Kini wanita sebagai sumber kewangan buat keluarga bukan lagi isu baharu. Keterbukaan peluang membuatkan keinginan wanita untuk berjaya dalam kerjaya. Ini menjadikan gaji isteri lebih besar daripada suami sebagai salah satu daripada fenomena biasa berlaku di kalangan masyarakat kita.
Apabila gaji isteri lebih besar daripada suami, ada beberapa hal yang harus diperhatikan agar ia tidak mendatangkan masalah dalam hubungan rumah tangga. Berikut merupakan beberapa tip agar suami tidak rasa rendah diri walaupun isteri memiliki gaji yang lebih besar daripada dirinya.
Hindari pertelingkahan yang membabitkan perihal pendapatan keluarga, baik antara anda berdua, di hadapan anak, apatah lagi di depan orang lain.
Cuba wujudkan simpanan bersama untuk sistem kewangan rumah tangga. Simpanan tersebut perlulah diisi bersama antara suami dan isteri. Maka tidak akan wujud perbandingan yang ketara berkaitan duit.
Wujudkan peruntukan yang berbeza. Contohnya, gaji isteri digunakan untuk pembiayaan persekolahan anak, membeli baju keluarga atau untuk bercuti. Sementara gaji suami diperuntukkan untuk keperluan harian seperti barangan rumah, makan dan pengangkutan.
SETINGGI MANA PUN GAJI ISTERI, JANGAN SESEKALI ‘PIJAK’ KEPALA SUAMI!
NEGATIF DAN POSITIFNYA
IKLAN
Realiti ini tidak ini seharusnya menjadi punca kewangan. Pasangan seharuslah sama-sama berjuang untuk mendapatkan kehidupan keluarga yang menggembirakan.
Zaman sekarang tak hairan jika gaji isteri lebih besar daripada gaji suami. Apa kesannya kepada kaum lelaki? Apakah tugas mencari nafkah kini sudah bertukar tangan?
Secara tradisi dan dalam ajaran Islam sekalipun, tanggungjawab untuk mencari rezeki dan menyara keluarga masih dipikul oleh suami. Namun tidak dinafikan, ada juga wanita yang ringan tulang dan sanggup bekerja untuk mencari rezeki bagi meringankan beban suami untuk menyara keluarga.
Soal isteri menolong suami untuk menambahkan pendapatan keluarga sudah lama kita dengar. Tapi di zaman sekarang bukanlah satu yang menghairankan apabila gaji isteri lebih besar daripada gaji suami. Si isteri kini mampu bekerja dan berjawatan besar di pejabat, manakala si suami cuma bekerja sebagai suami.
IKLAN
Jika difikirkan dari sudut positif, ini adalah kelebihan buat keluarga dan suami. Sebab isteri banyak membantu dalam meringankan beban ekonomi keluarga. Apa yang kurang, isteri boleh bantu menambahkan serba sedikit.
Si suami pula tidak mengharapkan duit isteri, namum apa salahnya jika si isteri sudi bersedekah untuk kebaikan dan kebahagiaan keluarganya juga, demi kelangsungan kehidupan sekeluarga.
Namun, berapa ramaikah suami yang berhadapan dengan situasi ini mampu bersikap positif? Dalam bercerita bab positif, bab negatif pun ada banyaknya juga.
IKLAN
Dari sudut negatif seorang suami akan rasa tercabar kerana sebagai ketua keluarga dan seorang lelaki, dia tidak mampu menyara keluarga dengan sepenuhnya, malah perlu mendapatkan bantuan isteri. Mungkin timbul sedikit rasa rendah diri dan rasa terhina apabila isteri selalu mengungkit.
Dari sudut negatif seorang isteri pula, mungkin isteri akan rasa dirinya hebat dan megah kerana walaupun dia cuma seorang wanita, namun bergaji lebih besar dan segala harta seperti rumah, barangan perabot, kereta mewah semuanya dimiliki olehnya.
Jadi rasa hormat isteri kepada suami menjadi semakin berkurangan, malah sering memperlekehkan peranan suami seperti ketua keluarga. Dan lebih teruk lagi apabila suami terpaksa mengikut apa sahaja keputusan isteri. Lebih negatif apabila suami hanya tahu makan duit isteri. Duit gajinya digunakan untuk joli sakan, sedangkan duit isteri digunakan untuk perbelanjaan rumah.
Secara positifnya, tiada salah jika isteri bergaji besar dan berjawatan besar, namun yang penting setiap suami isteri haruslah menjaga peranan dan tanggungjawab masing-masing sebagai suami isteri.
Suami janganlah mengharapkan duit isteri, tapi jadikan itu sebagai backup jika ada kecemasan atau duit belanja tidak cukup. Isteri juga perlulah tahu menghormati suami. Walaupun gaji suami kecil dan kerja biasa-biasa sahaja, di rumah suami tetap berperanan sebagai ketua keluarga. Ingat isteri! Setinggi mana pun gaji anda, jangan sesekali ‘memijak’ kepala suami.
Kisah rumah tangga memang menjadi perhatian ramai. Namun ia tidak wajar diperkatakan atau dijadikan ‘bahan membawang’ seolah-olah kehidupan masing-masing cukup sempurna.
Sejak akhir-akhir ini semakin banyak isu rumah tangga menjadi bualan warga maya apatahlagi jika ianya melibatkan selebriti. Bukan ‘main’ seronok lagi bila masing-masing bercerita tentang perihal rumah tangga orang seolah-olah tahu serba-serbi.
Tidak dapat dinafikan, kisah pergolakan rumah tangga semakin mengungguli carian paling popular di internet terutama media sosial. Ada yang memuat naik status mengenai kecurangan pasangan, membuat ‘live’ di platform media sosial untuk meluahkan perasaaan, malah ada yang memuat naik bukti kesalahan suami atau isteri dengan alasan ia jalan terakhir untuk menyelamatkan perkahwinan.
Berhentilah dari mentertawakan rumahtangga orang, jodoh orang, pernikahan orang, perceraian orang. Berhenti juga dari dijadikan bahan penulisan dan ”mengumpulkan” banyak kata-kata tidak baik (sama-sama mentertawakan) perihal orang lain.
1. Seandainya kita sedang punya pasangan pada saat ini, syukuri lah. Jika kamu sedang memiliki maka hargailah ia dengan sebaik mungkin. Jangan sampai kamu kehilangannya nanti.
2. Semua pasangan di dunia ini hanyalah bersifat pinjaman. Apa yang kita sedang lihat berlaku kepada orang lain, boleh berlaku kepada kita sendiri. Boleh jadi nanti. Boleh jadi esok. Mudah sangat bagi Allah untuk mengubah hati sesiapa pun, termasuk hati mu sendiri.
3. Kadang ujian datang kepada kita, hanya kerana kelalaian kecil yang pernah kita lakukan. Membuat jenaka tentang orang, menjadikan kisah hidup orang lain sebagai tulisan lawak. Padahal banyak perkara yang kita tidak tahu. Penilaian kita hanya dari apa yang kita baca dan ia tidak semestinya benar.
4. Seorang isteri memang sebaiknya manja dengan suami. Menjadi manja dengan pasangan bukanlah suatu hal yang bodoh. Suami sukakan isteri yang bijak, manja tetapi bertempat. Berkasih sayang dalam rumahtangga adalah perbuatan yang sangat baik. Tidak ada yang lucu tentang itu. Isteri yang baik adalah isteri yang membahagiakan dan tenang apabila dipandang.
5. Jodoh, ajal dan maut, semuanya adalah ketentuan Allah.
6. Jangan pernah takut kehilangan orang. Kalau kita sudah berikan yang terbaik (semampu mungkin), bukan kita yang kehilangan mereka. Tetapi mereka yang kehilangan kamu. Teruskan menjadi seorang yang baik. Jadi “ex” yang baik.
7. Selalu ingatkan diri. Semua di dunia hanyalah pinjaman. Tidak ada yang abadi melainkan Allah. Dan ketidakabadian itu sendiri.
8. Hati-hati dengan penulisan. Boleh jadi ia menjadi timbangan yang membantumu ke syurga Allah.
9. Setiap kali membaca tentang ujian rumah tangga orang lain, segera berdoa agar kita dijauhkan dari hal yang tidak baik. Belajar memperbaiki diri dan bukan menghukumi. Kita semua tidak sempurna.
10. Satu hal yang lelaki harus tahu, bukan kekayaan yang menjadi buruan wanita matang. Tetapi keikhlasan, keperibadian yang baik, keimanan. Tidak juga berharap kepada kesetiaan, cukuplah dengan kejujuran dan keikhlasan. Tidak langsung memandang kepada rupa, yang penting hati yang mulia. Wang boleh dicari, asal dia rajin berusaha.
Assalamualaikum. Saya ingin bertanya. Saya mempunyai kakak ipar dan baru berkahwin dengan lelaki lain baru-baru ini dengan menggunakan wali hakim. Dia baru memberitahu tentang perkahwinannya kepada keluarga kami. Dia tinggal di Kuala Lumpur dan berkahwin di Kuala Lumpur. Wali aqrab (bapanya) tinggal di Pulau Pinang, tetapi wali ab’ad (suami saya) yang memenuhi kriteria wali tinggal tidak lebih 15km dari kakak ipar saya.
Persoalan saya, adakah sah perkahwinan ini jika wali aqrab masih hidup dan sihat berada di Pulau Pinang dan wali ab’ad memenuhi syarat tinggal berdekatan dengan wanita itu?
Kredit: CST Production
JAWAPAN
Muqaddimah
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.
Kewujudan wali adalah wajib semasa aqad nikah dan ia merupakan salah satu daripada rukun aqad nikah. Perkahwinan seorang perempuan sama ada dewasa atau masih kecil, janda ataupun dara, hendaklah diaqadkan oleh walinya. Ini berdasarkan hadis daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: “Seorang perempuan tidak harus mengahwinkan perempuan lain dan tidak harus mengahwinkan dirirnya sendiri.”
Riwayat al-Daraqutni (3/227) Ibn Majah (1882) dan rijalnya thiqah
Merujuk kitab al-Fiqh al-Manhaji [4/62], apabila seorang perempuan mengahwinkan dirinya sendiri tanpa wali, perkahwinan adalah batal dan kedua-duanya wajib dipisahkan. Ini adalah pendapat majoriti fuqaha’ kecuali mazhab Hanafi. [Lihat: al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh 9/6698]
Ini berdasarkan hadis daripada Aisyah RA, RAsulullah SAW bersabda:
Maksudnya: “Mana-mana perempuan yang berkahwin tanpa izin walinya, perkahwinan tersebut adalah batal.” Baginda mengulanginya sebanyak tida kali. “Apabila disetubuhi oleh pasangannya, dia berhak menerima mas kahwin bagi menghalalkan farajnya. Jika berlaku perbalahan tentang wali, maka sultan ialah wali kepada mereka yang tidak berwali.”
Riwayat Abu Daud (2083)
Kami simpulkan beberapa sebab yang mengharuskan untuk berwalikan hakim yang dirujuk dari kitab al-Fiqh al-Manhaji dan beberapa kitab yang lain:
Keengganan wali dalam pernikahan
Jika wali enggan walaupun wali merupakan bapanya sendiri, perkahwinan tersebut diwalikan oleh sultan. Hal ini kerana mengahwinkan perempuan dengan yang sekufu adalah tanggungjawab wali. Jika mereka enggan menunaikan tanggungjawab, maka hakimlah yang perlu melaksanakannya.
Menurut Imam al-Nawawi:
فإن فقد المعتق وعصبته زوج السلطان. وكذا يزوج إذا عضل القريب والمعتق وإنما يحصل العضل إذا دعت بالغة عاقلة إلى كفء وامتنع
Maksudnya: Sekiranya ketiadaan tuan (pembebas hamba) atau asobah (wali keturunan), sultan yang akan mengahwinkan. Begitu juga sultan akan mengahwinkan sekiranya wali yang dekat dan pembebas enggan mengahwinkan, keengganan berlaku bilamana perempuan yang baligh dan berakal ingin berkahwinan dengan yang sekufu dan wali melarang.
[Lihat: Minhaj al-Tolibin hal. 207]
Namun jika perempuan ingin berkahwin dengan seorang yang tidak sekufu dengannya, maka wali boleh menghalangnya dengan enggan mengahwinkannya dengan lelaki tersebut. Ini kerana wali mempunyai hak dalam memilih pasangan yang sekufu. [Lihat: Mughni al-Muhtaj 4/253]
Ketiadaan wali nasab
Apabila wali nasab tiada, maka hak perwalian berpindah kepada qadhi, kerana dia dilantik untuk melaksanakan kepentingan orang Islam.
Susunan atau tertib wali perempuan yang sah mengikut Hukum Syarak adalah seperti berikut:
Bapa Kandung.
Datuk Sebelah Bapa Ke Atas.
Adik Beradik Lelaki Seibu-sebapa.
Adik Beradik Lelaki Sebapa.
Anak Saudara Lelaki Seibu-sebapa.
Anak Saudara Lelaki Sebapa.
Anak Lelaki Kepada Anak Saudara Lelaki Seibu-sebapa.
Anak Lelaki Kepada Anak Saudara Lelaki Sebapa.
Bapa Saudara Sebelah Bapa Seibu-sebapa.
Bapa Saudara Sebelah Bapa Sebapa.
Datuk Saudara Sebelah Bapa Seibu-sebapa Dengan Datuknya.
Datuk Saudara Sebelah Bapa Sebapa Dengan Datuknya.
Moyang Saudara Sebelah Bapa Seibu-sebapa Dengan Moyangnya.
Moyang Saudara Sebelah Bapa Sebapa Dengan Moyangnya.
Anak Lelaki Bapa Saudara Sebelah Bapa Seibu-sebapa (Sepupu lelaki).
Anak Lelaki Bapa Saudara Sebelah Bapa Sebapa (Sepupu lelaki).
Cucu Lelaki Bapa Saudara Sebelah Bapa Seibu-sebapa.
Cucu Lelaki Bapa Saudara Sebelah Bapa Sebapa.
Anak Datuk Saudara Sebelah Bapa Seibu-sebapa Dengan Datuknya.
Anak Datuk Saudara Sebelah Bapa Sebapa Dengan Datuknya.
Wali Hakim.
(Lihat: al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’e, 4/61)
Wali aqrab (yang terhampir) tidak cukup syarat-syarat menjadi wali dan ketiadaan wali ab’ad
Seorang wali yang mempunyai hak untuk mengahwinkan perlu memenuhi syarat-syarat wali iaitu Islam, seorang yang adil, baligh, berakal, tiada penyakit yang mencacatkan fikiran, tidak terhalang dari menguruskan hartanya kerana boros (السفه) dan bukan dalam keadaan ihram haji atau umrah.
Wali aqrab berada di tempat yang jaraknya lebih dua marhalah atau wali dalam keadaan berihram haji atau umrah
Berkata Imam Abi Ishak al-Syirazi:
إن غاب الولي إلى مسافة تقصر فيها الصلاة زوجها السلطان ولم يكن لمن بعده من الأولياء أن يزوج لأن ولاية الغائب باقية ولهذا لو زوجها في مكانه صح العقد وإنما تعذر من جهته فقام السلطان مقامه
Maksudnya: Sekiranya tidak ada wali (berada) pada jarak yang membolehkan untuk solat qasar (dua marhalah), maka sultan yang mengahwinkan perempuan itu. Dan tidak boleh wali yang setereusnya (wali ab’ad) mengahwinkan kerana hak perwalian wali yang tiada (berada jauh dua marhalah) masih kekal. Oleh itu, sekiranya wali mengahwinkan perempuan itu dengan menggantikan tempat wali, maka sah aqad tersebut. Hal ini kerna ada keuzuran daripada wali maka sultan mengambil tempatnya (menjadi wali).
[Lihat: al-Muhazzab 2/429]
Begitu juga jika wali dalam keadaan ihram, maka hakim akan mengambil tempatnya untuk mengahwinkan perempuan tersebut kerana hak wali masih kekal kepada wali aqrab dan tidak berpindah kepada wali yang seterusnya.
Imam al-Muti’ie menyatakan bahawa sekiranya seorang perempuan mempunyai dua orang wali, maka perwalian diberikan kepada yang lebih aqrab (hampir) seperti dalam pewarisan, dan jika dikahwinkan oleh wali yang seterusnya, maka perkahwinan tersebut tidak sah. [Lihat: al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab 16/162]
Namun, jika wali aqrab berada kurang dua marhalah, maka hakim tidak boleh melaksanakan perkahwinan itu kecuali dengan izin wali. Ini kerana jarak perjalanan yang singkat dan wali perlu dirujuk sama ada hadir sendiri atau mewakilkannya. [Lihat: al-Fiqh al-Manhaji 4/63-70]
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-52 yang bersidang pada 1 Jul 2002 telah membincangkan Perkahwinan Lari Meninggalkan Wali Lebih Dua Marhalah Mengikut Mazhab Al-Syafie. Muzakarah telah memutuskan bahawa perkahwinan yang dilakukan oleh jurunikah yang diiktiraf oleh pihak berkuasa bagi pasangan yang berjauhan dari wali lebih dari dua marhalah adalah sah menurut mazhab Al-Syafie.
Begitu juga perkahwinan yang dilakukan di luar negara Malaysia seperti kahwin lari di selatan Thailand. Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (Jawatankuasa Muzakarah MKI) telah memutuskan bahawa hukum pernikahan di luar negara adalah sah dengan syarat:
1. Pernikahan itu mengikut rukun nikah.
2. Pernikahan itu melebihi dua marhalah.
3. Tiada keputusan mahkamah yang menghalang perempuan itu berkahwin di atas alasan syarak di tempat dia bermustautin.
4. Pernikahan itu dilakukan oleh wali hakim yang diiktiraf oleh wilayah negara berkenaan dan diakad nikahkan di wilayah berkenaan di mana ia ditauliahkan sebagai wali hakim,
Penutup
Tuntasnya, tidak sah aqad nikah tanpa wali, dan seorang perempuan tidak boleh mengahwinkan dirinya atau perempuan yang lain. Perkahwinan yang dilakukan di dalam kawasan di mana wali aqrab dari segi nasab seperti bapa atau datuk kepada perempuan bermastautin hendaklah dilakukan dengan izin daripadanya.
Namun, jika perempuan tersebut keluar daripada kawasan tersebut sejauh dua marhalah, hak perwalian tidak berpindah kepada wali seterusnya, maka perkahwinan tersebut sah dengan berwalikan hakim yang diiktiraf di kawasan tersebut walaupun tanpa mendapatkan persetujuan wali.
Walaubagaimanapun, kami menasihatkan kepada setiap pasangan yang ingin berkahwin untuk menghormati dan mendahulukan wali aqrab yang sedia ada. Ini juga untuk menjaga keharmonian dalam hubungan kekeluargaan.
Semoga Allah SWT memberikan kita kefahaman yang jelas dan sahih dalam memahami syariat Islam. Wallahua’lam.
Majlis pernikahan adalah momen terindah antara anda dan pasangan kerana ia menjadi permulaan hidup anda berdua. Terjadi hanya sekali seumur hidup dan sentiasa menjadi ingatan sepanjang hayat.
Ikuti beberapa panduan untuk anda berkenaan majlis akad nikah.
1. Mengikut adat, ketika upacara membatalkan air sembahyang, kebiasaanya lelaki mencium dahi pengantin perempuan. Apakah hukumnya perbuatan itu?
Upacara membatalkan air sembahyang sebenarnya adalah acara adat yang diamalkan sejak dulu kala.
Realitinya, mungkin tidak berlaku pembatalan air sembahyang sebab antara pengantin tersebut tidak mempunyai wudhuk dan kalaulah ada, tiada manfaatnya dibatalkan dengan sengaja.
Yang boleh difahami ialah upacara tersebut sebagai titik mula bagi membuktikan antara pengantin lelaki dan pengantin perempuan kini telah halal untuk bersentuhan. Harus hukumnya kerana tiada nas yang jelas menghalang atau memerintah perlakuan tersebut.
2. Bagi pasangan pengantin yang akan bernikah, pengantin perempuan perlu duduk berdekatan dengan pengantin lelaki agar memudahkan proses pertanyaan soalan oleh pihak kadii. Perlu ke terdapat etika yang betul seperti pengantin perempuan perlu duduk dibahagian kiri atau kanan pengantin lelaki?
Memang sewajarnya pengantin perempuan menyertai pengantin lelaki dan orang ramai terutama tika majlis akad nikah, bukan hanya untuk menjawab soalan tuan kadi tetapi untuk turut sama mendengar khutbah nikah dan takliq bakal diucap oleh si suami.
Etika yang tepat ialah berjauhan daripada pengantin lelaki kerana sebelum akad nikah sah, mereka belum lagi pasangan suami isteri. Memadai turut sama berada di dalam majlis dan mendengar dengan teliti segala yang dilafazkan.
3. Menyarung cincin di jari pengantin lelaki oleh pengantin perempuan juga satu amalan daripada tradisi kaum India.
Bagi menjaga adab, sebaiknya pengantin lelaki melutut dan aturannya, pengantin perempuan perlu menghulurkan tangannya untuk bersalam dengan si suami serta mencium tangan suami sebagai tanda, isteri yang bersedia untuk hidup setia di samping suami.
4. Bersolek sepatutnya hanya untuk menambah seri. Terlalu tebal dan menonjol sebenarnya lebih kepada menarik perhatian dan dalam keadaan diri sebagai pengantin yang bakal menjadi isteri kepada seseorang, hakikatnya seperti memperagakan diri yang sepatutnya hanya milik si suami.
Sebaiknya tidak bersolek keterlaluan. Bukan saja tika majlis malah hari-hari biasa. Ironiknya mereka yang jarang bersolek (sekadar mengenakan bedak nipis dan lipstik) akan nampak lebih berseri. walau hanya dengan solekan nipis. Bila terbiasa menyolek, solekan biasa-biasa memang tak memadai.
Buat para gadis, biasakanlah diri dengan solekan biasa agar detik anda sebagai pengantin menjadi saat sukar dilupa.
5. Gunakanlah kanta lekap yang biasa, bukan berwarna. Ingatlah! Tika akad nikah telah sah bererti setiap dosa isteri akan turut dipikul oleh si suami.
Jika benar sayangkan bakal suami, tampillah sederhana, tidak terlalu menjolok mata. Bukan saja sedap mata memandang tetapi agar ada barakah daripada-Nya untuk perkahwinan anda.