Kebanyakan berpendapat lebih cenderung mengatakan bahawa perlunya pertunangan itu dihebahkan. Ini bagi mengelakkan berlakunya pinangan di atas pinangan.

 

Darah manis! Itu metaforanya bagi menggambarkan fasa pertunangan walaupun sebenarnya tidak ada penjelasan jelas dari sudut hukum-hakam tentang istilah ‘darah manis’. Apabila seseorang individu atau pasangan berada dalam fasa ‘darah manis’ maka mereka selalu diberi pelbagai pesanan daripada orang terdekat demi menjaga perhubungan berkenaan supaya akhirnya pasangan itu berjaya diijabkabulkan, dan menjadi suami isteri yang sah.

Majoriti ulama berpandangan bahawa mengadakan pertuna­ngan itu sekadar harus hukum­nya. Walau bagaimanapun, Mazhab Shafie mempunyai pandangan bahawa bertunang itu hukumnya sunat.

 

Antara rasionalnya adalah, membina hubungan pertunangan bererti membina fasa eksklusif antara seorang lelaki dengan seorang perempuan yang mempunyai perancangan untuk hidup bersama sehingga akhir hayat. Suasana eksklusif perlu dibina supaya bakal pengantin dapat memberi tumpuan kepada perhubu­ngan mereka tanpa ada sebarang gangguan daripada pihak-pihak yang tidak berkaitan.

 

Sehubungan itu, syariah meng­hukumkan haram untuk mana-ma­na lelaki melamar seorang ­pe­rempuan yang sudah pun dilamar oleh seorang lelaki tertentu, atau secara ringkasnya seorang perem­puan yang sudah menjadi tuna­ngan orang. Kecuali lelaki berkenaan yang mahu melamar perempuan terbabit mendapat izin daripada tunangannya, ataupun pertunangan tersebut diputuskan.

 

IKLAN

Serentak dengan perkara ini juga, disunatkan pula untuk ­me­rahsiakan hubungan pertuna­ngan daripada orang lain atau orang ramai. Hal pertunangan le­bih baik dirahsiakan bagi mengelakkan berlakunya perasaan-pe­rasaan yang tidak diingini sekiranya perhubungan yang terjalin hanya menemui kegagalan.

 

Walau apa pun punca kegagalan perhubungan berkenaan, nama baik setiap individu dan ahli keluarga serta kerabat dapat di­lindungi. Hanya kalangan mereka yang terdekat sahaja yang mengetahui pasangan berkenaan pernah menjalinkan hubungan pertuna­ngan tetapi gagal. Keadaan ini juga dapat mengelakkan timbulnya pandangan kurang baik daripada masyarakat awam.

 

Pertunangan adalah janji bagi kedua-dua belah pihak iaitu pihak lelaki dan perempuan untuk mengikat tali perkahwinan. Biasanya perkara ini melibatkan waktu-waktu tertentu yang telah ditetapkan oleh kedua-dua belah pihak.

 

Soalan yang biasanya timbul di dalam pertunangan ialah adakah dibenarkan syarak untuk menghebahkan pertunangan tersebut sepertimana majlis perkahwinan atau tidak?

IKLAN

 

Sebahagian ulamak berpendapat bahawa menyembunyikan pertunangan adalah perkara yang digalakkan. Ini kerana terdapat hadis daripada Ummu Salamah R.A. yang mana Rasullullah S.A.W. telah bersabda:

أظهروا النكاح، وأخفوا الخطبة

Maksudnya:Zahirkan (iklankan) pernikahan dan sembunyikan pertunangan.

Riwayat Al-Imam Al-Dailami di dalam Musnad Al-Firdaus (1/1/27)

IKLAN

Disebabkan itu sebahagian Al-Malikiyyah (pendapat yang berpandukan mazhab Imam Malik bin Anas bin Abi Amir Al-Ashbahi 93 – 179H) berpendapat bahawa menyembunyikan pertunangan adalah digalakkan. Perkara ini juga seperti mana yang terdapat di dalam kitab Syarh Mukhtasar Al-Khalil yang mana Al-Kharasyi Rahimahullah (wafat 1101H) menyebutkan:

وَأَمَّا الْخِطْبَةُ بِالْكَسْرِ فَيُنْدَبُ إخْفَاؤُهَا كَالْخِتَانِ وَإِنَّمَا نُدِبَ الْإِخْفَاءُ خَوْفًا مِنْ الْحَسَدَةِ فَيَسْعَوْنَ بِالْإِفْسَادِ بَيْنَهُ وَبَيْنَ أَهْلِ الْمَخْطُوبَةِ

Maksudnya: Adapun Al-Khitbah (pertunangan), maka digalakkan untuk menyembunyikannya seperti Al-Khitan. Digalakkan untuk menyembunyikannya kerana takut akan hasad yang mana boleh membantu merosakkan di antara orang yang bertunang dan pasangan yang ditunangnya.

Selain itu ada juga pendapat lain yang menyatakan tiada masalah untuk menghebahkan pertunangan seseorang itu kerana tiada nas yang sahih di dalam larangan berbuat demikian. Hadis Ummu Salamah R.A. yang disebutkan sebelum ini, dinilai dhaif (lemah) oleh sebahagian muhaddis (orang yang pakar dalam ilmu hadis).

Kesimpulan
Kebanyakan berpendapat lebih cenderung mengatakan bahawa perlunya pertunangan itu dihebahkan. Ini bagi mengelakkan berlakunya pinangan di atas pinangan yang mana ia jelas diharamkan di dalam Islam. Dengan menghebahkan pertunangan, sedikit sebanyak boleh mengelakkan perkara tersebut. Dalam sebuah hadis daripada Ibn ‘Umar R.A., Rasulullah S.A.W. telah bersabda:

لاَ يَبِعِ الرَّجُلُ عَلَى بَيْعِ أَخِيهِ وَلاَ يَخْطُبْ عَلَى خِطْبَةِ أَخِيهِ إِلاَّ أَنْ يَأْذَنَ لَهُ

Maksudnya:Janganlah seseorang itu membeli atas pembelian saudaranya dan janganlah meminang atas pinangan saudaranya yang lain kecuali jika diizinkan.

Riwayat Muslim (1412)

Al-Imam Al-Nawawi Rahimahullah (wafat 676H) mengatakan bahawa hadis ini secara zahirnya menunjukkan haramnya meminang atas pinangan orang lain. Lebih-lebih lagi jika pinangan tersebut telah diterima dan tidak mendapat keizinan daripada orang yang dipinang tersebut.

Kesimpulannya tiada masalah untuk menghebohkan pertunangan. Namun janganlah berlebih-lebihan dalam menghebahkan serta menyambutnya kerana pertunangan hanyalah janji kepada perkahwinan dan boleh sahaja pertunangan tersebut dibatalkan. Oleh yang demikian itu, bersederhanalah dalam pertunangan kerana perkara ini lebih dituntut. Namun begitu dibolehkan juga merahsiakan pertunangan untuk mengelakkan hasad dengki dan sebagainya selagi mana tidak timbul fitnah.