Menurut Ketua Perunding Psikologi, Kekeluargaan dan Perkahwinan TwinsTalk Studio Nor Hanita Mohd Shariff, keluhan dan perasaan isteri yang menganggap diri mereka seperti hamba di rumah wujud kerana terlalu penat. Katanya, berasa diri seperti hamba dan kuli suami adalah perasaan yang dicipta oleh mereka sendiri berpunca daripada kekecewaan yang didorong oleh psikomotor.

Suami  Perlu Bagi Isteri Kesenangan, Bukan Buat Isteri Rasa Dirinya Seperti Orang Gaji

“Dalam psikologi, ada tiga perkara yang berhubung kait iaitu pemikiran (kognitif), perasaan (emosi) dan tingkah laku (psikomotor). Psikomotor yang penat membuat bermacam kerja menyebabkan emosi terdorong negatif seperti berasakan diri diperlakukan seperti hamba di rumah.

“Tidak dinafikan perkongsian ini banyak berlaku di media sosial, namun sekiranya maklum balas diperoleh isteri yang berdepan situasi itu positif, mungkin ia membantu. Jika maklum balas negatif diterima, keadaan itu akan menambah tekanan kepada isteri yang melabelkan diri sebagai kuli,” katanya.

Ada sesetengah isteri makan hati dengan suami yang langsung tidak mahu membantu di rumah lebih-lebih lagi isteri tidak bekerja dan menjadi suri rumah sepenuh masa. Sering kali dianggap tanggungjawab melakukan kerja rumah terletak sepenuhnya di bahu mereka. Sebenarnya sama ada isteri itu bekerjaya atau suri rumah sepenuh masa, itu bukanlah faktor yang boleh dijadikan alasan, sebaliknya kedua-duanya boleh hidup tertekan jika pasangan hidup langsung tidak mahu buat kerja rumah bersama.

Perbuatan suami yang langsung tidak mahu menolong sudah pasti memberi kesan tekanan emosi yang menghimpit isteri kerana bukan mudah mahu ‘pecahkan’ ego suami seperti ini. Terrdapat beberapa cara supaya tidak timbul pergaduhan kerana suami yang egonya terlalu tinggi dan tidak akan tunduk egonya untuk melakukan kerja rumah. Oleh itu, jika didesak, pasti berlaku pergaduhan.

“Jadi isteri yang perlu kreatif mencari jalan penyelesaian agar pergaduhan tidak berlaku. Isteri juga boleh fikirkan kaedah supaya kerja rumah yang dilakukan sendirian itu dalam bentuk yang lebih ringan, fleksibel dan hanya ambil masa yang singkat daripada rutin harian yang biasa dilakukan.

“Menjadi wanita memang penat, selain tugas di tempat kerja, mereka perlu menguruskan rumah dan anak. Jadi mereka perlu mula berfikir untuk menyayangi diri sendiri dengan melakukan kerja rumah lebih ringan berbanding kebiasaan.“Sebagai contoh, jika isteri memasak di rumah, jimatkan masa dengan menyediakan makanan yang hanya ambil masa singkat. Jadi, kita dapat jimatkan masa mungkin daripada sejam kepada setengah jam saja. Separuh daripada masa itu dapat digunakan untuk anda berehat.

Ads

“Begitu juga jika biasa masak dua hingga tiga lauk, cuba kreatif dengan memasak masakan yang mengandungi semua lauk, sayur dan kuah dalam satu hidangan seperti tomyam, sup dan kukus.

Contoh lain seperti menggosok baju. Cari cara untuk menjimatkan masa dengan membeli baju yang sangat mudah dikendali atau diuruskan. Jika, sehelai baju ambil masa 15 minit untuk diseterika, mungkin baju yang mudah digosok perlu lima minit saja, jadi lebih 10 minit itu boleh digunakan untuk diri sendiri. Untuk mengajak suami ego melakukan kerja bersama mungkin sukar dan tetap tidak akan lakukan melainkan tiba masa nanti untuk berubah. Untuk tangani suami sebegini bukan mudah, maka isterilah yang perlu kreatif mencari alternatif.

Suami  Perlu Bagi Isteri Kesenangan, Bukan Buat Isteri Rasa Dirinya Seperti Orang Gaji

Melalui cara ini katanya, isteri sama ada yang berkerjaya atau suri rumah boleh menjimatkan separuh masa yang digunakan untuk melakukan kerja di rumah itu supaya dia boleh berehat. “Kadang-kadang ada isteri mencurah perasaan di media sosial. Jika dilihat dari perspektif positif, respons yang diberi oleh orang lain dalam bentuk alternatif penyelesaian masalah, sekurang-kurangnya dapat bantu isteri yang tertekan ini sebagai panduan dapatkan lebihan masa untuk diri sendiri.

Tetapi kalau respons lebih kepada mengapi-apikan atau mengeruhkan keadaan, ia akan mendorong isteri yang mencurah perasaan di media sosial itu menjadi lebih tertekan. Berbincanglah bersama suami mengenai perasaan mereka, jangan putus asa dan babitkan suami dalam perbincangan harmoni bukan dalam keadaan mendesak, marah-marah, keras dan ugut.

Ads

Tapi perlu diingat berbincang bukanlah setiap hari kerana nanti suami jemu sebaliknya carilah masa yang sesuai, tengok mood suami untuk membicarakan isu berkenaan. Sekiranya membuahkan hasil katanya, alhamdulillah. Jika tidak, maka isteri teruskan usaha dan cari masa sesuai kerana mungkin suatu ketika nanti akan terbuka juga pintu hati suami.

Isteri juga boleh memilih untuk mendiamkan diri jika mengetahui karakter suami yang panas badan dan tidak menyukai topik dibincangkan bagi mengelakkan pergaduhan. Jika diteruskan juga mungkin berlaku krisis antara suami isteri dan ini akan menambahkan tekanan isteri. “Ikut keadaan dan situasi, ada masanya isteri melihat keadaan itu perlu dia diamkan diri, maka diamkan diri. Sekiranya pada keadaan boleh dibawa berbincang dan masa terbaik untuk lakukannya, luahkan pada suami dalam keadaan tenang.

Ads

Sebelum pasangan memutuskan untuk berkahwin sebenarnya sudah boleh membincangkan perkara ini agar masing-masing sedar dan tahu tanggungjawab masing-masing khususnya membabitkan kerja rumah. Syarat yang dibuat melalui perbincangan harmoni tanpa perlukan kontrak, ia satu titik perbincangan positif sebagai permulaan untuk menuju ke alam rumah tangga, kerana apabila berkahwin nanti komitmen itu lebih banyak daripada yang mereka sangkakan.

“Tambahan apabila sudah ada anak, komitmen semakin bertambah dan tanggungjawab yang perlu dipikul untuk melaksanakan kerja rumah lebih bertambah, selain melaksanakan kerjaya masing-masing. “Selain itu saya sarankan agar perkara ini dibincang dan dipersetujui dalam tempoh pertunangan, malah tempoh perkenalan pun sudah boleh mula membincangkan mengenai tanggungjawab.

“Suami sebagai ketua keluarga jadi dia yang perlu gunakan kognitifnya sebagai ketua keluarga, melayari rumah tangganya dan tidak membiarkan isteri terkapai-kapai kepenatan sendirian.

“Memang sifat seorang suami ini suka dilayan, tapi apabila isteri terlalu penat bagaimana dia hendak melayan suami dengan baik? Kita tidak mahu isteri terlalu terbeban dan tertekan kerana dia juga sudah berdepan dengan pelbagai tugasan di pejabat. Jadi, kalau boleh suami perlu sama-sama melakukan kerja di rumah kerana itu adalah kediaman anda berdua. Ini juga menjadi salah satu punca keretakan rumah tangga kerana isteri sudah rasa tidak berdaya melayan suami lagi. Jadi isu ini boleh diperbincangkan sebelum berkahwin.

Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI