Gaya Hidup

21 Hari Menuju Pernikahan, Bella Astillah & Syed Saddiq Tampil Sedondon Dalam Busana Tradisi

Share

Tinggal 21 hari sahaja lagi sebelum Bella Astillah dan Yang Berhormat Syed Saddiq melangkah ke fasa baharu dalam kehidupan apabila mereka dijadualkan disatukan sebagai suami isteri pada 10 Oktober 2026.

Menjelang hari bahagia itu, Bella mencuri perhatian menerusi perkongsian terbaharu di Instagram apabila tampil sedondon bersama tunangnya dalam sebuah penggambaran bertemakan tradisional.

Malah, Bella turut menitipkan kapsyen ringkas, “Okay, this is actually happening,” seakan memberi isyarat bahawa perjalanan menuju hari bahagia mereka kini memasuki fasa terakhir.

Mengangkat rona putih yang cukup sinonim dengan majlis pernikahan, Bella kelihatan anggun mengenakan kebaya labuh berperincian renda halus yang dipadankan bersama kain batik.

Gaya klasik itu disempurnakan dengan tata rambut kemas serta solekan lembut yang menyerlahkan sisi elegan bakal pengantin.

Syed Saddiq pula tampil segak mengenakan baju Melayu cekak musang rona putih lengkap bersampin. Keserasian gaya kedua-duanya sekali gus menyerlahkan pesona tradisi Melayu dalam penampilan yang ringkas tetapi cukup memikat.

Perkongsian berkenaan nyata menarik perhatian ramai. Ketika artikel ini ditulis, video berkenaan telah menerima lebih 79,000 tanda suka serta hampir 2,000 komen.

Rata-rata pengikut memuji penampilan Bella dan Syed Saddiq selain menitipkan ucapan serta doa agar segala urusan pasangan itu menuju hari bahagia dipermudahkan.

BACA JUGA: Potret Berdua Hiasi Kad Kahwin, Syed Saddiq Dan Bella Astillah Serah Undangan Kepada Tetamu Istimewa

Kini, hanya tinggal beberapa minggu sahaja lagi sebelum tarikh 10 Oktober tiba. Tentunya ramai yang semakin tidak sabar untuk melihat penampilan sebenar pasangan ini pada hari pernikahan nanti.

Untuk rekod, Bella dan Syed Saddiq mengikat tali pertunangan pada 28 Mac 2026 dalam sebuah majlis sederhana yang berlangsung di Bamboo Hills, Hulu Kelang.

Pasangan itu kemudiannya mengumumkan bakal melangsungkan pernikahan pada 10 Oktober 2026, dengan majlis akad nikah dijadual berlangsung di Aras 118, Menara Merdeka Maybank, Kuala Lumpur. Majlis tersebut difahamkan bakal mengangkat konsep serba putih dengan elemen Arab dan Islamik.

Selain majlis pernikahan, pasangan ini turut merancang beberapa majlis persandingan di Kuala Lumpur, Muar dan Sabah sepanjang Oktober.

Published by
Reporter Pesona Pengantin