Punca utama yang menyebabkan pasangan suami isteri membuat keputusan ini ialah kerana kesukaran untuk mendapatkan kemudahan penjagaan anak yang memuaskan hati mereka bila kedua suami isteri keluar bekerja. Mengambil pembantu rumah tidak menjadi pilihan mereka kerana mereka merasakan kehadiran pembantu ini mengganggu “privacy” mereka. Menghantar anak-anak ke pusat asuhan kanak-kanak juga dianggap tidak sesuai kerana sukar untuk mendapatkan pusat jagaan yang boleh memberikan penjagaan yang memuaskan hati mereka.

Maka, keluarga yang dalam keadaan ini memutuskan bahawa adalah wajar si suami berhenti kerja dan menguruskan rumahtangga, manakala isteri terus bekerja dan secara tidak langsung menjadi pencari nafkah keluarga.

Ada yang melihat suami-suami yang sanggup menjadi suri rumahtangga ini sebagai mereka yang telah mengalami perubahan paradigma kerana sebagai lelaki, mereka sanggup membuat kerja-kerja yang selama ini dilihat sebagai kerja-kerja perempuan. Oleh kerana itu, keputusan mereka dipandang mulia dan terpuji.

Suami Berhenti Kerja Jaga Anak, Isteri Cari Nafkah. Ada Masalah Ke?

Namun, wajarkah aturan seperti ini berlaku dalam keluarga Islam? Wajarkah seorang suami yang beragama Islam menjadi pengurus rumahtangga, manakala isterinya menjadi pencari dan pemberi nafkah untuk keluarga tersebut? Pastinya, tidak wajar.

Aturan ini tidak wajar bukan kerana Islam menghalang suami dari melakukan kerja-kerja rumah. Malah, suami amat digalakkan untuk membantu isteri di rumah sebagaimana Rasulullah s.a.w. pernah membantu isteri-isteri Baginda.

Aturan ini tidak wajar kerana ia melanggar ketetapan Allah bahawasanya dalam keluarga Islam, tanggungjawab nafkah terletak di bahu suami (An-Nisa’:34). Ini bererti, dalam keluarga Islam, suamilah yang wajib bekerja untuk mencari nafkah dan bukannya isteri. Walaupun Islam tidak melarang wanita untuk keluar bekerja, tetapi wanita bekerja bukan untuk menanggung nafkah keluarganya.

Melainkan dalam keadaan-keadaan tertentu seperti suaminya berpenyakit dan tidak boleh bekerja atau wanita itu merupakan seorang ibu tunggal, barulah si isteri terpaksa menjadi pencari nafkah untuk keluarganya. Jika dia redha dengan aturan tersebut, maka itu adalah lebih baik baginya. Sebaliknya, jika dia tidak redha, tiada kesalahan baginya kerana waris suami perlu memainkan peranan mereka seperti yang termaktub dalam al-Quran (al-Baqarah: 233).

Sekiranya suami tiada halangan untuk bekerja, mereka perlu menanggung nafkah keluarganya. Rasulullah s.a.w. pernah bersabda yang membawa maksud, jika seseorang itu mencari kayu api dan menjualkannya, itu adalah lebih baik dari dia meminta-minta. Demikianlah kerasnya tuntutan Islam agar kita berusaha mencari rezeki. Justeru, walaupun gaji isteri 10 kali ganda berbanding suami, suami masih perlu memberi nafkah kepada isterinya. Jumlah nafkah sebenarnya bergantung kepada kemampuan suami. Jadi, tiada isu bahawa apa yang diberi oleh suami tiada nilai di sisi isteri. Yang penting, nafkah itu dapat menampung keperluan keluarga tersebut.

Suami Berhenti Kerja Jaga Anak, Isteri Cari Nafkah. Ada Masalah Ke?

Di zaman IT ini, memang wujud banyak kesempatan untuk bekerja dari rumah. Malah, ramai yang kini mencari rezeki dari bilik tidur mereka sendiri dengan menggunakan Internet. Sekiranya suami-suami tadi tidak bekerja di luar rumah tetapi masih mempunyai pendapatan dengan bekerja dari rumah dan menggunakan pendapatan tersebut untuk keluarga, maka aturan ini boleh diterima oleh Islam. Namun, jika suami tadi hanya menjadi pengurus rumahtangga tetapi tidak membawa nafkah, maka itu adalah sesuatu yang amat tidak wajar. Malah, isteri boleh menuntut fasakh sekiranya suami gagal menunaikan tanggungjawab nafkahnya untuk tempoh yang tertentu.

Sebagai orang Islam, kita sepatutnya bersyukur kerana dianugerahkan al-Quran dan as-Sunnah sebagai panduan untuk mengatur kehidupan kita. Jadi, apa perlunya menoleh ke Barat? Jika fenomena suami menjadi suri rumahtangga ini semakin ketara di Barat, mestikah ia juga berlaku dalam masyarakat kita? Akan mundurkah masyarakat kita jika fenomena yang sama tidak berlaku di sini? Bagi masyarakat yang tiada panduan, apa sahaja boleh berlaku. Tetapi tidak bagi masyarakat Islam. Jika masyarakat hadhari menjadi matlamat kita, ini adalah antara perkara-perkara yang perlu dihentikan segera.

Gambar hiasan : Tangkap Pictures

sumber : http://www.ikim.gov.my/

Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI