Tips Bercinta Semasa Belajar Di Universiti

Jika anda bertemu dengan bakal jodoh semasa masih belajar di universiti, maka anda haruslah belajar menguruskan perasaan cinta anda dengan betul. Ini kerana cinta boleh menyebabkan pelajaran anda terabai jika tidak diurus dengan baik. Namun saya juga tidak menafikan ada orang yang boleh berjaya di dalam pelajaran dek motivasi cinta dan saling bersaing dengan bakal pasangan.

Berikut pula adalah tips bagi mereka yang memerlukan panduan bagi menguruskan perasaan cinta semasa masih belajar di universiti.

Sebenarnya Ramai Bercinta Masa Zaman Belajar Dan Akhirnya Berkahwin

1. Jaga Batas Pergaulan Dan Had Yang Dibenarkan Islam

Ini adalah perkara pertama yang mesti diberi perhatian bagi pasangan yang bercinta. Anda boleh ada perasaan cinta namun mestilah menjaga etika sebagai seorang Muslim. Jangan buat perkara-perkara yang dilarang dalam agama Islam seperti berdua-duaan di tempat sunyi, berpegang tangan dan sebagainya. Perkara inilah yang memberi fitnah kepada perasaan cinta.

IKLAN

2. Bercinta Dengan Rakan Sekelas

Jika anda bercinta dengan rakan sekelas elakkan terlalu rapat dengan pasangan. Keakraban untuk bersama jangan terlalu menonjol. Hal ini mungkin akan membuatkan rakan-rakan sekelas yang lain merasa kurang senang dengan sikap anda berdua. Misalnya di dalam kelas anda duduk berdua, makan di kafe berdua, buat tugasan ‘assignment’ berdua tanpa bersosial dengan rakan-rakan yang lain.

3. Jangan Bercinta 24 jam

Bertanya khabar tentang si dia sekali sekala tiada masalah tetapi jangan berlebihan. Tidak perlu untuk menelefon, sms atau sembang menerusi ‘whatsapp’ 24 jam sehari. Dahulukan pelajaran berbanding perasaan. Tidak semestinya semua benda anda perlu tanya dan bagitahu bakal pasangan anda itu. Uruslah masa anda dengan baik. Adakan ruang untuk diri sendiri dan bersahabat dengan orang lain. Jangan terlalu emosi sehingga membuatkan kawan-kawan lain akan menjauhkan diri.

IKLAN

4. Tambah Ilmu Agama Dan Pengetahuan

Di universiti juga biasanya diadakan banyak ceramah atau kuliah berkenaan ilmu agama selain daripada kuliah-kuliah akademik yang dijalankan. Ambil peluang untuk mengikuti aktiviti sebegini bagi menambah ilmu agama dan pengetahuan anda. Ia boleh dikira sebagai salah satu persediaan anda untuk menempuh alam perkahwinan nanti.

5. Memilih Kawan Yang Baik

Mempunyai kawan yang baik akan memberi kesan yang baik juga kepada anda. Pepatah Arab ada menyebutkan, “jika kita berkawan dengan penjual minyak wangi kita akan berbau wangi dan jika berkawan dengan tukang besi kita akan terasa bahangnya.” Oleh sebab itu, penting untuk memilih kawan yang baik. Kawan yang baik mampu memberi kata-kata nasihat kepada anda dalam perhubungan anda dengan si dia.

IKLAN

6. Jangan ‘Cinta Monyet’

Jangan bercinta seperti cinta monyet atau tidak serius dalam perhubungan. Anda sepatutnya sudah matang dan pandai membezakan baik dan buruk sesuatu perkara. Tidak perlu banyak merajuk, ‘gedik’ atau mengada-ngada dengan bakal pasangan anda. Perasaan cinta yang ada mestilah dengan niat untuk berkahwin bukan main-main.

7. Tidak Perlu Menghebohkan Perhubungan

Elakkan untuk menunjuk-nunjuk kepada orang ramai tentang perhubungan anda dengan si dia seolah-olah hanya anda yang mempunyai kekasih. Si dia sebenarnya belum tentu akan menjadi suami atau isteri anda. Pelbagai kemungkinan boleh berlaku selagi ikatan perkahwinan belum sah. Bercinta biarlah secara berpada-pada.

Inilah beberapa tips yang sempat saya senaraikan sebagai rujukan jika anda jatuh cinta semasa belajar. Sekali lagi saya tegaskan, batas-batas pergaulan semasa bercinta mesti dijaga. Apa yang lebih penting sandarkan cinta anda kepada Allah S.W.T. dan sentiasa berdoa agar Allah S.W.T. menemukan anda dengan jodoh yang baik.

Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI