Usia sudah hujung angka tiga puluhan, pekerjaan stabil, tapi masih membujang sendiri. Jangankan kata tanda-tanda bakal menikah, teman istimewa pun tak punya. Ini biasa terjadi dalam dunia moden hari ini, mahupun lelaki atau wanita. Teman bersilih ganti…hanya kawan biasa.

 

Usia semakin meningkat naik, ibubapa mula risau masa hadapan anak yang masih solo. Kawan-kawan semua dah bina masjid, beranak pinak! Mereka yang berada dalam situasi ini mula rasa sepi tak berteman, kekurangan kasih sayang dan perhatian.  

 

Tipu kiranya yang masih ‘single’ tidak terasa hati kala melintas di hadapan butik pengantin, terlihat gaun putih indah di patung. Berangan tak salah dengan menyimpan harapan agar satu hari nanti dapat juga merasa menyarungnya.  

 

Paling sedih, bila kerjayanya seorang model. Baju pengantin telah di sarung berkali-kali, tapi jodoh belum tiba lagi. Bukan tak cari, teman dah berganti-ganti tapi satu pun tak melekat di hati untuk dijadikan suami atau isteri. Hujung-hujung terjebak dengan suami kawan sendiri, memang tiada harapan ke jinjang pelamin. Akhirnya buang masa sendiri, lalu menggigit jari.  

 

Ini belum lagi kalau mulut-mulut yang bertanyakan tentang soal jodoh dan di tambah pula dengan mereka yang suka menghakimi. Pedih pula telinga mendengar kata-kata pedas seperti ‘Jangan terlalu pemilih’, ‘Tunggu sampai ke tua la tak temu jodoh’, ‘Jual mahal sangat’, ‘Anak makcik kau dah kawin, hang bila lagi!’. Ayat-ayat itu pastinya bermain di telinga, mungkin sampai tepu untuk didengari. 

 

BUKAN BANYAK DRAMA! 

Tundingan terlalu memilih sering dialamatkan pada mereka. Adakah benar kerana terlalu memilih? Salahkah jika terlalu pemilih dalam urusan jodoh? Jawabnya, tidak. Mahu beli sebiji rumah pun kita ambil masa memilih dan tanya itu ini sampai puas hati, inikan pula cari jodoh bukan perkara sembarangan. Dan bukan suka-suka nak buat drama. Kita tetap harus jadi pemilih dalam mencari jodoh kerana kita bakal hidup bersama selamanya.

IKLAN

 

Tetapi jangan juga terlalu pemilih. Tak ada manusia yang sempurna, termasuk kita. Manusia pasti punya kekurangan dan kelebihan. Andai kita mampu menerima kekurangan pasangan kita dan pasangan kita memahami diri kita. InsyaAllah, mahligai di bina hingga ke Jannah.  Memilih itu baik, tetapi jika terlalu memilih mungkin tidak. Takut hingga hujungnya, menggigit jari sendiri.  

 

Jangan terbawa-bawa pula hanya kerana anda minat drama Korea, lalu asyik terbayang calon suami seperti Lee Min Ho. Aduh! Drama dan realitinya jauh berbeza. Mungkin kalau bernasib baik, dapatlah calon segak dan baik seperti itu. Jika tidak sampai ke tua masih menunggu putera impian tak muncul-muncul.  

 

Semua orang boleh menetapkan standard untuk segala hal dalam hidupnya, apa lagi untuk urusan jodoh. Cuma adakah standard yang anda tetapkan itu realistis atau mengada-ada, perlu tahu batasnya dan berpijak di bumi nyata. Kalau boleh cermin-cermin diri dan keperibadian sendiri dulu juga ya! 

 

BINA KERJAYA 

IKLAN

Ramai juga yang belum menikah di usia matang, kerap dituduh terlalu sibuk dengan mengejar cita-cita dan kerjaya. Terlalu sibuk berkerja, mencari harta, pangkat dan kemewahan, sampai lupa urusan jodoh. Tapi mestinya karier dan percintaan itu dipisahkan, hidup perlu keseimbangan.  

 

Benar, zaman sekarang tak ada wang nak kawin pun susah. Calon bini pun nak cari suami yang stabil dan kalau dapat yang kaya, itu satu bonus. Lebih cantik kalau pasangan bijak membina karier atau masa depan bersama.  

 

Jangan sesekali fikir bila berpasangan, ianya akan menjadi gangguan atau halangan dalam mengejar impian. Sambil mengejar kerjaya dan saat itu juga mencari pasangan ideal, itu lebih baik. Usia dan waktu tidak menunggu kita. Semua akan berjalan serentak tanpa ada perhentian dalam kehidupan.  

 

Benar, jodoh itu di tangan Allah. Kita berusaha dan cari-cari, masih belum ketemu jodoh itu. Cinta bertahun tetapi kecundang di tengah jalan, tiada jodoh. Sukar nak move on juga membuatkan kita malas untuk mencari yang baru! Bukan mudah untuk merawat luka yang ada akibat putus cinta, hanya yang merasai tahu betapa makan dalamnya nanah cinta itu. Maka…kita pun teruskan mencari teman bersilih ganti.

 

IKLAN

Semuanya perlu masa untuk diubati, Cuma jangan ambil masa terlalu lama. Perlu pandai cari ubat untuk sembuh kembali dan menjalani hidup seperti dulu kembali. Bagi masa tertentu untuk layan kekecewaan hati dan kemudian bangkit kembali mencari cinta sejati. InsyaAllah, jodoh itu ada menanti. Jangan putus berdoa, minta yang terbaik untuk diri sendiri dan semoga dipermudahkan urusan jodoh baik-baik. 

 

Mungkin ada yang bertanya, mengapa jodoh ku lambat? Apa dosa aku masih sendiri sampai sekarang? Adakah jodoh ku tersalah alamat? Atau Apa kekurangan diri ku, sampai sekarang belum ketemu jodonya? Percayalah, rezeki orang itu berbeza-beza. Ada yang lambat, ada yang cepat.  

 

Sesungguhnya persoalan jodoh merupakan salah satu dari rahsia Allah SWT. Jodoh adalah berbentuk rezeki yang telah ditetapkan oleh Allah kepada manusia. Mencari calon suami atau isteri punya pelbagai fasa yang harus lalui sehinggakan sampai satu tahap anda sudah mula berputus asa.  

 

Namun sebagai manusia, kita mesti tahu akan hikmah-hikmah disebalik apa yang terjadi pada diri kita ini. Pasti ada hikmah Allah belum mempertemukan dengan jodoh yang sesuai. Biar teman bersilih ganti, jangan pasangan!

 

Boleh juga baca artikel ini http://www.pesonapengantin.my/walaupun-bekerjaya-isteri-kena-juga-bergantung-pada-suami-2/

 

***JOM SERTAI CHANNEL TELEGRAM PESONA PENGANTIN DAN DAPATKAN LEBIH BANYAK INFO BERSAMA KAMI. KLIK SAHAJA DI SINI.