
Terdapat beberapa ayat pengasih memikat suami yang boleh anda amalkan dan baca setiap hari sebagai amalan untuk mendapatkan apa yang anda inginkan. Ayat pengasih memikat suami ini boleh digunakan oleh para isteri sebagai mana jampi atau susuk yang dipakai oleh mereka yang jahil untuk memenangi hati lelaki.
Secara baiknya, anda gunakan doa ayat pengasih ini sebagai pemikat suami. Insyallah dengan izin Allah, ayat pengasih ini memudahkan urusan anda dan berkesan untuk hubungan anda dan suami.
Surah Yusuf (Ayat 4)
Ayat pengasih memikat suami yang sering kita dengar adalh surah Yusuf (ayat 4). Anda boleh bacakan doa ini setiap kali lepas solat, ketika teringatkan suami, sebelum tidur, ketika ada dirumah bersama suami atau pada bila-bila masa sahaja.
“Idz qola Yusufu li abihi ya abati inni roaitu ahadaasyaro kaukabaw wasy syamsa wal qomaro roaituhum li sajidin“.
Nabi Yusuf berkata kepada bapanya yang bermaksud,“Wahai ayahku! Sesungguhnya Aku mimpi melihat sebelas bintang dan matahari serta bulan; Aku melihat mereka tunduk memberi hormat kepadaku“.
Anda juga boleh bacakan 3 kali di air minuman dan kemudian minum air tersebut dengan niat untuk naikkan seri wajah dan dikasihi suami. Insyallah berkesan dan Allah permudahkan.
Kalimat “Ya Abrozhu”
Anda boleh tambahkan kalimat “Ya Abrozhu” yang berbunyi, “Ya abrozhu roaitu ahada ‘asyaro kaukabaw wasy-syamsa wal qamaro roaituhum li sajidin” selepas membaca surah Yusuf tadi.
Surah Asy-Syu’raa (Ayat 19)

Bacalah surah Asy-Syu’raa (ayat 19) dimana ia juga merupakan salah satu ayat pengasih memikat suami. Suami akan lebih lembut hati, lebih sayangkan anda. Allah swt akan memakbulkan hajat anda yang ingin disayangi dan dikasihi suami. Bacalah selalu setiap hari.
Surah ini bermaksud, “Allah maha lembut kepada hamba NYA. DIA memberi rezeki kepada sesiapa yang DIA kehendaki. dan DIA lah yang maha kuat, lagi aha kuasa”. Anda juga boleh bacakannya kepada makanan yang tengah anda masak untuk keluarga atau suami bagi meningkatkan kasih sayang suami dan keluarga terhadap anda.
Surah Taha (Ayat 1-8)
Tidak salah untuk amalkan semua surah dan ayat pengasih ini sekaligus. Selepas membaca surah Yusuf, anda boleh baca pula surah Taha (ayat 1-8). Surah Taha juga dapat melembutkan hati suami dan menyenangkan orang ketika berada bersama anda.
Ia berbunyi, “Waal qoy tu’alayka mahabbatamminni wallitusna’aa ‘alaa ainiy”. Ia akan lebih afdhal jika diamalkan bersama surah Yusuf. Ayatnya juga pendek memudahkan anda menghafalnya.
Tak Kisah Bersuamikan Lelaki OKU (Pekak), Suriati Tetap Bahagia, Berkomunikasi Guna Bahasa Isyarat

Sebuah rumah tangga yang bahagia tentunya disulami dengan persefahaman, sikap toleransi dan saling bekerjasama antara satu sama lain. Jika sudah jodoh, tidak kisah latar belakang bagaimana pun seseorang itu, pasti akan hidup bersama.
Seperti kisah Suriati Mohd Shukor, 45, wanita normal yang juga jurubahasa isyarat ini memilih suaminya, Madatul Akma Jusoh, 43, lelaki orang kurang upaya (OKU) pekak sebagai suami.
Pasangan ini bertemu jodoh hampir 14 tahun lalu. Perkongsian Suriati dilaman TikTok mencuri perhatian warga maya apabila dia menceritakan kisah pertemuan dengan suaminya.
“Walaupun suami pekak namun tanggungjawabnya sebagai ketua keluarga tidak pernah dilupakan, dia insan sangat istimewa bagi saya dan tiga anak kami, malah rumah kami tetap meriah biarpun tanpa suara ketua rumah,” kata Suriati.
Kini pasangan bahagia berkenaan yang tinggal di Mergong, di sini, mempunyai seorang anak perempuan dan dua lelaki berusia antara lima hingga 12 tahun.
Menurut Suriati, detik pertemuannya dengan suami yang juga bekas pemain bola sepak orang pekak negara bermula ketika dia menjadi jurubahasa untuk latihan pasukan bola sepak itu bagi menyertai Kejohanan Bola Sepak Orang Pekak Asia Pasifik.
Tambah Suriati lagi ketika itu dia juga sedang mengikuti kursus diploma jurubahasa Bahasa Isyarat di sebuah universiti di bawah tajaan kerajaan selama tiga tahun bermula pada 2007.
“Tak sangka Allah SWT temukan jodoh saya dengan pasangan pekak. Suami cuma pekak tetapi tidak bisu, namun dia tidak boleh bertutur dan hanya ada beberapa perkataan yang boleh disebut tetapi tidak betul.
“Saya masih ingat zaman berkawan dulu 13 tahun lalu cara kami berkomunikasi hanya melalui panggilan video (melalui Internet) tetapi kosnya mahal tidak macam sekarang. Semua itu kenangan manis untuk kami berdua,” katanya.
Katanya, tidak dinafikan orang luar menganggap mereka pasangan yang unik kerana ada yang menyangka golongan itu biasanya akan mengahwini komuniti mereka juga.
“Sebenarnya kita semua sama saja dan pada saya orang normal memilih pasangan istimewa adalah biasa, malah saya bersetuju orang kata pasangan kita adalah pelengkap hidup kita.
“Suami mudah bertoleransi dengan kerjaya saya yang banyak berkerja di luar kawasan.
Walaupun suami ada kekurangan itu tetapi dia tetap sama seperti ketua keluarga lain yang menggalas tanggungjawab menjaga dan mencari rezeki untuk keluarga,” katanya juga kakitangan Persekutuan Orang Pekak Malaysia dan banyak menjadi jurubahasa isyarat program televisyen.
Bercerita lanjut, Suriati berkata, dia belajar bahasa isyarat kerana mahu bersembang dengan rakannya berstatus orang pekak yang juga adik kepada sahabat baiknya bagi memudahkan komunikasi antara mereka ketika berusia 13 tahun.
Bagaimanapun katanya, ketika itu dia hanya mengetahui yang asas dan bentuk isyarat huruf dan mengeja satu-satu ketika bersembang dengan rakannya itu.

“Rakan akan mengajar dan menunjukkan kosa isyarat jadi saya lebih faham dan kemudiannya saya menjadi sukarelawan Persatuan Orang Pekak Kedah pada awal tahun 2002 dan semakin banyak yang saya belajar dalam bahasa itu.
“Pada saya bahasa isyarat ini sama saja dengan bahasa asing lain, jika kita selalu guna dan belajar jadi mudah biarpun pada mulanya memang agak sukar untuk fahami dan hafal bentuk serta pergerakan tangan,” katanya pernah bertugas sebagai sukarelawan Kejohanan Sukan Orang Pekak Malaysia di Langkawi, Kedah pada 2003.
Berhubung perkongsian videonya di TikTok, Suriati berkata, dia hanya mahu mengikut trend di aplikasi sosial itu dan mengakui tidak menyangka ia akan mendapat perhatian warganet itu.
“Ini juga untuk kesedaran orang ramai mengenai komuniti pekak kerana biasanya orang fikir individu pekak akan berkahwin dengan orang pekak saja, perkahwinan pekak dan bukan pekak tiada masalah jika tiada halangan komunikasi.
“Pekak adalah kecacatan yang tak terlihat, kita hanya tahu orang itu pekak apabila dia menggunakan bahasa isyarat.
“Justeru saya mahu menyarankan orang normal untuk belajar bahasa itu walaupun hanya yang asas saja supaya dapat berkomunikasi dengan mereka kerana kita tidak mahu mereka rasa terpinggir
“Mereka juga memerlukan informasi serta apa saja isu semasa mereka juga tahu dan ingin tahu.
