
Ada yang rezeki mereka awal dan ada yang rezeki mereka lambat bila berbicara soal zuriat. Ada yang kahwin 10 tahun tapi masih belum nampak tanda-tanda yang mereka bakal dikurniakan zuriat dalam masa terdekat. Tapi rezeki harta mereka lebih banyak dari mereka yang mempunyai zuriat. Ada juga yang baru sebulan berkahwin sudah mendapat berita gembira tapi masih kekurangan dari segi harta. Cantiknya perjalanan yang diaturkan yang maha esa.
Ini perkongsian Ustaz Azhar Idrus.
Dalam soal zuriat, Allah akan bagi pada waktu yang terbaik. Jika kita terkejut menerima awal dan tanpa kita ready pun, memang itu adalah waktu yang terbaik. Jika lambat dan kita ternanti-nanti, mengharap dan sedih. Memang itulah waktu yang terrrrrrbaik. Kita rasa kita mampu, tapi Allah lagi tahu. Allah Maha lagi Mengetahui untuk kehidupan kita.
Bila-bila waktu pun Allah mula merezekikan si comel untuk berada di dalam perut, ‘itulah waktu yang terbaik untuk kita.’ Yakinlah.
Usah marah, sedih, dan kecewa. Teruskan berdoa supaya setiap langkah kita disusun sesuai dengan perancangan kita.
Ada pengalaman kawan saya, sudah 10 tahun mendirikan rumahtangga, tapi belum ada rezeki. Tanpa disangka-sangka, Alhamdulillah baru-baru ini beliau selamat melahirkan seorang anak.
Sedih dia, cemburu, tidak putus asa berdoa, SABAR, lalu Allah ‘mengurniakan’ anugerah yang terindah di atas kesabaran dan sifat mengharapnya yang tinggi HANYA pada Allah.
Masing-masing ada cerita dia. Doa saya sentiasa untuk mereka yang terus meminta pada Allah.
☺☺
“Jodoh Itu Cerminan Diri, Bukan Cerminan Wajah”

Jodoh pertemuan semua telah ditentukan oleh Allah S.W.T kita sebagai manusia perlu redha dan sabar atas apa yang berlaku. Mungkin pertemuan kita dengan seseorang itu adalah pengajaran buat kita.
Jadi, tak salah untuk memilih jodoh kerana itulah orang yang kita hidup bersama selamanya. Namun, terlalu memilih pun tidak bagus juga kerana tak semua orang sempurna. Oleh itu, ini ada beberapa tips yang anda boleh gunakan sebelum memilih jodoh anda.
1. Selepas solat, doa selalu minta agar dikurniakan jodoh, rzeki, kematian yang baik (Paling penting, yang faham dan sefikrah). – Baca doa ayat, Surah Al Furqon, ayat 74.
2. Buat solat istikharah, minta Allah SWT beri petunjuk
3. Jangan tinggal solat dhuha & baca quran
4. Selalu minta orang lain mendoakan, sama ada kita tengok dia buruk atau baik. Minta saja agar mendoakan kita selamat dunia akhirat dan dipermudahkan segala urusan
5. Banyakan bersedekah
6. Rancang kewangan. Doalah agar pihak keluarganya tidak minta lebih dari kemampuan kita. Kalau berat sekali pun, bincang elok. Nikah ini mudah, cuma kadang adat & cakap orang menyusahkan si bakal pengantin ke arah syariat yang sebenarnya lebih memudahkan dalam bab perkahwinan
7. Jaga hubungan Allah & manusia. Bagaimana saranan usrah menuntut agar kita mencerminkan diri sebagai abnaul harakah yang baik. Mesti juga diterjemah baik luar dan dalam
8. Bila sudah punya ikatan sebelum nikah. Akan banyak ujian, baik luar dan dalam. Kewangan dan wanita. Kena banyakan solat taubat, istigfar. Moga Allah SWT pelihara hubungan bersama bakal pasangan sebelum nikah
9. Majlis ikut kemampuan. Jangan terlalu berlebihan atau grand bagai dalam majlis/kenduri kahwin. Buat sederhana sudah cukup baik
10. Sentiasa bertawakkal dan bergantung harap kepada Allah SWT
Moga bermanfaat, dan doakan kami agar dikurniakan keluarga baik, anak soleh solehah dan melaksanakan syariat islam dalam kehidupan. Mudah-mudahan Allah SWT pelihara baitul muslim ini dari perkara yang tidak baik. Allahuma Amin.
Tema White Wedding Mewarnai Majlis Resepsi Amir Syafiq Dato Haji Noordin Dan Nur Amirah Dato Haji Mazlan

Memasuki ruang dewan di Kelab Golf Bukit Beruntung, dekorasi yang ditampilkan sungguh tenang dan romantis sekali. Gabungan rona lembut mendominasi ruang dengan tema White Wedding. Amir Syafiq Dato Haji Noordin dan pasangan Nur Amirah Dato Haji Mazlan tampil berseri di atas pelamin yang diilhamkan oleh Adli Affandi.
“ Idea didapati dari sumber internet. Perancang perkahwinan juga banyak memberi idea-idea yang fresh. Tema yang dipilih ialah moden kontemporari kerana kami suka tema yang lebih simple dan cantik. Permainan rona pastel banyak digunakan untuk majlis perkahwinan ini,” terang Amirah.
Pihak lelaki membawa tujuh dulang hantaran berbalas sembilan dari pihak perempuan. Saat ditanya bagaimana keduanya bertemu, cerita Amirah mereka berjumpa sewaktu majlis rumah terbuka dan berkenalan melalui cadangan ibu bapa kedua belah pihak. Tiga bulan tempoh berkenalan akhirnya keduanya mengikat tali pertunangan pada 25 November 2017.
“ Gembira kerana tak sangka kenalan keluarga boleh jadi pilihan sendiri. Syafiq seorang yang gentleman, soft spoken dan pandai mengambil hati,” akui Amirah.
Menyentuh tentang busana pilihan, Amirah memilih Butik Emas Pesona Shah Alam kerana percaya akan kualiti jahitan dan rekaan yang cantik serta harga yang berpatutan. Bagi Amirah dia memilih baju moden yang boleh dipakai bukan hanya pada majlis kahwin namun untuk majlis-majlis lain. Tidak sempurna si gadis tanpa solekan yang menyerlah di hari berbahagia itu. Amirah dirias oleh MakeupbynurulMF memandangkan portfolionya bagus serta ramai selebriti dan kerja-kerja kahwinnya dibuat olehnya. Mekapnya natural dan tidak over.
Kedua pengantin mengharapkan agar ikatan kedua belah keluarga makin erat, dikurniakan cahaya mata segera, meningkatkan kualiti diri masing-masing, saling menyayangi dan memperindahkan budi dan iman. London menjadi lokasi bulan madu mereka kerana pengantin perempuan pernah belajar di situ dan ingin membawa suami berjalan dan melihat keindahan kota metropolitan secara privasi tanpa tour guide.
AKAD NIKAH
Tarikh: 29 Julai 2018
Lokasi: Kelab Golf Bukit Beruntung
Berapa kali lafaz nikah: 1 kali
Tema: White Wedding
Dekorasi pelamin: Adli Affandi
Busana: Emas Pesona Wedding
Solekan & rambut: MakeUpbyNurulMF
Bunga tangan: Adli Affandi
Fotografi: KarmaX
Videografi: KarmaX
RESEPSI PEREMPUAN
Tarikh: 29 Julai 2018
Lokasi: Kelab Golf Bukit Beruntung
Tema: Modern White
Dekorasi pelamin: Adli Affandi
Busana: Emas Pesona Wedding
Solekan & rambut: makeup Bynurulmf
Bunga tangan: Adli Affandi
Fotografi: KarmaX
Videografi: KarmaX
RESEPSI LELAKI
Tarikh: 4 Ogos 2018
Lokasi: Dewan PKPS Shah Alam
Tema: Moden
Dekorasi pelamin: Emi Nadia Butik
Busana: Emi Nadia Butik
Solekan & rambut: Emi Nadia Butik
Bunga tangan: Emi Nadia Butik
Fotografi: KarmaX
Videografi: KarmaX
Bagaimana Kita Mengetahui Dia Memang Ditakdirkan Untuk Kita?

Firman Allah SWT, bermaksud “Jika kamu menolong (agama) Allah, nescaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu” (Surah Muhammad, ayat 7)
Jodoh adalah perkara yang sudah ditetapkan oleh Allah yang maha Esa. Tetapi bagaimana kita mengetahui dia memang ditakdirkan untuk kita? Allah SWT mengurniakan manusia telinga untuk mendengar, mata untuk melihat dan akal untuk berfikir. Jadi gunakan sebaik-baiknya bagi mengungkapkan rahsia cinta yang ditakdirkan. Dua manusia yang rasa mereka dapat hidup bersama dan memang dijodohkan pasti memiliki ikatan emosi , spiritual dan fizikal antara keduanya. Apabila bersama, masing-masing dapat merasai kemanisan cinta dan saling memerlukan antara satu sama lain. Lalu gerak hati mengatakan, dialah insan yang ditakdirkan untuk bersama. Benarkah ia seperti yang diperkatakan?
Berikut adalah 10 petanda yang menunjukkan dia adalah jodoh kita.
1. Bersahaja
Kekasih kita itu bersikap bersahaja dan tidak berlakon. Cuba perhatikan cara dia berpakaian, cara percakapan, cara ketawa serta cara makan dan minum. Adakah ia spontan dan tidak dikawal ataupun kelihatan pelik. Kalau ia nampak kurang selesa dengan gayanya, sah dia sedang berlakon. Kadang-kadang, kita dapat mengesan yang dia sedang berlakon. Tetapi, apabila dia tampil bersahaja dan tidak dibuat-buat, maka dia adalah calon hidup kita yang sesuai. Jika tidak, dia mungkin bukan jodoh kita.
2. Senang bersama
Walaupun kita selalu bersamanya, tidak ada sedikit pun perasaan bosan, jemu ataupun tertekan pada diri kita. Semakin hari semakin sayang kepadanya. Kita sentiasa tenang, gembira dan dia menjadi pengubat kedukaan kita. Dia juga merasainya. Rasa senang sekali apabila bersama. Apabila berjauhan, terasa sedikit tekanan dan rasa ingin berjumpa dengannya. Tidak kira siang ataupun malam, ketiadaannya terasa sedikit kehilangan.
3. Terima kita seadanya
Apapun kisah silam yang pernah kita lakukan, dia tidak ambil peduli. Mungkin dia tahu perpisahan dengan bekas kekasihnya sebelum ini kita yang mulakan. Dia juga tidak mengambil kisah siapa kita sebelum ini. Yang penting, siapa kita sekarang. Biarpun dia tahu yang kita pernah mempunyai kekasih sebelumnya, dia tidak ambil hati langsung. Yang dia tahu, kita adalah miliknya kini. Dia juga sedia berkongsi kisah silamnya. Tidak perlu menyimpan rahsia apabila dia sudah bersedia menjadi pasangan hidup kita.
4. Sentiasa jujur
Dia tidak kisah apa yang kita lakukan asalkan tidak menyalahi hukum hakam agama. Sikap jujur yang dipamerkan menarik hati kita. Kejujuran bukan perkara yang boleh dilakonkan. Kita dapat mengesyaki sesuatu apabila dia menipu kita. Selagi kejujuran bertakhta di hatinya, kebahagiaan menjadi milik kita. Apabila berjauhan, kejujuran menjadi faktor paling penting bagi suatu hubungan. Apabila dia tidak jujur, sukar baginya mengelak daripada berlaku curang kepada kita. Apabila dia jujur, semakin hangat lagi hubungan cinta kita. Kejujuran yang disulami dengan kesetiaan membuahkan percintaan yang sejati. Jadi, dialah sebaik-baik pilihan.
5. Percaya mempercayai
Setiap orang mempunyai rahsia tersendiri. Adakalanya rahsia ini perlu dikongsi supaya dapat mengurangkan beban yang ditanggung. Apabila kita mempunyai rahsia dan ingin memberitahu kekasih, adakah rahsia kita selamat di tangannya? Bagi mereka yang berjodoh, sifat saling percaya mempercayai antara satu sama lain timbul dari dalam hati nurani mereka. Mereka rasa selamat apabila memberitahu rahsia-rahsia kepada kekasihnya berbanding rakan-rakan yang lain. Satu lagi, kita tidak berahsia apa pun kepadanya dan kita pasti rahsia kita selamat. Bukti cinta sejati adalah melalui kepercayaan dan kejujuran. Bahagialah individu yang memperoleh kedua-duanya.
6. Senang bekerjasama
Bagi kita yang inginkan hubungan cinta berjaya dan kekal dalam jangka masa yang panjang, kita dan dia perlu saling bekerjasama melalui hidup ini. Kita dan kekasih perlu memberi kerjasama melakukan suatu perkara sama ada perkara remeh ataupun sukar. Segala kerja yang dilakukan perlulah ikhlas bagi membantu pasangan dan meringankan tugas masing-masing. Perkara paling penting, kita dan dia dapat melalui semua ini dengan melakukannya bersama-sama. Kita dan dia juga dapat melakukan semuanya tanpa memerlukan orang lain dan kita senang melakukannya bersama. Ini penting kerana ia mempengaruhi kehidupan kita pada masa hadapan. Jika tiada kerjasama, sukar bagi kita hidup bersamanya. Ini kerana, kita yang memikul beban tanggungjawab seratus peratus. Bukankah ini menyusahkan?
7. Memahami diri kita
Bagi pasangan yang berjodoh, dia mestilah memahami diri pasangannya. Semasa kita sakit dia bawa ke klinik. Semasa kita berduka, dia menjadi penghibur. Apabila kita mengalami kesusahan, dia menjadi pembantu. Di kala kita sedang berleter, dia menjadi pendengar. Dia selalu bersama kita dalam sebarang situasi. Tidak kira kita sedang gembira ataupun berduka, dia sentiasa ada untuk kita. Dia juga bersedia mengalami pasang surut dalam percintaan. Kata orang, “lidah sendiri lagikan tergigit”, inikan pula suami isteri’. Pepatah ini juga sesuai bagi pasangan kekasih. Apabila dia sentiasa bersama kita melalui hidup ini di kala suka dan duka, di saat senang dan susah, dialah calon yang sesuai menjadi pasangan hidup kita.
8. Tampilkan kelemahan
Tiada siapa yang sempurna di dunia ini. Tipulah jika ada orang yang mengaku dia insan yang sempurna daripada segala sudut. Pasti di kalangan kita memiliki kelemahan dan keburukan tertentu. Bagi dia yang bersedia menjadi teman hidup kita, dia tidak terlalu menyimpan rahsia kelemahannya dan bersedia memberitahu kita. Sudah tentu bukan senang untuk memberitahu dan mengakui kelemahan di hadapan kekasihnya. Malah, dia tidak segan mempamerkan keburukannya kepada kita. Misalnya, apabila dia bangun tidur ataupun sakit dan tidak mandi dua hari, dia tidak menghalang kita daripada melawatnya.Apabila kita dan dia saling menerima kelemahan dan sifat buruk masing-masing, memang ditakdirkan kita hidup bersamanya.
9. Kata hati
Dengarlah kata hati. Kadangkala, manusia dikurniakan Allah deria keenam yang dapat mengetahui dan memahami perasaan pasangannya. Dengan deria batin ini juga kita dapat saling tahu perasaan masing-masing. Kita dan dia juga dapat membaca fikiran antara satu sama lain dan dapat menduga reaksi dan tindakbalas pada situasi tertentu. Apabila kita yakin dengan pilihan hidup kita, tanyalah sekali lagi. Adakah dia ditakdirkan untuk kita? Dengarlah kata hati dan buatlah pilihan. Serahlah segalanya pada ketentuan yang maha berkuasa.
10. Solat istikharah dan tawakkal
Jodoh dan pertemuan semuanya di tangan Allah SWT. Manusia hanya perancang di pentas dunia ini dan skripnya ditulis oleh yang maha esa. Adakalanya, dalam memainkan peranan sebagai pelakon, diberi petunjuk melalui mimpi atau gerak hati. Mimpi memang mainan tidur, tetapi apabila kita melakukan sembahyang Istikharah dan memohon supaya Allah memberikan petunjuk, insya-Allah dengan izinnya kita mendapat petunjukNya. Jika dia pilihan kita, buatlah keputusan sebaiknya. Jika tidak, tolaklah dia dengan baik. Semua yang kita lakukan ini adalah bagi mendapatkan kebahagiaan hidup di dunia. Setelah semuanya diusahakan, berserahlah kepadaNya dan terus berdoa. Ingatlah, nikmat di dunia ini hanya sementara. Nikmat di akhirat adalah kekal selamanya.