Pengutusan Nabi Muhammad SAW sebagai Rasul terakhir membawa rahmat kepada seluruh alam.
Di antara rahmat yang didatangkan melalui syariat yang dibawa oleh baginda SAW ialah mengangkat darjat dan martabat wanita kepada satu kedudukan yang tinggi dan mulia di sisi Islam.
Islam telah menetapkan hak-hak wanita dengan sempurna tanpa pengurangan sedikit pun. Al-Quran sendiri ada menjelaskan bahawa wanita merupakan salah satu unsur yang turut bergiat seiring kaum lelaki membangunkan masyarakat, menjaga keutuhan dan kesejahteraan ummah.
Wanita dan lelaki adalah sama dari segi kemanusiaannya di mana kedua-duanya mempunyai hak dan kewajipan yang sama dalam melaksanakan tugas dan amanah Ad-Deen ini.
Islam telah mengancam keras perbuatan menguburkan anak perempuan hidup-hidup seperti yang dilakukan oleh orang Arab di zaman jahiliyah dahulu.
Kehadiran anak perempuan harus disambut dengan penuh kegembiraan dan rasa syukur seperti menyambut anak lelaki.
Malahan ibu bapa bertanggungjawab mengasuh, menjaga dan mendidiknya dan menyempurnakan haknya sama seperti Islam juga memuliakan wanita sebagai isteri.
IKLAN
Melalui kalam Baginda SAW sendiri ada menyatakan bahawa kesenangan dunia yang paling baik ialah isteri yang solehah yang mana apabila si suami memandangnya, terbit rasa gembira, dan jika si suami berjauhan darinya dia akan menjaga nama baik suaminya itu.
Apatah lagi Islam secara jelas telah mengangkat darjat dan kemuliaan kedudukan wanita sebagai seorang ibu melalui kalamullah ayat ke-15 surah Al-Ahqaf yang bermaksud:
”Dan Kami perintahkan kepada manusia supaya berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapanya, ibunya mengh4milkan dia dengan susah payah dan mel4hirkannya dengan susah payah”.
Wanita perlu mendapat pendidikan yang akan menjadikannya seorang muslimah yang sejati, berilmu pengetahuan dan terlatih dengan kemahiran-kemahiran sebagai seorang wanita.
IKLAN
Pendidikan yang baik akan menjadikan wanita Islam berperanan sebagai tenaga pembantu yang penting di dalam membangunkan ummah bersama-sama kaum lelaki.
Begitu juga dari sudut institusi kekeluargaan, Islam telah menetapkan asas-asas institusi keluarga yang menjamin kepentingan wanita. Umpamanya wanita yang belum dewasa dilindungi di bawah penjagaan walinya.
Wanita juga mempunyai hak menetapkan mahar, hak ke atas mahar yang telah diberikan oleh suaminya dan hak untuk mendapat nafkah daripada suaminya setelah termetrinya aqad nikah.
IKLAN
Selain itu Islam mengatur undang-undang rumah tangga di mana hak suami dan isteri telah ditetapkan secara jelas. Garis panduan dan hak ketika berlaku polig4mi, talaq atau pencer4ian untuk kaum wanita juga ada ditetapkan di dalam Islam.
Islam juga mengiktiraf hak wanita untuk mewarisi harta dalam apa jua bentuk sekalipun. Wanita boleh mewarisi harta daripada bapa, suami, anak-anak dan kaum kerabat.
Malahan wanita juga diizinkan syara’ untuk melaburkan hartanya menurut apa-apa cara yang difikirkan paling baik.
Dalam hal ini wanita bebas dan tidak terikat dengan sesiapa dalam urusan pentadbiran hak miliknya.
Justeru, wanita muslimah haruslah memahami dan menginsafi betapa tinggi dan mulianya darjat dan maruah wanita di sisi Islam.
Seterusnya menzahirkan rasa syukur atas nikmat ini dengan melonjakkan diri untuk terus merasa izzah dan mencipta sesuatu yang hebat demi ummah dan Islam ini sendiri.
Dah dapat balik kampung, seronoklah berkumpul adik-beradik. Kalau dulu, tak kisah pun tidur ramai-ramai tapi bila dah dewasa dan masing-masing dah berkahwin… adab dan aurat kena jadi perkara penting.
Kalau ada adik-beradik, anak saudara sudah berumahtangga dan sesekali berkumpul ramai di kampung check in homestay atau motel murah, berusahalah tidak kecam dan perli-perli.
Benar. Rumah itu dahulunya membesar bersama-sama dari bayi sehingga dewasa, tapi bila sudah berumahtangga ada pasangan tambahan pula kalau ibu menyusu sangat perlu ruang privasi untuk berehat dan menyusu anak.
Apalagi kalau anak-anak kecil yang ramai, terkadang nak selak pakaian duduk mengadap dinding usaha nak tutup aurat masa menyusu tapi baby pula memusing kuak lentang kuak rama-rama.
Ada yang meragam menangis beriya nak suruh ibu baring untuk selesa.
Benar. Rumah itu dahulunya boleh sahaja bersesak adik beradik yang ramai, bila sudah berumahtangga ada ipar duai agak susah nak jaga aurat terutama lepas keluar tandas, takkan nak berkemban tuala pula lagi-lagi kalau dah ada anak dara.
Sepupu sepapat ramai, ada sudah bujang ada sudah anak dara tak boleh lagi nak bertepuk tampar sayang macam kecil main kahwin pondok-pondok belakang rumah nenek sambil cari biji getah buat main congkak dan kutip cendawan di pokok getah selepas hujan berhenti. Ada ikhtilat yang perlu dijaga.
Kalau 20 tahun dahulu, kita rasa meriahnya rumah datuk nenek boleh tidur ramai-ramai di beranda atau ruang tamu, hari ini kita dengar banyaknya kisah anak-anak gadis yang pernah kena gangguan seksual oleh ahli keluarga sendiri.
Tengah malam tidur separa mati sebab penat lari siang hari, tak sedar selimut terselak nampak aurat lalu pula pakcik lepas balik dari lepak di kedai kopi. Gegar juga iman walau anak saudara sendiri.
Tidur lambak di ruang tamu terutama anak dara atau ibu dara sendiri is a big no. Susah nak pelihara aurat. Dah penat seharian di dapur, tidur tak sedar aurat dah buka. Takkan nak bertudung sentiasa tambah pula musim panas kan.
Kadang ada yang ‘segan’ nak balik rumah mertua kerana susah nak jaga aurat.
Benar. Bukan selalu nak berkumpul ramai-ramai. Boleh saja sepanjang siang malam berkumpul di rumah ayah bonda nanti nak tidur menginap di homestay atau motel murah, bukan kerana berlagak tak mahu berpanas bertudung sekali sekala tetapi aurat juga sangat perlu dijaga.
Kalau tidak, masakan kita dengar datuk membaham cucu.
Bapa saudara seks grooming anak saudara.
Sepupu sama sepupu terlanjur.
Mungkin 20 tahun lalu kita anggap tak mengapa, lalu hari ini kita terpaksa mengubati mangsa-mangsa yang melalui ujian emosi untuk merawat mental mereka yang trauma.
Jangan ulangi kelam kisah pada masa hadapan.
Anak dara atau bujang teruna, masing-masing perlu dipisahkan. Ibu ayah ambil cakna, kerana kita mahu sekeluarga masuk Syurga.
Ummu Amir,
Bercakap yang baik atau diam.
Bila bercakap soal adab dan aurat ni memang tak ada kompromi. Suami pun kena peka bab ini dan hanya fikirkan soal bonding keluarga. Tak salah pun tinggal di homestay atau hotel. Jadikan itu tempat untuk berehat dan tidur. Banyak lagi masa boleh diperuntukkan untuk bersama-sama keluarga di bawah bumbung sama.
Setiap rumah tangga ada pasang dan surutnya. Tidak selamanya kita akan berasa bahagia. Adakalanya, pasti akan ada badai yang datang melanda rumah tangga anda.
Bila anda sedang susah hati, pasti anda mahu meluahkan isi hati kepada orang terdekat untuk mengurangkan beban yang ada di dalam diri anda.
Namun, bolehkah permasalahan rumah tangga diceritakan kepada orang lain? Contohnya menceritakan kepada rakan baik dengan tujuan untuk meminta pandangannya.
Sumber: Google
Tidak seharusnya setiap permasalahan dalam rumah tangga diceritakan kepada orang lain termasuklah kepada keluarga sendiri atau mertua atau kepada rakan baik sekalipun. Hal ini ditakuti akan membuka aib sendiri yang sepatutnya ditutup.
TETAPI ADA KETIKANYA, IA BOLEH DICERITAKAN DENGAN TUJUAN TERTENTU IAITU SEKIRANYA:
i. Menjaga keaiban kedua-dua pihak (suami atau isteri) dengan tidak menceritakan secara terperinci serta berlebihan hal rumah tangga.
ii. Diceritakan hanya kepada orang yang boleh dipercayai dan amanah supaya keaiban dan permasalahan kita tidak dicanangkannya kepada orang lain.
iii. Seboleh-bolehnya diselesaikan sendiri bersama-sama tanpa melibatkan orang luar termasuklah ahli keluarga walaupun mereka dekat dengan kita.
Dalam rumah tangga pastinya akan ada salah faham atau pergaduhan yang kecil berlaku. Biasalah, dah nama pun suami isteri. Janganlah kita sangka semuanya sempurna dalam hubungan itu.
Baik isteri mahupun suami, kalau ada perselisihan faham janganlah biarkan ia tergantung begitu lama. Banyak juga kes yang kita dengar sampai ada yang minta cerai kerana tidak menghiraukan pasangan. Adakah ini boleh? Dengar penjelasan Mufti ini.
SOALAN:
Assalamualaikum, apa hukum suami selalu merajuk, bersikap dingin dan tidak menghiraukan isteri? Suami juga sering menyakiti hati isteri dengan kata kata nya. Berhakkah isteri menuntut cerai kerana ditakuti dharar dari segi aqal di kemudian hari? Terima kasih.
JAWAPAN:
Waalaikumussalam wbt,
Pada asalnya tidak boleh bagi seseorang wanita menuntut cerai sewenangnya daripada suaminya kerana itu ialah akhlak yang buruk. Daripada Thauban RA, bahawa
Maksudnya: Mana-mana wanita yang meminta talak daripada suaminya tanpa alasan makan haram baginya bau syurga.
Hadis riwayat Imam al-Tirmizi (1187) dalam Sunan dan beliau menghasankannya.
Melihat kepada situasi di atas, hal demikian masih boleh dibincangkan bersama dengan kesabaran dan hikmah bijaksana. Tidak sepatutnya cerai terus dijadikan sarana untuk menyelesaikan masalah. Ini kerana Iblis bersukacita dengan kejayaan tentera-tenteranya yang berjaya menceraikan suami isteri. Daripada Jabir RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: Sesugguhnya Iblis meletakkan singgahsananya di atas air lalu menyeru sekalian tenteranya. Maka di bawahnya ialah tentera yang paling besar pengaruh fitnahnya. Datang seorang daripada mereka mengadap Iblis, seraya berkata: “Aku telah berbuat sekian sekian.” Iblis menjawab: “Kamu tak buat apa pun.” Kemudian datang seorang lagi tenteranya lalu berkata: “Aku tidak akan tinggalkan dia (mangsaku) sehingga aku berjaya memisahkan antara dia dan isterinya. Iblis membalas: “Kamu hebat!”.
Hadis riwayat Imam Muslim (2813)
Justeru, gunalah sarana yang lebih baik seperti bersemuka, atau menggunakan wakil atau hakam daripada kalangan keluarga atau orang yang dipercayai menjadi orang tengah. Baik juga jika dirujuk terlebih dahulu kepada Jabatan Agama Islam di negeri masing-masing untuk khidmat nasihat dan kaunseling.
Adapun dalam keadaan yang tidak boleh dieelakkan, boleh bagi wanita itu meminta cerai jika berlaku dharar seperti:
Kegagalan suami untuk menyediakan hak isteri seperti nafkah, pergaulan yang baik, dan tempat tinggal yang stabil. Isteri yang tidak diberikan hak yang disebutkan itu boleh memilih sama ada bersabar atau memohon perpisahan. Rujuk al-Mughni oleh Ibn Qudamah (8/204).
Suami itu menghina isterinya dengan memukulnya tanpa sebab yang sah, melaknatnya dan memaki hamunnya dengan bahasa kesat. Ini termasuklah memboikotnya tanpa alasan syarak, memukulnya, dan memaki seperti mengatakan “engkau anak anjing”, “engkau anak laknat”, “engkau anak kafir” dan sebagainya. Rujuk Hasyiah al-Dusuki ‘ala al-Syarh al-Kabir (2/345)
Suami suka bermusafir lama seperti 6 bulan dan isteri itu takut dirinya tidak dapat mengawal fitnah, yakni keperluan syahwatnya. Imam Ahmad pernah ditanya berapa lama seorang suami boleh meninggalkan isterinya kerana musafir? Jawabnya: 6 bulan.
Rujuk al-Mughni oleh Ibn Qudamah (7/305)
Suami itu dipenjara dalam suatu tempoh masa yang lama dan isteri itu menderita kerana darar akibat perkara itu dan menuntut cerai. Pendapat Malikiyyah menunjukkan menuntut cerai itu dibolehkan kerana dianggap hilang tanpa uzur selama setahun. Rujuk Mausu’ah al-Kuwaitiyyah (29/67).
Suami berpenyakit mandul, tiada daya seksual, atau sakit berbahaya dan seumpama dengannya.
Suami berperangai fasiq lagi buruk dengan dosa-dosa besar seperti melakukan perkara syirik, tidak solat dan berpuasa dan isteri telah bersabar lama setelah menasihatinya. Syeikh Ibn Uthaimin pernah ditanya tentang isteri yang meminta cerai dari suami yang penagih dadah kerana takut pengaruh buruknya kepada keluarga. Syeikh menjawab menuntut cerai itu dibolehkan.
Timbul kebencian melampau dalam hati isteri walaupun tidak diketahui puncanya. Berkara Syeikh Jibrin: “Keadaan seperti ini sunat bagi suami itu menceraikannya jika dia melihat daripada keadaan isteri itu kegagalan menahan diri, bersabar yang mana membawa kepada cerai khulu’ kerana permintaan cerai itu berpunca daripada kegelisahan dalam hatinya dan tiada dosa atas demikian itu.”
Si suami menghalang isterinya daripada berjumpa keluarganya khususnya ibu bapanya.
Selain itu penanya juga boleh merujuk Seksyen 52 Perintah untuk membubarkan perkahwinan atau untuk fasakh dalam Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 Akta 303:
(1) Seseorang perempuan yang berkahwin mengikut Hukum Syarak adalah berhak mendapat suatu perintah untuk membubarkan perkahwinan atau untuk fasakh atas satu atau lebih daripada alasan yang berikut, iaitu—
(a) bahawa tempat di mana beradanya suami telah tidak diketahui selama tempoh lebih daripada satu tahun;
(b) bahawa suami telah cuai atau telah tidak mengadakan peruntukan bagi nafkahnya selama tempoh tiga bulan;
(c) bahawa suami telah dihukum penjara selama tempoh tiga tahun atau lebih;
(d) bahawa suami telah tidak menunaikan, tanpa sebab yang munasabah, kewajipan perkahwinannya (nafkah batin) selama tempoh satu tahun;
(e) bahawa suami telah mati pucuk pada masa perkahwinan dan masih lagi sedemikian dan isteri tidak tahu pada masa perkahwinan bahawa suami telah mati pucuk;
(f) bahawa suami telah gila selama tempoh dua tahun atau sedang mengidap penyakit kusta atau vitiligo atau sedang mengidap penyakit kelamin dalam keadaan boleh berjangkit;
(g) bahawa isteri, setelah dikahwinkan oleh wali mujbirnya sebelum dia mencapai umur baligh, menolak perkahwinan itu sebelum mencapai umur lapan belas tahun, dan dia belum disetubuhi oleh suaminya itu;
(h) bahawa suami menganiayainya, iaitu, antara lain—
(i) lazim menyakiti atau menjadikan kehidupannya menderita disebabkan oleh kelakuan aniaya; atau
(ii) berkawan dengan perempuan jahat atau hidup berperangai keji mengikut pandangan Hukum Syarak; atau
(iii) cuba memaksa isteri hidup secara lucah; atau
(iv) melupuskan harta isteri atau melarang isteri itu daripada menggunakan haknya di sisi undang-undang terhadap harta itu; atau
(v) menghalang isteri daripada menunaikan atau menjalankan kewajipan atau amalan agamanya; atau
(vi) jika dia mempunyai isteri lebih daripada seorang, dia tidak melayani isteri yang berkenaan secara adil mengikut kehendak Hukum Syarak;
(i) bahawa walau pun empat bulan berlalu tetapi isteri masih belum disetubuhi oleh kerana suami bersengaja enggan menyetubuhinya;
(j) bahawa isteri tidak memberi keizinan akan perkahwinan itu atau keizinannya tidak sah, sama ada oleh sebab paksaan, kesilapan, ketidaksempurnaan akal, atau hal keadaan lain yang diakui oleh Hukum Syarak;
(k) bahawa pada masa perkahwinan itu isteri, sungguhpun berkebolehan memberi keizinan yang sah, adalah seorang yang kecelaruan mental, sama ada berterusan atau berselangan, dalam erti Ordinan Sakit Otak 1952 [Ord. 31 tahun 1952] bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, atau Ordinan Lunatik bagi Wilayah Persekutuan Labuan [Sabah Bab 74] dan kecelaruan mentalnya adalah daripada suatu jenis atau setakat yang menjadikannya tidak layak untuk berkahwin;
(l) apa-apa alasan lain yang diiktiraf sebagai sah bagi membubarkan perkahwinan atau bagi fasakh di bawah Hukum Syarak.
Semoga masalah yang dihadapi diselesaikan dengan baik.
Ini nasihat buat bakal pengantin, untuk membina bahagia itu tidak mudah dan manis seperti dalam dram Tv. Ada masa pasti akan diuji dengan pelbagai dugaan yang kadang tak pernah terfikir dek akal.