
Wanita dan bercakap memang tidak boleh dipisahkan. Kalau seharian tidak bercakap, seakan tidak lengkap hidup mereka.
Lihat sahajalah dalam rumah tangga, antara suami dan isteri, kebiasannya isterilah yang banyak bercakap sehingga perbuatan mereka ini dilabel sebagai membebel.
Tapi tahukah anda para suami, melayan isteri bercakap boleh membuatkan otak anda lebih bergeliga?
Ya, kenyataan ini dibuat hasil daripada kajian Profesor Madya Dr. Sabitha Marican dari Universiti Utara Malaysia (UUM).
Wanita boleh bercakap sekurangnya 20,000 patah perkataan sehari, lebih tiga kali ganda bilangannya daripada orang lelaki iaitu 7,000 patah perkataan.
Disebabkan itulah semakin kerap anda (para suami atau lelaki) mendengar celoteh daripada si isteri, semakin bergeliga otak anda berbanding semasa anda berbual dengan rakan-rakan lelaki anda.
Berbual dengan wanita memaksa otak lelaki untuk memproses 20,000 maklumat sekaligus dan membuatkan mereka mampu berfikir dengan lebih cepat, malah mendapatkan pelbagai maklumat.
Sebab inilah kalau para wanita bercakap, jangan pintas. Biarkan mereka dan layan sahajalah kerana pada setiap hari ada kuota yang perlu mereka perlu penuhi.
Jadi untunglah kalau anda ada isteri yang petah bercakap. Mana tahu makin lama makin bergeliga otak anda nanti.
Sumber: Mohd Fhais
Sayang Isteri Tinggal-Tinggalkan, Sayang Suami Manja-Manjakan

Sering kita mendengar untaian kata; “Sayang isteri tinggal-tinggalkan, sayang suami manja-manjakan”. Ungkapan ini memberi pengertian yang sangat bermakna kepada pasangan suami isteri.
Ungkapan ini juga pasti memberi seribu satu perbezaan makna sama ada dari sudut ungkapan itu sendiri mahupun maksud di sebaliknya.
Perbezaan pemahaman dan tafsiran yang tepat mengenai ungkapan ini bergantung kepada sejauhmana tahap pengetahuan yang dianugerahkan Allah SWT kepada seseorang individu.
Ianya bersesuaian dengan tahap keimanannya serta keintiman hubungannya dengan Allah SWT.
Timbul tanda-tanya di dalam hati kita, adakah apabila seorang suami menyayangi isterinya, isterinya itu perlu ditinggal-tinggalkan?

Meninggalkan insan yang tersayang dalam ertikata keluar menjalankan urusan kehidupan dan tanggungjawab memerlukan pengorbanan. Pengorbanan meninggalkan isteri atau suami atau keluarga atas maksud perintah Allah SWT dan mencari keredhaanNya adalah suatu tuntutan dalam Islam.
Sebagaimana kisah Nabi Ibrahim AS diperintahkan meninggalkan isterinya Siti Hajar dan anaknya Ismail di tanah gersang lagi tandus. Pada ketika itu tiada jaminan keselamatan dan tiada bekalan makanan serta tiada tempat sandaran, ianya adalah semata-mata untuk menunaikan perintah Allah SWT.
Adakah pada ketika itu Nabi Ibrahim AS tidak menyayangi isteri dan anaknya Ismail yang baru dilahirkan?
Jika pada hari ini berlaku peristiwa yang sebegitu, pasti dibibir kita meniti kata-kata nista, alangkah tidak bertanggungjawab-nya tindakan Nabi Ibrahim AS itu! Begitulah bicara golongan yang tidak kuat dan lemahnya iman mereka.
Begitu juga yang berlaku kepada Rasulullah SAW dan para sahabat RA yang telah berhijrah meninggalkan isteri serta keluarga tercinta di Kota Makkah ke Madinah adalah atas perintah Allah SWT.
Mereka telah bersedia menjadikan isteri-isteri mereka sebagai balu dan anak-anak menjadi yatim. Demikianlah iman para sahabat hasil dari kefahaman dan didikan Rasulullah SAW.
