“TERUK pagi tadi aku muntah-muntah, selera makan pun tak ada sejak isteri mengandung‚” kata rakan penulis dan menyebabkan kami yang masih bujang ini tertanya-tanya, siapa yang mengandung?

Namun, itulah situasi yang berlaku pada rakan penulis ketika fasa awal kehamilan isterinya dan perkara itu juga memberi pengalaman baharu kepadanya yang bakal menimang cahaya mata pertama.

Cerita kejadian yang berlaku pada rakan penulis itu sebenarnya tidak bernoktah. Seorang lagi rakan sepejabat wanita memberitahu, suaminya juga mengalami alahan sewaktu dia mengandung. Lebih menarik, suaminya mengalami alahan sebelum dia mengetahui dirinya hamil.

“Sudah dua hari badan rasa tidak sihat, awak mengandung ke? Saya hanya diam kerana saya sendiri tidak pasti. Selepas jalani pemeriksaan, saya sah mengandung anak ketiga! Selepas seminggu baru alahannya hilang perlahan-lahan,” cerita rakan penulis.

Sayang Sangat, Isteri Mengandung, Kenapa Suami Yang Alah Dan Mabuk

Mengulas mengenai perkara itu, Pakar Perbidanan dan Sakit Puan, Felo Kesuburan dan Onkofertiliti Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Mohd Faizal Ahmad berkata, alahan isteri sewaktu mengandung adalah perkara yang tidak dapat dielakkan kerana peningkatan hormon kandungan yang dirembeskan uri.

Beliau berkata, ia mengakibatkan alahan terutama pada awal kehamilan dan sekiranya serius, boleh menjejaskan kesihatan ibu dan juga janin.

“Gejala muntah, pening dan kembung perut sering dialami oleh isteri dan tidak kurang juga yang langsung tidak berselera untuk makan dan minum hingga memerlukan rawatan susulan di hospital.

“Selepas melihat keadaan isteri, tidak mustahil suami juga mengalami simptom yang sama atau ada ketika lebih teruk berbanding isteri. Suami mungkin mengalami muntah-muntah, pening dan sakit perut yang berpanjangan. Walaupun seakan-akan serupa, dari segi proses patologi, jelas sekali berlainan,” katanya.

IKLAN

Jelas pakar itu, secara umumnya, alahan si suami lebih menjurus kepada kecenderungan penglihatan yang membawa ke kedatangan simptom (psikosomatik) dari faktor peningkatan hormon seperti si isteri.

“Sebagai contoh, jika suami melihat isteri muntah atau pening, dia pun secara semula jadi akan mengalami simptom yang sama disebabkan pengamatan terhadap gejala yang dialami isteri.

“Kalau teruk simptomnya, maka teruk jugalah simptom si suami. Tindak balas hormon yang berlaku lebih menjurus deria penglihatan dan refleksi sebagai simptom jasmani,” katanya.

Walaupun jarang didengari atau dibahaskan, kesan alahan terhadap si suami adalah perkara yang sudah lama dibincangkan dari pada sudut perubatan seawal 1920-an lagi.

IKLAN

Katanya, ketika itu, pakar perubatan Perancis, Sir Couvade menamakan sindrom itu sebagai ‘Sindrom Couvade’. Berdasarkan kajiannya, kebanyakan lelaki turut merasai simptom seperti alahan isteri terutama jika isteri orang yang dominan dalam rumah tangga.

“Menurut beliau juga, kebanyakan kes berlaku pada individu yang mempunyai latar belakang kemurungan, kebimbangan, sifat terlampau taasub menjadi bapa atau kandungan yang ditunggu-tunggu.

“Pengkaji itu mendapati simptom seperti peningkatan berat badan, kesukaran tidur dan muntah pada waktu pagi adalah antara yang kerap berlaku dalam kalangan suami. Jika serius, si suami turut berasakan sakit kelahiran dan depresi sejurus lepas kelahiran seperti yang dialami isteri.

“Bagaimanapun, sindrom ini tidak dijuruskan sebagai‚‘penyakit sebenar’ kerana ia dikategorikan sebagai sindrom psikosomatik yang membabitkan emosi dan perasaan yang merangsang tubuh menghasilkan simptom seakan-akan penyakit jasmani‚” katanya.

IKLAN

Tambahnya, menurut kajian perubatan juga, sekiranya berlaku, secara rambang, ia berlaku pada awal kehamilan sahaja kerana ketika itu otak mengamati simptom yang dialami isteri.

Katanya, kebanyakan simptom dihadapi si suami adalah terhad dan singkat. Namun, ada sesetengah suami mengalami simptom yang lebih panjang disebabkan faktor sedia ada seperti mengalami penyakit kemurungan, kerisauan menjadi bapa dan faktor genetik.

“Justeru, nasihat perubatan diperlukan jika keadaan ini berlarutan dan memberi impak kepada kualiti kehidupan si suami. Secara khusus, tiada cara pencegahan lazim yang boleh dicadangkan.

“Kaedah pencegahan melalui terapi minda adalah paling kerap disarankan dengan si suami perlu berfikiran positif dan tidak terbawa-bawa simptom yang ditunjukkan isteri ketika mengalami alahan.

“Secara keseluruhannya, situasi ini boleh berlaku di mana-mana sahaja. Tidak khusus kejadian hanya di Malaysia atau di negara Asia kerana taburan geografi jelas tidak mempengaruhi kecenderungan mendapat penyakit ini,” katanya.

Dr Faizal berkata, situasi itu bukan mitos memandangkan ia adalah fakta yang perlu diketahui dan dikenal pasti oleh semua lapisan masyarakat. Secara amnya, perkara itu adalah antara masalah emosi yang bersifat sementara.

“Sekiranya berlarutan dan serius, nasihat pakar terutama psikiatri adalah perlu di samping bantuan ubat-ubatan untuk melegakan simptom dan memastikan keharmonian rumah tangga,” katanya.

Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI