Soalan
Bagaimanakah kedudukan saf yang betul apabila seorang isteri solat berdua bersama dengan suaminya?
Jawapan :
Isu ini disebutkan oleh para fuqaha apabila mereka membincangkan berkenaan susunan saf di dalam solat yang melibatkan orang lelaki, perempuan, khunsa, serta kanak-kanak. Di antara dalil yang menjadi madar (ruang lingkup) perbahasan berkaitan isu ini adalah sebuah riwayat daripada Anas bin Malik R.A yang menyatakan :
أَنَّ جَدَّتَهُ مُلَيْكَةَ دَعَتْ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لِطَعَامٍ صَنَعَتْهُ لَهُ فَأَكَلَ مِنْهُ ثُمَّ قَالَ قُومُوا فَلِأُصَلِّ لَكُمْ ، فَقَامَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، وَصَفَفْتُ وَالْيَتِيمَ وَرَاءَهُ ، وَالْعَجُوزُ مِنْ وَرَائِنَا ، فَصَلَّى لَنَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ رَكْعَتَيْنِ ثُمَّ انْصَرَفَ
Maksudnya : Bahawa neneknya yang bernama Mulaikah menjemput Rasulullah S.A.W memakan makanan yang telah dimasaknya. Maka baginda pun menjamu makanan tersebut lalu bersabda : Bangunlah untuk aku bersolat bersama kamu semua. Kemudian Rasulullah S.A.W berdiri untuk solat, lalu baginda meletakkan aku dan seorang anak yatim di belakangnya, dan perempuan tua (nenek) di belakang kami. Kemudian baginda solat dua rakaat bersama kami dan seterusnya beredar.
Riwayat Al-Bukhari (380)
Berdasarkan hadis di atas, terdapat beberapa faedah yang boleh dikeluarkan seperti berikut:
- Hadis di atas menunjukkan kepada keharusan solat sunat secara berjamaah.
- Galakan kepada penghuni rumah untuk mengambil berkat dengan kehadiran orang soleh dan ahli ilmu dengan menunaikan solat di dalam rumah mereka.
- Baginda S.A.W mahu mengajarkan kepada mereka pergerakan-pergerakan solat.
- Begitu juga diajarkan pergerakan solat kepada orang perempuan. Ini kerana, sangat sedikit dan terbatas pergerakan solat yang dapat mereka pelajari daripada Rasulullah ketika di masjid. Maka apabila baginda solat di rumah Mulaikah ini, beliau dapat melihat pergerakan solat, mempelajarinya, dan seterusnya mengajarkan kepada orang lain.
- Hadis ini juga menunjukkan sahnya solat kanak-kanak yang mumayyiz.
- Hadis di atas turut menjelaskan bahawa kanak-kanak juga turut mempunyai tempat di dalam saf.
- Begitu juga orang perempuan berdiri di belakang orang lelaki semasa solat.
Demikianlah beberapa faedah daripada hadis yang diistinbatkan oleh Imam Al-Nawawi Rahimahullah apabila mensyarahkan hadis di atas. Rujuk Syarah Sahih Muslim, Al-Nawawi (5/293).
Justeru, dapatlah difahami bahawa jika seorang perempuan itu menjadi makmum kepada orang lelaki, sama ada lelaki tersebut adalah ayahnya, abang, adik, atau suaminya, maka kedudukan saf bagi wanita itu adalah di belakang imam. Ini juga bertepatan dengan nas yang turut diriwayatkan oleh Anas bin Malik R.A yang mengatakan :
أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ صَلَّى بِهِ وَبِأُمِّهِ أَوْ خَالَتِهِ قَالَ فَأَقَامَنِي عَنْ يَمِينِهِ وَأَقَامَ الْمَرْأَةَ خَلْفَنَا
Maksudnya: Sesungguhnya Rasulullah S.A.W solat dengannya (Anas) bersama dengan ibunya atau ibu saudaranya lalu Anas berkata: Baginda mendirikan aku di sebelah kanannya dan baginda mendirikan orang perempuan di belakang kami.
Riwayat Muslim (1056)
Kata Imam Al-Nawawi Rahimahullah: Sekiranya yang hadir mengerjakan solat itu terdiri daripada orang lelaki, kanak-kanak, golongan khunsa, serta orang perempuan, maka didahulukan orang lelaki, kemudian kanak-kanak, kemudian golongan khunsa, kemudian orang perempuan. Rujuk Al-Majmu’ Syarah Al-Muhazzab, Al Nawawi (3/132).
Di dalam kenyataannya yang lain Imam Al-Nawawi mengatakan: Para ashab kami mengatakan: Kesemuanya ini (susunan solat) hukumnya adalah mustahab (sunat) dan menyelisihinya adalah makruh namun tidak membatalkan solat.
Imam Al-Mawardi di dalam kitabnya Al-Hawi Al-Kabir (2/340) menukilkan kenyataan Imam Al-Syafie yang berkata: Apabila seorang lelaki menjadi imam, maka makmum (lelaki) berdiri di bahagian kanannya. Sekiranya makmum tersebut merupakan khunsa musykil atau perempuan maka setiap seorang dari mereka berdiri di belakangnya (imam) secara bersendirian.
Sekiranya seorang lelaki menjadi imam kepada seorang sahaja wanita, maka perempuan tersebut berdiri di belakangnya dan bukannya di sebelahnya. Ini berdasarkan sabda Nabi S.A.W :
خَيْرُ صُفُوفِ الرِّجَالِ أَوَّلُهَا وَشَرُّهَا آخِرُهَا، وَخَيْرُ صُفُوفِ النِّسَاءِ آخِرُهَا وَشَرُّهَا أَوَّلُهَا
Maksudnya : Sebaik-baik saf orang lelaki adalah yang paling depan dan seburuk-buruk saf orang lelaki adalah yang paling akhir. Manakala sebaik- baik saf orang perempuan adalah yang paling belakang dan seburuk-buruk saf bagi mereka adalah yang paling hadapan.
Riwayat Muslim (440)
Kesimpulan
Setelah kami mengemukakan beberapa pendapat para fuqaha berserta dengan nas-nas syarak di atas, maka kami menyatakan bahawa sekiranya seorang wanita solat bersama suaminya secara berjamaah, maka kedudukannya adalah di belakang suaminya. Semoga Allah S.W.T memberikan kefahaman yang jelas kepada kita dalam beragama. Ameen.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI