Zaman kian pantas bergerak. Jika lambat, anda akan ketinggalan. Biarpun kehidupan anda sebagai wanita hanya lebih memfokuskan kepada urusan keluarga dan hal di rumah sahaja, usah biarkan semua ini menjadi penghalang untuk menjana pendapatan sendiri. Kewujudan pelbagai medium dan laman sosial yang menjual bermacam-macam produk dagangan hari ini turut membolehkan anda bergelar ‘usahawan dari rumah’.
Tidak sekadar untuk kepuasan diri, ia juga penting untuk menempuh kesulitan yang tidak dijangka. Ini antara sebab kenapa anda harus mencari duit sendiri mulai sekarang!
Tabung Kecemasan
Meskipun anda seorang suri rumah, amat penting untuk menyediakan tabung kecemasan ini. Bukan hanya sebagai persiapan menghadapi situasi yang tidak diingini bahkan ia juga penting sekiranya anda memerlukan wang untuk membeli barang keperluan anak-anak ketika suami bekerja outstation. Lebih-lebih lagi bila duduk berjauhan daripada keluarga. Setidak-tidaknya inisiatif anda bukan hanya mengurangkan kebergantungan kepada suami dan keluarga malah membuktikan anda seorang wanita yang bijak serta mampu berdikari.
Simpanan Kewangan Anak-Anak
Jangan jadikan diri anda yang tidak bekerja atau hanya sebagai suri rumah sebagai alasan untuk tidak menyimpan duit untuk si manja. Dengan teknologi dan dunia tanpa sempadan hari ini, anda pun boleh meraih pendapatan sendiri hanya dari rumah. Duit keuntungan yang diterima boleh dibahagikan untuk tabung kecemasan dan simpanan anak-anak terutamanya bagi membiayai pendidikan dan kesihatan mereka.
Penyelamat Suami
Ia bukanlah satu kewajipan kepada para isteri namun tidak salah untuk membantu menyelesaikan masalah kewangan suami jika anda berkemampuan. Alam rumah tangga memerlukan sikap tolak ansur dan saling memahami di antara suami serta isteri. Misalnya, jika anda menginginkan kereta yang lebih selesa bantu mereka membayar deposit atau sebagainya.
Duit Perbelanjaan Ibu Bapa
Adalah baik jika anda dapat memberi duit bulanan kepada ibu bapa tanpa menggunakan duit suami. Pastikan anda beri mengikut kemampuan diri dan paling utama jangan sampai tidak memberi langsung. Walaupun mereka tidak meminta, tapi sebagai anak pastinya anda juga berkeinginan untuk membalas jasa ibu dan bapa bukan?
Sedekah
Apabila sudah ada duit dan pendapatan sendiri, bila-bila masa pun boleh bersedekah tanpa tunggu nafkah daripada suami. Lagi pula jika beri dengan duit sendiri, anda akan rasa lebih puas. Sambil bersedekah titipkan doa dalam hati agar anda sekeluarga dimurahkan rezeki .
Hargai Diri Sendiri
Sebagai wanita, keinginan untuk membeli bermacam-macam benda tidak akan pernah habis. Apabila ada wang sendiri, anda bebas untuk membeli apa saja. Mahu ke pusat kecantikan, beli pakaian kegemaran atau beg tangan berjenama? Semuanya boleh anda miliki. Namun ingat, supaya tidak boros dan akhirnya terpaksa meminta duit lagi daripada suami. Berpada-padalah untuk ‘menghargai’ diri sendiri.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI