
Debaran menuju hari bahagia semakin dirasai apabila Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Bella Astillah mula menyerahkan kad jemputan perkahwinan mereka kepada beberapa tetamu istimewa.
Pasangan yang bakal disatukan sebagai suami isteri pada 10 Oktober 2026 itu memilih untuk menyampaikan sendiri undangan berkenaan kepada individu yang cukup dihormati, termasuk tokoh politik dari Malaysia dan Singapura.
Antara penerima terawal yang dikongsikan kepada umum ialah bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan isterinya, Tun Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali.
Menerusi perkongsiannya di media sosial, Syed Saddiq menyifatkan pasangan berkenaan sebagai tetamu istimewa paling senior dalam senarai jemputan, namun masih menjadi “pasangan paling muda di hati”.

Selain menyerahkan kad undangan, Ahli Parlimen Muar itu turut mengambil kesempatan meminta petua dan nasihat daripada Tun Dr. Mahathir serta Tun Dr. Siti Hasmah yang telah melayari kehidupan berumah tangga selama tujuh dekad.
“Nak masuk alam perkahwinan, mestilah kena minta petua daripada pasangan paling berpengalaman di Malaysia,” katanya.
Tidak hanya melibatkan tokoh dalam negara, Menteri Kesihatan Singapura, Ong Ye Kung turut menjadi antara tetamu kenamaan yang menerima kad jemputan perkahwinan pasangan tersebut.
Dalam hantaran di media sosialnya, Ong menyifatkan undangan berkenaan sebagai satu sebab yang baik untuk beliau kembali mengunjungi Malaysia. Jemputan itu turut mencerminkan hubungan baik yang terjalin antara Syed Saddiq dengan pemimpin negara jiran berkenaan.

Syed Saddiq dan Bella turut meluangkan masa hampir dua jam bersama isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, ketika menyerahkan kad jemputan kepada beliau.
Pertemuan tersebut bukan sekadar kunjungan biasa, sebaliknya menjadi peluang buat pasangan itu mendapatkan nasihat mengenai pengorbanan, kesetiaan serta cabaran dalam membina kehidupan berkeluarga.
Menurut Syed Saddiq, pengalaman Dr. Wan Azizah mengharungi dunia politik, di samping menggalas tanggungjawab sebagai isteri dan ibu menjadikan beliau antara individu paling sesuai untuk dijadikan rujukan.
“Kali ini datang bukan untuk mesyuarat Kabinet, tetapi saya dan Bella datang bawa kad kahwin,” ujarnya. Selain itu, beliau turut menyifatkan Dr. Wan Azizah sebagai “Malaysia’s Compassionate Iron Lady” kerana keteguhan dan kesetiaannya bersama keluarga ketika berdepan pelbagai ujian.
Dalam pada itu, rekaan kad jemputan perkahwinan Syed Saddiq dan Bella turut mencuri perhatian. Kad berlatarkan rona putih tersebut dihiasi perincian kerawang mewah berwarna emas yang memberikan sentuhan klasik serta eksklusif.
Lebih istimewa, bahagian hadapan kad turut diserikan dengan potret Syed Saddiq dan Bella, sekali gus menjadikannya lebih peribadi serta dekat dengan identiti pasangan berkenaan. Pemilihan rona putih dan emas menampilkan gaya elegan tanpa kelihatan keterlaluan, sesuai dengan kemeriahan sebuah majlis yang cukup dinantikan ramai.
Syed Saddiq dan Bella dijadualkan melangsungkan akad nikah di aras 118, Menara Merdeka Maybank, Kuala Lumpur pada 10 Oktober ini. Pasangan tersebut mengikat tali pertunangan pada 28 Mac lalu selepas hubungan mereka yang bermula menerusi beberapa kerjasama profesional mendapat perhatian dan restu daripada peminat.
Semakin hampir tarikh yang dinantikan, perkongsian mengenai kad jemputan ini sekali lagi membangkitkan keterujaan orang ramai untuk menyaksikan penyatuan dua figura popular berkenaan.
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI.
Download
sekarang!

