Perkahwinan yang berkat adalah bila kedua pasangan berjaya mendidik diri dan keluarga menuju ke arah kebaikan. Sebagai ketua keluarga, ayuh bersama membentuk peribadi agar terhindar dari 3
sifat yang boleh memusnahkan institusi kekeluargaan anda.

Sikap Riak Dalam Rumahtangga Undang Kecaman

#1-Sifat Bakhil yang Ditaati

Bakhil adalah perbuatan seseorang menahan atau tidak memberikan sesuatu yang semestinya wajib diberikan kepada orang lain. Sinonim dari kata bakhil adalah kedekut.

Sifat bakhil merupakan sifat yang dikeji dan dibenci oleh Allah S.W.T. kerana sifat bakhil ini berpunca dari hawa nafsu yang terlalu cintakan kebendaan.

Nafsu yang membongkak dengan harta di dunia yang sebenarnya merupakan pinjaman dari Allah kepada hambanya. Bukankah Allah mahu kehidupan kita ini berkongsi-kongsi, saling menolong dan saling memerlukan antara satu sama lain.

Saidina Abu Bakar r.a berkata: “Orang yang bakhil itu tidak akan terlepas daripada salah satu 4 sifat yang membinasakan iaitu:
1: Dia akan mati dan hartanya akan diambil oleh warisnya, lalu dibelanjakan bukan pada tempatnya atau
2: Hartanya akan diambil secara paksa oleh penguasa yang zalim atau;
3: Hartanya menjadi rebutan orang-orang jahat dan akan dipergunakan untuk kejahatan pula atau;
4: Adakalanya harta itu akan dicuri dan dipergunakan secara berfoya-foya pada jalan yang tidak berguna”
Oleh itu, marila sama-sama kita tinggalkan sifat bakhil dan nekad melawan nafsu yang bakhil. Lawan sifat bakhil adalah sifat pemurah. Jom biasakan diri untuk bersedekah, memberi senyuman dan menghulurkan bantuan sebelum diminta.

Allah S.W.T juga mahu kita jadi pemurah. Dalam sebuah Hadits, Nabi S.A.W bersabda maksudnya:
“Si pemurah yang jahil lebih dicintai Allah daripada ahli ibadah yang bakhil.”
(Hadis Riwayat Al-Khatib)

Orang yang pemurah lebih dicintai Allah, dekat dengan rahmat-Nya dan membuka jalan untuk ke syurga, sebaliknya orang bakhil tidak dicintai Allah, jauh dari rahmatNya dan membuka jalan untuk ke neraka.

Penyakit bakhil ini tidak terlepas kepada sesiapapun baik dia seorang yang kaya atau miskin. Kerana dalam Islam menjadi seorang yang pemurah bukan saja terletak pada berapa kerap dia bersedekah dan berapa tinggi nilai harta yang dikeluarkan untuk zakat. Tetapi ketika dituntut juga untuk bersedekah sekalipun ketika itu kita miskin,tiada apa-apa. Mudah saja, beri sedekah dengan senyuman yang paling manis.

#2-Hawa Nafsu yang Diikuti

IKLAN

Hawa nafsu adalah kecintaan terhadap sesuatu sehingga kecintaan itu menguasai hatinya. Selalunya, kecintaan tersebut akan menyeret seseorang untuk melanggar perintah Allah S.W.T. Oleh kerana itu, hawa nafsu harus ditundukkan supaya boleh tunduk terhadap syariat Allah S.W.T.

Firman Allah S.W.T:

“Hai Daud! sesungguhnya Kami menjadikan kamu khalifah (penguasa) di muka bumi, maka berilah keputusan (perkara) di antara manusia dengan adil dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu, kerana ia akan menyesatkan kamu dari jalan Allah”
(Surah Shad: 26)

Katakanlah, “Hai Ahli Kitab! Janganlah kamu berlebih-lebihan (melampaui batas) dengan cara tidak benar dalam agamamu. Dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu orang-orang yang telah sesat dahulunya (sebelum kedatangan Muhammad) dan mereka telah menyesatkan kebanyakan (manusia), dan mereka tersesat dari jalan yang lurus”
(Surah al-Maidah: 77)

Daripada dua potongan ayat al-Quran diatas, telah menjelaskan betapa jika kita sering mengikut hawa nafsu kita akan berada dalam kesesatan, dikaburi dari melihat kebenaran dan sudah tentunya syaitan akan bersorak kegembiraan kerana berjaya menarik kita jauh dari jalan Allah.

Bagi meraih keselamatan, orang yang mengikuti hawa nafsu harus tanam rasa takut dengan Allah sehingga apabila dia ingin melakukan sesuatu dia akan memikirkan dahulu Allah redha dengan perbuatannya atau Allah tidak redha. Insha Allah, ditambah lagi dengan amalan zikir dan doa-doa perlindungan dari hasutan syaitan akan menguatkan lagi diri kita.

IKLAN

Firman Allah S.W.T.:

“Dan adapun orang-orang yang takut kepada kebesaran Tuhannya dan menahan diri dari keinginan hawa nafsunya, maka sesungguhnya syurgalah tempat tinggal (nya)”
(Surah an-Naziat: 40-41)

Tahukah anda?
Orang yang mengikuti hawa nafsu termasuk orang yang paling dalam terbenam didalam kegelapan ini, kerana dia dibutakan oleh hawa nafsunya untuk mengetahui jalan kebenaran, meskipun kedua matanya terbuka kerana dia ditulikan oleh hawa nafsunya untuk mendengar suara kebenaran, meskipun kedua telinganya terkuak, kerana dia dibisukan oleh hawa nafsunya untuk berkata secara benar, meskipun sebenarnya dia orang yang fasih.

Sikap Riak Dalam Rumahtangga Undang Kecaman Sikap Riak Dalam Rumahtangga Undang Kecaman

#3-Sifat Riak yang Dikagumi

Sifat riak termasuk dalam kategori Syirik Khofi. Syirik Khofi iaitu menyekutukan Allah dalam keadaan tersembunyi dan tidak nampak.

Rasulullah S.A.W dalam sabda bermaksud:

IKLAN

“Sesungguhnya yang paling aku takut menimpa kalian adalah asy syirkul ashghar (syirik kecil). Sahabat bertanya: “Apakah syirik kecil itu? Baginda menjawab: Riak.”
(Hadis riwayat Imam Ahmad)

Baginda S.A.W bersabda yang bermaksud: “Mahukah kalian aku beritahu sesuatu yang lebih aku takutkan daripada Dajjal? Kami katakan: Tentu. Baginda bersabda: Riak, syirik yang tersembunyi iaitu apabila seseorang mengerjakan solat lalu dia menyempurnakan solatnya apbila mengetahui seseorang memandangnya.”
(Hadis Riwayat Ibnu Majah)

Maksud riak ialah mencari sebarang penghargaan di hati manusia sehingga dengan itu kita dapat mencapai pangkat, kedudukan dan kebebasan.

“Maka, celakalah untuk orang-orang yang solat. Yang lalai dari solatnya. (iaitu) Yang mengerjakan kebaikan untuk dilihat orang (riak)”
(Surah al-Mau’un: 4-6)

Semoga diri kita dijauhkan dari penyakit hati ini. Ayuh, bersama-sama ikhlaskan perbuatan kita semata-mata kerana Allah S.W.T. Bersihkan hati dahulu, insha Allah ikhlas akan datang dengan sendirinya.

Daripada Abu Hurairah, Nabi S.A.W bersabda:

“Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada jasad atau rupa bentuk kamu tetapi Allah melihat kepada hati-hati kamu”
(Riwayat Muslim)

Semuanya bermula dengan hati. Rosaknya hati dengan sifat mazmumah, maka keputusannya buruklah perlakuan kita. Jom kita ubati hati dan baiki perlakuan dari perkara-perkara yang menyesatkan.

Pohonlah pada Allah Ya Muhyi, Allahumma Ya Muhyi, hidupkan dan segarkan jiwaku yang sering mati kerana melupaiMu, jadikan jiwa ini sentiasa mengingatiMu.

Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI