Manusia kadang-kadang terlepas pandang perkara penting ini, ataupun memang sudah tahu, tetapi sengaja hendak menunjuk-nunjuk. Apa perkara itu? Riak!
Ramai yang berlumba-lumba hendak memberitahu apa kelebihan diri pada umum, tanpa mengetahui bahawa ianya adalah salah satu perkara yang ALLAH S.W.T larang dan ianya adalah berd0sa!
Sebenarnya ada yang sudah mengetahui bahawa ri4k itu berd0sa, tetapi masih juga menunjuk-nunjuk kerana rasa diri lebih baik dari orang lain. Mengapa begitu? Tidak percaya akan azab ALLAH S.W.T?
Lagi-lagi sekarang zaman serba serbi canggih, ada aplikasi Facebook. Setiap hari update status tentang kelebihan diri, berbangga-bangga diri sehingga mendatangkan perasaan meny4mpah orang sekeliling.
Perasaan riak ni kadang-kadang orang buat tanpa sengaja, fikir ianya perkara biasa saja tetapi rupanya berd0sa! Hati-hati apabila update sesuatu di laman sosial ya!
Antara riak yang orang tak sedar selalu buat ialah :
1.Puji anak berlebihan
Boleh dikatakan setiap hati update pasal anak, anak cantik la, anak bijak la dekat facebook, instagram, sampaikan orang naik meny4mpah. Sepatutnya anda pe ka dengan rakan-rakan anda yang mungkin belum berpeluang merasa ada anak, pasti mereka rasa sedih.
Ads
2.Check in hospital mahal
Snap gambar dalam hospital, suruh ralan-rakan doakan anak supaya cepat sembuh. Tetapi caption hastag nama hospital-hospital terkenal, hospital yang mahal-mahal. Sebenarnya dalam hati nak bagitahu yang dia mampu pergi hospital mahal. Bukan nak suruh doakan anak tu sangat.
3.Bersyukur tak habis-habis
Tak habis-habis update pasal duit yang banyak. Bersyukur katanya. Selang seminit update ‘Alahmdulillah. Alhamdulillah duit masuk lagi, syukur alhamdulillah’ sebenarnya bersyukur itu perbuatan yang baik, tetapi salah caranya. Jika betul hendak besyukur, solat dan buat sujud syukur. Bukan duk heboh dekat laman sosial.
4.Tunjuk kereta mahal
Ads
Tangkap gambar dalam kereta, nampak stereng sekali. Captionnya ‘teruk jam jalan hari ni’. Sebenarnya nak bagitau yang dia tengah bawa kereta mahal, orang yang ada kereta lebih mahal dari dia pun tak riak!
5.Shopping
Suka shopping lepastu ambil gambar dan update dekat laman sosial, caption pulak ‘ letih shopping hari ini, sikit-sikit je keluar duit hari ni’ tapi dalam gambar bukan main banyak barang yang dibeli. Nak berlagak pun tak payah nak menunjuk sangat kan?
6.Serba baru
Dekat nak raya ni nanti ada la yang update pasal sofa baru, langsir baru, baju baru. Sila kaga perasaan orang yang tak mampu, dah beli barang baru tu senyap saja, jangan nak heboh. Bukan semua orang nak tahu pun, meny4mpah ada la.
Ads
7.Muka lawa
Suka ambil gambar sendiri dan upload dekat Facebook, caption ‘ tak lawa macam makwe awak-awak semua’ tetapi sebenarnya nak orang komen pujian. Nanti kalau orang komen cakap memang tak lawa pun, marah pulak. Pelik kan!
Maka hindarilah dari bersifat riak! Dalam Al-Quran, Allah swt berfirman yang bermaksud :
“Maka celakalah (azab) bagi orang yang sembahyang, yang mereka itu lalai daripada sembahyangnya lagi mereka itu riak.” (Surah Al Maun : ayat 4-6)
Dalam Surah Al-Baqarah ayat 264, Allah swt berfirman maksudnya:
“Hai orang-orang yang beriman janganlah kamu batalkan sedekahmu dengan mencerca dan menyakiti seperti orang yang menafkahkan hartanya kerana riak manusia.”
Kesimpulannya, jangan bersikap riak. Allah S.W.T melarang sesiapa yang bersifat riak. Jika selalu amalkan sikap riak ini, orang benci, d0sa pun dapat. Jangan hidup hanya mengharapkan pujian semata-mata. Sebaiknya amalkan sikap rendah diri, itu lebih baik.
Sumber : islamitusempurnakanku.blogspot.com
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Keluarga adalah teras dan asas dalam perhubungan antara manusia dengan manusia. Jika hubungan keluarga sudah berantakan, maka hancurlah hubungan-hubungan yang lain. Dan di dalam sebuah rumah tanggalah tegaknya kepimpinan seorang lelaki bernama suami. Jangan harap seseorang mampu memimpin ummah sebelum berjaya memimpin orang rumah.
Apabila berbicara tentang perkahwinan semua menganggapnya indah, namun sedarkah mereka dalam sesebuah perkahwinan ada turun naiknya. Ini pesanan buat ketua rumah tangga, dan imam buat keluarga oleh Pahrol Mohamad Juoi.
Sebuah rumah tangga juga bolehlah diumpamakan sebagai sebuah kapal yang sedang belayar. Suami ialah nakhodanya. Peranan nakhoda sangat penting kerana dia bukan sahaja perlu memastikan keselamatan para penumpang tetapi pada masa yang sama dia perlu memastikan kapal yang dikemudikannya itu sampai ke matlamat. Begitulah suami, dia mesti menyelamatkan isterinya daripada kesengsaraan hidup dunia sekali gus mencapai keredaan Allah di akhirat.
Rasulullah SAW berpesan terus kepada suami: ”sebagaimana kamu mempunyai hak keatas isteri kamu, mereka juga mempunyai hak di atas kamu. Sekiranya mereka menyempurnakan hak mereka ke atas kamu maka mereka juga berhak untuk diberi makan dan pakaian dalam suasana kasih sayang.
Sehubungan dengan itu terdapat beberapa keperluan (zahir dan batin) yang mesti diusahakan oleh seorang suami sebagai melengkapkan infra struktur dan prasarana dalam menyara hidup, mendidik dan memimpin isterinya. Tugas memenuhi keperluan ini merupakan tanggung-jawab paling asasi dan faktor yang paling kritikal untuk menentukan kejayaan ataupun kegagalannya dalam sesebuah rumah-tangga.
PENUHI 4 KEPERLUAN ISTERI
Sebagai imam, suami pada dasarnya wajib memenuhi empat keperluan isterinya.
Pertama- keperluan fizikal dan material, seperti soal makan-minum, pakaian, tempat tinggal dan sakit demam isterinya. Ini merupakan keperluan paling asas. Selagi keperluan ini dipenuhi, maka itu petunjuk bahawa suami masih mahu bertanggungjawab walaupun mungkin ada kelemahan dalam memenuhi keperluan-keperluan yang lain.
Kedua- keperluan akal (ilmu). Para suami wajib mengajar isterinya ilmu fardu Ain. Soal taharah, wuduk, solat dan lain-lain. Adalah menjadi tanggungjawab suami mengenalkan isterinya kepada Allah, Rasul dan lain-lain elemen dalam rukun iman (Tauhid). Kemudian disusuli cara-cara beribadah asas dalam rukun Islam (Feqah) diikuti pengamalan nilai-nilai mulia pada diri (adab & akhlak).
Ketiga – keperluan emosi. Seorang suami mesti memberi kasih sayang kepada isterinya. Untuk membina dan mengekalkan kasih sayang, maka suami harus menjadi pendengar yang baik pada isterinya. Ingatlah, tanggungjawab pertama cinta ialah mendengar. Suami yang baik ialah seorang pendengar yang baik.
Keempat- keperluan batin atau rohani. Ini bukan sahaja merujuk kepada keperluan seksual, tetapi keperluan mendapat pendidikan dan akhlak yang baik untuk diteladani. Keperluan ini sangat sukar diisi oleh suami sedangkan ini adalah keperluan yang paling utama dibandingkan keperluan-keperluan yang lain. Bukan itu sahaja malah ada suami yang tidak menganggap soal ini sebagai satu keperluan pun. Apa yang dipentingkan hanyalah keperluan fizikal dan akal semata-mata.
