
Siapa sahaja tak suka isteri cantik dan lawa bukan? Namun, itu bukanlah sebab utama untuk anda berkahwin. Jika sudah berkahwin, isteri automatik akan menjadi cantik dan akan berhias diri hanya untuk anda.
Tapi, suami jangan nak sama kan artis dengan isteri anda, artis tu keluar modal beribu-ribu tiap bulan untuk kecantikan. Kalau nak isteri cantik, jangan kedekut dan berkira untuk isteri beli barang kecantikan.
Isteri yang gembira = keluarga yang gembira
Terapkan ayat ini di dalam hati kita. Jagalah isteri anda sebaik mungkin, ambil tahu keperluan rohani si isteri. Terutamanya yang menjadi suri rumah sepenuh masa. Anda sahaja tempat untuk isteri bergantung harap.
Pusing la macam mana pun, kita juga akan dapat hasilnya. Janganlah berkira, bukan mahal mana pun. Semuanya boleh tahan berbulan – bulan. Mulakan dari sekarang, tanya isteri. Tawarkan diri untuk beli alat solek untuk isteri. Bukan susah pun. Semuanya ada di lazada.
Keyword dia mudah. Bukan perlu beli semua, minta isteri beritahu yang mana dia betul – betul perlukan dahulu. Kemudian cuba beli yang lain pula bila ada kemampuan.
Kalau tak nak beli kat Lazada atau Shopee pun takpe, boleh juga tengok yang di Watsons (tengah offer) atau drugstore yang lain. Pastinya boleh belek sendiri untuk lebih yakin.
Semoga dengan penulisan ini dapat suami lebih menggembirakan isteri. Jangan segan untuk berkongsi post ini kerana semua suami wajib tahu kepentingan make up dan produk penjagaan muka isteri.
Untuk suami, mudah je. Ada sikat, gel rambut, deodorent dengan minyak wangi dah cukup hensem.
Sumber: FB Akhtar Syamir
Dia Jodohku, Biar Hanya Mengenalinya Selama 10 Bulan

Jodoh dan pertemuan itu milik Allah. Siapa sangka pertemuan sesingkat cuma mempertemukan Nur Hidayah J. dan Muhd Azmi A.S. hingga sah bergelar suami isteri. Nur Hidayah berkongsi kisah bagaimana dia menemui cinta hatinya.
……………………………………………………………………………………………………….
Masih lagi segar dalam ingatan, 10 hari terakhir di dalam bulan Ramadan tahun 1438H, iaitu pada malam yang ke 7/8, saya bermunajat kepada Allah s.w.t. Malam itu saya tekad untuk memaafkan semua orang dengan sepenuh hati saya; mengampunkan yang pernah menyalahi, menyakiti atau menzalimi diri saya.
Dan pada malam itu jugalah tanpa disangka, saya mengambil telefon pintar dan mencari segala macam doa berkaitan jodoh, walhal sebenarnya sudah lama saya sengaja menghentikan diri daripada memikirkan tentang jodoh, apatah lagi berdoa. Ini kerana tiga tahun yang lepas, saya pernah putus “tunang”dan sejak dari kejadian itu, saya malas dan penat untuk memikirkan soal jodoh. Saya hanya memberi tumpuan kepada perkara-perkara yang dapat membahagiakan diri, fokus dalam menghargai diri saya sebagai seorang individu tanpa sebarang teman atau pasangan hidup.
Maka pada malam tersebut, Alhamdulillah, akhirnya Allah telah membukakan pintu hati saya kembali dan percaya kuat bahawa malam itu terlindung seribu satu makna.
DETIK PERMULAAN
Tiga malam terakhir, sedang saya membelek telefon, tiba-tiba, terpapar sebuah mesej whatsapp yang saya terima daripada nombor yang tidak dikenali. Kebiasaannya, saya akan buat endah sahaja, apatah lagi apabila saya nampak nombor itu disertakan dengan gambar- gambar seorang Adam yang tidak kenali sebagai ‘display picture’nya. Tapi entah mengapa pada malam itu, saya boleh tergerak hati untuk membalas mesej tersebut.
Garang tak? Heh. Yang lagi garang atau kelakar sebenarnya; sejurus selepas dia menyatakan hasrat sebenar meninggalkan mesej, iaitu untuk berkenalan dengan saya dengan lebih mendalam, saya terus memberikannya link https://www.16personalities.com/free-personality-test untuk mendapatkan hasil ujian personalitinya dan bertanyakan tentang misi dan visi hidupnya, sebelum saya perkenalkan diri saya. Ya, itulah tahap keseriusan saya dalam bab mencari pasangan. Saya tidak mahu membuang masa berkenalan dengan seseorang tanpa ada arah tujuan atau matlamat. Mana pernah dibuat orang, (ketawa).
PERTEMUAN PERTAMA
Hanya dua hari kami berhubung menerusi Whatsapp, saling memperkenalkan diri sebelum berjumpa. Sebab saya memutuskan untuk berjumpa terlebih dahulu kerana takut-takut yang dilihat dalam Whatsapp tidak sama seperti diri sebenar seseorang. Zaman sekarang, kena lebih berhati-hati. Dan saya percaya, dengan bertemu seseorang secara zahir dapat melahirkan perasaan yang sebenar, sama ada hati akan tergerak untuk memberinya peluang untuk mengenali saya ataupun tidak.
Jujur saya katakan, pertama kali diri saya macam tidak tentu arah, hati dan mulut tersenyum lebar sendiri, apabila kami tidak sengaja bersua muka atau berselisih jalan sebelum bertemu pada waktu dan tempat yang dijanjikan. Adakah ia suatu petanda? Cinta pada pandang pertama?
PERSETUJUAN WALI
Sepanjang perbualan kami di Whatsapp, selama dua minggu itu saya menekankan bahawa andainya benar dia serius ingin melanjutkan perkenalan atau perhubungan ini, dia harus berjumpa dan menyatakan hasratnya kepada ayah saya. Andai dia mendapat persetujuan ayah, maka bermakna dia mendapat persetujuan saya juga. Alhamdulillah, dia berjaya memenangi hati ayah saya sebaik membawanya berjumpa dengan ayah.
Empat hari kemudian, dia datang ke rumah saya untuk bertemu dengan ibu dan adik perempuan saya. Malam itu, dia menyuarakan hasratnya untuk menikahi saya dan ingin menghantarkan rombongan meminang secepat mungkin.
Semua perkara itu berlaku dengan pantas, hanya dalam masa seminggu. Seminggu selepas dia datang ke rumah, giliran saya pula untuk ke rumahnya dan bertemu dengan ibu bapanya untuk pertama kali. Hanya Tuhan sahaja yang tahu betapa gugup hati ini. Alhamdulillah, semuanya baik-baik belaka, dan pada malam itu juga, kami mencari cincin pertunangan kami.
MERISIK
Kami merencanakan hari agar kedua pihak ibu bapa dapat bertemu dan berkenalan di antara satu sama lain sebagai bakal besan. Kami makan tengahari bersama di East Village, Warong Ambeng. Dan sebelum masing-masing menuju arah pulang, ibunya menghulurkan sebentuk cincin sebagai tanda merisik, suatu kejutan dari si dia.
(SELEPAS 8 MINGGU…)
HARI PERTUNANGAN
12 OGOS 2017
Hanya berbekalkan lima minggu sahaja untuk membuat persiapan, akhirnya selesai! Pihak lelaki menyediakan dulang hadiah berwarna merah jambu dan pihak saya pula menyediakan dulang hadiah berwarna biru. Pakcik Alang menjadi wakil bagi pihak saya. Akhirnya, dapat juga saya memakai baju tunang yang telah disimpan di dalam almari selama bertahun, hanya menantikan saat ini untuk menjadi kenyataan. Juruandam yang menyolek muka saya ialah Kak Shirdah, seorang andam yang terkenal, walaupun saya menemukannya di saat-saat akhir. Teman-teman rapat hanya tiba meraikan hari ini setelah majlis selesai dan selepas rombongan lelaki telah beredar. Kesimpulannya, ia majlis yang mudah tetapi penuh dengan kenangan.
Hari bersejarah yang dinantikan buat pasangan ini tiba pada 21 April 2018 di mana keduanya sah bergelar suami isteri biar tempoh perkenalan hanya sekejap cuma.
Moga kekal berkekalan hingga ke Jannah.
Masa Bujang Kurang Terurus, Kahwinlah Cepat Nescaya Semua Settle!

HIDUP berpasangan adalah fitrah semula jadi dan setiap sesuatu itu ada pasangannya, umpama siang dengan malam, pasang dan surut. Begitu juga dengan manusia, melalui perkahwinan menemukan pasangan untuk mengharungi segala suka duka kehidupan.
Perkahwinan dapat merubah hidup seseorang yang dahulunya terumbang-ambing kepada lebih berwawasan. Ada banyak ayat al-Quran mengenai pensyariatan perkahwinan memenuhi tuntutan fitrah semula jadi manusia.
Berkahwin menjadi wajib apabila seseorang itu berkemampuan fizikal dan mental serta bimbang jika diri akan terjerumus ke lembah maksiat dengan melakukan zina. Perkahwinan boleh menjadi sunat apabila seseorang itu yakin tidak akan terjebak dengan zina dan maksiat.
Namun, pada masa sama dia juga tidak ragu untuk berkahwin kerana mampu menyediakan keperluan asas dan menjaga kebajikan isteri dengan baik.
Makruh melangsungkan perkahwinan seandainya seseorang itu bimbang ragu akan melakukan kezaliman terhadap isteri seperti tidak mampu menyediakan keperluan asas. Kebimbangan itu tidaklah cenderung kepada yakin, tetapi sedikit ragu sahaja.
Begitu juga yang mempunyai penyakit serius, berjangkit seperti HIV adalah makruh bagi mereka berkahwin.
Individu diharamkan berkahwin ialah yang mempunyai kesanggupan berkahwin, tetapi menimbulkan bahaya kepada bakal isterinya seperti lelaki yang berkahwin dengan tujuan menyakiti bakal isterinya. Maka perkahwinan itu hukumnya haram.
Fitrah hidup berkasih sayang
Islam meraikan fitrah dan keperluan hidup manusia seperti ingin dikasihi, mempunyai pasangan hidup dan keluarga sebagai tempat menerima serta mencurahkan kasih sayang. Oleh itu, menurut Muhammad, mereka yang berkemampuan dan cukup syarat dianjurkan berkahwin.
Allah SWT berfirman bermaksud: “Dan di antara tanda yang membuktikan kekuasaan-Nya dan rahmat-Nya bahawa Dia menciptakan untuk kamu isteri-isteri daripada jenis kamu sendiri supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikan di antara kamu suami isteri perasaan kasih sayang dan belas kasihan.” (Surah al-Rum, ayat 21)
Islam turut memberi panduan bagi generasi muda yang ingin berkahwin dengan niat menjaga diri daripada dosa dan maksiat, tetapi khuatir rezekinya tidak mencukupi menanggung keluarga.
Dalam hal ini, jika usaha mencari rezeki dijalankan dengan tersusun selepas menunaikan segala tanggungjawab sebagai suami isteri sebaiknya, yakinlah rezeki akan dimudahkan melalui perkahwinan itu.
Di negara Barat menerima perkahwinan sesama jantina dan Islam sama sekali-kali tidak mengiktiraf hubungan sedemikian. Bahkan, Islam tidak mengiktiraf perkahwinan mana-mana pihak yang membuat pembedahan tukar jantina.
Adil dalam perkahwinan
Allah SWT berfirman bermaksud: “Dan jika kamu takut tidak akan dapat berlaku adil terhadap perempuan yatim (apabila kamu berkahwin dengan mereka), maka berkahwinlah dengan wanita-wanita (lain) yang kamu senangi, dua, tiga atau empat. Tetapi jika kamu takut tidak dapat berlaku adil, maka berkahwin dengan seorang sahaja, atau hamba sahaya yang kamu miliki. Yang demikian itu adalah lebih dekat untuk tidak melakukan kezaliman.” (Surah an-Nisa’, ayat 3)
Allah SWT menetapkan seorang lelaki itu berkahwin tidak boleh lebih daripada empat isteri. Ia bertujuan membatasi lelaki supaya tidak berbuat sesuka hatinya kerana mereka dibenarkan berkahwin lebih daripada satu dengan syarat berkemampuan serta mampu berlaku adil.
Jika bimbang tidak dapat berlaku adil, maka berkahwinlah dengan seorang sahaja. Allah SWT menjanjikan ganjaran yang hebat kepada suami yang berlaku adil terhadap isterinya.
Sabda Rasulullah SAW: “Orang yang berlaku adil di sisi Allah nanti akan ditempatkan di atas mimbar yang diperbuat daripada cahaya dari sebelah kanan al-Rahman ‘Azza wa Jalla (Allah) lalu Nabi mengangkat tangan kanannya. Orang yang termasuk golongan itu (sebelah kanan Nabi) adalah orang yang adil dalam pemerintahannya, adil terhadap isterinya dan tidak menyimpang.” (Riwayat Muslim)
foto hiasan : Tangkap Pictures
Berebut Balik Kampung, Tiap Kali Raya Mesti Gaduh!

Berebut balik kampung, tiap kali raya gaduh! Itulah satu masalah pasangan suami isteri, nak beraya rumah orang tua dulu atau rumah mak mentua. Masing-masing tak nak mengaku kalah.
Lagi parah, kalau mak mentua masuk campur sama. Siap ugut, kalau tak balik raya, jadi anak derhaka! Bersambung gaduh lah pasangan suami isteri, kalau dah bertahun kahwin mungkin akan makin mengalah. Yang baru kahwin tu, faham-faham saja lah.
Tak Balik Raya, Jatuh Talak!
Inilah yang paling menyedihkan bila ada suami sanggup ugut dengan menjatuhkan talak pasal isteri jika tidak balik beraya di rumahnya.
Walaupun boleh saja isteri taat tapi kesan dalamannya hanya Allah yang tahu. Sebagai suami pula, janganlah sampai begitu lakukan kepada isteri semata-mata nak isteri ikut perintahnya.
Perkongsian daripada Nur Aqidah Mawardi ini, turut menekankan tentang cara mak mentua supaya bertoleransi pada pasangan anaknya.
Hukum asal: WAJIB SEORANG ISTERI TAAT KEPADA PERINTAH SUAMI SELAGI TIDAK BERCANGGAH DENGAN SYARA’
Cuma…..
Janganlah sampai nak jatuh talak jika isteri membuat permohonan dan keizinan nak balik rumah mak dia.
Wahai segelintir suami, anda berkahwin dengan anak orang. Bukan anak buluh betung. Anda sepatutnya kena mainkan peranan bercakap dengan ibu kalian tanpa membabitkan isteri.
Seperti contoh “mak, abang raya pertama baru balik kampung yer, sebab tahun ni abang teringin nak raya dengan mentua abang” ….
Bila cakap macam ni, mak anda akan lebih faham sebab sebagai ibu pasti nak anak dia bahagia.
Anak Raikan Pasangan
Wahai para ibu yang dah punya menantu. Ketahuilah anak kita dah berkahwin dengan anak orang lain. Jadilah ibu yang support untuk anak-anak meraikan pasangannya.
Andai satu hari, anak perempuan kita diperlakukan sedemikian rupa, apa perasaan kita? Jika kita perlakukan menantu ”BURUK” , ingat!
Kita ada anak perempuan atau adik perempuan atau saudara perempuan. Allah Maha Adil.
Begitu juga suami, jangan tanya kenapa andai satu hari anak perempuan mu menjadi hamba abdi suaminya kita kamu perlakukan isteri mu lebih teruk dari hamba abdi.
Jangan mudah-mudah labelkan anak kita anak derhaka, parah hidup anak tu nanti.
Bertoleransilah, berlapang dadalah. Kita sama-sama azam, bila jadi menantu atau mentua atau apa sahaja peranan, kita usaha untuk jadi yang baik semampunya tapi jangan sampai “makan diri” … minta agar kita semua dipelihara oleh ALLAHU YA HAFI.
Apa pun, kalau ada masalah bab balik raya, berbincanglah elok-elok. Amalkan sikap toleransi dan fikir juga perasaan mak ayah masing-masing. Semoga kita mampu membuat keputusan terbaik demi menjaga hati orang tua di kampung.
Sumber: Nur Aqidah Mawardi