Persoalan menjaga aurat adalah perkara asas yang tidak sepatutnya mereka jahil dan mengabaikannya. Amat penting bagi pasangan suami isteri mempunyai persediaan agama yang mencukupi. Ia bagi memastikan mereka mengetahui batas syarak dan tidak melampaui batas.

Ketaatan seorang isteri terhadap suami hukumnya wajib selama ia tidak menyuruh kepada perkara mungkar dan maksiat. Jika tidak, isteri tidak perlu lagi mentaati suaminya pada perkara yang menyalahi syarakDaripada Imran bin Husain RA berkata: Rasulullah SAW bersabda: “Tiada ketaatan terhadap satu makhluk pun dalam menderhakai al-Khaliq (Yang Maha Pencipta).” Riwayat Ahmad dan al-Tabarani dengan sanad sahih

Berikut persoalan tentang situasi isteri yang keliru sama ada perlu mentaati perintah suaminya dalam soal menutup aurat.

Suami Malu & Tak Suka Isteri Pakai Tudung Labuh, Isteri Patut Taat Atau Tidak
Kredit foto: Pexels

SOALAN:

Suami perli saya pakai tudung labuh, dia kata malu dengan kawan-kawan. Katanya tudung bidang 45 memadai menutupi aurat tanpa perlu memakai tudung labuh bidang 60. Persoalanya, adakah saya perlu mempertahankan memakai tudung labuh dalam keadaan suami yang tidak reda atau ikut kata suami dengan pakai tudung bidang 45 kerana masih batas menjaga aurat? Adakah wajib ikut arahan suami agar meninggalkan amalan yang lebih warak?

Suami Malu & Tak Suka Isteri Pakai Tudung Labuh, Isteri Patut Taat Atau Tidak
Kredit foto: Pexels

JAWAPAN: 

Perkara yang perlu dititikberatkan ketika menggayakan tudung ialah mematuhi kehendak syarak. Apabila tudung saiz 45 digayakan dengan cara labuh menutupi dada dan tidak nipis (jarang), maka ia masih dalam kerangka menepati tuntutan syarak. Oleh itu, situasi soalan tersebut bergantung kepada kebijaksanaan isteri menggayakan tudung yang menepati kehendak syarak tidak kira saiz bidang 60 mahupun 45 pada masa sama mengikut kehendak suaminya pada perkara kebaikan.

Hal ini memakai tudung saiz 45 yang menutupi dada dan tidak nipis, maka ia sudah cukup menepati syarak. Bahkan, sekiranya suami mengarahkan sesuatu perkara yang harus mahupun sunat maka ia menjadi kewajipan isteri untuk mentaatinya selagi dalam kerangka makruf dan bukan perkara maksiat.

Namun memakai tudung saiz 60 lebih sopan, warak dan terpuji. Sebaiknya kedua-dua pasangan saling berbincang bagi mencari kesefahaman dan memelihara hak kedua-dua pasangan.

Suami Malu & Tak Suka Isteri Pakai Tudung Labuh, Isteri Patut Taat Atau Tidak
Kredit foto: Pexels

Secara umumnya, Islam tidak menetapkan jenama khusus dalam menggayakan pakaian sekalipun berfesyen. Namun, perkara yang perlu dititikberatkan ketika menggayakan pakaian ialah menepati ciri-ciri pakaian yang menutup aurat dengan sempurna dan mengikut kehendak syarak.

Allah SWT memerintahkan hamba-Nya untuk memakai pakaian yang menutup aurat bersandarkan firman-Nya:

يَا بَنِي آدَمَ قَدْ أَنزَلْنَا عَلَيْكُمْ لِبَاسًا يُوَارِي سَوْآتِكُمْ وَرِيشًا ۖ وَلِبَاسُ التَّقْوَىٰ ذَٰلِكَ خَيْرٌ ۚ ذَٰلِكَ مِنْ آيَاتِ اللَّهِ لَعَلَّهُمْ يَذَّكَّرُونَ ‎﴿٢٦﴾

Maksudnya: “Wahai anak-anak Adam, sesungguhnya Kami telah menurunkan kepada kamu (bahan-bahan untuk) pakaian menutup aurat kamu, dan pakaian perhiasan; dan pakaian yang berupa taqwa itulah yang sebaik-baiknya” Surah Al-A’raf (26)

IKLAN

Berdasarkan ayat di atas, terdapat tiga jenis pakaian yang disebut oleh Allah SWT iaitu pakaian untuk menutup aurat, pakaian untuk perhiasan dan pakaian takwa.

Perkataan “اللباس” dalam ayat tersebut merujuk pakaian asas (daruriyyah) untuk menutup aurat. Manakala “الريش” ialah sesuatu yang dipakai supaya nampak cantik pada luarannya (takmilat). Sementara, pakaian taqwa yang dimaksudkan secara kiasan (majazi) ialah amal soleh menurut Ibnu Abbas.

Parameter menutup aurat dengan sempurna bagi wanita ialah keseluruhan anggota kecuali muka dan kedua tapak tangan.

Perintah menutup aurat bagi kaum wanita berdasarkan firman Allah SWT:

وَلَا يُبۡدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنۡهَاۖ وَلۡيَضۡرِبۡنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَىٰ جُيُوبِهِنَّۖ

Maksudnya : “dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; Surah an-Nur 31

Ibn Abbas memberi makna ayat “kecuali apa yang zahir” ialah muka dan dua tapak tangan. Ini merupakan pendapat yang masyhur dalam kalangan majoriti ulama.

Perkataan {وَلْيَضْرِبْنَ} yang membawa maksud “hendaklah mereka memakai” menunjukkan suruhan perbuatan atau perintah wajib. Khumur”الخمر” kata jamak bagi ” الخِمَار “iaitu tudung wanita yang menutup kepala wanita. Sementara, tafsiran جُيُوبِهِنَّۖ ialah menutup sehingga kawasan dada wanita.

IKLAN

Antara kriteria menutup aurat dengan sempurna ialah tidak memakai pakaian yang nipis sehingga menampakkan warna kulit. Imam al-Syairazi dalam al-Muhazzab menyatakan wajib penutup aurat itu dengan suatu yang tidak menunjukkan sifat warna kulit seperti kain yang tebal, kulit atau kertas. Sekiranya tipis, maka ia tidak menepati syarat kerana tidak mencapai tujuan menutup aurat.

Merujuk pada situasi soalan yang diajukan, peranan suami dalam mendidik kepada perkara makruf dan isteri wajib mentaatinya.

Hal ini berdasarkan dalil-dalil berikut :

Firman Allah SWT,

ِ ٱلرِّجَالُ قَوَّٰمُونَ عَلَى ٱلنِّسَآءِ

Maksudnya: “Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan.” al-Nisa’ (34)

Suami berperanan mendidik isteri agar bersama – sama menunaikan segala kewajiban dan menghalang mereka daripada melakukan perkara maksiat.

IKLAN

Sementara, tanggungjawab isteri pula mentaati perintah suami pada perkara yang makruf selagi dalam kerangka syarak.

Abu Hurairah RA meriwayatkan hadis bahawa Nabi SAW bersabda:

إِذَا صَلَّتِ الْمَرْأَةُ خُمُسَهَا، وَصَامَتْ شَهْرَهَا، وَحَصَّنَتْ فَرْجَهَا، وَأَطَاعَتْ بَعْلَهَا دَخَلَتْ مِنْ أَيِّ أَبْوَابِ الْجَنَّةِ شَاءَتْ

Maksudnya: “Jika seorang wanita menunaikan solat 5 waktu, berpuasa pada bulannya (Ramadan), mengawal kemaluannya (maruahnya) dan taat kepada suaminya. Masuklah dia ke dalam Syurga dari mana-mana pintu yang dia kehendaki.” Riwayat Ibn Hibban (4163)

Suami Malu & Tak Suka Isteri Pakai Tudung Labuh, Isteri Patut Taat Atau Tidak
Photo by Monstera by Pexels

Setiap ketaatan itu mestilah pada perkara yang tidak bertentangan dengan syarak sebagaimana sandaran hadis yang diriwayatkan daripada Ali bin Thalib bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لا طَاعَةَ في مَعْصِيَةٍ، إنَّما الطَّاعَةُ في المَعروفِ.

Maksudnya : “Janganlah kamu mentaati perkara – perkara maksiat, sesungguhnya ketaatan itu adalah hanya pada perkara yang makruf (kebaikan).”  Riwayat Sahih Muslim 7257

Yang dimaksudkan makruf ialah bukan perkara mungkar mahupun maksiat. Perkara makruf termasuklah ketaatan yang wajib, sunat dan harus di sisis syarak. Bahkan seandainya suami mengarahkan sesuatu perkara yang harus, maka menjadi kewajipan isteri untuk mentaatinya selagi dalam kerangka makruf dan bukan perkara maksiat.

Seterusnya maksud warak ialah sikap berhati-hati untuk menjauhi sesuatu perkara syubhah kerana takut terjerumus kepada perkara haram dan juga berusaha melazimi amalan-amalan terpuji. Oleh itu, selagi melaksanakan kebaikan dan menjauhi perkara haram, maka ia dalam kerangka makruf.

Oleh yang demikian, sekiranya isteri tersebut menuruti perintah suaminya dengan memakai tudung saiz bidang 45 dengan gaya yang menutupi dada dan tidak nipis, maka seseorang isteri dianggap melakukan perkara yang menepati syarak kerana mentaati suami pada perkara makruf.

Kesimpulannya, suami isteri perlu mengetahui batas hukum syarak yang wajib dipatuhi. Kunci kebahagiaan hukan hanya terletak pada kebijaksanaan suami, tetapi juga terletak pada ketaatan isteri.

Sumber: Laman web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan  Kredit foto: Pexels

Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI