Perkahwinan bermaksud satu perjanjian yang mengandungi syarat dan rukun tertentu, dan ia menghalalkan pergaulan antara seorang lelaki dengan seorang wanita yang kedua-duanya bukan mahram. Daripada Abdullah ibnu Mas’ud Rasulullah SAW bersabda dengan maksudnya, “Wahai para pemuda, sesiapa yang berupaya dalam kalangan kamu untuk berkahwin, maka hendaklah ia berkahwin sebab perkahwinan itu lebih menundukkan pandangan dan lebih menjaga kehormatan. Dan barang siapa yang tidak berkemampuan, hendaklah ia berpuasa kerana puasa akan menjadi perisai untuknya.”
Apabila seorang perempuan dikahwini secara sah, bermakna ia telah memelihara kehormatan dan nama baik kedua-dua keluarga pasangan terlibat. Berbanding jika seorang lelaki dan perempuan membina perhubungan tanpa hala tuju atau sekadar untuk berseronok-seronok sahaja. Sudah tentu keadaan itu akan mengundang fitnah dan dipandang serong oleh masyarakat sekeliling, dan berkecenderungan untuk melakukan perbuatan-perbuatan yang tidak berakhlak. Sebaliknya, perkahwinan akan membuktikan bahawa kedua-dua belah pihak sanggup memikul tanggungjawab dalam perkahwinan demi menjaga maruah diri dan keluarga masing-masing.
Antara fungsi yang boleh dilihat dalam perkahwinan ialah perkahwinan dapat mendidik akhlak ahli keluarga dan anak-anak, pembangunan sahsiah dan memelihara anak-anak daripada kerosakan akhlak.
Apabila satu-satu pasangan berkahwin, dan kemudiannya mereka melahirkan zuriat, anak berkenaan akan memiliki nasab keturunan yang jelas dan dihormati. Berbanding dengan anak-anak yang lahir di luar pernikahan yang tidak dapat dinasabkan kepada lelaki yang menjadi penyebab kepada kehamilan si ibu. Anak malang itu hanya boleh dinasabkan kepada ibunya. Sudah pasti perkara ini akan mengakibatkan kesan-kesan yang negatif kepada anak tersebut termasuklah terhadap masa hadapannya. Dari sudut perwarisan, anak di luar pernikahan hanya boleh mewarisi harta pusaka daripada sebelah ibu atau kerabat ibunya sahaja, dan ia tidak mempunyai hak untuk mewarisi harta di sebelah bapa atau kerabat bapanya walaupun dapat dipastikan bapa biologinya.
Anak yang lahir dalam pernikahan juga, akan lebih mudah mendapat pembelaan sekiranya berlaku perkara-perkara yang tidak diingini. Contohnya jika si bapa meninggal dunia, menghilangkan diri tanpa dapat dikesan selepas bercerai dengan si ibu atau menjalani hukuman penjara dengan semua keadaan ini menyebabkan si anak tidak menerima nafkah daripada bapanya. Jika perkara seumpama ini berlaku, ibu atau penjaga kepada anak ini mempunyai hak untuk mendapatkan nafkah bagi anak tersebut daripada kaum kerabat di sebelah bapa. Hak seumpama ini tidak dimiliki oleh anak yang tidak berbapa dari segi syarak. Malah, begitu banyak kes atau kejadian dengan lelaki yang telah menghamilkan wanita-wanita tetapi membiarkan sahaja perkara berkenaan tanpa rasa bersalah dan rasa tanggungjawab. Sementelah mereka bukanlah bapa dari sudut syarak atau undang-undang, mereka membiarkan sahaja wanita dan anak yang ada di dalam kandungan tanpa sebarang pembelaan.
Kehamilan tanpa suami yang sah, dan anak yang lahir tanpa bapa juga akan berhadapan dengan isu-isu psikologi yang serius. Ibu yang mengandungkan anak luar nikah biasanya akan mengalami masalah kemurungan kerana keadaan yang dihadapinya, dan situasi si ibu akan mempengaruhi pembesaran dan psikologi bayi yang berada dalam kandungan.
Ibu yang normal akan melakukan pelbagai usaha supaya bayi yang dikandungnya dapat membesar dengan sihat dari sudut jasmani dan rohani. Malah akan melakukan pelbagai aktiviti yang boleh merangsang perkembangan bayi dengan sihat seperti berkomunikasi dengan bayi, dan memperdengarkan bacaan al-Quran kepada bayi. Sebaliknya ibu yang tidak mempunyai suami yang sah biasanya enggan mempedulikan kesihatan dirinya. Malah, seboleh mungkin ibu-ibu yang tidak bernasib baik ini akan berusaha untuk menyembunyikan kehamilan tersebut. Tentunya ia akan mempengaruhi pembesaran dan kesihatan bayi apabila ia dilahirkan.
Dalam situasi yang malang ini, bukanlah perkara yang luar biasa pada ibu-ibu ini berikhtiar untuk menggugurkan janin selepas mereka mengetahui bahawa mereka mengandung anak luar nikah. Dalam realiti hari ini, masyarakat kita juga sudah acap kali berdepan dengan isu-isu gejala sosial seperti pembuangan bayi kerana dilahirkan tanpa bapa, malah ada yang sanggup membunuh bayi-bayi ini dengan kejam.
Bayi yang tidak mempunyai bapa yang sah akan membesar tanpa kasih sayang seorang bapa. Suasana yang janggal ini akan mengakibatkan risiko anak-anak luar nikah membesar dan berhadapan dengan isu-isu psikologi. Mereka akan berasa keliru kerana keadaan mereka yang tiada ayah sedangkan teman-teman sebaya mempunyai seorang lelaki dewasa yang dipanggil dengan ayah. Kalaupun ada figura yang dipanggil dengan ayah atau bapa, ia tetap tidak sama dengan bapa yang merupakan darah daging mereka sendiri dan mengahwini ibu mereka dengan pernikahan yang sah. Ditambah lagi dengan persepsi yang negatif dan kejam daripada masyarakat walaupun bayi berkenaan lahir disebabkan kesilapan dan dosa orang tua mereka.
Semua elemen ini mempunyai pengaruh kepada keseimbangan mental, perasaan yang sihat, harga diri, keyakinan dan sebagainya kepada wanita yang terjebak dan bayi yang dilahirkan di luar pernikahan. Walaupun ada bayi yang dilahirkan tanpa bapa di sisi disebabkan perceraian yang berlaku atau bapa telah meninggal dunia sebelum mereka dilahirkan, kelahiran mereka tetap dengan kedudukan yang dihormati. Sekalipun tidak dinafikan ada isu-isu tertentu yang terpaksa mereka hadapi, tetapi kedudukan dan kehormatan mereka masih terpelihara, dan mereka masih jauh bernasib baik berbanding dengan nasib kalangan anak-anak di luar pernikahan. Di sinilah kita dapat lihat sebab agama Islam meletakkan perlindungan (maslahah) keturunan sebagai salah satu matlamat yang utama dalam syariah.
SUMBER :http://www.ikim.gov.my/
GAMBAR HIASAN : TANGKAP PICTURES
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI