
Bagi lelaki yang dah biasa lepak malam dengan kawan-kawan sebelum berkahwin, mereka akan jadi runsing kalau tak dapat lepak walaupun sehari. Dapat minum secawan kopi pun dah cukup baik bagi mereka.
Kalau dapat isteri yang memahami memang seronok. Tapi kalau dapat isteri yang jenis kuat membebel. Alamatnya, tadah telinga je la sampai ke pagi.
Ada juga yang sampai nak bercerai kerana dihalang daripada keluar melepak. Jadi, untuk suami yang nak melepak malam-malam tapi tak nak isteri marah, maka bolehlah amalkan tips daripada Puan Wana Abas Shafurah Abas ni.

SAYA kerap juga menaiki grab atau uber.
Beberapa bulan lepas saya menaiki uber untuk perjalanan agak jauh. Waktu jem pulak tu. kebetulan saya dapat driver yang rajin berbual. Muda lagi orangnya. Lepas hampir 15 minit bercerita, sekali terkeluar cerita yang isterinya bekerja.
“Ko dah kahwin ke dik? Nampak muda lagi”
“Saya baru kahwin 8 bulan akak. Saya umur 25. Isteri saya umur 23. Tapi saya rasa nak bercerai la.”
Terkejut saya “ko biar benar. Baru lagi kahwin dah nak bercerai.”
“Saya tak tahan dengan perangai isteri saya kak. Dia tak bagi saya keluar dengan kawan-kawan. Saya malam-malam naklah lepak ngan kawan
Ada sekali tu dia tanya saya kat mana. Terus dia datang tempat saya lepak tu. Stress saya.”
Saya dengar terus jadi kesian.
“Ko nak tak akak share tips macamana nak keluar lepak malam tanpa isteri marah?”
“Serius ke kak. Camane?”
Tetiba rasa cam kaunselor pulak.
“Ko buat 3 mende ni. Sure isteri ko tak kisah ko lepak dengan kawan kawan malam-malam.”
“Pertama sebelum ko keluar make sure ko dah siapkan makanan untuk isteri ko makan. Dah berbual dengan dia. Kalau ada anak nanti make sure anak dah makan, dah mandi, dah cebuk berak. Jangan ko keluar jumpa kawan-kawan isteri tunggang terbalik urus anak masak suap anak makan.
Kedua ko tunaikan hak ko dengan tuhan. Pergilah solat kat masjid. Dapat seminggu sekali pun bagus. Bawa isteri ko sekali ajak dengar ceramah. Kalau ada anak nanti ko pastikan anak solat mengaji. Semak bacaan anak solat. Baca alQuran ke. Seminggu 1 muka surat pun takpe. Ni setahun 1 mukasurat manalah bini ko nak confident ngan ko.
Last sekali lepas balik lepak make sure bangun subuh dan belikan siapkan makanan untuk isteri. Pastu pukul 8 ko sambunglah tidur. Ni tidak, dah la balik lambat, subuh tidak. Siap terbongkang sampai zohor. Mana isteri ko tak marah.”
“Betul juga tu. suami akak buat ke semua tu?” Dia tanya balik
“Buatlah dik. Sebab tu akak tahu dan ok dia keluar. Melainkan anak sakit barulah akak bising. Ni rahsia besar. Akak bagitau sebab kesian kat ko muda-muda nak bercerai.”
Sedang elok pula kereta sampai kat rumah.
“Tq akak. Saya suka tips ke 3. Saya cuba akak. Rezeki saya jumpa akak.”
“Syaitan memang suka tengok suami isteri bercerai. Selagi boleh cuba bertahan. Tak boleh nak buat macamana” sempat sound sebelum keluar kereta.
Tetiba rasa lupa nak pesan.
“Last sekali dik, kalau ada kawan ko yang perli-perli ko kalau berbuat baik kat anak isteri pastu sibuk kempen ko kawin lain sedangkan tak pernah ajak ko buat perkara baik. Ko hati-hati dik. Ni namanya kawan-kawan membawa ke neraka.”
Sumber: Wana Abas Shafurah Abas
SUMBER : buletindaily.com
7 Ciri Wanita Idaman Lelaki. Baca Ni!

Rata-rata lelaki menyukai wanita yang mempunyai bentuk tubuh yang menawan dan mempunyai rupa paras yang cantik. Namun, itu hanyalah luaran seseorang wanita yang tidak boleh menterjemahkan isi hati dan sikap seseorang wanita itu.
Walau bagaimanapun, ada lagi ciri-ciri yang lebih penting di mata lelaki saat memilih wanita untuk dijadikan pasangan hidup. Pastinya, wajah yang jelita tidak menjamin kebahagiaan rumah tangga apabila berkahwin kelak.
Jom kita lihat senarai di bawah. Jika anda miliki ciri-ciri ini, pasti si dia salute dengan diri anda!
1. WANITA YANG TAHU MENGHARGAI DIRI SENDIRI
Boleh kata setiap lelaki mahukan pasangan hidupnya tahu dalam menghargai dirinya dan dari situ mereka akan ada keinginan untuk mengetahui bagaimana mereka menjaga dan menghargai diri mereka. Wanita yang tahu menghargai diri sendiri pastinya akan memastikan keluarganya sentiasa dilindungi dan berada dalam keadaan baik.
2. BERKEYAKINAN TINGGI
Sentiasa tampil yakin dalam apa jua keadaan akan membuatkan lelaki teruja dan kagum dengan anda. Terutama sekali saat anda yakin dalam mengambil suatu risiko dalam sesuatu perkara. Selain itu, kaum lelaki juga amat suka wanita yang boleh bijak dalam menyelesaikan masalah. Mereka akan menggangap anda seorang yang istimewa dan serba boleh!
3. SENTIASA TAMPIL CANTIK
Walaupun anda sudah cukup mengenalinya terlalu lama, sebaiknya biarlah menjaga penampilan anda di hadapannya agar sentiasa tampak cantik. Dan ini juga bermakna yang anda perlu menjaga kebersihan dan kecantikan diri setiap hari. Walaupun wajah anda tidaklah secantik Mira Filzah, namun penampilan diri dari segi kekemasan perlu dijaga.
4. WANITA YANG ADA SEMANGAT DALAM MENGEJAR IMPIAN
Apabila seseorang wanita yang sering dianggap lemah tetapi kemudiannya menunjukkan yang diri mereka ada semangat yang kuat untuk kejar apa yang dicita-citakan, jenis wanita sebegini selalunya lelaki pilih untuk dijadikan pasangan sehidup semati. Mereka tekun dalam mengecapi kejayaan walaupun banyak rintangan yang perlu ditempuhi. Ciri ini akan membuatkan lelaki berasa kagum dengan anda!
5. WANITA YANG BERDIKARI & ADA PENDAPATAN SENDIRI
Bagi lelaki, wanita yang tahu berdikari serta mempunyai pendapat dan falsafah diri itu lebih matang. Ia menunjukkan yang wanita itu tidak bergantung sepenuhnya pada kehidupan orang lain setiap masa. Selain itu, wanita yang mampu berpijak pada atas kaki diri sendiri tanpa bantuan orang lain dianggap seksi di mata lelaki.
6. BERTANGGUNGJAWAB DALAM SEMUA ASPEK
Pastinya semua wanita mempunyai tanggungjawab dalam kehidupan. Bagi lelaki, mereka amat kagum pada wanita yang mengambil tanggungjawab dalam keluarga lebih-lebih lagi dalam memastikan institusi keluarga terjamin. Sebagai contoh, wanita yang sanggup bekerja lebih masa demi membantu ibu-bapa dan adik-adiknya dalam menyara kehidupan dianggap sesuatu yang luar biasa buat lelaki. Mereka amat salute pada wanita seperti ini.
7. MENGHORMATI ORANG TUA
Ciri ini juga bakal membuatkan lelaki mengagumi diri anda. Sikap peramah dan layanan baik anda terhadap orang tua boleh membuatkan hati lelaki cair. Bukan sahaja dia melihat layanan anda buat ibu bapa anda, malah layanan ikhlas anda terhadap orang yang lebih tua dari anda menjadi salah satu ciri yang diperhatikan oleh lelaki dalam mencari pasangan hidup.
Isteri Depresi, Tanggungjawab Suami Untuk Berada Di Sisi Isteri

Ini perkongsian seorang suami yang mempunyai isteri yang mengalami masalah depresi yang sering dipandang enteng kebanyakan suami.
Ayuh ikuti pengalaman Najmi Nawawi ini.
==================================================
Aku nak cerita tentang isteri aku. Artikel ini panjang sedikit tetapi demi Allah aku yakin kau tidak akan rugi baca. Aku nak cerita tentang penyakit DEPRESI yang dihidap isteri aku.
Ya isteri aku, bidadari aku sendiri cik Husna mempunyai depresi. Ini telah disahkan oleh pakar psikiatri 4 tahun yang lepas. Aku masih ingat pada waktu itu kami ke Hospital Sungai Buloh setelah mendapat refer letter dari klinik. Punca dapat surat refer itu pula ialah apabila doktor di klinik tanya soalan ini pada Husna.
‘Husna ada rasa sampai macam nak bunuh diri ke?’
Dan isteri aku cakap – ‘Ya, rasa dah tak mahu hidup’.
Bagi aku ini ialah satu detik bersejarah dalam hidup kami. Kerana di sinilah bermulanya perjuangan aku dan isteri berhadapan dengan penyakit yang dipanggil depresi atau kemurungan.
Bila aku tahu isteri aku sudah ada perasaan untuk membunuh diri sendiri. Jadi kau fikir aku ada masa untuk main-main lagi? Kau fikir aku ada masa untuk buat benda lain? Aku kena hadapi masalah ini, sebab yang kena ialah isteri aku. Dia amanah untuk aku, aku perlu bantu.
Rentetan itu banyaklah keputusan-keputusan besar yang aku terpaksa buat dan mengubah hidup aku, hidup kami sekeluarga. Pandangan orang luar? Apa yang mereka tahu? Aku korbankan itu semua. Kerana apa yang penting aku sebagai suami kena bertanggungjawab untuk memulihkan isteri aku.
Maka seperti yang diminta oleh pihak klinik untuk refer department psikiatri Hospital Sungai Buloh maka aku menemani bidadariku untuk berjumpa pakar. Harapnya pada waktu itu, tiada apa-apa yang serius.
Kau tahu-tahu sahajalah ini ialah untuk pertama kalinya kami pergi masuk ke bahagian psikatari. Terdengar ada makcik menjerit-jerit bergaduh dengan nurse, ditambah lagi dengan ruang menunggu yang agak sempit memang buat kami tidak selesa. Ada juga yang bergaduh minta ubat lebih dan ada juga yang mengetuk-ngetuk meja. Macam bercampur dengan tempat orang gila.
Waktu itu, ada juga terfikir. Betulkah tindakan kami ini. Rasa macam masuk ke tempat yang tidak sepatutnya. Pegang tangan isteri dan redah sahaja. Kami mahu juga tahu apa yang berlaku dan semestinya ingin mendapatkan rawatan terbaik.
Aku cerita ini peristiwa yang berlaku 4 tahun lepas, masa ini dalam kepala kami tidak mempunyai kesedaran dan ilmu yang luas tentang penyakit depresi ini. Rasa takut, rasa tidak selamat, rasa risau dan sebagainya semuanya mula menghantui lubuk perasaan.
Kau bayangkanlah. Kau masuk tempat psikiatri kot. Dengan keadaan yang macam itu persekitarannya. Itu perasaan aku, bagaimana pula perasaan bidadari aku ketika itu. Jadi aku kena kuatkan semangat.
Maka berjumpalah kami dengan pakar psikiatri dan isteri aku didiagnos dengan penyakit depresi secara rasmi. Ya pada waktu itu ianya hanya permulaan, dan hanya ada depresi. Tetapi selepas beberapa pertemuan susulan, ia menjadi semakin teruk kerana turut didiagnos juga dengan anxiety dan panic attack.
Inilah realiti yang perlu kami telan. Kini bermulanya bahagian yang susah iaitu fasa ujian.
Kenapa aku sebut fasa ujian, sebab fasa inilah hubungan kami diuji. Fasa yang susah dan penat.
Husna selalu rasa macam diri dia tidak berguna dan malang.
Rasa macam semua orang benci. Rasa macam semua orang ambil kesempatan. Rasa macam tiada ada orang beri perhatian. Rasa macam tidak disayangi. Rasa baik diri mati sahaja.
Ini semua ialah luahan yang diceritakan pada aku. Dan dari pemerhatian aku sendiri, diri dia umpama ‘not being present’. Macam dia masih hidup dalam kisah lama, atau terlalu memikirkan tentang masa hadapan. Hingga the real world – the present yang ada depan dia ini macam kosong.
Ubat yang doktor bagi ialah setraline. Kami rasa ubat ini umpama nyawa, kerana kalau tiada ubat ini pasti jiran-jiran akan dengar jeritan husna marah dan menjerit-jerit atau menangis. Kerana pernah juga cuba stop makan ubat ini kerana rasa dah boleh baik. Namun ternyata ianya ialah pilihan yang silap.
Maka apa lagi, kami dimarahi oleh pakar psikiatri dekat Hospital PPUM kerana tinggalkan ubat. Kami tidak buat rawatan susulan di Sungai Buloh kerana agak jauh maka PPUM dirasakan lebih sesuai kerana berdekatan. Doktor juga bagi amaran jangan tinggalkan ubat ini lagi.
Ubat ini akan buat kau rasa letih dan penat seterusnya mengurangkan rasa marah atau sedih melampau. Kau akan rasa mengantuk dan lebih suka untuk berehat.
Kalau aku cerita tentang apa yang berlaku pada kami kalau isteri aku tiba-tiba kena panic attack. Pasti kau tidak percaya. Menjerit dan meraung? Itu perkara biasa. Pintu bilik pecah ditumbuk sekuat hati. Meronta macam hilang pertimbangan bahkan pernah juga cuba menikam aku dengan kunci.
Tidak lawak. Aku boleh menangis fikirkan apa yang berlaku.
Anak-anak? Pastinya terkesan. Macam aku ada dua orang anak, alhamdulillah dua-dua perempuan yang comel. Seorang Maryam Deen dan adiknya ialah Aisyah Deen. Mereka ini ialah penguat perjuangan daddy dan mommy untuk menghadapi perjuangan ini.
Zaman Maryam Deen ialah zaman kami struggle untuk mencari jalan untuk penyelesaian masalah depresi ini. Zaman baru nak kenal penyakit depresi dan mencuba rawatan yang ada.
Zaman Aisyah Deen pula ialah zaman masih struggle tetapi ‘getting better’. Harapnya dose ubat makin turun. Tipulah kalau kami tidak belajar dari apa yang berlaku. Aku sudah makin pandai menjaga husna. Paling penting ialah jaga emosi husna, tahu bahagian mana yang ok dan yang tak ok.
Pengalaman yang ajar aku. Pengalaman yang ‘real’ dan perit. Tetapi inilah kisah pengorbanan dan cinta. Aku harap Maryam Deen dan Aisyah Deen dapat berbangga satu hari nanti bahawa mommy berjaya jadi survivor penyakit depresi. Aminn.
Sekarang Maryam Deen dan Aisyah Deen ialah penguat untuk kami sekeluarga. Daddy and mommy sayang sangat kamu berdua.
Depresi bukan gila tetapi ianya ialah penyakit. Sepertimana organ lain pada anggota badan kita boleh sakit. Begitu juga dengan otak.
Orang lain memang tidak akan faham dengan apa yang kami lalui. Mungkin ada yang mengganggap ini masalah orang tidak ada iman, solat tak khusyuk. Jarang baca al-Quran. Berfikiran negatif dan suka fikir yang negatif sahaja. Acah-acah stress, orang lain pun ada masalah juga dan sebagainya.
Ini bukan realitinya. Kerana jika kau meminta orang yang depresi untuk melihat the ‘bright side’. Ia umpama kau meminta orang buta untuk melihat matahari!
Ini bukan realitinya. Kerana jika kau meminta orang yang depresi bersabar sebab orang beriman kan kuat sabar. Kau biar betul? Kalau orang ada cancer kau suruh dia bersabar juga ke? Atau kau minta dia dapatkan rawatan? Bahkan dalam masa yang sama kau sedar tak yang kau tengah ‘judge’ orang depresi kurang iman.
Ini bukan realitinya. Kerana jika kau minta orang yang depresi baca doa itu, baca ayat itu dan ini supaya depresi hilang. Aku tidak cakap doa itu tiada kesan, kerana Allah sudah nyatakan dalam al-Quran dengan mengingati Allah hati akan tenang. Tetapi kita sedang bercakap depresi dari sudut clinically! Doa ialah sebahagian dari solusi. Sama seperti kalau kau demam, doa untuk pulih memang boleh. Tetapi kau kena makan ubat dan jumpa doktor juga. Jadi janganlah cakap dekat orang yang depressed, baca je doa, nanti depresi tu hilang.
Ini bukan realitinya. Kerana jika kau minta orang yang depresi untuk melupakan sahaja semua perkara yang bermain di fikiran. Atau ayat seperti ‘move on’ seolah-olah ada red button yang kau perlu tekan sahaja untuk ‘exit’. Tanpa disedari ayat seperti ini sebenarnya satu penghinaan kepada pejuang depresi, lebih-lebih lagi orang yang bercakap ‘knows nothing about depression’.
Ini bukan realitinya. Kerana jika kau minta orang yang depresi untuk membandingkan diri mereka dengan orang lain. Atau memintanya untuk lihat kesusahan atau dugaan orang lain yang lebih susah. Siap bagi contoh orang itu dan ini kononnya. Lagi sekali, ini ialah penghinaan. Tanpa sedar kau sedang ‘judge’ orang yang depresi ini tidak bersyukur atau lebih sesuai lagi ‘spiritually weak’.
Cukup-cukuplah dengan ayat-ayat seperti ini. Belajar dan kenali depresi itu apa terlebih dahulu. Kau kena sedar mengikut kajian tahun 2020 penyakit mental akan menjadi penyakit no 2 paling tinggi di dunia. Kajian ini ialah kajian rasmi. Maka ini bukan isu untuk segelintir dari kita sahaja, ini ialah isu manusia sejagat.
Depresi BUKAN PENYAKIT ATTENTION SEEKER
Ini satu lagi. Aku pun tidak faham kenapa boleh dapat label sebegini dan ianya berlaku di negara kita. Sedangkan di negara-negara maju, depresi dipandang serius sehingga banyak tempat-tempat kaunselling ditubuhkan. Mereka ‘open’ dan sangat membantu dan memahami keperluan pesakit depresi. Berlaku adil kepada pesakit depresi kerana mereka tahu dan mereka kenal apa itu ‘mental illness’.
Depresi bukan bahan untuk kau ketawa dan perlekehkan. Kau kena belajar untuk kenali tanda-tanda, matang dan bantu yang mana boleh. Kerana depresi ini boleh bersembunyi disebalik senyuman. Kau jangan tertipu. Jaga ahli keluarga masing-masing.
Jangan pula berlaku sebaliknya dengan memburukkan lagi keadaan dengan perangai sombong dan rasa diri lebih baik dari orang lain.
Aku impikan satu hari nanti wujud ‘social awareness’ dan seterusnya membentuk ‘social support’ yang mantap dari netizen secara keseluruhan terhadap mereka yang menghadapi depresi.
Bagi kami, perjuangan aku dan bidadariku Husna masih perlu diteruskan. Kami belum lagi menjadi survivor dalam hal ini. Demi Allah, please doakan.
Aku sayang isteri aku. Aku sayang anak-anak aku. Yang pasti, depresi tidak akan sesekali berjaya merobohkan keluarga kami, bahkan akan membuatkan kami lebih kuat dan kuat lagi.
#isterikudepresi
p/s : tolong sebarkan, biar lebih ramai tahu dan faham apa itu depresi. Tolong.
SUMBER : FACEBOOK Najmi Nawawi DAN Husna Nadhirah.
Berlebihan Bergambar, Mendedahkan Keaiaban Pasangan, Antara Dosa Sosial Media

Disedari terdapat beberapa cara penggunaannya yang patut ditegah dan boleh jatuh perbuatan tersebut kepada haram, malah berganda-ganda haramnya. Suami isteri terutamanya yang kita tak perasan apa yang kita muat naik di laman sosial rupanya boleh menambah dosa yang sedia ada. Berhati-hati dan saling ingat mengingatkan.
Perlakuan dan perbuatan melalui facebook yang boleh mengundang dosa terlalu banyak, namun di kesempatan ini, cukup saya senaraikan enam perkara, iaitu :-

1) Mendedah keaiban suami, isteri di facebook.
Terdapat beberapa kes yang dilihat sama ada secara langsung atau tidak langsung, pemilik facebook meluahkan perasaan sedih, kecewa, benci, marah terhadap pasangan di ruang status mereka. Mendesak suami atau isteri juga melalui status facebook. Kemudian, status tersebut mendapat komentar pelbagai dari rakan-rakan mereka. Sebagai contoh, ada yang secara terbuka mendesak suami membeli rumah, kereta, pinggan mangkuk, perabot, pakaian dan sebegainya melalui status mereka. Tertekanlah suami serba salah.
Sebagaimana yang disebut oleh ramai specialist di dalam bidang rumah tangga, kebanyakan wanita suka berkongsi dan meluahkan perasaan mereka kepada orang lain sebagai pelepas kepada beban yang ditanggung. Adakalanya ia mungkin bukan bertujuan untuk menjatuhkan suaminya, bukan pula untuk tujuan membuka aib suami atau untuk mencari penyelesaian. Pendedahan itu hanya sebagai pelepas tekanan di dalam diri.
Namun, tanpa disedari perbuatan tersebut tergolong dalam mengumpat yang diharamkan oleh Islam. Semua perlu memahami bahawa mereka tidak boleh sewenangnya bercerita perihal rumahtangga atau pasangan mereka secara terbuka sama ada melalui facebook atau kepada rakan di pejabat dan sebagainya. Sebarang masalah yang sudah tidak dapat diselesaikan olehnya, hanya dibenarkan untuk diluahkan kepada seseorang yang diyakini punyai autoriti seperti ibubapa, mertua dan adik beradik yang diyakini boleh berperanan membantu, bukan berpotensi mengeruhkan lagi keadaan. Boleh juga dikongsikan secara tertutup kepada pihak ketiga seperti Qadhi, Mufti, para ilmuan sama ada Ustaz, Ustazah atau Kaunselor Rumahtangga.
Pendedahan masalah dan info yang boleh mengaibkan suami (dan isteri) TIDAK DIBENARKAN sama sekali disebarkan melalui facebook. Apabila ia dilakukan, ia dengan mudah sekali boleh mengundang dosa.
Terdapat sebahagiannya info tidak secara langsung mengaibkan pasangan, tetapi selaku pembaca, kita dapat ‘membaca' dan mengetahui secara tersirat bahawa si pemilik sedang ‘perang dingin' dengan pasangannya. Ada juga yang difahami, suaminya sedang gagal memenuhi apa yang diingininya, bersifat kurang baik kepadanya dan sebagainya. Ingatlah semua, rumahtangga adalah amanah, jangan meruntuhkannya melalui facebook.
Beramanahlah, berikan suami dan isteri anda password facebook anda, agar mereka sentiasa boleh meneliti mesej-mesej yang dihantar kepada anda. Boleh juga pasangan berperanan selaku penyemak dan memadam (delete) mana yang perlu jika dimasukkan secara emosi tanpa pertimbangan aqal yang wajar.

2) Terlebih gambar
Ramai di kalangan wanita hari ini sudah mempunyai facebook, mungkin sudah menjadi lumrah wanita yang biasanya inginkan kecantikan dan pujian terhadap kecantikannya. Oleh itu, semakin ramai wanita yang memuatkan gambar mereka, sama ada jarak dekat, sangat dekat ( sehingga memenuhi kotak gambar) dan jauh (beramai-ramai atau seorang diri). Ditambah pula lagi dengan gaya, aksi dan fesyen yang pelbagai.
Agak pelik juga kerana sebahagian mereka sudah bersuami dan kelihatan suami mereka memberikan sepenuh keredhaan atas tayangan gambar sedemikian kepada khalayak, tanpa sebarang rasa cemburu dan prihatin. Lebih merbahayakan, ramai pula lelaki yang menontonnya, sebahagiannya memberikan pujian, malah ada yang berani bergurau senda, dan membuat ‘lamaran' nafsu. Lebih pelik, tuan punya facebook yang sepatutnya mampu mengawal dan memadam sebarang komen kurang etika, kelihatan membiarkan sahaja lamaran nafsu (seperti ajakan berdating, kahwin-padahal telah bersuami) tersebut di ruangan komentar gambarnya, tanpa rasa bersalah.
Berterusan bercanda mereka melalui ruang komentar, si lelaki dan wanita ada juga yang telah beristeri dan bersuami, cuma atas tiket kawan lama, sepejabat dan sebagainya, hal tersebut dibiarkan. Malah jika kedua-duanya masih bujang sekalipun, ia tetap BERDOSA dan SALAH di sisi Islam kerana ia termasuk dalam kategori larangan Allah ‘janganlah kamu menghampiri zina'.
3) Penyamaran
Lelaki menyamar sebagai wanita untuk menjadi friend dan seterusnya mendapat maklumat wanita. Ada dilaporkan juga, sebahagian lelaki berang kerana tidak diluluskan menjadi ‘friend' seseorang wanita. Akibatnya, si lelaki tidak mendapat kemudahan akses kepada gambar-gambar wanita tersebut. Bagi membolehkannya mendapat akses, terdapat lelaki yang mula menyamar menjadi wanita, meletakkan gambar mana-mana wanita yang boleh dijumpai secara mudah tertebaran di interent, diletakkan sebagai dirinya. Melalui cara itu, lelaki ini berjaya menjadi friend dan menonton seluruh gambar wanita terbabit dan berbuat apa yang disukainya dengan gambar itu.
Si wanita yang pada asalnya merasa selamat kerana merasakan dirinya telah menapis sebaiknya, rupanya masih terdedah gambarnya kepada yang orang yang tidak sepatutnya. Kerana itu, walau anda hanya membenarkan friend untuk menatapi gambar anda, pastikan semua gambar tersebut masih terhad dan terjaga.
4) Download gambar untuk simpanan dan tatapan.
Dimaklumkan juga, akibat dek kerana gambar wanita yang terlalu ‘bersepah' difacebook, terdapat lelaki berhati buas yang memuat turun gambar tersebut dan disimpan sebagai koleksi peribadinya. Justeru, sedarlah, mana-mana wanita yang dikurniakan Allah punyai ‘rupa' yang menurut pandangan ramai sebagai elok dan menawan. Golongan sebegini amat perlu sekali lebih berwaspada lebih daripada mereka yang lain.
Malangnya, golongan sebegini kelihatan lebih ghairah menjaja gambar mereka untuk mendapat lebih banyak pujian dan …'DOSA'. Simpan sahajalah gambar-gambar 'kiut' (cute) anda, cukuplah ia buat tatapan suami. Cukuplah pujian rakan sekeliling yang benar-benar mengenali anda. Tidak perlulah tamakkan pujian manusia luar.
Tunggu sahajalah pujian para malaikat dan bidadari di Syurga nanti, terlampau tidak sabarkah wahai diri? Sedarilah, ke'kiut'an anda mungkin menjadikan sebuah rumahtangga hancur, kecemburuan wanita lain, kerana boleh wujud gejala suami yang membanding-bandingkan wajah dan tubuh anda dengan isterinya. Jika itu berlaku, pemilik gambar mendapat saham dosa.

5) Tagging gambar tanpa izin dan gambar silam yang membuka aurat.
Tagging atau menandakan sesuatu gambar yang disiar merupakan satu fungsi mudah untuk menyebarluaskan gambar seseorang termasuk diri sendiri kepada kenalan dan rakan. Malangnya fungsi ini menjadi sumber dosa yang banyak juga dewasa ini. Isu ini juga pernah ditulis oleh beberapa penulis lain seperti Ust Abu Umair dan Sdr Shahmuzir. Saya ingin menegaskan lagi tulisan mereka. Ini adalah kerana, terdapat ‘trend' menyebarkan gambar-gambar lama, dan kemudian meletakkan tagging kepada individu di dalam gambar. Perlu disedari, setiap gambar yang di'tag', akan muncul dan boleh dilihat oleh semua friend, dan rakan kepada friend tersebut juga boleh menontonnya.
Ini boleh menjadi dosa, kerana :
a- Sebahagian individu di dalam gambar terbabit mungkin dahulu tidak menutup aurat, tetapi kini telah menutup aurat. Justeru penyebaran gambarnya yang tidak menutup aurat adalah haram.
b- Individu terbabit berada di dalam rumah, bersama keluarga, justeru penutupan auratnya tidak begitu sempurna kerana di dalam rumah sendiri atau di dalam keadaan ‘candid', tetapi akibat ketidakperihatinan sebahagian ahli keluarga terhadap hal aurat. Gambarnya yang sedemikian tersebar. Sepatutnya, kita yang di'tanda' boleh dengan segera delete 'tag' itu, hasilnya walau gambar masih tersiar tetapi ia tidak mempunyai sebarang pengenalan. Itu paling kurang boleh dilakukan oleh individu yang prihatin dan berawas-awas. Namun malangnya, sebahagian pemilik facebook tidak sedar mereka boleh ‘untagged' nama mereka. Malah kalau mereka boleh untagged sekalipun, penyebaran gambar sedemikian tetap salah dan berDOSA di dalam Islam.
c- Gambar mengaibkan orang lain. Gambar yang disiarkan itu, walaupun menutup aurat, tetapi dalam situasi mengaibkan. Mungkin ia tidak mengaibkan individu yang menyiarkannya kerana dia dalam keadaan baik dan bagus. Namun rakannya berada dalam situasi mengaibkan, tambahan pula dia kini merupakan ‘seseorang' yang terhormat, punyai kedudukan baik di mata masyarakat,. Apabila gambar sedemikian disiarkan, ia mencemar nama baiknya. Penyiaran sebegitu sama seperti mengutuknya secara langsung di khalayak ramai, sama ada sengaja atau tidak, semua perlu sedar..anda mungkin bebas menyiarkan gambar anda, namun gambar orang lain. Keizinan perlu diperolehi terlebih dahulu sebelum siaran dibuat.
6. Mengutuk diri sendiri & kebaikan
Adakalanya terdapat juga wanita-wanita berpenampilan cukup solehah, berpakaian extra caution dalam bab aurat sewaktu zaman universiti atau sekolahnya. Namun sesudah masuk ke alam pekerjaan dan perkahwinan, imejnya berubah begitu drastik dengan make up cukup jelas menghiasi wajah, baju bekerlipan warnanya, yang tebal dahulu sudah jadi nipis, adakalanya tidak sempurna dan macam-macam lagi. Alasannya? Seribu satu macam. Suami pula mungkin bukan dari jenis yang cermat untuk menegur dan menasihat.
Yang menyedihkan, apabila tersiar gambar lamanya yang berpakaian extra caution lagi sopan di facebook, disiarkan oleh rakan-rkana lama. Tuan punya tubuh, kelihatan tanpa malu dan segan mengutuk dirinya sendiri sama ada secara langsung atau tidak langsung. Lahirlah kata-kata, ‘zaman aku ekstrem', ‘zaman solehah', ‘waktu innocent', zaman-zaman suci', 'itu zaman kuno dulu', 'itu masa duduk bawah tempurung' dan lain-lain frasa yang sepertinya.
Tanpa disedarinya, ia mendedahkan keaiban dirinya sendiri, apabila berkata zaman solehah, bermakna kini adakah dia mengaku tidak lagi solehah?, kini tidak suci?. dan lain-lain. Ia juga sekaligus seolah mengutuk pemakaian sopan dirinya dahulu. Ingatlah wahai diri, jika tidak mampu istiqamah atas pakaian dan penampilan dahulu, janganlah sampai mengutuknya. Kerana ia sama seperti mengutuk pakaian yang sopan lagi baik, seolah mendahulukan yang kurang baik.
KESIMPULAN
Itulah facebook, ia boleh menjadi sumber pahala, jika diguna dengan betul, boleh menjadi pemudah azab jika digunakan tanpa ilmu dan limitasi. Berhati-hatilah dan berpada-padalah pemilik facebook. Niat untuk mendekatkan ukhuwwah antara rakan lama, sekolah dan sebagainya tidak sama sekali boleh menghalalkan sembangan mesra, gurauan senda di antara suami dan isteri orang, antara lelaki dan wanita yang bukan mahram. Ia hanya akan membawa kepada kemudaratan dan keruntuhan rumahtangga. Janganlah lagi mempermainkan nama 'ukhuwah' untuk berbuat dosa.
Ukhuwwah itu hanya terhad sesuatu yang membawa kepada ingatan kepada Allah, mengajak kebaikan dan menjauh kemungkaran. Lihatlah surah al-Hujurat dan fahamkan kalam Allah sebaiknya akan erti ukhuwwah di kalangan mukmin.
SUMBER : Zaharuddin Abd Rahman
GAMBAR SEKADAR HIASAN