ALLAH SWT tidak pernah tinggal dan benci kepada hamba-Nya. Buktinya, kita masih diberi peluang dan nyawa walaupun sudah berkali-kali leka, alpa dan melakukan dosa.
Selagi diberi peluang bernyawa, pasti ada pembelaan dan peringatan buat kita dalam menempuh hidup ini.
Dalam konteks menjaga keharmonian hidup berkeluarga, Allah menjaga hidup suami, isteri dan anak-anak.
Allah menjaga kebahagiaan suami dengan memerintahkan isteri melayani suami serta menjaga mulutnya untuk mensyukuri kebaikan suami.
Allah juga menjaga ketenangan isteri dengan memerintahkan suami menafkahi serta berbuat baik kepada isteri.
Begitu juga Allah memerintahkan ibu bapa mendidik anak-anak sehingga mereka terhindar daripada api neraka.
Bagaimanakah Allah menjaga hamba-Nya dalam kalangan wanita yang hidup di bawah kepimpinan seorang suami?
Firman Allah yang bermaksud: “Kaum lelaki adalah pemimpin bagi kaum wanita dengan apa yang Allah lebihkan sebahagian kamu atas sebahagian yang lain dan dengan apa yang dinafkahkan dari harta kamu.” (Surah An-Nisaa’, ayat 34)
Allah memberikan amanah kepimpinan kepada suami bukan sebagai kemuliaan semata-mata, tetapi bersama tugasan berat dalam memelihara kemaslahatan seisi keluarga.
Disebutkan dalam tafsir al-Qurtubi, Ibnu Abbas berkata: “Darjat kelebihan yang disebutkan dalam firman Allah, suami mempunyai satu tingkatan kelebihan pada isterinya, mengisyaratkan dianjurkan lelaki untuk bergaul dengan baik dan bersikap lapang terhadap isteri dalam hal harta dan akhlak. Yakni, yang lebih utama ialah sebaik-baiknya suami membebani tugas terhadap dirinya sendiri.”
Muhammad Abduh berkata dalam tafsirnya, menerusi firman Allah, ‘dan para suami mempunyai satu tingkat kelebihan daripada isterinya,’ itu mewajibkan wanita satu perkara dan mewajibkan kepada lelaki beberapa perkara.
Banyak lagi peringatan ke atas lelaki, sekali gus memberi pembelaan kepada kemaslahatan wanita, antaranya:
Allah mengiktiraf kesempurnaan iman lelaki apabila dia berakhlak baik, terutama kepada isterinya.
Sabda Nabi yang bermaksud: “Mukmin yang paling sempurna imannya adalah yang paling baik akhlaknya di antara mereka. Dan sebaik-baik kalian adalah yang paling baik terhadap isterinya.” (Riwayat Ahmad)
Berkahwin dan berkeluarga bukan perkara main-main. Ia mesti dilalui dengan penuh tanggungjawab. Lelaki yang berkeluarga perlu mencontohi kepimpinan Rasulullah yang selalu berbuat baik kepada keluarganya.
“Sebaik-baik kalian, adalah orang yang paling baik terhadap keluarganya, dan aku adalah orang yang paling baik terhadap keluargaku.” (Riwayat Tirmizi)
Amanah kepimpinan akan ditanya. Sebagaimana yang diingatkan oleh utusan-Nya. “Lelaki (suami) adalah pemimpin bagi keluarganya dan kelak ia akan ditanya (dimintai pertanggungjawaban) tentang mereka.” (Riwayat al-Bukhari)
Keganasan fizikal tidak sepatutnya berlaku dalam keluarga kerana Nabi mengingatkan: “Aku ingatkan kepada kalian tentang hak dua orang yang lemah iaitu anak yatim dan perempuan.” (Riwayat Imam Ahmad, Ibn Majah, dan Al-Hakim)
Suami yang suka menyakiti isteri dianggap bukan suami yang baik. Disebutkan dalam satu riwayat, “Banyak perempuan menemui isteri-isteri Muhammad untuk mengadukan perlakuan suami mereka. Suami-suami seperti itu bukanlah orang-orang terbaik.” (Riwayat Abu Dawud, Ibn Majah, Al-Darimi, Ibn Hibban dan Al-Hakim)
Lelaki perlu banyak memahami dan menerima seadanya kelebihan emosi wanita sehingga mereka dianalogikan sebagai tulang yang bengkok.
“Barang siapa beriman kepada Allah SWT dan hari akhir, hendaklah ia tidak mengganggu tetangganya. Jagalah pesanku tentang kaum perempuan agar mereka diperlakukan dengan baik. Sebab mereka diciptakan dari tulang rusuk yang bengkok. Tulang rusuk yang paling bengkok adalah yang paling atas. Jika engkau berusaha meluruskannya, tulang itu akan patah. Jika engkau membiarkannya, tulang itu tetap bengkok. Oleh kerana itu jagalah pesanku tentang kaum perempuan agar mereka diperlakukan dengan baik.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Bagaimana Allah menjaga hamba-Nya dalam kalangan lelaki yang dibebani tugas berat memimpin keluarga?
Allah memberi ancaman neraka kepada wanita yang tidak menjaga mulut mereka terhadap suami.
Ancaman itu adalah tanda sayang supaya mereka segera menjauhinya.
Nabi bersabda yang bermaksud: “Aku melihat kebanyakan penghuni neraka itu adalah wanita.” Kaum Muslimin bertanya, “Apa sebabnya ya Rasulullah?” Rasulullah bersabda, “Sebab kekafiran mereka.”
Ada yang bertanya, “Adakah mereka mengkufuri Allah?” Rasulullah bersabda, “Sebab mengkufuri kenikmatan berkeluarga dan kebaikan (orang kepadanya). Kalau engkau berbuat baik kepada salah seorang antara mereka sepanjang tahun, kemudian dia melihat satu kesalahan kecil padamu, maka dia akan berkata, “Aku tidak pernah melihat kebaikan darimu sama sekali.” (Riwayat Bukhari Muslim)
Bukan bermaksud fitrah wanita itu jahat. Namun jika sifat tercela itu tidak dibaiki, barulah dia diminta bertanggungjawab menerima balasannya.
Dalam Fathul Bari, Jabir menyebutkan satu riwayat, “Orang yang paling banyak aku lihat dalamnya (neraka) dari kalangan wanita yang apabila diberi kepercayaan menyimpa rahsia, dia bocorkan. Apabila diminta sesuatu kepadanya, dia bakhil. Apabila mereka yang meminta, mereka mendesak dan minta banyak. Apabila diberi, mereka tidak pandai berterima kasih.”
Nabi Muhammad memaklumkan peluang keemasan bagi wanita supaya terlepas daripada ancaman itu.
“Wahai kaum wanita bersedekahlah kalian (dalam riwayat Muslim: ‘dan perbanyakkan istighfar’) kerana aku melihat kalian sebagai penghuni neraka yang terbanyak. Kaum wanita bertanya: “Apa sebabnya wahai Rasulullah?” Rasulullah bersabda: “Kerana kalian banyak mengutuk dan mengingkari budi baik suami.” (Riwayat Bukhari Muslim)
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI