Pernikahan adalah ibadah serta penyatuan dua jiwa (serta dua keluarga) dan pasangan kita adalah amanah untuk kita.
Allah menjadikan institusi perkahwinan ini adalah untuk memenuhi tuntutan seksual manusia dan jalan mendapatkan zuriat.
Terdapat tiga jenis dimensi perkahwinan yang dicatatkan oleh Dr. Abdullah Nasih al-Ulwan dalam kitabnya yang masyhur, Tarbiyah al-Awlad fi al-Islam; iaitu perkahwinan adalah fitrah manusia, kepentingan dalam masyarakat dan perkahwinan juga penyucian dan pemilihan hati.
Hukum asal perkahwinan adalah harus mengikut Mazhab Syafii. Namun para fuqaha menjelaskan hukum berkahwin berbeza mengikut keadaan seseorang.
Hukum berkahwin boleh jatuh kepada haram, jika berkahwin hanya dengan niat untuk menzalimi pasangannya.
Jika seseorang berkeinginan tetapi masih terpelihara daripada perkara keji jika tidak berkahwin, maka hukum untuk dia berkahwin adalah sunat.
Rasulullah SAW telah pun bersabda yang bermaksud,“”Wahai sekalian remaja, siapa yang mempunyai kemampuan hendaklah dia berkahwin kerana perkahwinan itu menundukkan pandangan dan menjaga kemaluan. Siapa yang tidak mampu maka hendaklah dia berpuasa kerana puasa akan mengurangi nafsunya” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Di bawah ini saya titipkan sebahagian perkongsian tentang perkahwinan melalui Majalah Solusi dan al-Ustaz.
Apakah di sebalik makna pernikahan?
Nikah menurut bahasa ialah bertemu, berkumpul dan bercampur.
Menurut istilah syarak pula ialah Ijab dan Qabul (‘aqad) yang menghalalkan persetubuhan antara lelaki dan perempuan yang diucapkan oleh kata-kata yang menunjukkan nikah, menurut peraturan yang ditentukan oleh Islam.
Antara makna di sebalik pernikahan ini:
IKLAN
– Mendekatkan diri kepada Allah
Pasangan adalah cermin diri kita. Perlu saling minta dan memberi nasihat. Bertakwa dan berdoalah agar amanah dan cinta kita ini berlanjutan hingga ke akhirat.
– Melahirkan sakinah, mawaddah dan rahmah.
Sakinah adalah ketenangan di antara dua jiwa. Mawaddah pula adalah kasih, maddiah (berbentuk material), bukan beerti harus mewah, namun saling menghadiahkan dan menggembirakan dengan sesuatu yang disukai dan disenangi pasangan.
Manakala rahmah pula adalah rahmat, kurnia, kasih sayang seperti kepercayaan dan perhatian yang mendalam.
“Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmat-Nya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikan-Nya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.” (Surah ar-Ruum ayat 21)
Hikmah perkahwinan
– Sunnah para Nabi dan Rasul
IKLAN
Dalam kesungguhan beribadah dan kesibukan menguruskan umat dan negara, mereka tetap berkahwin dan dapat menjaga keluarga.
– Mewujudkan perasaan tenang dan tenteram
Dengan adanya ikatan kasih dan sayang, hidup berpasangan akan menjadikan diri kita aman dan tenteram.
– Memelihara iman (penghalang maksiat)
Dengan berkahwin, dapat menundukkan pandangan dan memelihara kehormatan serta nafsu seseorang.
Perkahwinan mampu menjadi benteng kerana kita akan cuba menjauhi fitnah, mengawal nafsu diri dan menjaga hak pasangan kita.
– Mengikis rasa bimbang akan rezeki
Berkahwin tidak akan membuatkan kita miskin. Ada rezeki dan bahagian untuk pasangan dan anak-anak kita kelak.
IKLAN
Ini kerana wujud konsep tolong menolong dan saling berjimat di kalangan pasangan.
Perbaikilah ibadah (doa dan solat dhuha misalnya) serta usaha untuk lebih menambah rezeki.
– Mengembangkan keturunan
Untuk menambahkan lagi zuriat beriman yang akan memakmurkan bumi Allah.
– Mewujudkan displin
Perkahwinan akan mewujudkan displin dalam sesuatu rumah tangga itu. Tugas dan tanggungjawab akan diagihkan. Semuanya akan menjadi lebih teratur.
“Wahai sekalian manusia! Bertaqwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam), dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya – Hawa), dan juga yang membiakkan dari keduanya – zuriat keturunan – lelaki dan perempuan yang ramai. Dan bertaqwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-yebut nama-Nya, serta peliharalah hubungan (silaturrahim) kaum kerabat; kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawas) kamu.” (Surah an-Nisaa’ ayat 1)
Cabaran pasti saja ada, namun kefahaman dan perhatian terhadap pasangan harus ditambah dengan ilmu untuk melahirkan kasih sayang yang lebih beerti.
Moga keduanya akan saling hormat dan cinta hingga ke akhir hayat serta rumah tangga yang dibina akan disemarakkan lagi dengan suasana sakinah, mawaddah dan rahmah.
Seorang lelaki telah berjumpa, katanya isterinya selalu marah-marah. Malas kemas rumah. Kurang memasak dan asyik marah anak-anak. Dia selalu inginkan seorang suami yang romantik. Saya tak pandai semua tu ustaz…
Jawab saya sebenarnya romantik ini di hati. Bila kita kenal siapa pemberi segala nikmat hidup ini. Siapa beri isteri. Siapa beri anak-anak. Melihat mereka dengan rasa terima kasih pada Allah. Mulakan dengan tadah tangan dan bersyukur dengan katakan ya Allah terima kasih beri isteri dan anak-anak ini…sujud syukur ucap terima kasih pada Maha pemberi yang sayangkan kita..
Cuba abang beli bunga harga besar. Hadiahkan pada isteri. Beri satu kad dan tulis terima kasih kerana sudi jadi isteri abang yang tak hensem ni. Terima kasih kerana korbankan segalanya demi perkahwinan ini. Terima kasih sudi bersama sehingga hari ini. Terima kasih kerana melahirkan anak-anak buat saya.
Menjadi romantik ini bukan perlu jadi seperti romeo n juliet. Cukup sediakan telinga dan perasaan saat isteri bercerita dan berkongsi. Mereka sudah tiada siapa lagi ingin bercerita. Jika orang luar jatuh kita simpati. Inikan isteri yang tolong jaga rumah kita. Tolong jaga anak kita. Mereka sebahagian diri seorang suami..pandang mata mereka. Menangis saat mereka menangis. Sediakan bahu, lengan dan peha saat mereka bercerita. Usap mereka dengan rasa sayang..
Mata memandang mereka dengan rasa cinta. Inilah wanita bidadari syurga yang Allah pinjamkan buat kita..
Jika mereka buat kerja rumah berlari bantu. Jika wajah mereka tak bermaya, tak cukup tidur, tak cukup makan,pucat..beri mereka cuti atau rehat. Jagakan anak-anak dan uruskan rumahtangga. Mereka bukan orang gaji kita. Mereka kekasih hati dan bidadari kita.
Malam hari dan setiap kali lepas solat fardhu doa menangis buat mereka. Ya Allah ampunkan dan kasihilah wanita ini. Mereka separuh mati kerana kami..mereka tak pernah curang atau lupa mendoakan seorang suami. Itulah wanita. Mereka kebanyakannya setia. Mereka tak pernah peduli lelaki lain selain suami mereka..jika dapat wanita seperti itu jagailah dia. Sayangi dan bimbing mereka dengan solat dan kasih sayang…pasti ibu kita gembira jika kita pandai hargai isteri atau wanita dalam hidup ini…
Hidup ini bukan untuk nafsu kita sahaja. Hidup ini untuk Allah. Sibuk tunaikan hak. Hak kita biar Allah yang tunaikan dengan RedhaNya..itulah segalanya..
Dia mula sebak dan kata insyaAllah ustaz. Saya mula faham..
Cemburu adalah perasaan dan sifat semula jadi manusia. Tiada manusia normal yang tidak pernah mengalaminya.Cemburu seorang isteri apabila dimadukan tidak sama dengan cemburu seorang anak apabila mendapat adik baru. Bagaimana kita meletakkannya di tempat yang wajar?
Di d alam buku Raudhatul Muhibbin karya al-Imam Ibnul Qayyim al-Jauziyah, beliau menghuraikan topik cemburu secara komprehensif. Begitu juga huraian Prof Abdul Halim Abu Syuqqah dalam bukunya, Tahrirul Mar’ah fi A’sri al-Risalah. Beliau menghuraikan topik cemburu di bawah tajuk hak yang sama antara suami isteri.
Iyadh berkata: “Cemburu (al-Ghairah) itu adalah berubahnya hati dan bergejolak kemarahan disebabkan pembabitan orang lain dalam sesuatu yang khusus untuknya. Cemburu paling kuat ialah cemburu antara suami isteri.” (Fathul Bari, juz 11, hlm. 231)
Pengakuan syarak terhadap hak cemburu adalah sama antara suami dan Isteri.
Daripada Jabir bin Atik, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Di antara kecemburuan itu ada yang disukai Allah dan ada yang dibenci Allah. Cemburu yang disukai Allah ialah kecemburuan berisi keraguan (bertempat, tidak melulu) sedangkan yang dibenci Allah ialah kecemburuan yang tidak ragu-ragu lagi (tidak bertempat, melulu).” (Riwayat Abu Daud)
Tidak kira lelaki atau wanita, mereka berhak berasa cemburu. Iyadh berkata lagi: “Bahkan ada yang mengatakan cemburu itu pada asalnya adalah maruah dan harga diri.”
Misalnya, seorang suami cemburu apabila adanya lelaki lain pada sesuatu yang khusus baginya seperti ada lelaki bermalam di tempat tidurnya. Maka, ia adalah cemburu yang terpuji.
Bagaimanapun, apabila suami cemburu terhadap sesuatu yang bukan khusus untuknya seperti adanya lelaki lain bercakap dengan isterinya secara terhormat, melihat wajah dan tangan-nya, maka itu bukanlah satu kecemburuan yang terpuji. Ia akan menyusahkan hidup isteri.
Jenis cemburu:
• Cemburu yang terpuji
Saad bin Ubadah berkata, “Wahai Rasulullah, seandainya aku mendapati seorang lelaki bersama isteriku, adakah aku tidak boleh menghukumnya sebelum aku mendapat empat saksi?” Rasulullah SAW menjawab: “Ya. Tidak boleh.” Ia suatu yang terpuji apabila masih ada perasaan ‘cemburu’ ketika pasangan berbuat maksiat. Namun, fitrah itu boleh menjadi fitnah.
Jika diikutkan hati Saad, mahu saja dia memenggal kepala isterinya. Namun, walau marah macam mana sekalipun kepada pasangan, kita tidak boleh membuat tindakan melulu. Ia mesti bertempat dan merujuk peraturan. Allah SWT dan Rasul lebih cemburu apabila mengharamkan semua yang keji, zahir atau batin. Pembuat syariat juga sangat bijaksana apabila tidak membenarkan membunuh sesuka hati tanpa memberi ruang kepada orang yang dituduh untuk diadili dan didatangi empat saksi.
• Cemburu yang berlebihan
Di sisi orang cemburu, kecemburuan seperti itu harus ditahan dengan sifat sabar. Harus dijauhi hal yang boleh membangkitkannya.Mencegah sebelum merawat manakala pihak yang dicemburui hendaklah mengendalikan perilaku supaya tidak keluar daripada batasan syarak. Umar pernah cemburu terhadap isterinya yang pergi ke masjid. Namun, beliau tidak pernah melarang isterinya pergi ke masjid kerana bimbang perbuatannya itu mengingkari sabda Baginda iaitu “Janganlah kamu mencegah hamba-hamba Allah untuk datang ke masjid Allah.”
Cemburu yang dimaafkan
Cemburu dalam kategori ini dimaafkan selagi tidak melakukan perkara yang haram iaitu:
1. Kecemburuan isteri terhadap bekas isteri suaminya.
2. Kecemburuan seorang wanita kepada madunya.
Ujian pertengkaran, konflik dan persaingan biasanya akan menimpa isteri-isteri yang bermadu. Ia sukar dielakkan. Namun berusahalah menahan diri daripada terbabas melakukan perkara haram.
Contoh perkara haram ialah sekumpulan isteri sepakat untuk berbohong. Minuman madu yang manis di rumah seorang isteri yang lain dikatakan berbau busuk supaya suami menjauhi. Itulah yang Allah tegur terhadap sekumpulan isteri Nabi di dalam al-Quran. Al-Miswar bin Mahkramah berkata: “Ali meminang puteri Abu Jahal. Lalu hal itu didengari Fatimah. Kemudian Fatimah datang kepada Rasulullah SAW seraya berkata: “Kaummu mengira engkau tidak memarahi anak-anak perempuanmu, tetapi Ali hendak mengahwini puteri Abu Jahal.”
Kemudian Rasulullah berdiri, maka aku mendengar ketika Baginda bersaksi seraya berkata: “Sesungguhnya Fatimah itu sebahagian daripadaku dan aku tidak suka dia disakiti.”
Dalam riwayat kedua, “Aku khuatir ia terfitnah dalam agamanya, tetapi aku tidak sewenang-wenangnya mengharamkan yang halal dan menghalalkan yang haram.” (Riwayat Bukhari) Dalam riwayat ketiga, “Meragukanku apa yang meragukan Fatimah dan menyakitiku apa yang menyakitinya.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Riwayat ketiga itu dibawa Bukhari dalam bab ‘Pembelaan Seseorang terhadap Anak Perempuannya dalam Kecemburuan dan Pemenuhan Hak.’ Hadis itu jika ditafsirkan berdasarkan akal sempit, kita akan cenderung untuk berlaku berat sebelah. Lebih selamat merujuk tafsiran ulama yang diiktiraf untuk mentafsirkan hadis berkenaan.
Al-Hafiz Ibnu Hajar berkata, hadis itu menunjukkan wanita yang cemburu apabila bimbang terfitnah dalam beragamanya, maka walinya boleh melakukan usaha menghilangkan semua itu. Sebagaimana hukum suami bertindak kasar dengan syarat wanita itu tidak mempunyai orang yang dapat meleraikannya dan meringankannya.” (Fathul Bari, juz 11, halaman 243)
Berhubung penyataan Baginda: “Dan aku khuatir ia (Fatimah) akan terfitnah dalam agamanya” iaitu Fatimah tidak tahan dalam kecemburuannya lantas dia marah dan melakukan sesuatu terhadap suaminya berupa tindakan atau perbuatan yang tidak layak dengan kedudukannya dalam agama.” (Fathul Bari, juz 11, halaman 242)
Jelas, Rasulullah SAW menerima alasan Fatimah dan mengiktiraf kecemburuannya. Baginda meminta Ali bin Abi Talib supaya menggagalkan pinangannya atau menceraikan Fatimah.
Apakah hukumnya isteri ingkar suruhan seorang suami yang zalim dan tidak menunaikan tanggungjawab? Sebagai contoh jika suami tidak mengizinkannya keluar rumah untuk membeli barang keperluan sedangkan si suami tidak pernah membeli barang keperluan yang mencukupi. Suami juga sentiasa menengking isteri hanya disebabkan kesalahan kecil seperti marah kerana masakan isteri kurang sedap. Selain itu suami juga tidak memberi duit belanja walaupun dia mempunyai gaji dan kerja baik. Bolehkah isteri keluar pindah ke rumah yang lain disebabkan tidak tahan dengan perangai suami.
Jawapan
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT dan selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW. Aktikel pada kali ini, lebih memberi penekanan terhadap tanggungjawab dan nusyuz seorang suami. Justeru, tugas seorang suami adalah memimpin rumah tangga serta membimbing ahli keluarganya mengikut panduan yang ditetapkan syara’.
Maksudnya: Dan perintahkanlah keluargamu serta umatmu mengerjakan sembahyang, dan hendaklah engkau tekun bersabar menunaikannya. Kami tidak meminta rezeki kepadamu, (bahkan) Kamilah yang memberi rezeki kepadamu. Dan (ingatlah) kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertaqwa. (Surah Toha, 132)
Perkahwinan merupakan satu institusi yang memerlukan perlaksaan tanggungjawab dan kewajipan di atas hak sebagai suami dan isteri. Selain itu, panduan yang diajar oleh agama Islam supaya sentiasa bergaul dan bertoleransi di antara keduanya bagi melahirkan hubungan yang mahabbah. Ini kerana pasangan suami isteri itu saling melengkapi antara satu sama lain. Firman Allah SWT:
هُنَّ لِبَاسٌ لَّكُمْ وَأَنتُمْ لِبَاسٌ لَّهُنَّ
Maksudnya: Isteri-isteri kamu itu adalah sebagai pakaian bagi kamu dan kamu pula sebagai pakaian bagi mereka (Surah al-Baqarah, 187)
Begitu juga kewajipan seorang suami adalah menunaikan nafkah dari segi zahir atau batin kepada isteri dan anak-anaknya. Ini sepertimana yang dinyatakan oleh Dr. Muhammad Zuhaili di dalam kitabnya bahawa para fuqaha bersepakat kewajipan suami memberi nafkah terhadap isterinya, tanpa ada perselisihan pandangan terhadapnya. (Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’e, 4/277)
Maksudnya: Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan, dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka. (Surah al-Nisa’, 34)
Dr. Wahbah Zuhaili menafsirkan ayat ini dengan menyatakan, seseorang lelaki itu dipertanggungjawabkan untuk memberi nafkah serta tempat tinggal kepada Isterinya dan bagi lelaki ia merupakan ketua bagi memudahkan urusan kekeluargaan. (Lihat al-Tafsir al-Wasit li Zuhaili, 1/316-317)
Maksudnya: Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu; dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya. (Surah al-Baqarah 233)
Syeikh al-Maraghi di dalam tafsirnya menyatakan, tanggungjawab isteri adalah mengandung dan melahirkan serta menyusukan anak. Manakala tanggungjawab suami adalah menyediakan kelengkapan dari segi makanan, minuman dan pakaian untuk melaksanakan tugas sebagai isteri. Begitu juga menjaga keselamatan dan segala urusannya. Nafkah yang diberikan berdasarkan kiraan mengikut kebiasaan masyarakat setempat seseorang perempuan itu (Lihat Tafsir al-Maraghi, 2/187)
1. Suami Memberi Nafkah Kepada Isteri
Tanggungjawab seorang suami dalam melayari bahtera rumah tangga adalah dengan menunaikan nafkah dari segi zahir dan batin serta melayani isteri dengan keadaan yang baik. Oleh itu, kewajipan sorang suami di dalam membayar nafkah adalah selepas berlakunya akad nikah serta isteri menunaikan syaratnya iaitu :
Merelakan dirinya untuk bermesra dan bersetubuh dalan keadaan yang diizinkan syara’.
Isteri mengikut suaminya tinggal di dalam rumah yang dipilih suaminya dan keadaan rumah itu sesuai didiaminya mengikut syara’
Jika kedua syarat ini dipenuhi isterinya, maka wajib bagi suami untuk menunaikan setiap nafkah yang diperlukan oleh isterinya. (Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’e, 4/278-280)
Dalam kontek kemampuan suami memberi nafkah kepada isterinya, al-Fiqh al-Manhaji menggariskan bahawa di antara perkara yang waijb diberikan suami kepada isteri adalah:
Makanan asasi penduduk tempatan pada setiap hari mengikut keperluan untuk dijadikan makanan. Hal ini berdasarkan kemampuan bagi seorang suami sama ada ia kaya, sederhana dan miskin.
Lauk yang menjadi kebiasaan masyarakat umum mengikut kemampuan suami.
Pakaian yang bersesuaian mengikut syara’ dan menutup aurat serta tempat tinggal dan perkakas dapur mengikut kemampuan suami dan keperluan isteri.
Selain itu, sebagai tambahan kepada nafkah Isteri dan perlu mengambil kira kemampuan suami adalah sepert iberikut:
Rumah dan tempat tinggal yang bersesuaian dan sekurang-kurangnya mempunyai keperluan asas yang sewajarnya.
Peralatan bertujuan kebersihan tempat tinggal. Begitu juga alat perhiasan diri sekiranya suami meminta untuk isterinya berhias.
Pembantu rumah sekiranya isterinya mempunyai pembantu rumah sebelum ia berkahwin. Oleh itu suami perlu menyediakan khidmat pembantu rumah sekadar mengikut keperluan isterinya.
(Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’e, 4/281-284 dan al-Fiqh al-Manhaji, 4/182-184)
Pemberian nafkah suami kepada isterinya adalah bergantung kepada kemampuan dan pendapatan seorang suami. Ini seperti mana hadis daripada Mu’awiyah al-Qusyairi katanya:
Maksudnya: Aku menemui Rasulullah SAW dan bertanya: Apakah pandanganmu tentang isteri-isteri kami?” Rasulullah SAW menjawab: “Berilah mereka makan, sama seperti yang kamu makan, berilah mereka pakaian, sama seperti yang kamu pakai dan janganlah pukul serta hina mereka. (Riwayat Abu Daud (2144)
Nusyuz
Para fuqaha’ berpendapat perbuatan nusyuz seseorang isteri kepada suaminya adalah diharamkan, begitu juga sebaliknya. Ini disebabkan kedua-duanya tidak menunaikan tanggungjawab mereka terhadap pasangan masing-masing. Nusyuz seseorang itu memberi kesan selepas selesainya akad nikah. Dan ia juga membabitkan ke atas lelaki dan juga perempuan.
Dr Muhammad Zuhaili memberi takrifan nusyuz di dalam kitabnya: “Nusyuz bermaksud derhaka dan kebiasaannya dilakukan oleh wanita. Seseorang perempuan nusyuz itu ialah derhaka kepada suaminya dengan mengingkari ketaatan terhadap suaminya. Selain itu, nusyuz bagi suami ke atas isterinya adalah meninggalkan tanggungjawabnya serta menyakiti pasangannya”.
Maksudnya: Dan jika seorang perempuan bimbang akan timbul dari suaminya “nusyuz” (kebencian), atau tidak melayaninya, maka tiadalah salah bagi mereka (suami isteri) membuat perdamaian di antara mereka berdua (secara yang sebaik-baiknya) (Surah al-Nisa’, 128)
Mengikut keterangan daripada firman Allah SWT, Syeikh Sya’rawi menyatakan bahawa terdapat nusyuz bagi seseorang lelaki terhadap isterinya (Lihat Tafsir al-Sya’rawi, 5/2682)
Syeikah al-Maraghi menerangkan ayat di atas dengan menyatakan, “Yang dimaksudkan ayat di atas kebimbangan seorang isteri akan berlakunya nusyuz suami terhadap dirinya, iaitu suami menghalang kehendak dirinya, nafkahnya dan kasih sayangnya terhadap isterinya atau menzaliminya dengan memukul serta melakukan kekerasan yang lain.” (Lihat Tafsir al-Maraghi, 5/171)
Nusyuz Seorang Suami
Hukum nusyuz tidak tertakluk kepada isteri sahaja, malah ia juga berlaku kepada seorang suami. Ini seperti apabila seseorang suami itu tidak memberi hak dan tanggungjawab kepada isterinya dari segi zahir dan batin seperti tidak memberi nafkah serta melakukan kezaliman. Hal ini dinyatakan di dalam al-Fiqh al-Manhaji menyatakan, “Suami yang menganiaya isteri dan tidak menyukainya, seperti tidak memberikannya giliran bermalam, nafkah atau mengasarinya dengan perkataan atau perbuatan, isteri hendaklah menasihati suami dan mengingatkan tanggungjawab” (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 4/109)
Syeikh Ibrahim Baijuri menceritakan tentang nusyuz bagi suami di dalam kitabnya, bahawa nusyuz bagi seorang suami adalah tidak melakukan tanggunjawab yang wajib terhadap isterinya iaitu menggaulinya dengan baik, memberikan giliran bermalam sekiranya beristeri ramai, memberi mahar, memberi nafkah, pakaian dan keperluan hidup yang lain… sekiranya suami itu seorang yang berakhlak buruk dan melakukan kekerasan seperti memukulnya tanpa sebab, dibenarkan untuk mengadu kepada hakim untuk memberikan hukuman ta’zir terhadapnya. (Lihat Hasyiah Syeikh Ibrahim al-Baijuri, 2251)
Tindakan Isteri Kepada Suami Yang Nusyuz
Sekiranya seseorang suami itu nusyuz terhadap isterinya, maka isteri hendaklah bersabar serta menasihati dan memperingati tindakkan yang dilakukan oleh suaminya dengan menceritakan firman Allah SWT tentang kewajipan seorang suami untuk menggauli isterinya dengan cara yang baik. Ini seperti firman Allah SWT:
Maksudnya: Dan bergaulah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik. Kemudian jika kamu (merasai) benci kepada mereka (disebabkan tingkah-lakunya, janganlah kamu terburu-buru menceraikannya), kerana boleh jadi kamu bencikan sesuatu, sedang Allah hendak menjadikan pada apa yang kamu benci itu kebaikan yang banyak (untuk kamu). (Surah al-Nisa’, 19)
Jika keadaan masih lagi belum berubah dan tidak Berjaya menasihatinya, maka isteri boleh mengadu kepada hakim atau pemerintah di atas apa yang dilakukan oleh suaminya terhadap dirinya. Ini seperti yang dinyatakan Dr Muhammad Zuhaili serta terdapat di dalam al-Fiqh al-Manhaji:
“Isteri juga hendaklah memberi amaran kepada suami tentang balasan perbuatan zalimnya. Jika suami berubah baik, itulah sebaik-baiknya. Jika tidak, dia hendaklah mengadu kepada hakim untuk mendapat haknya. Ini kerana hakim diwujudkan untuk mengembalikan hak kepada yang berhak disebabkan isteri tidak mampu mendapatkan haknya bersendirian… jika suami masih lagi mengulangi perbuatannya, maka isteri boleh meminta hakim mengenakan hukuman terhadap suaminya.”
(Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 4/109-110 dan al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’e, 4/95)
Namun, sekiranya masih lagi tidak dapat diselesaikan maka wakil bagi kedua-dua belah pihak hendaklah dihantar supaya diadakan perbincangan berkenaan hala tuju rumahtangga pasangan tersebut. Dr Muhamma Zuhaili menyebut di dalam kitabnya:
“Sekiranya peranan hakim masih lagi tidak dapat mendamaikan keduanya, maka hendaklah memanggil wakil yang dipercayai dari kedua-dua pihak bagi menyelesaikan permasalah ini sama ada mendamaikan keduanya atau memisahkannya…untuk menjatuhkan hukuman terhadap pasangan itu wajib dilakukan oleh qadi atau hakim.” (Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’e, 4/95)
Maksudnya: Dan jika kamu bimbangkan perpecahan di antara mereka berdua (suami isteri) maka lantiklah “orang tengah” (untuk mendamaikan mereka, iaitu), seorang dari keluarga lelaki dan seorang dari keluarga perempuan. Jika kedua-dua “orang tengah” itu (dengan ikhlas) bertujuan hendak mendamaikan, nescaya Allah akan menjadikan kedua (suami isteri itu) berpakat baik. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui, lagi Amat mendalam pengetahuanNya. (Surah al-Nisa’, 35)
Kesimpulan
Berdasarkan kepada persoalan dan penerangan yang diberikan, sekiranya permasalah ini masih berlanjutan, kami menasihati agar melakukan beberapa langkah seperti berikut:
Isteri boleh menasihati suami tentang tanggungjawabnya dan memberi amaran kepadanya tentang balasan Allah SWT dengan perbuatan zalimnya.Selain itu, sekiranya suami masih tidak berubah maka isteri boleh meminta hakim mengenakan tindakan yang sesuai untuk memperbaikinya.Sekiranya belum mampu mengubahnya, kedua-dua belah pihak boleh menghantar wakil sebagai orang tengah untuk mendamaikan atau memisahkan mereka.
Sebaiknya di dalam permasalahan rumah tangga hendaklah dirujuk kepada pihak-pihak yang berautoriti di dalam membantu menyelesaikan permasalah ini seperti mahkamah syariah. Perkara ini bertujuan untuk menjalankan proses sulh yang terdapat dalam enakmen undang-undang keluarga islam di setiap negeri. Hal ini bertujuan mengadakan perbincangan damai serta menyelesaikan perselisihan rumah tangga.
Justeru, suami dan isteri wajib meningkatkan pengetahuan mengenai perihal hukum hakam nusyuz. Ini bertujuan memberi kesedaran kepada suami dan isteri tentang keburukan dan kesan melakukannya.
Dalam memahami tugas dan tanggungjawab serta realiti kehidupan dalam mengasuh dan mendidik generasi seterusnya persepahaman dan toleransi di antara suami isteri akan melahirkan kebahagiaan dalam membentuk baiti jannati. Firman Allah SWT:
Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa. (Surah al-Furqan, 74)
Semoga penjelasan ini memberi manfaat kepada penanya. Kami berdoa agar Allah memberikan sakinah kepada keluarga.
Jarang orang nak deko balkoni jadikan ruang lepak, tetapi bila seorang isteri itu rajin dan kreatif, inilah hasilnya!
Apa yang menarik, bila penat menguruskan hal...