Apabila mencari petunjuk Allah, sebagai manusia kita akan lakukan sebanyak mana amalan agar petunjuk yang dicari itu ditemui. Solat istikharah misalnya adalah solat sunat yang seringkali diamalkan apabila kita mempunyai dua pilihan. Dan tentunya apabila hendak mendirikan rumahtangga, bakal pengantin mengerjakan solat istikharah.
Dikongsikan di laman Instagram Ustaz Azhar Idrus, inilah persoalan mengenai solat istikharah yang anda perlu tahu.
*****************************************************************
PERKARA YANG HARUS SAHAJA DILAKUKAN ISTIKHARAH
Telah diriwayatkan daripada Jabir r.a. berkata :
كان النبي صلى الله عليه وسلم يعلمنا الاستخارة في الأمور كلها كالسورة من القرآن
Artinya : “Adalah Nabi saw mengajar akan kami akan istikharah pada sekelian perkara seperti mengajar akan surah daripada Al-Quran.” (Hadith riwayat Bukhari)
Bermula hukum mengerjakan solat istikharah itu adalah sunat bukannya wajib.
Tersebut pada Kitab Al-Mausu’atul Fiqhiyah :
والاستخارة سنة بالإجماع
Artinya : “Dan solat istikharah itu sunat ia dengan ijmak.”
Dan perkara yang boleh dilakukan istikharah itu hanyalah perkara yang harus sahaja dan tidaklah dibuat istikharah untuk melakukan perkara yang sunat atau yang wajib atau yang makruh atau yang haram.
Berkata Imam Al-Hafiz Ibnu Hajar :
قال ابن أبي جمرة : هو عام أريد به الخصوص , فإن الواجب والمستحب لا يستخار في فعلها والحرام والمكروه لا يستخار في تركها , فانحصر الأمر في المباح وفي المستحب إذا تعارض منه أمران أيهما يبدأ به ويقتصر عليه
Artinya : “Telah berkata Ibnu Abi Jamrah hadith Jabir itu umum dan dikehendaki dengannya akan khusus. Maka sungguhnya yang wajib dan yang sunat itu tidak ada istikharah pada mengerjakannya dan yang haram dan yang makruh itu tidak ada istikharah pada meninggalkannya. Maka tersimpanlah pada pekerjaan pada yang harus jua dan juga pada yang sunat apabila berlawanan daripadanya dua pekerjaan mana satu yang dimulakan dengannya dan diringkaskan atasnya.” (Kitab Fathul Baari)
PETANDA SELEPAS ISTIKHARAH
Selepas melakukan istikharah jika segala usaha kepada melakukan perkara yang dimaksud itu menjadi mudah misalnya maka yang eloknya dia meneruskan perkara tersebut dan jika segala usaha menjadi semakin sukar maka yang eloknya dia membatalkan usaha tersebut.
Tidak disyaratkan dia mesti melihat alamat datang di dalam mimpi dan tidak juga disyaratkan mengikut ke arah mana hatinya cenderung selepas melakukan istikharah.
Berkata Imam Nawawi :
ولا يشترط لترجيح أحد الأمرين أن يرى المستخير رؤيا منامية باتفاق الفقهاء , لكنهم اختلفوا , فمنهم من يقول أنه لا بد من يرى أنه لا بد من اتباع ما ينشرح له صدره , واستدلوا لذلك بما روى ابن السني : يا أنس إذا هممت بأمر فاستخر ربك فيه سبع مرات , ثم انظر إلى الذي سبق إلى قلبك فإن الخير فيه
Artinya : “Dan tiadalah disyaratkan bagi menguatkan salah satu dari dua pekerjaan itu bahawa dia melihat didalam mimpinya akan apa yang dia istikharahkan itu dengan sepakat fuqahak akan tetapi mereka berselisih yang setengah dari mereka itu berkata tidak dapat tidak daripada mengikut ia akan apa yang lapang oleh perasaannya bagi pekerjaan tersebut dan berdalil mereka itu dengan hadith Ibnu Sunni sabada Nabi saw : Wahai Anas apabila kamu mencitakan suatu pekerjaan maka istikharahlah akan Tuhanmu tujuh kali kemudian lihatlah kepada yang mendahului akan hatimu maka kebaikkan itu ada padanya.” (Kitab Al-Azkaar)
Dan jika apa yang dicenderungkan oleh hati itu bersalahan dengan apa yang dinasihatkan oleh perkataan orang-orang yang baik maka dahulukan perkataan orang-orang yang baik.
Berkata Syeikh Ibnu Hajar :
عند التعارض ( بين الاستخارة وأقوال الصالحين ) تقدم أي أقوال الصالحين
Artinya : “Ketika berlawanan antara istikharah dan perkataan-perkataan para solihin nescaya didahulukan perkataan-perkataan para solihin.” (Kitab Al-Futuhat Ar-Rabbaniyyah)
Dan adalah makruh hukumnya orang yang mengerjakan istikharah terburu-buru hendak mendapat keputusannya kerana ia adalah sifat yang dicela.
Tersebut pada Kitab Al-Mausu’atul Fiqhiyyah :
قال الحنفية، والمالكية، والشافعية: ينبغي أن يكرر المستخير الاستخارة بالصلاة والدعاء سبع مرات
ويؤخذ من أقوال الفقهاء أن تكرار الاستخارة يكون عند عدم ظهور شيء للمستخير
Artinya : “Dan telah berkata ulamak mazhab Hanafi dan Maliki dan Syafie yang eloknya bahawa dia mengulangi istikharah dengan mengerjakan solat dan berdoa sebanyak tujuh kali.
Dan diambil faham dari perkataan-perkataan fuqahak bahawa mengulangi istikharah itu ialah ketika tiada nyata suatu bagi yang melakukan istikharah itu”
Ada pun jika sudah nyata apa yang hendak dikerjakannya maka tiadalah diulang akan istikharah.
KESIMPULAN :
Solat istikharah hukumnya adalah sunat dengan ijmak ulamak dan bukannya wajib.
Tujuan istikharah ialah untuk meminta kepada Allah pilihan yang mana lebih baik antara dua pekerjaan yang akan dia lakukan.
Istikharah hanya dilakukan untuk memilih pekerjaan yang harus sahaja seperti misalnya seorang hendak membeli tanah dan dia mempunyai dua lokasi pilihan lalu dikerjakan istikharah untuk memilih tanah dilokasi manakah yang lebih baik untuk dia beli atau dia hendak memilih antara membeli satu tanah atau tidak membelinya.
Tidak bolih istikharah untuk melakukan perkara yang wajib seperti memilih antara hendak bayar zakat atau tidak.
Tidak bolih istikharah untuk melakukan perkara yang haram seperti memilih antara mencuri atau menipu atau memilih antara minum arak atau berjudi atau memlihi antara pergi masjli ilmu atau karaoke.
Begitu juga tidak ada istikharah bagi perkara yang makruh dan yang sunat kerana yang makruh itu memang disuruh tinggal manakala yang sunat itu memang disuruh buat.
Ada pun jika dia hendak melakukan salah satu dari dua perkara yang sunat misalnya samada hendak pergi umrah atau menyertai korban maka harus dia istikharah.
Tidak benar perkataan orang yang mengatakan selepas solat istikharah akan datang dalam mimpinya memberitahunya samada teruskan pekerjaanya atau tidak.
Setelah melakukan istikharah misalnya seorang yang hendak membuka satu perniagaan yang halal dan dia tidak tahu mana yang lebih baik antara meneruskan niatnya itu atau membatalkannya lalu sekelian perkara dan usaha kepada membuka perniagaan itu menjadi semakin mudah adalah elok dia teruskan niatnya itu dan jika sebaliknya adalah elok dia tidak meneruskan naitnya itu akan tetapi jika dia meneruskan juga niatnya membuka perniagaan tersebut maka hukumnya tidaklah dilarang atau diharamkan.
Dan tidak disunatkan istikharah untuk melakukan perkara yang remeh seperti hendak beli nasi lemak atau nasi minyak atau hendak tidur jam sebelas atau jam dua belas.
Sunat mengulangi istikharah sekiranya belum jelas baginya apa yang hendak dia kerjakan.
wallahua’lam
ustaz azhar idrus
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI