Tanda mudah untuk mengesan wujudnya nilai kasih sayang yang diredai Allah SWT dalam keluarga adalah dengan terserlah sifat lebih banyak memberi berbanding menerima dalam kalangan ahlinya.
Hakim Hiram RA meriwayatkan Nabi Muhammad SAW bersabda: Tangan di atas lebih baik daripada tangan di bawah, maka mulailah untuk orang menjadi tanggunganmu dan sedekah paling baik adalah daripada orang sudah cukup (untuk keperluan dirinya). Maka sesiapa berusaha memelihara dirinya, Allah SWT akan memeliharanya dan sesiapa berusaha mencukupkan dirinya maka Allah akan mencukupkannya. (HR Bukhari)
Pendakwah dan pengarang buku agama, Pahrol Mohamad Juoi, berkata kasih sayang sesama manusia tidak akan lahir melainkan dengan terisi nilai keimanan kepada Allah SWT kerana ia berjalan seiring.
“Siapa yang akrab dengan Allah SWT, maka dia akan intim dengan manusia. Ini kerana maksud berkasih sayang adalah individu boleh memberi dan menunaikan hak, bukannya bersikap sekadar mahu menuntut hak.”
Dalam melayari bahtera rumah tangga, tidak cukup sekadar menyediakan nafkah seperti menjaga makan dan minum pasangan atau menyediakan keperluan bersifat material. Rumah tangga ideal mesti berada dalam suasana rahmah, iaitu sentiasa berkasih sayang dan suami isteri saling menjaga hak, barulah hak dalam rumah tangga akan dipenuhi.
“Contohnya, isteri perlu ada sifat ketaatan dan kesetiaan kepada suami. Jangan ada orang ketiga dalam rumah tangga, termasuk membawa masuk orang tidak disukai suami ke rumah mahupun bercakap hal peribadi di media sosial.”
Segala unsur sama ada kebaikan mahupun kejahatan dalam diri seseorang dapat dikesan melalui kelakuan di rumah seperti jika baik terhadap keluarga termasuk pasangan dan anak, sikap sama ditampilkan dalam kerjaya serta kejiranan.
IKLAN
Bagaimanapun, jika di luar rumah menampilkan banyak kebaikan tetapi tidak berbuat demikian dengan keluarga, maka orang itu bukan insan berakhlak.
“Di rumah, warna diri sebenar akan keluar sama ada cukup sabar atau tidak dan pemarah atau pemalas, cuma pasangan serta anak sahaja mengetahuinya,” katanya.
Saidatina Aishah RA meriwayatkan Nabi Muhammad SAW bersabda: Sebaik-baik kalian adalah (suami) yang paling baik terhadap keluarganya dan aku adalah paling baik terhadap keluargaku.” (HR Tirmizi)
Pahrol berkata, akhlak baik umpama pohon berakar dan berbuah dengan akar bagi akhlak ialah akidah, manakala pohonnya ibadat.
Justeru, apabila suami melakukan kesalahan, dengan mudah akan meminta maaf, sekali gus petanda wujud kelembutan melahirkan kasih sayang.
IKLAN
Antara tanda keluarga hidup dengan pengisian akhlak adalah wujudnya ‘ulfah’ (kelembutan) dalam diri.
Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya jika Allah mengkehendaki kebaikan bagi sebuah keluarga maka Allah akan memasukkan kelembutan kepada mereka. (HR Ahmad)
Jika wujud kelompongan dan kekosongan dalam rumah tangga, suami isteri perlu melihat semula bagaimana ibadat kepada Allah SWT seperti apakah solat sudah dilaksanakan dengan baik dan sempurna.
IKLAN
“Jika didapati tiada masalah dalam ibadat, cuba nilai aspek akidah. Apakah ada persoalan akidah berhubung iman mahupun keyakinan belum selesai,” katanya.
Beliau berkata, antara perkara menyebabkan konflik rumah tangga yang tidak dapat diselesaikan dengan baik apabila dibelenggu sindrom penafian.
“Ada mengelak daripada masalah dengan menyifatkan hubungan rumah tangga dalam keadaan baik dan terkawal, sedangkan apa terjadi cuma hal picisan.
“Sebaiknya, perlu akui ada masalah kerana cuma dengan cara itu, kita akan bertindak untuk berubah,” katanya.
Katanya, sifat mukmin mesti sentiasa bermuhasabah diri dan memperbaiki kesilapan setiap masa.
Anda pasti tertanya-tanya, “Apa nak buat ketika merisik?” atau “Barang tanda apa yang saya kena bawa ke rumah pilihan hati saya?”
Ok, tak perlu risau, jom kami terangkan pada anda tentang adab-adab proses merisik dan barang yang perlu dibawa ke rumah keluarga perempuan.
Adab-adab yang perlu anda amalkan ketika merisik
Jaga tingkah laku. Untuk si dara, anda tidak perlu duduk di ruang tamu dan sertai perbincangan. Cukup sekadar ke depan ketika menghidangkan makanan.
Berpakaian sopan. Selalunya, si dara memakai baju kurung dan bertudung. Lelaki berbaju melayu atau kemeja.
Jangan mencelah perbincangan. Untuk si teruna, sama ada anda akan menyertai perbincangan atau tidak, ia bergantung kepada adat setempat anda. Ada yang memilih untuk sertai majlis merisik dan ada juga yang menunggu dalam kereta sahaja.
Hormati keputusan keluarga wanita. Anda tidak perlu terasa hati atau berdendam sekiranya lamaran anda itu ditolak. Ingat, bunga bukan sekuntum, kumbang bukan seekor!
Selain menjaga adab, anda juga perlu menyediakan beberapa perkara dan barangan untuk diberikan semasa bertandang ke rumah keluarga perempuan.
Tetapkan terlebih dahulu siapakah yang akan menjadi jurucakap utama bagi keluarga lelaki. Kalau tak tetapkan, takut akan ada “awkward moment” sebab tiada siapa yang bercakap. Nanti krik krik pula!
Orang Melayu terkenal dengan adab sopan, kan? Jadi, sediakan beberapa rangkap pantun untuk memeriahkan majlis. Baru seronok kalau berbalas pantun! Kalau anda tiada idea pantun apa yang mahu diucapkan, tak perlu risau. Lihat saja koleksi pantun yang kami sediakan di bawah (point #6)!
Antara barang paling penting yang perlu dibawa adalah cincin merisik, juga dikenali sebagai cincin belah rotan.
Kalau ada bajet lebih, anda boleh juga membawa barangan seperti: sepasang kain, buah-buahan, wang tanda, set wangian/mandian, atau pemanis mulut. Barangan ini tidaklah wajib, buat sekadar yang termampu sahaja. Ok?
Selepas keluarga perempuan menyatakan persetujuan mereka untuk menerima lamaran lelaki, barangan ini akan diberikan kepada pihak si dara itu.
.
Beza antara merisik dan bertunang
Ingat ya, jangan keliru antara majlis merisik dan majlis bertunang. Majlis merisik hanyalah sesi berkenalan dan bertanya khabar antara kedua-dua keluarga.
Manakala, sesi bertunang adalah sesi rasmi yang menunjukkan bahawa si dara itu kini sudah pun berpunya dan mempunyai tunangan.
Maka, teruna lain tidak boleh menghantar lamaran kepada wanita terbabit kerana sudah terikat dengan lelaki tersebut. Dari sudut pandangan Islam, ia dikira berdosa sekiranya anda melamar tunangan orang dengan sengaja.
Menurut hadis riwayat Muslim, Rasulullah (saw) ada bersabda:
“Dan janganlah seseorang daripada kalian meminang pinangan seseorang yang lain.”
Larangan ini adalah bertujuan bagi memelihara perpaduan dan persefahaman antara orang Islam. Kalau kita saling merampas tunangan orang, pasti kita akan berbalah sesama sendiri.
.
Relevan lagikah merisik untuk anda pada zaman sekarang?
Pada hari ini, masih ada pasangan yang melakukan adat merisik dan ada juga yang membuat keputusan untuk melangkau dan terus bernikah tanpa merisik.
Sama ada ia relevan atau tidak, ia bergantung kepada tahap perkenalan anda dengan bakal pasangan. Anak muda zaman kini sudah pun berkenalan terlebih awal dengan pilihan hatinya. Maka, merisik dirasakan tidak perlu dilakukan lagi dan terus ke fasa pertunangan atau digabungkan sekali.
Namun, ada juga yang masih mahu berpegang pada adat dan ingin merisik terlebih dahulu. Atau pun, merisik dilakukan kerana ia adalah proses perkahwinan yang dirancang oleh kedua ibu bapa dan si anak bersetuju untuk bertandang dan berkenalan dengan pilihan ibu ayahnya.
Merisik dari perspektif ajaran Islam
Anda pernah tertanya-tanya tak tentang apa pula pandangan Islam terhadap majlis merisik? Sebenarnya, dalam ajaran agama kita, proses merisik tidak disebut secara khusus.
Yang ada diajar adalah tentang proses peminangan dan pernikahan. Namun, merisik masih lagi satu adat yang baik untuk diteruskan.
Ia kerana proses awal ini membolehkan kita tahu sama ada si perempuan sudah bertunang atau tidak dan sekaligus membantu kita untuk tidak melanggar syariat agama, iaitu untuk tidak meminang wanita yang sudah bertunang.
Cukup cantik dan manis sekali adat merisik ini, kan?
Firman Allah SWT, bermaksud “Jika kamu menolong (agama) Allah, nescaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu” (Surah Muhammad, ayat 7)
Jodoh adalah perkara yang sudah ditetapkan oleh Allah yang maha Esa. Tetapi bagaimana kita mengetahui dia memang ditakdirkan untuk kita? Allah SWT mengurniakan manusia telinga untuk mendengar, mata untuk melihat dan akal untuk berfikir. Jadi gunakan sebaik-baiknya bagi mengungkapkan rahsia cinta yang ditakdirkan. Dua manusia yang rasa mereka dapat hidup bersama dan memang dijodohkan pasti memiliki ikatan emosi , spiritual dan fizikal antara keduanya. Apabila bersama, masing-masing dapat merasai kemanisan cinta dan saling memerlukan antara satu sama lain. Lalu gerak hati mengatakan, dialah insan yang ditakdirkan untuk bersama. Benarkah ia seperti yang diperkatakan?
Berikut adalah 10 petanda yang menunjukkan dia adalah jodoh kita.
1. Bersahaja
Kekasih kita itu bersikap bersahaja dan tidak berlakon. Cuba perhatikan cara dia berpakaian, cara percakapan, cara ketawa serta cara makan dan minum. Adakah ia spontan dan tidak dikawal ataupun kelihatan pelik. Kalau ia nampak kurang selesa dengan gayanya, sah dia sedang berlakon. Kadang-kadang, kita dapat mengesan yang dia sedang berlakon. Tetapi, apabila dia tampil bersahaja dan tidak dibuat-buat, maka dia adalah calon hidup kita yang sesuai. Jika tidak, dia mungkin bukan jodoh kita.
2. Senang bersama
Walaupun kita selalu bersamanya, tidak ada sedikit pun perasaan bosan, jemu ataupun tertekan pada diri kita. Semakin hari semakin sayang kepadanya. Kita sentiasa tenang, gembira dan dia menjadi pengubat kedukaan kita. Dia juga merasainya. Rasa senang sekali apabila bersama. Apabila berjauhan, terasa sedikit tekanan dan rasa ingin berjumpa dengannya. Tidak kira siang ataupun malam, ketiadaannya terasa sedikit kehilangan.
3. Terima kita seadanya
Apapun kisah silam yang pernah kita lakukan, dia tidak ambil peduli. Mungkin dia tahu perpisahan dengan bekas kekasihnya sebelum ini kita yang mulakan. Dia juga tidak mengambil kisah siapa kita sebelum ini. Yang penting, siapa kita sekarang. Biarpun dia tahu yang kita pernah mempunyai kekasih sebelumnya, dia tidak ambil hati langsung. Yang dia tahu, kita adalah miliknya kini. Dia juga sedia berkongsi kisah silamnya. Tidak perlu menyimpan rahsia apabila dia sudah bersedia menjadi pasangan hidup kita.
4. Sentiasa jujur
Dia tidak kisah apa yang kita lakukan asalkan tidak menyalahi hukum hakam agama. Sikap jujur yang dipamerkan menarik hati kita. Kejujuran bukan perkara yang boleh dilakonkan. Kita dapat mengesyaki sesuatu apabila dia menipu kita. Selagi kejujuran bertakhta di hatinya, kebahagiaan menjadi milik kita. Apabila berjauhan, kejujuran menjadi faktor paling penting bagi suatu hubungan. Apabila dia tidak jujur, sukar baginya mengelak daripada berlaku curang kepada kita. Apabila dia jujur, semakin hangat lagi hubungan cinta kita. Kejujuran yang disulami dengan kesetiaan membuahkan percintaan yang sejati. Jadi, dialah sebaik-baik pilihan.
5. Percaya mempercayai
Setiap orang mempunyai rahsia tersendiri. Adakalanya rahsia ini perlu dikongsi supaya dapat mengurangkan beban yang ditanggung. Apabila kita mempunyai rahsia dan ingin memberitahu kekasih, adakah rahsia kita selamat di tangannya? Bagi mereka yang berjodoh, sifat saling percaya mempercayai antara satu sama lain timbul dari dalam hati nurani mereka. Mereka rasa selamat apabila memberitahu rahsia-rahsia kepada kekasihnya berbanding rakan-rakan yang lain. Satu lagi, kita tidak berahsia apa pun kepadanya dan kita pasti rahsia kita selamat. Bukti cinta sejati adalah melalui kepercayaan dan kejujuran. Bahagialah individu yang memperoleh kedua-duanya.
6. Senang bekerjasama
Bagi kita yang inginkan hubungan cinta berjaya dan kekal dalam jangka masa yang panjang, kita dan dia perlu saling bekerjasama melalui hidup ini. Kita dan kekasih perlu memberi kerjasama melakukan suatu perkara sama ada perkara remeh ataupun sukar. Segala kerja yang dilakukan perlulah ikhlas bagi membantu pasangan dan meringankan tugas masing-masing. Perkara paling penting, kita dan dia dapat melalui semua ini dengan melakukannya bersama-sama. Kita dan dia juga dapat melakukan semuanya tanpa memerlukan orang lain dan kita senang melakukannya bersama. Ini penting kerana ia mempengaruhi kehidupan kita pada masa hadapan. Jika tiada kerjasama, sukar bagi kita hidup bersamanya. Ini kerana, kita yang memikul beban tanggungjawab seratus peratus. Bukankah ini menyusahkan?
7. Memahami diri kita
Bagi pasangan yang berjodoh, dia mestilah memahami diri pasangannya. Semasa kita sakit dia bawa ke klinik. Semasa kita berduka, dia menjadi penghibur. Apabila kita mengalami kesusahan, dia menjadi pembantu. Di kala kita sedang berleter, dia menjadi pendengar. Dia selalu bersama kita dalam sebarang situasi. Tidak kira kita sedang gembira ataupun berduka, dia sentiasa ada untuk kita. Dia juga bersedia mengalami pasang surut dalam percintaan. Kata orang, “lidah sendiri lagikan tergigit”, inikan pula suami isteri’. Pepatah ini juga sesuai bagi pasangan kekasih. Apabila dia sentiasa bersama kita melalui hidup ini di kala suka dan duka, di saat senang dan susah, dialah calon yang sesuai menjadi pasangan hidup kita.
8. Tampilkan kelemahan
Tiada siapa yang sempurna di dunia ini. Tipulah jika ada orang yang mengaku dia insan yang sempurna daripada segala sudut. Pasti di kalangan kita memiliki kelemahan dan keburukan tertentu. Bagi dia yang bersedia menjadi teman hidup kita, dia tidak terlalu menyimpan rahsia kelemahannya dan bersedia memberitahu kita. Sudah tentu bukan senang untuk memberitahu dan mengakui kelemahan di hadapan kekasihnya. Malah, dia tidak segan mempamerkan keburukannya kepada kita. Misalnya, apabila dia bangun tidur ataupun sakit dan tidak mandi dua hari, dia tidak menghalang kita daripada melawatnya.Apabila kita dan dia saling menerima kelemahan dan sifat buruk masing-masing, memang ditakdirkan kita hidup bersamanya.
9. Kata hati
Dengarlah kata hati. Kadangkala, manusia dikurniakan Allah deria keenam yang dapat mengetahui dan memahami perasaan pasangannya. Dengan deria batin ini juga kita dapat saling tahu perasaan masing-masing. Kita dan dia juga dapat membaca fikiran antara satu sama lain dan dapat menduga reaksi dan tindakbalas pada situasi tertentu. Apabila kita yakin dengan pilihan hidup kita, tanyalah sekali lagi. Adakah dia ditakdirkan untuk kita? Dengarlah kata hati dan buatlah pilihan. Serahlah segalanya pada ketentuan yang maha berkuasa.
10. Solat istikharah dan tawakkal
Jodoh dan pertemuan semuanya di tangan Allah SWT. Manusia hanya perancang di pentas dunia ini dan skripnya ditulis oleh yang maha esa. Adakalanya, dalam memainkan peranan sebagai pelakon, diberi petunjuk melalui mimpi atau gerak hati. Mimpi memang mainan tidur, tetapi apabila kita melakukan sembahyang Istikharah dan memohon supaya Allah memberikan petunjuk, insya-Allah dengan izinnya kita mendapat petunjukNya. Jika dia pilihan kita, buatlah keputusan sebaiknya. Jika tidak, tolaklah dia dengan baik. Semua yang kita lakukan ini adalah bagi mendapatkan kebahagiaan hidup di dunia. Setelah semuanya diusahakan, berserahlah kepadaNya dan terus berdoa. Ingatlah, nikmat di dunia ini hanya sementara. Nikmat di akhirat adalah kekal selamanya.
Ikatan cinta yang dibina bertahun-tahun sebelum disimpul dengan ikatan perkahwinan bukan jaminan kepada keutuhan rumah tangga.
Malah banyak perkahwinan yang cuma bertahan beberapa bulan mahupun hari, biarpun pasangan sudah saling mengenali dan bercinta berbelas tahun.
Ada pula suami isteri hanya sekadar pada nama sedangkan makan tidak semeja, tidur tidak lagi sekatil.
Apabila ditanya, mereka akan menjawab, semua itu berlaku kerana sudah tidak ada persefahaman.
Benarlah kata orang alam percintaan dan perkahwinan sangat berbeza.
Pasangan suami isteri perlu menyedari pentingnya untuk mengenali dan memahami segala perkara mengenai pasangan masing-masing.
Bukanlah sesuatu yang susah untuk menjaga hati seorang lelaki atau sebaliknya dan memastikan si dia setia dengan anda.
Tidak banyak yang si dia inginkan dari anda. Cukuplah sekadar memahami apa yang mereka impikan dari seorang wanita mahupun lelaki.
Malangnya, tidak ramai para isteri atau suami berjaya memahami pasangan, gagal menawan hati si dia dan sebagainya.
Ini kerana anda tidak pernah mengetahui dan mengenali sikap dan perilakunya sebenar.
Setiap orang mempunyai keistimewaan dan kelemahan masing-masing, begitu juga dengan si dia.
Semasa di alam percintaan dan pertunangan mungkin tidak dapat mengesan kekurangan dan kelemahannya. Setelah berumah tangga baru keadaan ini terserlah.
Sudah tentu keadaan ini amat mengecewakan, lama-lama kekurangan keadaan itu akan menjadi api dalam sekam dalam kehidupan.
Inilah antara punca keretakan rumah tangga di mana rasa tidak puas hati akan mengganggu keharmonian suami isteri.
Bagi pasangan yang ingin terus kekal bahagia, mereka perlu berusaha untuk belajar mengubah sikap yang suka melihat kelemahan antara satu sama lain dan mengamalkan sikap menerima pasangan kita seadanya.
‘Menerima’ bermakna mengiktirafkannya seperti mana diri kita sendiri yang ada keistimewaan dan kelemahan, dengan pandangan terbuka di samping saling mengagumi nilai-nilai baik yang ada pada diri pasangan, segala konflik yang timbul akan dapat diatasi.
‘Penerimaan’ bermaksud sekadar menerima pasangan sebagai diri beliau seadanya. Kita menerima cara, harapan dan impiannya atau mungkin juga sebagai seorang yang tiada impian.
Kita juga perlulah menerima idea, minat dan juga kelemahan suami, termasuklah juga menerima kekurangan dalam personaliti atau apa-apa pegangan terhadap agama atau politik.
Dalam situasi ini, suami atau isteri perlu menerima hak pasangan untuk menjadi dirinya yang sebenar. Kita mungkin tidak setuju dengan ideanya, tetapi kita hormati hak si dia terhadap pandangannya itu
Secara ringkas, penerimaan bermaksud menerima si dia sebagai manusia biasa yang memiliki nilai baik dan ada pula kelemahan. Isteri atau suami tidak berasa bimbang dengan kelemahan pasangan kerana dia hanya melihat kebaikan yang dimiliki.