Kredit: Bulan photocinema

Wali bererti teman karib, pemimpin, pelindung atau penolong yang terdiri daripada ahli waris lelaki yang terdekat kepada pengantin perempuan. Wali ini merupakan salah satu rukun dalam perkahwinan. Dalil-dalil yang menunjukkan amat mustahaknya wali ialah:
Firman Allah swt:

“Janganlah kamu menghalang mereka berkahwin kembali dengan bekas suami mereka apabila telah terdapat kerelaan antara mereka dengan cara yang makruf”
( Al-Baqarah : 232)

“Dan janganlah kamu kahwinkan perempuan-perempuan kamu dengan lelaki musyrik (kafir) hingga meereka beriman”.
( Al-Baqarah : 222)

Dari hadith Nabi saw:
“Dari Abi Musa r.a. Rasulullah saw bersabda: “Tidak ada nikah melainkan dengan adanya wali”.
(Riwayat Al-Khamsah dan An-Nasa’i)

IKLAN

Oleh kerana wali merupakan salah satu syarat sah nikah maka bukan semua orang boleh menjadi wali.

Syarat-syarat sah menjadi wali ialah:
1. Islam
2. Baligh (sekurang-kurangnya sudah berumur 15 tahun).
3. Berakal – Orang gila, mabuk dan orang yang sangat bodoh tidak sah menjadi wali.
4. Lelaki – Orang perempuan tidak sah menjadi wali.
5. Adil
6. Merdeka

Manakala orang buta atau bisu pula adalah diharuskan menjadi wali kerana ia boleh menimbang dan memikirkan mengenai soal kufu dan hal-hal kepentingan kepada wanita, selagi ia boleh memahami isyarat serta tulisan dan ia memenuhi starat-syarat sah menjadi wali.

IKLAN

Susunan Wali
Susunan wali mengikut tertib alah:

1. Bapa kandung
2. Datuk sebelah bapa ke atas
3. Saudara lelaki seibu-sebapa
4. Saudara lelaki sebapa
5. Anak saudara lelaki seibu-sebapa
6. Anak saudara lelaki sebapa
7. Bapa saudara sebelah bapa seibu-sebapa
8. Bapa saudara sebelah bapa sebapa
9. Anak lelaki bapa saudara sebelah bapa seibu-sebapa ke bawah
10. Anak lelaki bapa saudara sebelah bapa sebapa ke bawah
11. Bapa saudara seibu-sebapa
12. Bapa saudara bapa sebapa
13. Anak lelaki bapa saudara seibu-sebapa
14. Anak lelaki bapa saudara sebapa ke bawah
15. Bapa saudara datuk seibu-sebapa
16. Bapa saudara datuk sebapa
17. Anak lelaki bapa saudara datuk seibu-sebapa ke bawah
18. Anak lelaki bapa saudara datuk sebapa ke bawah
19. Muktiq (tuan kepada hamba perempuan yang dibebaskan).
20. Sekalian asabah kepada seorang muktiq
21. Raja/Sultan.

IKLAN

Sekiranya wali pertama tidak ada, hendaklah diambil wali yang kedua dan jika wali kedua tidak ada hendaklah diambil wali ketiga dan begitulah seterusnya.

Mengikut tertib wali, bapa hendaklah menjadi wali bagi semua perkahwinan anaknya. Dan jika bapa tidak ada kerana meninggal dunia maka hak wali berpindah kepada datuk pengantin perempuan itu; dan jika datuk juga meninggal dunia maka hak wali itu berpindah kepada saudara lelaki seibu-sebapa kepada pengantin perempuan dan begitulah bidang kuasa wali mengikut tertib susunannya. Sekiranya pengantin perempuan itu tidak mempunyai wali maka ia akan dinikahkan secara wali hakim.

Rasulullah saw bersabda:
“Maka Sultanlah yang menjadi wali bagi sesiapa yang tidak mempunyai wali”.
(Riwayat At-Tirmizi dan Abu Daud)

Sumber: Bidang kuasa wali & pernikahan via instun.gov.my