Wahai Suami, Contohilah Sikap Lembut Umar Bin Khattab Menangani Isteri Yang Sedang Marah

Share

Berdasarkan penelitian, dalam sehari wanita boleh mengeluarkan hampir 20 ribu patah perkataan berbanding lelaki cuma tujuh ribu patah perkataan sahaja. Jadi tidak hairanlah jika wanita selalu dikaitkan dengan sifat yang cerewet, banyak cakap dan mudah marah.

Ternyata sifat ini jika tidak ditangani dengan baik boleh menjejaskan hubungan suami isteri. Jika isteri selalu marah-marah pastilah suami yang akan menjadi sasaran dengan sikap cerewet isteri.

Namun dalam menangani sikap marah dan cerewet isteri, kita harus teladani sifat mulia sahabat Rasullullah SAW iaitu Saidina Umar bin Khattab. Ternyata Saidina Umar bin Khattab seorang yang sangat penyabar dalam menghadapi amarah isterinya kerana bagi Saidina Umar bin Khattab, isteri adalah penjaganya dari api neraka. Ikuti kisah berikut.

MILIKI HATI LEMBUT & PENYABAR

Siapa yang tidak mengenal dengan Saidina Umar bin khattab yang terkenal dengan sifat ketegasannya. Bahkan syaitan pun takut melihat Saidina Umar bin Khattab dan menghindari untuk berdepan dengannya. Selain orangnya yang tegas, Saidina Umar bin Khattab juga dikenali memiliki hati yang lembut sebagaimana digambarkan melalui kisahnya ketika Saidina Umar bin Khattab dimarahi isterinya.

Kisah Saidina Umar bin Khattab ketika dimarahi oleh isterinya diceritakan seorang lelaki yang datang kepada Umar. Dia hendak mengadukan isterinya kerana marah-marah kepadanya. Lelaki tersebut jengkel dan ingin mengadukan kelakuan isterinya kepada Amirul Mukminin.

Setiap kali datang ke rumah Amirul Mukminin, dia tidak pernah bertemu dengannya kerana Saidina Umar bin Khattab selalu keluar sebelum lelaki itu datang. Satu hari lelaki itu datang lagi ke rumah Saidina Umar bin Khattab. Sampai di depan pintu rumah Saidina Umar bin khattab sebelum mengetuk pintu, lelaki itu terdiam sejenak.

DIMARAHI ISTERI

Secara tidak sengaja, lelaki itu terdengar Saidina Umar bin Khattab sedang dimarahi isterinya yang sedang memperbesarkan masalah remeh. Malah nada suara isterinya juga meninggi terhadap Saidina Umar bin Khattab. Mengagumkan lelaki itu apabila Amirul Mukminin sentiasa lembut dan bersabar menghadapi kemarahan isterinya.

Lelaki itu kemudiannya berkata dalam hati, “Jika seorang Amirul Mukminin pun boleh seperti itu, bagaimana pula denganku?” Dia kemudiannya berlalu pergi. Saidina Umar bin Khattab keluar dari rumah dan menjejaki lelaki itu lalu bertanya kepadanya, “Apa yang kau inginkan daripadaku?”

Lelaki itu kemudian berkata, “Wahai Amirul Mukminin, aku datang untuk mengadukan perangai buruk isteriku yang cerewet dan sering memarahiku. Tapi aku mendengar hal yang sama berlaku kepada isterimu,” kata lelaki itu.

Saidina Umar bin Khattab kemudiannya tersenyum. Saidina Umar bin Khattab menceritakan kepada lelaki itu mengapa dia begitu sabar menghadapi isterinya. “Wahai saudaraku, aku tetap sabar menghadapi perbuatannya kerana itu memang kewajipanku.”

4 ALASAN SAIDINA UMAR BIN KHATTAB

Daripada mengherdik isterinya, Saidina Umar bin Khattab menceritakan betapa besar jasa isterinya dalam kehidupannya di dunia. Malah ada empat alasan kenapa Saidina Umar bin Khattab bersabar dan lembut terhadap isterinya. “Bagaimana aku boleh marah kepada isteriku kerana pertama dialah yang masak makananku, kedua dialah yang mengadun dan memasak rotiku, ketiga dialah yang mencuci bajuku dan keempat dialah yang menyusui anak-anakku, padahal semua itu bukanlah kewajipannya,” jawab Saidina Umar bin Khattab.

Saidina Umar bin Khattab kemudian menasihati lelaki itu untuk bersikap sabar kepada isterinya kerana isterinyalah yang akan membuat dia tenteram di sampingnya. “Kerana isteriku, aku merasa tenteram (untuk tidak berbuat dosa). Maka, aku harus mampu menahan diri dengan perangainya.”

“Wahai Amirul Mukminin, isteriku juga demikian,” kata lelaki itu. Amirul Mukminin pun menjawab, “Maka, hendaknya engkau mampu menahan diri kerana yakinlah hal tersebut hanya sebentar saja,” kata Amirul Mukminin.

Itulah Saidina Umar bin Khattab seorang khalifah yang memiliki budi pekerti yang tinggi dalam menghormati isterinya. Kisah ini boleh kita ambil pengajaran dalam menangani sikap amarah.

IKLAN