lazim disebut sebagai pre-marriage agreement atau pre-nuptial agreement di dunia barat. Adakah ia dibolehkan untuk kita yang beragama Islam?

Perjanjian pra perkahwinan dibolehkan oleh Islam sejak zaman awal lagi. Rasulullah pernah bersabda: Syarat yang paling patut kalian tepati adalah apa yang membuat kemaluan (isterimu) dihalalkan untukmu (yakni akad nikah). Shahih al-Bukhari, no: 2520] Maksudnya, sebelum melangsungkan akad nikah, isteri boleh meletakkan beberapa syarat dan suami hendaklah mematuhi syarat-syarat tersebut apabila hidup bersama kelak. Akan tetapi terdapat pengecualian, iaitu syarat-syarat tersebut tidak boleh bertentangan dengan syariat Islam.

Dalam sebuah hadis yang lain, Rasulullah menegaskan: Kaum Muslimin hendaklah memenuhi syarat-syarat di antara mereka kecuali syarat yang mengharamkan yang halal atau menghalalkan yang haram. [Shahih Sunan al-Tirmizi, no: 1352]

Oleh itu jika isteri meletakkan syarat yang bertentangan dengan syariat Islam, suami tidak boleh mematuhinya. Satu contoh syarat yang selari dengan syariat Islam dan hendaklah dipatuhi oleh suami ialah apabila isteri mensyaratkan pemberian nafkah. Contoh: “Anda sebagai suami hendaklah memberi nafkah kepadaku setiap bulan.”

Syarat ini adalah selari dengan syariat Islam kerana memberi nafkah kepada isteri ialah kewajipan suami berdasarkan firman Allah: Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya. [al-Thalaq 65:07]

Contoh syarat yang tidak selari dengan syariat Islam ialah apabila isteri mensyaratkan jumlah nafkah yang tertentu. Contoh: “Anda sebagai suami hendaklah memberi nafkah minima RM3000.00 kepadaku setiap bulan.”

Syarat ini tidak selari dengan syariat Islam kerana kewajipan suami ialah memberi nafkah mengikut kemampuannya. Jika mampu suami memberi lebih, jika kurang mampu suami memberi sedikit. Tidak ada kadar nafkah yang tetap.

Firman Allah: Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya dan sesiapa yang disempitkan rezekinya, maka hendaklah dia memberi nafkah dari apa yang diberikan Allah kepadanya (sekadar yang mampu); Allah tidak memberati seseorang  melainkan (sekadar kemampuan) yang diberikan Allah kepadanya. (Orang-orang yang dalam kesempitan hendaklah ingat bahawa) Allah akan memberikan kesenangan sesudah berlakunya kesusahan. [al-Thalaq 65:07]

Contoh di atas tidak boleh disyaratkan oleh isteri dan jika tetap dilakukan, suami tidak boleh mematuhinya. Terdapat dua perkara penting yang perlu diperhatikan berkenaan perjanjian pra perkahwinan:

Pertama: Hendaklah calon suami dan isteri berbincang dengan peguam masing-masing bagaimana prosedur bagi memastikan perjanjian Pra-Perkahwinan tersebut adalah sah di sisi undang-undang keluarga Islam di Malaysia. Hal ini berlaku kerana tiada ertinya membuat perjanjian jika ia dengan mudah dapat dilanggar oleh pihak yang memegang janji.

Kedua: Meski pun dibolehkan membuat perjanjian pra perkahwinan, ia bukanlah sesuatu yang digalakkan. Hal ini berlaku kerana perjanjian sedemikian bakal mengeruhkan hubungan rumahtangga. Bayangkan, sebelum nikah calon suami dan isteri sudah duduk semeja dengan peguam masing-masing membahaskan syarat itu dan ini. Kemudian setelah bernikah, akan berbahas lagi dengan peguam masing-masing apabila ada antara perjanjian yang tidak dipenuhi dengan tepat. Kesefahaman, pengorbanan dan seni berbicara adalah jauh lebih baik dan berkesan berbanding membuat pra perjanjian.

IKLAN