Mungkin kita juga telah mendengar bagaimana kisah seorang sahabat Nabi SAW yang bernama Hanzalah bin Abu Amir RA yang baru melangsungkan pernikahan bersama isterinya yang tercinta bernama Jamilah binti Ubay yang juga sepupunya.
Semasa mereka melalui malam pertama dengan penuh kemesraan, maka tiba-tiba laungan jihad berkumandang menyeru ke medan Uhud. Hanzalah dengan penuh semangat melompat ke atas kudanya dan terus memecut tanpa menoleh ke belakang dan akhirnya Hanzalah gugur sebagai syuhada di medan Uhud.
Itu kisah bagi para suami yang tanggungjawabnya amat berat terbeban di atas bahu mereka. Antara hak Allah SWT dan dirinya, antara tanggungjawab serta amanah sebagai khalifah dan ketua keluarga menjadi taruhan dan ujian keimanan.
Bagi para isteri pula hanya empat syarat untuk mereka ke syurga dengan mudah. Sabda Rasulullah SAW;
“Apabila seorang isteri mengerjakan solat 5 waktu, mengerjakan puasa sebulan (di bulan Ramadan), memelihara kehormatannya (aurat dan faraj) serta mentaati suaminya, nescaya dia akan masuk syurga.” (H.R. Imam Bazzar melalui Anas RA).
Sayang suami manja-manjakan bukan bermakna dimanjakan seperti anak-anak kecil. Taat kepada suami menjadi tiket untuk isteri ke syurga disamping tiga perkara lagi sebagaimana yang disebutkan oleh Rasulullah SAW dalam hadis tersebut. Namun, jika ditambah dengan sedikit perhatian yang istimewa, ia merupakan bonus untuk para isteri.
Setelah suami ‘meninggalkan’ isteri sama ada untuk urusan kerja duniawi ataupun kerja-kerja ukhrawi (lebih-lebih lagi), wajarlah isteri melayani suami dengan lebih istimewa. Ia tidak memerlukan hamparan karpet merah, makan malam di bawah cahaya lilin dan rawatan SPA – jika boleh dilakukan, itu dikira hebat.
gambar hiasan : Tangkap Pictures
Cukup kasih sayang yang ditunjukkan melalui masakan yang menjadi kegemaran suami, urutan-urutan ringan yang menghilangkan lenguh-lenguh badan setelah penat memandu. Bersedia mendengar segala cerita dan masalah yang ingin dikongsi bersama. Walaupun tiada penyelesaian yang diberikan, kesudian mendengar sudah memadai dan membuktikan “sharing is caring”.
Dalam kehidupan baginda Rasulullah SAW sendiri, baginda dimanjakan oleh para isterinya. Daripada Aisyah RA beliau berkata:
“Saya meminyaki badan Rasulullah SAW pada hari raya Aidiladha setelah baginda melakukan lontaran di jumrah Aqabah (Kubra)”. (H.R. Ibnu ‘Askari)
Dalam sebuah hadis yang lain, Aisyah RA berkata:
“Saya biasa menyikat rambut Rasulullah SAW, ketika itu saya sedang haid”. (H.R. Ahmad).
Segala layanan istimewa daripada isteri kepada suami atau sebaliknya tidak semestinya yang mewah, dan tidak perlu juga meniru perbuatan orang lain. Cukup sekadar berjaya menggembirakan kedua-dua pihak. Biar tindakan sederhana tetapi hasilnya maksima.
Kasih sayang yang wujud dalam keluarga adalah subjektif. Hanya yang merasainya dapat menilai, sama ada kasih sayang itu abadi daripada hati kerana Allah SWT ataupun kepura-puraan.
Tanpa ros merah, hadiah yang mahal, keharmonian dan kebahagiaan tetap dapat dikecapi sekiranya wujud persefahaman dan kasih sayang serta sikap mempercayai di dalam rumahtangga. Pokok pangkalnya, semuanya kembali kepada Allah SWT.
Jika isteri ditinggalkan kerana Allah SWT, jika isteri berbakti kepada suami dan anak-anak juga kerana Allah SWT, keberkatan tidak perlu dipinta, bahkan Allah SWT akan melimpahkan-nya tanpa terhitung nikmatnya. Subhanallah. Perbaikilah diri dan perbetulkanlah niat, segalanya hanyalah kerana Allah Taala. Wallahuaklam.
Nak Kahwin, Carilah Wanita Sederhana Orangnya & Rajin Mengemas

RAMAI ISTERI LUAH PERASAAN DI FB, KESAL DENGAN PERANGAI SUAMI
Sebelum membuat keputusan mendirikan rumah tangga, ada banyak perkara yang perlu diambil kira. Kalau nak cari lelaki untuk dijadikan sebagai suami, selidik latar belakang dan perangai lelaki itu. Jangan kerana wajah dia kacak atau banyak duit, terus nak kahwin dengan dia. Tidak.
Saya selalu perhatikan golongan perempuan yang berkahwin awal ini banyak meluahkan perasaan di media sosial di mana ada yang tidak dilayan oleh suami, dipukul, suami malas bekerja, suami tak ada duit dan banyak lagi. Tidak kurang juga, ada yang minta cerai sebab dah tak tahan dengan perangai suami sendiri.
Saya tertanya-tanya, macam mana keadaan mereka bercinta sebelum kahwin, si perempuan ini tak siasat dulu ke perangai bakal suaminya?

DAH KAHWIN PUN, IBU BAPA YANG KENA TANGGUNG
Baru-baru ini saya pergi ke Hospital Sibu, mata saya tajam memerhatikan seorang perempuan yang menurut jururawat, dia baru berusia 14 tahun dan suaminya, 16 tahun. Kasihan melihatnya. Bukan apa, kahwin di usia muda tetapi suami pula tak ada kerja. Terpaksalah ibu bapa mereka yang kena tanggung perbelanjaan seperti membeli susu untuk cucu mereka.
Sudahlah masa kecil ibu bapa yang tanggung, dah besar dan ada anak sendiri pun, ibu bapa kena tanggung. Ada segelintir suami bila ada duit, beli arak dan berjoli dengan rakan-rakannya tanpa mempedulikan anak dan isteri yang kelaparan di rumah.
Ingatlah wahai perempuan, lebih baik selidik dulu latar belakang bakal suami kerana mereka bukan hanya sekadar suami kita, tetapi menantu kepada ibu bapa kita, bapa anak kita dan ipar kepada adik beradik kita. Biar bakal suami tak kacak, tak banyak duit asalkan dia bukan kaki pukul, pemalas dan boleh menerima keluarga kita sudah memadai.
Tiada gunanya mencari bakal suami yang kaya raya, banyak duit dan harta tetapi di kemudian hari dia mensia-siakan isterinya. Cerminkanlah muka diri itu sendiri kalau terlalu memilih. Tiada guna menyesal di kemudian hari nanti.
LELAKI, CARILAH PEREMPUAN YANG SEDERHANA ORANGNYA
Yang lelaki pula, kalau nak cari perempuan untuk dijadikan isteri, periksa saja akaun Facebooknya dan lihat semua status yang pernah dimuat naik sebelum ini. Kalau dia pernah muat naik gambar di panggung wayang, pergi gym, pakai pakaian mahal dan yang sewaktu dengannya, elok jangan didekati. Sebaliknya carilah perempuan yang sanggup makan mee kolok di kedai kaki lima, pendek kata tak cerewet. Tak cantik tak apa, asalkan dia tak meminta-minta dan boleh hidup susah senang bersama.
Selain itu, jangan cari perempuan yang jenisnya malas mengemas rumah. Tak ada gunanya perempuan seperti ini dijadikan sebagai isteri. Seluar dalam sendiri pun malas nak basuh, bangun pagi pula jam 9 atau 10 pagi. Macam itu nak tempuh alam perkahwinan? Itu belum lagi pinggan mangkuk dibiar penuh dalam sinki. Kalau mertua dah tegur, mertua pula dikatanya jahat dan selalu cari kesalahan dia.
Oleh sebab itu, lelaki perlu mengenali seseorang perempuan itu dengan baik dan teliti sebelum mengambil keputusan untuk berkahwin. Jangan bila dah tua nanti, lelaki pula jadi ‘mesin ATM’ isteri sepanjang masa. Selidik dulu perangai bakal isteri, bukannya terus jatuh cinta bila tengok kulit dia putih atau punggung dia melentik. Paling mudah, tengok perangainya sama ada boleh dijadikan sebagai kawan kepada ibu kita di rumah atau sebalik.
ORANG KAHWIN, KAU PUN SIBUK NAK KAHWIN
Sebelum semua perkara di atas, buat tabung simpanan kahwin. Bila duit dah cukup, barulah layak nak fikir tentang kahwin. Zaman sekarang harga barang semua semakin mahal. Nak beli susu anak, barang dapur, pampers anak dan itu belum lagi pampers isteri.
Ubah perangai diri itu dulu, jangan tengok orang lain kahwin kau pun sibuk nak kahwin juga. Trend seperti itu akan membinasakan diri. Sebaliknya fikirlah macam mana anak kita nak sekolah nanti kalau kita tak ada duit?
Kesimpulannya, carilah bakal pasangan hidup yang ada budi bahasa, yang boleh hidup bersama dengan kita sampai akhir hayat. Paling penting, jangan tergesa-gesa nak kahwin. Tak mengapa kalau kita lambat kahwin, janji kita tak menyusahkan diri dan orang lain di kemudian hari.
SUMBER : Burik Kumandang
***JOM SERTAI CHANEL TELEGRAM PESONA PENGANTIN DAN DAPATKAN LEBIH BANYAK INFO BERSAMA KAMI. KLIK SAHAJA DI SINI.
4 Tips Sebelum Ingin Merisik ‘Bakal’ Jodoh Anda

Islam tidak menghalang seseorang untuk merisik calon pilihannya. Bahkan ianya disarankan oleh agama Islam. Merisik juga adalah termasuk menyiasat tentang hal keperibadian bakal calon dan rupa fizikal calon.
1. Pilih Wakil Yang Sesuai
Jika anda tidak merisik secara ‘direct’ kepada calon pilihan, maka anda harus memilih wakil yang sesuai untuk menyatakan hasrat hati anda itu. Wakil yang sesuai ialah seperti ahli keluarga anda sendiri. Ibu bapa mahupun adik-beradik anda boleh menjadi wakil untuk merisik calon pilihan anda. Selain itu, wakil juga boleh dilantik di kalangan sahabat-sahabat yang anda ‘thiqah’ (percaya) dan boleh memegang amanah.
2. Menjaga Batas Dan Kelakuan
Selain itu juga, ketika dalam proses merisik anda perlu menjaga batas dan kelakuan. Mengajak keluar berdua-duaan atas nama merisik dan melakukan perbuatan yang tidak selari dengan Islam adalah dilarang. Islam memberi kebenaran untuk merisik namun tetap ada hadnya. Jika mahu bertanyakan soalan adalah lebih baik bertanyakan kepada ahli keluarganya dahulu atau sahabat-sahabat terdekat calon.
Jika terpaksa menanyakan secara ‘direct’ kepada calon, maka jagalah adab dan kelakuan. Elakkan bertanya soalan-soalan yang tidak perlu dan tidak penting.
3. Jangan Terlalu Berharap
Merisik merupakan proses yang anda tidak pasti sama ada calon pilihan anda itu akan menerima ataupun menolak risikan anda. Oleh sebab itu, jangan terlalu berharap. Jika terlalu berharap, anda akan kecewa apabila ditolak. Ia mungkin akan menjadi pengalaman pahit buat anda untuk merisik calon pilihan yang lain nanti. Ingat pepatah Melayu, ‘Bunga bukan sekuntum, kumbang bukan seekor’.
4. Menghormati Keputusan
Jika hasil risikan anda tidak berjaya dan ditolak, maka hormatilah keputusan yang dibuat oleh calon tersebut. Jangan memaksa orang untuk suka dan menerima kita. Mungkin ada sebab anda dan si dia tidak bersama. Terimalah keputusan tersebut dengan hati yang terbuka dan positif. Insya-Allah ada calon yang lebih baik menanti anda.
Sumber : Baitulmuslim