Islam juga sangat mementingkan persoalan ini berdasarkan perintah Allah dalam Al Quran:“Wahai orang yang beriman, selamatkanlah diri mu dan keluarga mu daripada azab api neraka.”
Ada suami yang bertungkus lumus memenuhi keperluan fizikal dan akal isteri dengan anggapan mereka sudah pun menjalankan tugas suami dengan baik, sedangkan pada hakikatnya mereka bukanlah suami yang baik kerana mengabaikan keperluan emosi dan hati isteri. Sebab itulah tidak hairan jika kita dapati ramai isteri yang tertekan emosi dan terdera jiwanya kerana rohani mereka kosong, tidak pernah terisi.
KAHWIN BUKAN UNTUK SERONOK
Perkahwinan bukan hanya hubungan badan, tetapi merupakan hubungan fikiran, perasaan dan hati antara suami isteri. ‘Orang rumah’ bukanlah wanita yang hanya tinggal serumah tetapi sama-sama mendirikan sebuah rumah tangga.
Suami seharusnya sentiasa ingat, isterinya adalah seorang wanita yang telah meninggalkan ibu, bapa dan seluruh anggota keluarganya untuk hidup bersama kita. Untuk mendapat haknya yakni kesetiaan dan kepatuhan, seorang suami perlulah terlebih dahulu menunaikan hak isterinya.
Ingatlah, sukar bagi seorang suami ke syurga sekiranya isterinya tidak ikut serta. ‘Lesen’ seorang suami ke syurga hanya dapat dimilikinya setelah dia ditanya tentang segala tanggungjawabnya melindungi, memimpin dan menyayangi isterinya.
Ayat Quran yang berbunyi, “selamatkanlah diri mu dan keluarga mu daripada api neraka” sesungguhnya ditujukan untuk pertama dan paling utama ialah kepada para suami!
Sumber : JK PEKA IKRAM
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Assalamu’alaikum S.S. Mufti, saya ingin bertanya adakah majlis walimah atau kenduri kahwin itu merupakan tanggungjawab suami ataupun keluarga pengantin perempuan ? Mohon penjelasan.
Jawapan:
Wa’alaikumussalam w.b.t,
Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.
Menurut kitab Al-Feqh al-Manhaji, Al-Walimah diambil dari perkataan الولْم yang membawa erti berhimpun atau berkumpul. Dinamakan dengan yang demikian itu kerana kedua pasangan suami isteri berkumpul padanya (majlis perkahwinan).
Kemudian disebutkan, al walimah merupakan makanan perkahwinan, atau kesemua makanan yang dibuat untuk dijemput (orang ramai) dan selainnya. Rujuk Al-Feqh al-Manhaji (2/92).
Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik R.A bahawa Abd al-Rahman bin ‘Auf telah berkahwin. Lalu Rasulullah S.A.W bersabda kepadanya:
أَوْلِمْ وَلَوْ بِشَاةٍ
Maksudnya: Hendaklah kamu melakukan majlis perkahwinan sekalipun dengan seekor kambing.
Riwayat Muslim (1427)
Secara zahir dari hadis di atas, mengadakan walimah atau majlis perkahwinan adalah dituntut selepas perkahwinan dilangsungkan. Meskipun begitu, para ulama berbeza pendapat kepada implikasi tuntutan tersebut, sama ada ia membawa kepada hukum wajibnya majlis walimah ataupun hukumnya adalah sunat sahaja.
Pendapat pertama menyatakan bahawa hukum walimah adalah wajib. Mereka yang berpegang dengan pendapat ini menyatakan hujahnya berdasarkan zahir arahan “Lakukanlah walimah’’. Kaedah menyebut: ‘’Kata perintah membawa hukum wajib’’.
Tambahan pula, hukum menghadiri jemputan walimah adalah wajib sekiranya tiada keuzuran. Justeru, menjalankan majlis walimah itu sudah tentu turut diwajibkan.
Manakala pendapat yang kedua merupakan pandangan para fuqaha’ iaitu hukum mengadakan walimah adalah sunat muakkad. Oleh kerana itu, Imam Abu Dawud dalam menukilkan hadis-hadis walimah ini beliau letakkan di bawah tajuk:
باب فِي اسْتِحْبَابِ الْوَلِيمَةِ عِنْدَ النِّكَاحِ
Iaitu ‘’Bab Pada Menyatakan Sunatnya Walimah ketika Perkahwinan’’.
Demikian juga dalam kitab Al-Feqh al-Manhaji menyebut: ‘’Hukum walimah adalah sunat muakkad’’.
Mereka juga berpendapat bahawa majlis perkahwinan ini adalah sama sahaja dengan majlis-majlis jamuan yang lain dari sudut hukum asal mengadakan majlis jamuan makan adalah sunat sahaja.
Demikian juga pada pandangan mereka, tidak tepat untuk dikatakan bahawa hukum mengadakan walimah adalah wajib disebabkan hukum menghadiri walimah adalah wajib. Ini kerana, dalam isu memberi salam ia juga dituntut dalam agama. Namun, memberi salam hukumnya sunat dan ini berbeza dengan hukum menjawab salam iaitu wajib.
Majlis Perkahwinan Tanggungjawab Siapa ?
Berkenaan isu siapakah yang bertanggungjawab melaksanakan majlis perkahwinan, terdapat dua pandangan utama dalam kalangan masyarakat pada hari ini. Sebahagian berpendapat bahawa majlis perkahwinan merupakan tanggungjawab suami iaitu pengantin lelaki. Manakala sebahagian lagi menyatakan bahawa urusan majlis perkahwinan adalah merupakan tanggungjawab keluarga mertua.
Syeikh Muhammad bin Ahmad al-Syathiri menimbulkan persoalan sama ada walimah disunatkan kepada suami atau isteri. Lalu beliau menyatakan: ‘’Para ulama berpendapat bahawa walimah disunatkan kepada suami (pengantin lelaki). Melainkan sebahagian ulama berpendapat bahawa ia disunatkan dengan seruan yang umum (iaitu tanpa dikhususkan kepada sesiapa), bagi tujuan menzahirkan kegembiraan dan keseronokan.
Beliau turut menukilkan pendapat dari Syeikh Daud al-Zahiri yang menyatakan bahawa walimah itu wajib ke atas suami. Berdasarkan perintah Nabi S.A.W kepada Abdul Rahman bin ‘Auf.
Manakala para ulama Syafi’eyyah meletakkan arahan tersebut kepada hukum sunat (iaitu sunat bagi suami melakukan walimah). Rujuk Syarah Yaqut al-Nafis, Muhammad bin Ahmad al-Syathiri (Hlm. 597).
Pandangan yang menyatakan tanggungjawab mendirikan majlis walimah terletak pada bahu pengantin lelaki berhujahkan kepada hadis arahan Nabi S.A.W kepada Abd al-Rahman bin ‘Auf di atas. Ini kerana, baginda S.A.W menyatakan kepada beliau أولم (lakukanlah walimah). Namun dalam masa yang sama, baginda tidak menyatakan kepada pihak mertua Abd al-Rahman bin ‘Auf أولموا (lakukanlah kamu semua majlis perkahwinan). Justeru, majlis walimah itu disyariatkan kepada hak pengantin lelaki.
Selain itu, kenikmatan (perkahwinan) pada hak seorang suami adalah lebih besar berbanding kenikmatannya pada hak seorang isteri. Demikian juga menjadi kebiasaan bahawa orang lelaki yang melamar dan meminta seorang perempuan untuk menjadi isterinya, serta sangat jarang berlaku orang perempuan yang meminta orang lelaki mengahwininya.
Tambahan pula, pernikahan adalah suatu kenikmatan bagi pengantin lelaki dan antara cara menzahirkan syukur adalah dengan melakukan amal soleh. Ini berdasarkan firman Allah S.W.T
اعْمَلُوا آلَ دَاوُودَ شُكْرًا
Maksudnya: Beramallah kamu wahai keluarga Daud untuk bersyukur.
Surah Saba’ (13)
Justeru, antara amalan yang dilakukan untuk menzahirkan kesyukuran dari perkahwinan adalah dengan melangsungkan majlis walimah itu sendiri.
Manakala berkaitan isu majlis walimah yang dilakukan oleh pihak mertua iaitu bapa pengantin perempuan sebagai contohnya, maka kata al-Syeikh Muhammad bin Ahmad bin Umar al-Syathiri: ‘’Sekiranya majlis walimah dilakukan oleh selain suami dan wali, seperti bapa kepada isteri (pengantin perempuan), atau walimah dilakukan oleh pengantin perempuan sendiri, maka telah ditunaikan sunnah bagi pihak dirinya (pengantin lelaki). Rujuk Syarah Yaqut al-Nafis (Hlm. 598).
Penutup
Sebagai kesimpulan, kami menyatakan bahawa hukum asal bagi mengadakan walimah adalah sunat muakkad. Ia disunatkan kepada pengantin lelaki iaitu suami untuk melakukannya. Meskipun begitu, sekiranya pihak pengantin perempuan atau pengantin perempuan sendiri menjalankan majlis walimah, maka telah terlaksanalah hukum sunat bagi pihak pengantin lelaki.
Berkenaan budaya dalam kalangan masyarakat di negara kita untuk melakukan majlis perkahwinan sebanyak dua kali iaitu sekali di rumah pengantin perempuan dan juga majlis di rumah pengantin lelaki. Maka kami menyatakan bahawa secara asalnya hukumnya adalah harus selama tidak berlaku israf dan pembaziran. Hal ini kembali kepada apa yang disebutkan oleh sebuah kaedah yang masyhur:
العادة محكَّمة
Maksudnya: Adat itu menjadi penentu hukum.
Ini bermakna, adat itu boleh menjadi penentu atau pemutus hukum dalam permasalahan-permasalahan yang berlaku. Yang mana permasalahan tersebut tidak terdapat padanya dalil-dalil yang jelas dalam menjelaskan hukumnya.
Kami turut menyatakan, hendaklah majlis perkahwinan itu dilakukan secara sederhana mengikut kemampuan dirinya sendiri (pengantin lelaki) tanpa perlu israf dan juga membazir. Inilah hikmah dari arahan Nabi S.A.W kepada Abd al-Rahman bin ‘Auf di atas bahawa biarlah diadakan walimah, sekalipun dengan seekor kambing.
Begitu juga kami nasihatkan kepada ibubapa kepada bakal-bakal pengantin supaya sentiasalah mempermudahkan urusan anak-anak dalam mengadakan majlis perkahwinan supaya mereka dapat melayari bahtera perkahwinan dengan sebaiknya.
Akhir kalam, semoga Allah S.W.T memberikan kefahaman yang tepat kepada kita dalam beragama. Ameen.
Sumber : Mufti Wilayah Perseketuan
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Sesekali rumah bersepah, suami kena faham dan isteri tak perlu gelabah. Ikut kemampuan diri uruskan rumah tangga dan jangan sesekalki ikut orang. Baru lah akan rasa bahagia buat rutin harian.
Bak kata Puan Intan Dzulkefli, lain orang, akan lain cara caranya. Ikut keselesaan pasangan masing-masing. Okay, jom lah baca perkongsian kali ini untuk faham situasi isteri sibuk menguruskan hal rumah tangga.
Kalau Rumah Bersepah, Ikut Keselesaan Suami
Jika suami kita jenis balik rumah, apabila buka pintu lihat meja masih kosong tanpa lauk pauk, rumah seperti tongkang pecah, isteri muka seperti hantu mak limah, anak-anak masih masam tak mandi tetapi dia masih senyum gembira lihat isteri dan anak-anak, alhamdulillah.
Namun, kita kena ingat, bukan semua isteri direzekikan suami yang bertimbang rasa sebegitu. Ada yang boleh naik angin jika buka pintu rumah dan lihat situasi begitu.
Banyak faktor penyebab. Mungkin juga sebab sudah terbiasa dididik dari kecil, ibunya serba serbi sempurna.
Kita boleh kata, ‘suami saya okay je kalau pergi kerja tanpa saya siapkan sarapan. Malahan dia yang selalu siapkan atau beli sarapan.’
Namun, ada suami orang lain, kepantangannya jika dia melangkah keluar tanpa ada sarapan di atas meja atau secawan kopi untuk diminum.
Adakah kita boleh kata, “minta cerailah! Suami kau tu bukan manusia, tetapi lembu.”
Tentunya tidak kan? Kasut kita tak sama. Toleransi kita tak sama. Latar belakang setiap orang tidak sama. Prinsip, penerimaan dan kepantangan tidak sama. Terimalah hakikat itu.
Saya pernah lihat, seorang suami, hanya untuk membasuh tangan pun menunggu isteri. Walhal bekas air itu bukannya jauh dari tangannya. Itu pun masih mahu disuruh si isteri menghulurkan padanya.
Istighfar juga saya melihat kelakuannya.
Reda Suami Itu Penting
Ya, si isteri perlu menyiapkan segala-galanya. Namun, si isteri jujur berkata sendiri dengan anak-anak lelakinya.
“Jangan buat macam ini dengan isteri kalian. Buatlah semuanya bersama-sama. Mak ni kes lain. Anggap je mak ni kes special.”
Maksudnya dia memang redha dan gembira melayan suaminya begitu. Namun tidak pula dia mahu budaya sedemikian dinormalisasikan dalam kalangan anak menantunya. Mungkin sebab dia sedar, ketahanan mental, emosi dan fizikal setiap wanita bukannya sama yang mana mungkin dapat menjejaskan sebuah keikhlasan.
Ada pasangan suami isteri yang saya jumpa memang semua hal dalam rumah tangga suami yang buat. Penat balik kerja dari kebun, dialah juga yang masak, angkat baju di ampaian, melipat baju, kemas rumah. Isterinya bekerja sebagai guru. Tetapi (insyaAllah) rumah tangganya bahagia sahaja. Si suami okay dengan isterinya dan meredhai isterinya, dia memang tak suka lihat isterinya bersusah payah, katanya.
Bagi isteri, keredhaan suami. Itu point paling penting. Suami ikhlas dan redha. Mereka okay dengan cara rumahtangga mereka. Walhal orang luar selalu mengutuk isterinya sebagai pemalas dan sebagainya.
Tetapi apa yang pasangan ini buat? Mereka buat tak endah komen orang lain. Rumah tangga kami, cara kami. Asalkan tak salah di sisi agama, kita proceed.
Isteri Buat Semua Benda
Ada pasangan pula seperti yang saya ceritakan di atas tadi. Serba serbi semua isteri yang buat. Kuku pun isteri yang potongkan. Sudahlah alatan rumah semuanya tradisional, hinggakan mahu menggulai pun perlu kait sendiri buah kelapa sampailah mesin, memerah santan semuanya secara manual. Tetapi tidak pula isteri ini merungut. Memang semuanya dilakukan dengan rela dan ikhlas, walau mungkin ada wanita yang komen, ‘dah macam hamba abdi!’
Ada pula yang sejak sah ikatan nikah, semua hal berkongsi bersama. Baik kerja rumahtangga mahupun hingga menguruskan anak-anak, semuanya dilakukan bersama-sama. Sangat kontra kan?
Jadi, rumahtangga yang mana yang paling bagus antara semua ini? Jawapannya? Rumahtangga yang saling meredhai dan diredhai, saling membahagiakan kedua pihak suami isteri. Sebab rumahtangga ini didasari atas dua jiwa.
Jika cara sedemikian dipersetujui, diredhai bagi keduanya, siapalah kita sebagai orang luar mahu komen itu ini. Kita ada cara masing-masing.
Jika rumah tangga kita begini, itu rumah tangga kita, bukannya rumah tangga mereka. Cukuplah kita faham itu serta belajar hormat cara dan prinsip orang lain.
Dulu, saya juga sejenis yang cepat juga melenting andai terbaca bab-bab merajakan orang lelaki ni. Namun, sekarang sudah slow sikit. Mungkin atas faktor melihat dari sudut pandang berbeza.
Jika semuanya okay, then ‘go on’ dengan cara kita walau orang lain kritik begitu begini. Hal ini kerana, keikhlasan dan rasa bahagia yang lahir di dalam hati bukanlah boleh dibuat-buat.
Jalani hidup kita dengan cara kita sendiri, asalkan masih berpaksikan matlamat mengejar redha Ilahi. Sesungguhnya Allah Lebih Mengetahui apa di dalam hati – setiap dari kita.
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!