Bila kita bercakap tentang hak wanita dalam pemilikan harta, biasanya ia hanya tertumpu kepada pemilikan nafkah, pusaka, mut`ah, mahar, harta hibah, hadiah dan sepencarian dalam ruang lingkup yang terbatas.

Dalam perkembangan kehidupan sekarang ini yang jauh berbeza dari kehidupan zaman lampau, mahu tidak mahu, masyarakat akan bersua dengan kelompok-kelompok harta baru atau semasa, antaranya Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), harta ganjaran/pampasan, cukai pendapatan, hak dalam akaun bersama, harta sepencarian, wang pencen/ganjaran, insurans nyawa atau sekarang disebut harta takaful dan rumah kediaman.

Dalam beberapa kelompok harta semasa ini secara tidak disedari, kaum wanita mempunyai hak walaupun pada kadar yang berbeza dalam tiap satunya. Persoalan yang timbul sejauhmanakah hak mereka di dalam harta-harta yang kita sebutkan itu. Jika harta sepencarian, sudah ada peruntukannya di dalam Undang-undang Keluarga Islam Negeri-negeri dan mempunyai kaedah penyelesaiannya, biarpun kadangkala mungkin ada perbezaannya di antara sebuah negeri dengan yang lain tentang kaedah pembahagiannya, namun kedudukan harta-harta lain kurang diperhalusi dan dibincangkan dengan jelas oleh mana-mana institusi. Kedudukan ini memerlukan kepada satu peruntukan jelas di dalam Undang-undang Kelaurga Islam jika kita ingin hak-hak pemilikan harta wanita ini terbela.

Wang KWSP misalnya, seorang pencarum pada kebiasaannya akan menamakan seorang penama dalam borang pencarumannya. Penama bukanlah mereka yang berhak terhadap harta itu apabila pencarumnya meninggal dunia. Menurut fatwa negeri Kelantan (Kumpulan Fatwa Majlis Kebangsaan Malaysia, 5 Julai 1973) penama tidak lebih dari seorang pemegang amanah atau wasi kepada harta pencaruman si mati. Dia bertanggungjawab mengurus harta caruman itu untuk difaraidkan kepada ahli waris si pencarum yang berhak. Seorang suami yang meninggal dunia tanpa meninggalkan anak, maka isterinya berhak mendapat sebanyak 1/4 daripada wang carumannya, tetapi jika dia mempunyai anak, maka isterinya akan mendapat 1/8 dari jumlah caruman itu. Begitu juga jika si suami mempunyai lebih dari seorang isteri, maka peruntukan 1/8 itu akan dibahagikan sama rata di antara isteri-isterinya.

Wang Pencen seorang suami yang meninggal dunia, menurut Akta Pencen 1980, akan diberikan kepada isteri dan anak-anaknya secara saraan bulanan dan akan berkurangan sebanyak 70 perarus jika sudah melebihi 12 tahun dari tarikh kematian. Saraan untuk anak akan berterusan sehingga mereka mencapai umur 21 tahun atau sehingga mereka berkahwin atau (jika seorang pelajar) sehingga tamat pengajian ijazah pertama. Hak seorang isteri akan berterusan sekalipun dia berkahwin lagi selepas itu.

Wang Ganjaran Kerja adalah milik suami semasa hayatnya dan ia tetap akan menjadi pusaka kepada ahli warisnya jika dia meninggal dunia kerana wang itu adalah sesuatu yang sudah tetap perkiraannya di dalam perjanjian kerjanya. Justeru, ia wajib difaraid kepada ahli warisnya. Isterinya akan mendapat 1/4 daripada wang tersebut jika dia tidak mempunyai anak, tetapi dia hanya berhak mendapat 1/8 sahaja jika dia mempunyai anak. Jika si suami mempunyai ibu, maka ibunya juga berhak mendapat habuannya.

IKLAN

Berkaitan dengan Cukai Pendapatan, seorang isteri yang diceraikan suami atau bercerai kerana kematian, berhak mendapat pelepasan pada kadar tertentu dalam pembayaran Cukai Pendapatannya yang berkaitan dengan tanggungannya. Apa yang perlu dilakukannya, sebagai tindakan awal, ialah memohon taksiran cukai pendapatan secara berasingan jika sebelumnya dia membuat taksiran bersama dengan suaminya, mengemukakan bukti perceraian atau sijil kematian yang sah kepada Bahagian Cukai Pendapatan serta menjelaskan purata perbelanjaan setiap orang anak bagi tahun taksiran berkenaan. Pelepasan untuk anak yang tidak belajar hanya kepada had umur 16 tahun, manakala anak yang sedang belajar akan diberi pelepasan sehingga dia menamatkan pengajiannya dan kadar pelepasan itu akan berbeza berdasarkan kepada tingkatan pengajiannya.

Akaun Bersama merupakan perkara biasa pada masa ini di kalangan pasangan suami isteri atas persetujuan masing-masing. Keadaan ini menyebabkan hak atau bahagian masing-masing tidak dapat dikenalpasti. Dengan itu ia dianggap sebagai harta musya` dan pembahagiannya mengikut cara pembahagian harta musya`, iaitu diselesaikan menerusi sulh atau sumpah jika berlaku perselisihan. Tetapi jika kedua-dua belah pihak telah bersetuju supaya wang simpanan itu dibahagi dua atau terdapat apa-apa persetujuan lain, maka pembahagiannya mestilah didasarkan kepada persetujuan tersebut.

Menurut ketetapan mahkamah, apabila salah seorang di antara mereka meninggal dunia, maka pihak yang hidup berhak mendapat kesemua baki simpanan yang ada melalui kaedah jus accrescendi. Kedudukan ini tidak selaras dengan kehendak syara`. Dengan itu, harus ada satu kaedah yang sesuai dibincangkan, sama ada merujuk kepada catitan simpanan masing-masing atau ia dibahagi dua, sama banyak, satu bahagian untuk pasangan yang masih hidup dan satu bahagian lagi akan menjadi harta pusaka yang difaraidkan di antara ahli waris.

Insurans Nyawa, Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Agama Islam Malaysia telah mengeluarkan fatwa bahawa insurans nyawa adalah haram. Walaupun begitu masyarakat Islam pada masa ini sudah mempunyai pilihannya menerusi Sistem Takaful yang tidak bercanggah dengan hukum syara’. Apabila berlaku kematian, ahli waris si mati boleh mengambil balik wang bayaran si mati kepada syarikat insurans pada kadar simpanannya sahaja. Fatwa Mesir mengatakan harus di sisi syara` kerana wang tersebut merupakan wang yang telah dibayar oleh pemegang polisi dan ia adalah hartanya. Tetapi wang faedah insurans, masih dipertikaikan tentang halal haramnya kerana sebahagiannya dihasilkan menerusi pelaburan yang tidak dibenarkan syara`.

IKLAN

Masalah penama, menurut fatwa negeri Kelantan bahawa penama hanyalah pemegang amanah. Jumlah wang premium yang dibayar si mati hendaklah dijadikan pusaka yang difaridkan. Manakala wang selebihnya, bolehlah diberikan kepada penama. Fatwa ini disetujui oleh fatwa Negeri Sembilan.

Kedua-dua fatwa tersebut telah memberi peruntukan kepada isteri sebagai ahli waris suaminya yang mempunyai hak terhadap wang premium/simpanan suaminya dalam sesebuah syarikat insuransnya.

Rumah Kediaman. Rumah kediaman adalah tempat yang didiami bersama oleh kedua-dua pasangan suami isteri semasa berkahwin. Kedudukannya dapat dilihat daripada dari dua keadaan, pertama rumah sewaan, ini tidak berbangkit apa-apa masalah jika berlaku kematian. Keduanya rumah yang di diami oleh kedua-dua mereka; ia bergantung kepada siapa pemilik sebenar rumah itu. Jika ia milik suami sepenuhnya kerana dia yang membayar harganya atau pinjaman pembayaranya, atau ia rumah adalah pusakanya atau hadiah yang diterimanya, dengan erti tiada sumbangan daripada isterinya sama sekali, maka rumah itu adalah miliknya. Apabila dia meninggal dunia, ia menjadi pusaka. Jika ia milik isteri, begitulah juga kedudukannya akan menjadi milik sepenuh kepada isterinya yang wajib difaraidkan apabila dia meninggal dunia.

IKLAN

Jika suami menghibahkan rumah miliknya itu kepada isterinya, maka rumah itu akan menjadi milik isteri sepenuhnya. Apabila isterinya meninggal dunia, maka ia akan menjadi harta pusaka yang difaraidkan.

Tetapi jika rumah itu dibeli dengan pinjaman bersama atau hasil daripada wang simpanan bersama, sekiranya bahagian masing-masing boleh dikenalpasti, jika berlaku sebarang tuntutan, maka hendaklah dibahagikan mengikut kadar bahagian masing-masing. Jika bahagian masing-masing tidak dapat dikenalpasti, maka ia hendaklah dibahagikan berdasarkan kepada pembahgian harta musya`.

Harta-harta semasa ini perlu diberi perhatian yang serius oleh pihak isteri kerana itu adalah hak mereka yang mesti dituntut dan pihak pentadbiran Mahkamah Syariah juga perlu memberikan perhatian yang saksama apabila kes-kes seperti ini dibawa ke hadapan mereka. Allah s.w.t. menegaskan bahawa setiap orang sama ada lelaki atau perempuan mempunyai bahagian masing-masing dalam usaha yang mereka lakukannya (maksud ayat 32, surah al-Nisa’) dan Rasulullah s.a.w. pula telah berpesan; hendaklah setiap orang diberikan haknya yang sebenar (al-Hadis).

SUMBER :http://www.ikim.gov.my/
OLEH :Dr Mohd Saad bin Abdul Rahman

GAMBAR HIASAN :TANGKAP PICTURES