“Malah mereka yang ada ahli keluarga yang pekak juga sangat disarankan mahir bahasa itu supaya dia tidak mencari orang lain untuk mengadu masalah,” katanya.
Sumber: Harian Metro Online
Pemahaman Islam Itu Perlu Dididik Sebaik Sahaja Pasangan Mula Berkahwin

Keluarga adalah persekitaran awal pendidikan asas bagi seorang manusia. Jika keluarga, sekolah, dan masyarakat merupakan sendi-sendi pendidikan yang penting, maka keluarga adalah pemberi pengaruh pertama. Keluarga memiliki peranan strategik dalam proses pendidikan anak, bahkan umat manusia. Keluarga lebih kuat pengaruhnya dari sendi-sendi yang lain. Sejak awal kehidupannya, seorang manusia lebih banyak mendapat pengaruh dari keluarga sebab waktu yang dihabiskan di keluarga lebih banyak daripada di tempat-tempat lain.
Pada hakikatnya, pendidikan di dalam keluarga merupakan pendidikan sepanjang hayat. Pembinaan dan pengembangan keperibadian serta penguasaan Islam dilakukan melalui pengalaman hidup sehari-hari dan dipengaruhi oleh sumber pembelajaran yang ada di dalam keluarga, terutama ibu dan bapanya. Keluarga adalah sebahagian dari masyarakat. Hubungan keduanya saling berkaitan dan saling mempengaruhi. Nilai masyarakat yang baik dan benar akan mewarnai kehidupan keluarga; begitu juga sebaliknya kerana individu-individu yang beriman dalam keluarga yang Islamik akan menjadi benih bagi penyebaran pemikiran, perasaan dan peraturan, serta nilai Islam di tengah masyarakat. Jadi, peranan keluarga dalam masyarakat tidak boleh diabaikan. Keluarga mesti dibina dan ditegakkan di atas nilai Islam.
Begitu pentingnya pembinaan dan pendidikan di dalam keluarga, pendidikan anak sejak awal dalam keluarga akan tertanam secara kuat di dalam diri seorang anak. Sebab, pengalaman hidup pada masa-masa awal umur manusia akan membentuk ciri-ciri khas, samada dalam tubuh mahupun pemikiran, yang boleh jadi tidak ada yang dapat mengubahnya sesudah masa itu.
Untuk itu, keluarga secara langsung ataupun tidak turut mempengaruhi jatidiri sebuah masyarakat. Dari keluargalah munculnya generasi manusia yang bermartabat, memiliki perasaan kasih sayang, dan saling tolong-menolong di antara mereka. Dengan itu, akan terciptalah aturan kehidupan masyarakat yang kuat, yang disokong oleh keluarga-keluarga yang harmoni dan berkasih sayang kerana memiliki pemikiran ideologi Islam sebagai asasnya.
Keluarga Islam tidak boleh memisahkan diri dengan masyarakat sekelilingnya. Kita mesti berada di tengah masyarakat; mewarnai dan mengubahnya dari keadaan jauh dari Islam menjadi Islamik. Langkah inilah yang dicontohkan oleh Rasul. Rasulullah memerintahkan kita berbuat baik terhadap jiran tetangga, ertinya mesti ada interaksi yang positif dengan persekitaran tempat kita berada. Bahkan, Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam memerintahkan kita untuk menjadi orang yang membuat kebaikan, kerana Rasul bersabda, �Sebaik-baik manusia adalah orang yang paling banyak berbuat kebaikan (manfaat) kepada yang lainnya.�
Kepentingan Sistem Politik yang Kondusif
Hal penting lainnya yang tidak boleh kita abaikan dalam pembentukan keluarga yang kuat dan berideologi Islam adalah peranan sistem yang menyokong hal tersebut. Ini adalah kerana walau betapa kuatnya kita melindungi keluarga dengan idea-idea dan pemikiran-pemikiran Islam dan pembinaan yang gigih kepada anak-anak dan anggota keluarga lainnya, apabila sistem yang dilaksana dan dikuatkuasakan di tengah kehidupan keluarga itu tidak menggunakan peraturan-peraturan Islam, maka sukar bagi bangunan keluarga yang kukuh itu untuk bertahan.
Ini disebabkan serangan dari luar akan senantiasa menghalang, samada dalam bentuk (i) pemikiran-pemikiran yang bertentangan yang boleh mempengaruhi tingkah laku dan moral anggota keluarga ataupun (ii) rintangan melalui ekonomi yang menyukarkan untuk memenuhi keperluan asas anggota keluarga. Dari sinilah biasanya muncul tindakan jenayah dan lain-lain masalah sosial. Untuk itu, penataan kehidupan yang benar berkaitan dengan semua urusan masyarakat sangat diperlukan. Dengan sistem politik Islamlah semua ini boleh diwujudkan.
Sistem politik Islam memiliki kemampuan untuk memberikan penyelesaian atas semua persoalan. Sama ada persoalan individu, keluarga, ataupun masyarakat. Sistem Islam mampu membendung serangan musuh-musuh Islam di tengah-tengah kaum Muslim dan menjaga masyarakat agar tetap dalam keimanan dan aturan yang sesuai dengan peraturan Islam. Hal ini dilakukan dengan cara penerapan peraturan-peraturan Islam yang menyeluruh. Sebab, sistem politik Islam itu sendiri intinya adalah bagaimana menciptakan pengaturan urusan masyarakat sesuai dengan tuntutan syariat Islam sehingga tercipta aturan masyarakat yang baik, damai, dan sejahtera; yang dipenuhi dengan keampunan dan keredhaan Allah Subhanahu wa Taala.
Khatimah
Untuk menghalang usaha menghancurkan keluarga Muslim dan Islam secara umumnya, maka kaum Muslim secara bersama-sama dituntut untuk memiliki kesedaran dalam memahami Islam secara menyeluruh dalam segala aspek. Dengan begitu, kaum Muslim akan dapat memahami dan menjangkakan bahaya idea-idea asing yang bertentangan dengan Islam seperti feminisme, kesamaan gender, emansipasi, liberalisme dan sebagainya. Pemahaman Islam seperti ini boleh kita perolehi dengan cara membina diri kita dan kaum Muslim secara terus-menerus dengan tsaq fah Islam.
Tsaqfah Islam tersebut kemudiannya dijadikan sebagai acuan atau landasan untuk berhadapan dengan pelbagai pemikiran dan pemahaman asing yang menyerang. Hal ini mesti diteruskan dengan sentiasa mengikuti perkembangan berita dan fakta-fakta, kemudian memahaminya dan memberikan penyelesaian sesuai dengan Islam.
Selain itu, penting untuk melibatkan diri secara aktif dalam usaha menyebarkan idea-idea Islam tersebut di tengah-tengah masyarakat. Ini adalah kerana membentuk keluarga yang kukuh tidak cukup dilakukan oleh individu di dalam sebuah keluarga semata-mata. Akan tetapi, hal itu juga mesti ditempuh secara politik, sistematik, dan ideologis dalam suatu gerakan yang terorganisasi secara rapi. Ini juga disebabkan kaum kafir pun, dalam menghancurkan keluarga Muslim, melakukannya bukan hanya melalui aktiviti penyebaran idea secara individu semata, tetapi melalui sebuah gerakan yang memiliki kekuatan besar dan didukung oleh ideologi tertentu (kapitalis-sekular) di belakangnya.
Oleh kerana itu, yang perlu menjadi agenda kaum Muslim pada masa ini untuk menghalang usaha menghancurkan keluarga Muslim adalah bagaimana menghadirkan Islam dengan pemahaman Islam yang utuh dan menyeluruh dalam pengaturan umat secara nyata, sama ada diperingkat individu, keluarga, masyarakat, mahupun negara. Dengan begitu, kaum Muslim boleh keluar dari kesengsaraan dan sekaligus bangkit kembali sebagai umat terbaik (khayr al-ummah), yang tegak di atas keluarga-keluarga yang kuat.
Ketika persekongkolan besar musuh-musuh Islam berjaya meruntuhkan Khilafah Islamiyah pada tahun 1924, yang masih tinggal di tengah-tengah umat Islam adalah tatacara kehidupan sosial di antara mereka, beserta hukum-hukum yang bersifat individu seperti ibadah solat, puasa, zakat, haji. Walaupun sistem pemerintahan Islam sudah hancur dengan runtuhnya Khilafah Islam, sisa-sisa budaya keIslaman masih terpelihara baik di dalam rumahtangga-rumahtangga kaum Muslim. Pada masa kini, keluarga-keluarga Muslim menjadi harapan tempat bersemainya kembali ideologi Islam. Keluarga dengan ayah sebagai pemimpin seluruh anggota dan ibu sebagai sumbu aktiviti dalam rumah tangga menjadi tumpuan lahirnya generasi-generasi yang kelak akan menghidupkan kembali peradaban dunia dengan Islam.
Dugaan Pertama Selepas Kahwin Ialah Dugaan Kewangan

Pernikahan sememangnya detik terindah penyatuan cinta antara lelaki dan perempuan. Namun, pernikahan bukan sahaja menyatukan dua insan tetapi lebih kepada membuka lembaran baru kehidupan dan tanggung jawab.
Pernikahan adalah amanah. Ianya mengajar suami dan isteri tentang tanggung jawab hidup berumah tangga dan mendidik bukan sahaja dari segi fizikal dan emosi namun lebih kepada membina hubungan baik ke jalan Allah SWT.
Bagi pasangan yang baru berkahwin, sudah tentu telah banyak mengeluarkan belanja untuk melangsungkan majlis. Sudah tentu, anda akan mula mengorak langkah kembali untuk stabilkan ekonomi diri dan keluarga yang dibina.
Kami cadangkan anda ikut tips paling tepat urus kewangan.
1) Merangka bajet keluarga
Dulu setiap hari makan megi tak jadi masalah. Dulu tak fikir nak belanja barang dapur, tak fikir nak bayar komitmen rumah. Kerana anda dahulunya hanya hidup dengan bajet untuk diri sendiri sahaja.
Namun, kini apabila sudah berdua segala perbelanjaan jadi ‘Double’. Perlu asingkan belanja dapur, sewa rumah, bile air dan elektrik dan macam -macam lagi.
2) Rekod segala perbelanjaan
Penting untuk rekod segala wang keluar masuk supaya anda tahu perjalanan kewangan suami isteri.
3) Membuat tabung keperluan
Bila dah kahwin, eloklah merancang semua kos keperluan dan perlu dibincang bersama-sama. Boleh ikut idea ini (susunan tidak mengikut keutamaan):
Belanja barang dapur
Belanja makan
Belanja utiliti (bil air & elektrik)
Hiburan
Ansuran rumah
Ansuran kereta
Perlindungan takaful
Tabung simpanan
Tabung pelaburan
Tabung pendidikan anak-anak
Tabung kecemasan
Tabungan bercuti
Tabung pencen
4) Menabung & melabur
Buat tabungan dan dalam masa sama buatlah pelaburan berisiko rendah seperti melabur dalam Amanah Saham Nasional (ASB), pelaburan emas atau sebagainya untuk pulangan tahunan.
5) Pelindungan takaful
Lindungi keluarga dengan pelan takaful. Banyak produk takaful yang bagus dan sesuai dengan bajet bulanan anda. Ianya sebagai persediaan sekiranya anda atau isteri sakit dan anda boleh gunakan takaful tersebut sebagai persediaan hospitalisasi.
6) Jauhi hutang
“Ya Allah, lindungilah diriku dari kesusahan dan dukacita, Engkau lindungilah aku dari sifat lemah dan malas, peliharalah diriku dari sifat bakhil dan pengecut dan Engkau peliharalah diriku dari hutang-piutang dan kekuasaan orang lain ke atas diriku.”
Apabila memulakan kehidupan baru, banyak nak pakai duit. Nak beli katil, tilam, almari, sofa, dapur semua. Ingat, jangan sampai berhutang. Skim ansuran mudah dekat kedai tu memang mengiurkan, tetapi lebih baik kumpul duit, beli secara tunai lagi bagus daripada bayar ansuran.