.
Semalam pergi pasaraya nak beli barang dapur. Masuk je pasaraya tu terus jumpa tempat roti. Dalam hati teringat selalu beli ada sejenis roti tu bila pergi pasaraya dengan isteri. Pegang roti tu, tapi tak sampai hati nak ambil. Lepas tu jalan ke depan sikit, lalu bahagian bawang semua. Terbayang bila isteri pilih-pilih bawang, ikan bilis, cili kering, kentang.
Selalunya saya tak tunggu, saya jalan pergi ambil benda lain. Selalunya saya akan ambil lemon untuk dibuat air. Pergi kat bahagian beras. Kami biasanya akan bertembung semula kat kawasan beras ni dan saya akan ambil beras masuk dalam troli sambil dia hulur bawang dan benda lain untuk ditimbang nanti. Selepas tu mesti akan lalu bahagian mee segera. Kebiasaannya akan ambil megi biasa je. Baru-baru ni kami mula beli jenama SAJI.
.
Kat depan sikit ada tempat kerepek dan jajan. Tersusun rapi Brushette dan seaweed kegemaran isteri. Dua ni je jajan yang dia suka. Teringat saya beli semua jenis Brushette tu untuk hadiah ulangtahun kami bulan 10 baru-baru ni. Ade pizza la, tomato la, bawang putih la. Tersenyum tengok bila dia makan sambil seronok sebab dapat apa yang dia suka. Bila lalu bahagian sayur, sampai sekarang saya tak hafal jenis-jenis sayur.
Sebab saya tak makan sayur. Dia yang akan ambil sendiri dan saya akan pergi timbang. Bahagian ayam pulak, selalunya kami akan ambil dua ekor, potong kecil dan buang kulit. Saya ambil ayam, dia akan ambil ikan. Kadang-kadang dia akan merengek manja nak beli udang. Saya tak kisah pun dia nak beli apa. Tapi dia masih rasa nak minta kebenaran saya dulu.
Termasuklah bila dia teringin nak makan kerang. Lepas selesai barang basah, kami akan ambil telur sepapan dan terus ke kaunter. Di kaunter, saya akan keluarkan barang dari troli dan letak atas kaunter. Dia pula akan masukkan barang yang sudah di”scan” dan letak kembali dalam troli yang dah kosong. Selesai bayar, kami pun keluar. Ada kalanya dia teringin nak makan ais krim dan kadang-kadang dia akan beli ice lemon tea sekali. Dia akan tanya “nak ais krim boleh”.
Saya tak pernah tolak. Sambil tersengih, dia akan masuk dalam kereta dengan anak-anak dan saya akan masukkan barang dalam boot. Semalam, saya lalu semua tempat tu dan keluar dengan troli yang kosong. Tak beli apa-apa pun. Tak tau nak beli apa. Tak tau nak buat apa. Saya tak boleh berfungsi dengan sempurna tanpa isteri saya. Rindu sangat dengan dia. Bila letak balik troli, baru teringat tujuan sebenar saya pergi pasaraya tu sebab nak beli lemon je. Saya pun masuk semula, beli lemon dan keluar.
.
Kredit: Akhtar Syamir