Jodoh dan ajal semuanya di tangan Tuhan. Sama ada kita bersedia atau tidak, waktu itu akan tiba. Bila tengok mak-mak yang tinggal sendirian selepas kematian suami, hati kita auto pilu. Tentu setiap detik kerinduan menyapa hati yang rindu.

 

Coretan ini dari seorang anak yang sedang menyelami hati ibu yang kehilangan suami. Penulisan tentang betapa pentingnya anak-anak memahami ibu yang kerinduan. Sudahlah berjauhan dengan anak-anak, suami pula tidak ada. Anak-anak balik ke kampung, melihat ibu yang sedih, disuruhnya ‘move on’.

 

Jangan…itu bukan sesuatu yang anak perlu katakan pada ibu. Perihnya hati untuk didengari. Baca ni.

 

IKLAN

Bila Ibu kita sudah tua.

Ibu kita ini sering kesunyian. Ibu sering ketakutan. Ibu sering dilanda kerinduan. Dahulunya hidup si Ibu bertemankan suaminya yang dicintai. Kini teman sehidupnya telah lama pergi. Janji semati tidak mampu lagi ditepati. Tinggallah si Ibu sendirian meniti hari.

Jika kita letak diri di tempat Ibu sebegini, mampukah kita menjawab soalan – soalan yang bermain di fikirannya? Dapatkah kita mendengar bisikan hatinya tanpa menitiskan sedikit pun air mata?

Nah, rasakan sedikit apa yang bermain di fikiran Ibu kita.

IKLAN

“Suamiku, kenapa kau pergi dulu? Kenapa tinggalkan sayang sendirian? Suamiku, sayang rindu, bagaimana sayang nak menjalani kehidupan ini? Sayang takut, sayang sunyi. Sayang tak boleh hidup seorang diri. Tolong la kembali suamiku. Sayang tak biasa. Kita selalu buat semua benda bersama. Kenapa pergi dulu? Apa sayang nak buat ni? Sayang takut sangat.”

Pada ketika dan saat saya menaipkan ayat di perenggan di atas, saya benar – benar menangis teresak – esak seperti anak kecil. Itu baru sedikit sebenarnya. Tak mampu untuk saya selami lebih dalam lagi. Hati saya terasa amat kecil seperti dipicit – picit menjadi sekecil guli. Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul.

Janganlah ditegur kenapa Ibu sering teringatkan apa yang arwah Ayah suka dan sering lakukan bersama. Berpuluh tahun lamanya, pasti ada perkara yang akan melekat di dalam fikiran Ibu selama – lamanya. Pasti setiap yang pernah disentuh, akan terasa, setiap kebahagiaan yang pernah dikecapi, akan diingati.

IKLAN

Jangan berani cakap mengenai “move on” dan hidup mesti diteruskan. Jika kita tidak pernah merasakan kehilangan teman yang berpuluh – puluh tahun lamanya bersama, kita tidak akan sekali – kali pun faham kerinduan dan kehilangan yang telah Ibu lalui sehinggalah kita laluinya sendiri nanti.

Ibu kita sering disalah erti. Selalunya Ibu sebenarnya tidak maksudkan apa yang kita tafsirkan. Kadang – kala Ibu terlebih berterus – terang kerana telah penat selama ini menahan diri, menjaga hati dan sentiasa mengendahkan sensitiviti.

 

Sumber: Jentik Hati

Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI