Tertarik dengan perkongsian viral dari penulis ini, kami sajikan untuk anda agar kita sama-sama memahami situasi yang memang benar-benar berlaku. Bacalah sehingga habis dan sama-sama kita hargai insan-insan yang terus menerus mencurah bakti tanpa mengira kepentingan peribadi. Terima kasih buat Warga Kerja Kementerian Kesihatan Malaysia dan seluruh pengamal perubatan.
KENAPA RAMAI DOKTOR & DOKTOR PAKAR TAK KAHWIN?
Baru balik dari Singapore Expo semalam. Tapi itu bukan ceritanya. Dari Singapore Expo, dapat kenal ramai doktor-doktor yang single. Tapi itu juga bukan isu besarnya. Trigger dalam kepala saya, kenapa saya juga ramai kenalan doktor-doktor wanita yang single sampai hari ini?
Bermula dari sebuah hospital kerajaan kerana itulah hospital terbaik yang ada dalam negara jika nak dibanding hospital swasta. Kerana terbaik, kena beratur sikit. Yang penting, terbaik untuk melahirkan ramai pakar-pakar.
Ramai pula kawan-kawan dah mula jadi pakar O&G. Tapi sampai hari ni, ramai pula yang tak kahwin-kahwin. Teringat tahun lepas semasa arwah Arman (anak istimewa kami) ditahan di NICU PPUKM dan di situ, saya selalulah menyinggah melawat anak dan isteri yang menjaga. Apapun, saya tulis secara general dan bukan untuk pakar O&G sahaja tapi semua pakar-pakar yang lain.
Sempat melihat di wad-wad lain ada doktor-doktor yang kena marah dengan pakar-pakar mereka. Itulah jalan yang mereka tempuh untuk menjadi seorang pakar. Episod lain, selalu lagi nampak doktor-doktor pula kena marah dengan pesakit dan keluarga pesakit. Lagi menarik, mereka juga boleh marah doktor pakar yang dilihat marah-marah doktor-doktor yang nak jadi pakar. Mereka juga ada perasaan dan mereka juga boleh marah. Tapi selalunya saya lihat, mereka mendiamkan diri apabila dimarah oleh keluarga pesakit atau pesakit. Mungkin itu etika mereka.
Ikutkan hati dan authority mereka boleh jer cakap macam menteri-menteri selalu cakap “Incik, kalau tak suka hospital di Malaysia ni, sila pergi ke hospital negara lain”. Tapi mereka pendam sahaja. Cakap pun, tak guna.
Ramai orang mahu anak mereka jadi doktor pakar, tetapi tak ramai nak terima hakikat anak mereka jadi doktor pakar tapi tak sempat nak memikirkan tentang kehidupan diri sendiri. Selalunya yang ada kawan lelaki, akhirnya tak menjadi ke next level. Rare species jer lelaki yang boleh ada girlfriend / tunang yang jumpa sebulan sekali pun susah. Mana ada masa nak pergi repeat cendol trip banyak kali. Silap-silap, sambil menyendol tu juga kena excuse tinggalkan tunang / boyfriend kerana ada patient yang dia jaga perlukan mereka. Dah, macam mana nak proceed to next level kecuali pasangannya sangat memahami ataupun pasangannya juga doktor di hospital yang sama.
Yang berkahwin pula kadangkala susah nak dapat masa untuk keluarga. Kahwin lambat itu sudah biasa. Saya bercerita tentang doktor wanita sebenarnya. Doktor lelaki tak risau sangat. Asal nama doktor sahaja, walaupun belum pakar semua orang dipinang akan terima tanpa perlu hantar borang taksiran LHDN sebagai bukti.
Bilik di hospital itulah selalunya jadi rumah mereka. Ada rumah elok di luarpun banyak isi angin dari isi orang. Life mereka terhad dalam dunia yang mereka pilih kerana tak ramai orang nak pilih dunia tu.
Mereka ni, manusia juga. Ada hati dan ada perasaan. Semua sekarang nak doktor pakar. Mereka korbankan diri untuk jadi pakar, sampai jadi pakar baru perasan umur dah dekat 40 tahun dan mereka lupa nak kahwin.
Saya sangat kagum dengan golongan ini yang meletakkan kepentingan orang lain mendahului kemahuan diri sendiri. Mereka korbankan keperluan naluri sendiri untuk hidup berkhidmat kepada orang yang mereka tidak kenali dengan gaji yang secara relatifnya rendah jika dikira dengan komitmen mereka. Sudahlah berkorban semua tu, jadi pula bahan untuk dimarah oleh pesakit dan keluarga pesakit. Kadang-kadang, bukan keluarga pesakit atau pesakit, tapi orang yang saja-saja nak viralkan video mereka yang kelihatan kasar semasa mengendalikan orang nak bersalin. Public kan nak kalau boleh, bini dia kangkang sahaja di labour room dan doktor cakap sahaja “Baby dipersilakan keluar dengan segala hormatnya”…terus keluar jer dengan lancar tanpa ada sekatan.
Alhamdulillah, dulu semasa saya jadi fotografer orang kahwin memang jarang-jarang dapat job doktor perempuan kahwin. Rupanya, mereka agak jarang kahwin sebahagiannya. Sekarang bila buat travel rarecation, ramai pula doktor-doktor wanita yang single yang sertai kami. Dari situ, saya mula kenal kehidupan dan pengorbanan mereka yang jarang diceritakan oleh mereka. Saya ni tahupun kerana kita selalu travel dengan mereka dan bila dah rapat, baru mereka bercerita.
Tak elok pulak jika mereka sendiri nak ungkit pengorbanan mereka. Elok saya ada peluang ini, biar saya sendiri yang nampakkan bahawa jika ada tokoh-tokoh masyarakat, tokoh Maal Hijrah, Tokoh Puteri UMNO atau Tokoh Muslimat PAS atau apa-apa sahaja anugerah, saya lihat inilah golongan yang berbuat bukan untuk anugerah namun mereka lebih dari layak menerimanya.
InsyaAllah satu hari nanti, bila Malaysia sudah punyai ramai pakar disebabkan oleh pengorbanan golongan ini, barulah anak cucu kita nanti boleh lega sedikit menjadi doktor pakar.
Semasa arwah anak saya meninggal, doktor pakar yang menangani arwah boleh dikatakan selalu ada bila-bila saya datang. Dalam hati, dia ni tak ada rumah ke? Bila anak saya tidak dapat diselamatkan, dengan wajah sugul (seperti orang yang menanti dan bersedia untuk dimarah dan dimaki) berkata, “Kami minta maaf, kami tak dapat selamatkan Arman”. Tetapi melihatkan mereka telah melakukan bersungguh-sungguh dengan semua cara yang ada, dalam tangisan, saya katakan “Terima kasih kerana telah berusaha menyelamatkan Arman, seperti dia anak sendiri”.
Doktor itu khabarnya baru berkahwin pada umur yang sudah lanjut. Anak dia siapa? Itulah…anak-anak yang ada di dalam wad ICU itulah anak-anak mereka.
Selepas ini, jika ada terasa nak marah seorang doktor. Sila fikir semula. Kalau tanpa etika dengan apa yang kamu marah, dia boleh sahaja hantar kamu bertemu tuhan lebih cepat dari biasa tetapi mereka tidak akan buat begitu. Mereka juga manusia yang kita perlu hormati. Lagi-lagi, mereka adalah golongan yang sangat wajar dihormati tanpa mereka sendiri tidak sempat untuk menulis untuk menagih hormat manusia akan apa yang telah mereka lakukan. Sila share supaya lebih ramai tahu siapa yang perlu mereka jadikan idola…bukannya artis Korea ataupun ahli politik yang selalu baiknya bermusim dan di depan kamera sahaja.
sumber : SAIFUL NANG
Sumber: https://www.facebook.com/snfanclub/posts/10155711127825958
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI