
Menyediakan senarai tetamu mungkin kelihatan seperti perkara kecil dalam perancangan perkahwinan. Namun, apabila jumlah undangan melebihi kapasiti dewan dan peruntukan semakin melebihi kos, perkara inilah yang sering mencetuskan perbezaan pendapat antara pasangan pengantin dengan ibu bapa.
Pengantin tentunya mahu hari bahagia mereka diraikan bersama sahabat dan individu yang benar-benar dekat di hati. Ibu bapa pula mempunyai senarai tersendiri, daripada saudara-mara dan jiran tetangga sehinggalah kenalan lama yang dirasakan wajar diundang.
Persoalannya, siapakah yang sepatutnya mempunyai kata putus dalam menentukan tetamu majlis perkahwinan?
Secara dasarnya, keputusan tersebut tidak seharusnya dikuasai oleh satu pihak sahaja. Meskipun pasangan pengantin merupakan individu yang diraikan, perkahwinan dalam budaya masyarakat kita turut melibatkan penyatuan dua buah keluarga.
Justeru, jalan terbaik adalah dengan menyediakan senarai tetamu secara bersama, mengambil kira kehendak pengantin, pandangan ibu bapa serta kemampuan kewangan.
Sebelum memikirkan siapa yang mahu diundang, pasangan dan keluarga perlu menentukan bajet serta kapasiti lokasi terlebih dahulu. Jumlah tetamu memberi kesan langsung terhadap kos katering, kerusi dan meja, cenderahati serta keperluan lain.
Jika lokasi hanya mampu menampung 500 orang, senarai undangan perlu disesuaikan dengan jumlah tersebut. Jangan disebabkan mahu menjaga hati semua pihak, majlis akhirnya diadakan di luar kemampuan atau tetamu terpaksa berhadapan dengan keadaan yang kurang selesa.
Ingat! Jangan semata-mata memenuhi kehendak untuk mengundang ramai tetamu pengantin terpaksa melakukan pinjaman peribadi. Perkara ini harus dielakkan kerana sebuah perkahwinan tidak sepatutnya dimulakan dengan beban hutang yang akhirkan akan menjerat diri sendiri.
Kaedah paling praktikal adalah dengan membahagikan kuota tetamu antara kedua-dua keluarga dan pasangan pengantin. Pembahagian itu tidak semestinya sama rata, sebaliknya boleh disesuaikan mengikut saiz keluarga, pihak yang menjadi tuan rumah dan jumlah sumbangan terhadap majlis.
Sebagai contoh, ibu bapa boleh diberikan peruntukan untuk saudara-mara, sahabat serta jiran, manakala pengantin menyediakan senarai rakan sekolah, teman universiti dan rakan sekerja. Dengan menetapkan jumlah lebih awal, setiap pihak mengetahui batas masing-masing dan dapat mengelakkan pertambahan tetamu pada saat akhir.
Ahli keluarga terdekat dan sahabat yang sentiasa hadir dalam kehidupan pasangan sewajarnya diberikan keutamaan. Selepas itu, barulah senarai diperluaskan kepada saudara jauh, rakan sekerja, jiran serta kenalan keluarga.
Sekiranya masih sukar membuat pilihan, tanyakan sama ada individu tersebut masih mempunyai hubungan yang baik dengan pengantin atau keluarga. Jika sudah bertahun-tahun tidak berhubung, malah pengantin sendiri hampir tidak mengenalinya, nama berkenaan mungkin boleh diletakkan dalam senarai kedua.
Ada pasangan berasakan mereka wajib menjemput seseorang hanya kerana pernah menghadiri majlis perkahwinan individu tersebut. Hakikatnya, undangan bukanlah hutang sosial yang perlu dibalas tanpa mengambil kira keadaan semasa.
Begitu juga dengan tanggapan bahawa semua rakan sepejabat atau kenalan dalam sesuatu kumpulan mesti dijemput. Jika bajet dan ruang tidak mengizinkan, pasangan tidak seharusnya dibebani rasa bersalah.
Cukuplah memberikan penjelasan secara sopan sekiranya perkara tersebut dibangkitkan. Kebanyakan individu dapat memahami bahawa setiap majlis mempunyai batas peruntukan dan kapasiti.
BACA JUGA: Usah Rahsiakan Pernikahan, Hebahan Bukan Tanda Bermegah Tetapi Mengelakkan Fitnah
Bagi ibu bapa, majlis perkahwinan anak bukan sekadar hari untuk menyambut menantu, malah menjadi kesempatan menghimpunkan saudara-mara dan kenalan yang pernah hadir dalam perjalanan hidup keluarga. Hasrat itu wajar dihormati.
Bagaimanapun, ibu bapa juga perlu memahami bahawa setiap nama yang ditambah membawa kos. Jika pengantin menanggung sebahagian besar perbelanjaan, suara dan kemampuan mereka perlu diberikan pertimbangan sewajarnya.
Pengantin pula tidak seharusnya terus menolak senarai yang dikemukakan ibu bapa tanpa perbincangan. Jelaskan kekangan dengan baik dan cari jalan tengah agar tiada pihak berasa tersisih daripada majlis yang sepatutnya diraikan dengan kegembiraan.
Akhirnya, tiada siapa yang seharusnya memiliki kuasa mutlak dalam menentukan senarai tetamu. Kata putus terbaik hadir menerusi perbincangan matang antara pengantin dengan kedua-dua belah keluarga.
Majlis perkahwinan hanya berlangsung sehari, tetapi perselisihan yang tidak diselesaikan dengan baik boleh meninggalkan kesan lebih lama. Oleh itu, susunlah senarai berdasarkan kemampuan, keutamaan dan rasa hormat, bukan semata-mata mahu memenuhi kehendak semua orang.