Pesona Pengantin kini berada di dalam aplikasi   
Pesona Pengantin kini berada di dalam aplikasi   
Home Kekeluargaan Hubungan Suami Boleh Memilih Untuk Bergelar Suri Rumah, Tetapi Nafkah Masih Wajib Darimu

Suami Boleh Memilih Untuk Bergelar Suri Rumah, Tetapi Nafkah Masih Wajib Darimu

Islam tidak melarang lelaki yang bergelar suami menjadi suri rumah iaitu dalam erti kata membantu isteri melakukan kerja-kerja rumah. Inilah juga yang diamalkan ikon umat Islam, Nabi Muhammad SAW dalam kehidupan rumah tangga baginda.

Tetapi, bukanlah perlu bergelar suri rumah sepenuh masa. Ini kerana suami wajib memberi nafkah kepada isteri seperti menyediakan tempat tinggal yang sesuai dan  memberikan makanan serta pakaian mencukupi.

Suami Boleh Memilih Untuk Bergelar Suri Rumah, Tetapi Nafkah Masih Wajib Darimu

Ini sebagaimana dinyatakan dalam Surah al-Nisa’ ayat 34, Allah berfirman yang bermaksud: “Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang lelaki dengan beberapa keistimewaan atas orang perempuan dan juga kerana orang lelaki itu telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian daripada harta mereka.”

Ayat tersebut jelas menunjukkan bahawa suami wajib memberi nafkah kepada isteri tanpa mengira isterinya bekerja atau tidak.

Dalam sebuah rumah tangga keluarga Islam, tanggungjawab asas mencari rezeki sememangnya terletak di bahu seorang lelaki iaitu suami.

Jelasnya, sebaik sahaja lelaki menerima akad terhadap seseorang wanita bermakna dia bukan sekadar menerimanya sebagai isteri, tetapi turut mengambil tanggungjawab terhadap isterinya termasuk tanggungjawab yang dipikul wanita tersebut.

Jika selama ini seorang wanita ditanggung bapanya, kini tanggungjawab itu beralih kepada suami.

Suami Boleh Memilih Untuk Bergelar Suri Rumah, Tetapi Nafkah Masih Wajib Darimu

Itu perkara asas perlu diketahui oleh semua lelaki yang bakal bergelar suami.

Pada masa sama, suami juga perlu mengambil tanggungjawab yang selama ini digalas isterinya (jika ada) seperti menjaga ibu sakit mahupun perbelanjaan adik-adik si isteri kerana kedudukan menantu adalah sama seperti anak sendiri.

Apabila berdepan dengan tekanan ekonomi sehingga menyebabkan tidak bekerja, suami boleh memilih untuk bergelar suri rumah, tetapi dia tetap perlu menjalankan tanggungjawabnya dalam memberi nafkah kepada isteri dan keluarga.

Katanya, golongan lelaki hanya boleh menjadi suri rumah separuh masa, bukannya sepenuh masa dengan membiarkan isteri sahaja bekerja mencari nafkah sementara suami menguruskan sepenuhnya rumah tangga.

Jika hal itu terjadi tambahnya, maka keadaan itu sudah terbalik daripada sistem asal yang digariskan dalam Islam.

Tidak ada istilah suri rumah sepenuh masa buat lelaki. Gelaran itu hanya boleh diberikan kepada wanita kerana walaupun lelaki duduk di rumah, tanggungjawab suami itu tidak tanggal. Tetapi, jika terdesak, maka suami isteri perlu mengadakan perbincangan bagi memastikan masing-masing bersedia menghadapi keadaan yang mana suami berkemungkinan tidak lagi menerima gaji bulanan.

IKLAN

Untuk mengurangkan beban, suami kenalah menjaga anak-anak daripada dihantar ke taska mahupun menghantar sendiri anak ke sekolah berbanding menggunakan perkhidmatan bas sekolah.

Oleh itu, suami bukan sahaja dapat membantu mengurangkan kos perbelanjaan bulanan keluarga, tetapi tanpa sedar dia sebenarnya telah menanggung sebahagian nafkah tetapi dalam bentuk nilai bukannya wang ringgit.

Tambah beliau, nafkah itu tidak semestinya dalam bentuk tunai, sebaliknya boleh dipandang dari sudut nilai contohnya apa yang diberikan suami seperti menjaga anak itu adalah nafkah untuk keluarga.

Bermakna, suami masih perlu memberi nafkah kepada isteri yang meliputi tujuh perkara antaranya tempat tinggal yang selamat, makan minum, pakaian dan perubatan.

Sekiranya, suami mampu menyediakan semuanya, tetapi tidak berupaya memberi wang tunai setiap bulan kepada isteri, maka suami tersebut dianggap telah menjalankan tanggungjawabnya dalam memberi nafkah kepada isteri.

Tetapi, jika suami gagal melakukannya, maka si isteri mempunyai beberapa pilihan iaitu sama ada reda dengan keadaan tersebut dan menganggap suami telah melengkapkan sebahagian hidupnya atau memilih untuk berpisah setelah perbincangan untuk memperbaiki situasi itu tidak berjaya.

Rezeki Allah luas

Memilih menjadi suri rumah bukanlah alasan untuk suami culas menjalankan tanggungjawabnya dalam memberi nafkah kepada isteri. Suami tetap wajib mencari nafkah sama ada melakukannya di rumah atau perlu keluar bekerja.

Sekarang ada macam-macam cara untuk suami mencari pendapatan asalkan halal seperti melakukan perniagaan secara online.

Mungkin pendapatan yang diterima tidaklah semewah dahulu, tetapi sekurang-kurangnya dapat membantu meringankan beban isteri dan lebih penting suami mempunyai wang untuk menyediakan nafkah buat isteri.

IKLAN

Untuk menjaga kerukunan rumah tangga, suami isteri perlu berganding bahu membantu antara satu sama lain. Tetapi, isteri kena akur bahawa suami adalah ketua keluarga walaupun dia tidak keluar mencari nafkah atau pendapatannya kini lebih rendah daripada isteri.

Suami kena sedar akan tanggungjawabnya, tidak boleh membebankan semuanya kepada isteri.

Berusahalah mencari nafkah kerana orang yang berusaha mencari nafkah mendapat ganjaran yang besar di sisi Allah.

Rezeki Allah tidak akan berakhir sehinggalah manusia itu meninggal dunia, malah ada sesetengahnya tetap dilimpahkan rezeki walaupun sudah tiada di muka bumi antaranya melalui amal jariah yang dilakukan ketika hidup.

Malah katanya, berkahwin juga sebenarnya ‘menjemput’ atau menambahkan rezeki. Sebagai contoh jika dahulu minumnya secawan tetapi kini bertambah kepada dua atau lebih apabila mempunyai anak-anak. Itulah tambahan rezeki yang diberikan Allah.

Rezeki itu tidak semestinya duit atau makanan, ia juga boleh dilihat melalui kasih sayang, aspek keselamatan, apabila ditimpa musibah bantuan segera datang malah rezeki juga boleh diberi Allah melalui orang lain.

Diceritakan dalam satu kisah, seorang lelaki mengadu kepada Rasulullah bahawa dia penat bekerja sedangkan adiknya asyik belajar sahaja. Tetapi Rasulullah menasihatinya agar bersabar kerana berkemungkinan rezeki yang diperoleh ketika itu datang daripada adiknya.

Sementara itu katanya, berkahwin bukan sekadar ‘menjemput’ rezeki tetapi apabila seseorang itu berkahwin, dia mendapat keberkatan daripada rumah tangga tersebut kerana selamat daripada godaan syaitan, bertambah keimanannya kepada Allah, menambah pahala dan banyak lagi.

Tetapi, jika anda berasa sempit bermakna wujudnya masalah hati antara diri dengan Allah.

IKLAN

Namun sebagai isteri, biarpun pendapatan lebih berbanding suami, janganlah memandang masalah atau kekurangan itu sebagai sesuatu yang mencacatkan suami. Isteri perlu memandang kepada aspek lain iaitu dia tidak dapat bekerja tanpa izin suami dan kehadiran suami sebagai suri rumah juga memberinya lebih masa untuk berehat.

Jangan diungkit gajinya kecil sedangkan gaji kita besar kerana berkemungkinan keadaan itu hanya sementara dan siapa tahu suami boleh membina potensi baharu di tempat lain pada masa akan datang.

Sebaiknya, sentiasalah memberi kata-kata positif dan menenangkan serta tanamkan keyakinan bahawa rezeki itu bukan datangnya daripada manusia tetapi daripada Allah.

Isteri jangan ambil kesempatan

LELAKI melakukan kerja-kerja rumah tangga seperti membasuh baju, memasak mahupun menyidai kain sama sekali tidak menjatuhkan darjat atau maruah dirinya sebagai seorang suami.

Bagaimanapun, isteri tidak seharusnya mengambil kesempatan dengan kerelaan suami kerana lelaki itu tetap seorang suami yang perlu dihormati dan memimpin rumah tangga dibina.

Biarpun suami menjadi suri rumah, bukan bermaksud kerja-kerja yang dulunya dilakukan isteri kini terletak di bahu suami sementara tanggungjawab suami diambil oleh isteri.

Sebaiknya, bantulah antara satu sama lain. Jika isteri balik kerja dilihat ada tugasan belum selesai, tidak salah membantu setakat yang terdaya.

Tetapi, seorang isteri jangan meletakkan dirinya sebagai superwomen dan ingin melakukan semua kerja. Jika anda melakukan semuanya tanpa had, ia akan menyebabkan rumah tangga goyah.

Keadaan itu akan membuatkan suami rasa selesa dan lama-kelamaan isteri akan tertekan hingga berlakunya pergaduhan.

Suami isteri perlu saling melengkapi antara satu sama lain, namun mereka juga perlu memahami bahawa sekufu itu penting.

Sekufu bermaksud kesamaan atau kesetaraan. Sepasang suami isteri hendaknya sama atau setara dalam aspek tertentu seperti kefahaman, ibadah dan jika faktor tersebut tidak dipenuhi berkemungkinan akan menyebabkan ketidakharmonian dalam kehidupan rumah tangga.

Suami juga perlu bertolak-ansur dengan keadaan isteri, jangan pula isteri yang keluar bekerja tetap disuruh melakukan semua tugasan di rumah.

Alangkah baiknya jika suami dapat memberikan layanan yang sama seperti dilakukan isteri. Balik kerja diberikan minuman atau diurut untuk hilangkan keletihan.

Perbuatan itu tidak menjatuhkan darjatnya sebagai seorang suami, bahkan akan meninggikan kedudukannya dan Allah akan melimpahkan lagi kasih sayang serta rezeki kepada pasangan tersebut.

Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI