
Islam tidak menghalang seseorang untuk merisik calon pilihannya. Bahkan ianya disarankan oleh agama Islam. Merisik juga adalah termasuk menyiasat tentang hal keperibadian bakal calon dan rupa fizikal calon.
1. Pilih Wakil Yang Sesuai
Jika anda tidak merisik secara ‘direct’ kepada calon pilihan, maka anda harus memilih wakil yang sesuai untuk menyatakan hasrat hati anda itu. Wakil yang sesuai ialah seperti ahli keluarga anda sendiri. Ibu bapa mahupun adik-beradik anda boleh menjadi wakil untuk merisik calon pilihan anda. Selain itu, wakil juga boleh dilantik di kalangan sahabat-sahabat yang anda ‘thiqah’ (percaya) dan boleh memegang amanah.
2. Menjaga Batas Dan Kelakuan
Selain itu juga, ketika dalam proses merisik anda perlu menjaga batas dan kelakuan. Mengajak keluar berdua-duaan atas nama merisik dan melakukan perbuatan yang tidak selari dengan Islam adalah dilarang. Islam memberi kebenaran untuk merisik namun tetap ada hadnya. Jika mahu bertanyakan soalan adalah lebih baik bertanyakan kepada ahli keluarganya dahulu atau sahabat-sahabat terdekat calon.
Jika terpaksa menanyakan secara ‘direct’ kepada calon, maka jagalah adab dan kelakuan. Elakkan bertanya soalan-soalan yang tidak perlu dan tidak penting.
3. Jangan Terlalu Berharap
Merisik merupakan proses yang anda tidak pasti sama ada calon pilihan anda itu akan menerima ataupun menolak risikan anda. Oleh sebab itu, jangan terlalu berharap. Jika terlalu berharap, anda akan kecewa apabila ditolak. Ia mungkin akan menjadi pengalaman pahit buat anda untuk merisik calon pilihan yang lain nanti. Ingat pepatah Melayu, ‘Bunga bukan sekuntum, kumbang bukan seekor’.
4. Menghormati Keputusan
Jika hasil risikan anda tidak berjaya dan ditolak, maka hormatilah keputusan yang dibuat oleh calon tersebut. Jangan memaksa orang untuk suka dan menerima kita. Mungkin ada sebab anda dan si dia tidak bersama. Terimalah keputusan tersebut dengan hati yang terbuka dan positif. Insya-Allah ada calon yang lebih baik menanti anda.
Sumber : Baitulmuslim
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Buka AURA WAJAH Tersembunyi Secara Semula Jadi! Bagaimana tu? Bakal Pengantin Boleh Amalkan Ni!

Setiap wanita memiliki aura positifnya yang tersendiri. Namun ada sesetengahnya yang tidak tahu bagaimana untuk menonjolkannya. Aura adalah tenaga yang tersimpan dalam diri seseorang yang dapat meningkatkan daya tarikan bagi yang melihatnya. Aura sangat berpengaruh terhadap kehidupan seseorang.
.
Untuk memiliki pancaran aura keseimbangan kecantikan luaran dan dalaman, bakal pengantin perlu tahu cara untuk membuka aura tersebut. Salah satunya ialah menghilangkan hal-hal negatif dan melakukan hal-hal positif. Dalam situasi sibuk dengan segala persiapan menjelang hari bahagia, pastinya perkara-perkara positif perlu ditanamkan dalam diri. Bagi anda yang kurang percaya diri, ini caranya untuk membuka aura wajah yang selama ini tersembunyi.
CUCI WAJAH SETIAP PAGI
Ketika bangun pagi biasakan untuk mencuci wajah anda dengan air suam sambil memberikan sedikit urutan lembut pada wajah. Pastikan anda melakukannya sebelum memulakan aktiviti pagi.
URUTAN LEMBUT
Tenangkan wajah dengan urutan menggunakan pembersih atau lembap yang sesuai dengan jenis kulit anda. Bilas dengan air suam menggunakan kain atau tuala bersih. Setelah dibersihkan tutup wajah menggunakan kain basah yang telah direndam dengan air suam. Biarkan lebih kurang lima minit. Ulangi 3-5 kali kemudian urut dengan lembut agar otot wajah lebih tenang.
BERSENAM
Bersenam secara rutin dan teratur. Tidak perlu senaman yang berat setiap hari kerana anda boleh lakukan di mana saja. Lakukan dua kali seminggu. Pilih senaman yang dapat mengeluarkan peluh kerana peluh yang keluar adalah racun yang terkumpul dalam badan. Jika tidak dikeluarkan akan mengganggu aliran pembuluh darah.
TIDUR DAN ISTIRAHAT SECUKUPNYA
Waktu yang terbaik iaitu pada malam hari. Semasa anda tidur kulit wajah akan membuang sel-sel kulit mati dan radikal bebas. Sel-sel kulit baru akan muncul seterusnya berlaku proses pengencangan. Bintik-bintik hitam dan garis hilang akan berkurangan.
ELAK SIFAT NEGATIF
Hindari sifat dan perbuatan yang mengandungi aura negatif seperti marah, iri hati, bersedih yang berlarutan, melukai perasaan orang lain, dendam cemburu dan sebagainya. Amalkan sikap ramah dan lemah lembut. Jangan lupa sentiasa sedekahkan senyuman kerana aura positif akan mematikan aura negatif yang ada.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Letak Syarat Tidak Boleh Berpoligami Untuk Bakal Suami? Dengar Penjelasan Mufti

Soalan:
Assalamualaikum. Apakah hukum jika seorang isteri meletakkan syarat dalam perkahwinan bahawa suaminya tidak boleh berpoligami? Adakah syarat ini sah disisi syarak, dan perlukah suami mematuhinya?
Jawapan:
Waalaikumussalam. Alhamdulillah, segala puji dan syukur dipanjatkan kepada Allah SWT. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga Hari Kiamat.
Para ulama telah membahaskan isu ini dalam karangan-karangan mereka, dan kami bawakan sebahagian nukilan pandangan mereka:
Pertama: Mazhab Hanafi
Menurut Akmal al-Din al-Babarti, syarat seumpama ini adalah fasid, kerana ia berbentuk larangan ke atas perkara yang diharuskan syara’, namun ia tidak membatalkan nikah. Jika suami mematuhi syarat itu, maka isteri perlu diberikan mahar musamma, dan jika syarat itu tidak dipatuhi, isteri perlu diberikan mahar mitsil. (Rujuk Al-‘Inayah Syarh al-Hidayah, 3/350) Menurut Imam al-Sarakhsi pula, syarat sebegini tidak perlu dituruti oleh suami. (Rujuk Al-Mabsuth, 19/120)
Kedua: Mazhab Maliki
Menurut Imam Malik, syarat seumpama ini adalah batil, namun nikah itu tetap sah. Beliau menukilkan pandangan Sa’id ibn Musayyib menyatakan perkahwinan seumpama ini adalah sah dan diharuskan. Namun menurut satu atsar yang diriwayatkan oleh Al-Laith ibn Sa’ad dimana pada zaman Umar al-Khattab, seorang lelaki telah berkahwin dengan seorang wanita yang mensyaratkannya agar tidak membawanya keluar dari negeri asalnya. Umar apabila mendengar hal ini, telah mengangkat syarat itu dari lelaki tersebut, dan perkahwinan itu tidak dibatalkan. (Rujuk Al-Mudawwanah, 2/131)
Menurut Khalil ibn Ishaq al-Jundi, syarat-syarat yang dikenakakan oleh isteri untuk bernikah seperti suami tidak boleh berpoligami, tidak boleh dibawa mengikuti peperangan dan tidak tidak boleh dibawa keluar daripada rumah dan seumpamanya adalah makruh, dan Imam Malik berkata beliau telah meminta para hakim untuk melarang orang ramai daripada terlibat dengan syarat-syarat seumpama itu. (Rujuk Al-Taudhih fi Syarh Mukhtasar Ibn al-Hajib, 4/181)
Ketiga: Mazhab Syafie
Menurut para fuqaha’ mazhab Syafi’e iaitu Imam al-Nawawi, Ibn Hajar al-Haitami, Imam Khathib al-Syarbini dan Syeikh Zakariyya al-Ansari, syarat jenis ini dihukum sebagai fasid dan ia turut menyebabkan mahar menjadi fasid, namun ia tidak membatalkan akad nikah itu sendiri. (Rujuk Raudhah al-Talibin, 7/265; Tuhfah al-Muhtaj, 7/312 dan 387; Mughni al-Muhtaj, 4/377 dan Al-Ghurar al-Bahiyyah, 4/186)
Dalam kitab al-Fiqh al-Manhaji juga ada disebut bahawa syarat seumpama ini adalah bercanggah dengan tuntutan nikah itu sendiri, tapi ia tidak menafikan tujuan asasi nikah iaitu menghalalkan persetubuhan. Syarat seperti ini ialah fasid, namun nikah itu tetap sah. (Rujuk Al-Fiqh al-Manhaji, 4/83-83)
Keempat: Mazhab Hanbali
Menurut Ibn Qudamah, syarat nikah terbahagi kepada tiga, salah satunya ialah yang wajib dipenuhi oleh suami, yang berkait dengan maslahah terhadap dirinya sendiri, seperti suami tidak boleh berpoligami, tidak boleh dibawa bermusafir dan tidak dibawa menemani ke peperangan. Jika syarat ini tidak dipenuhi, isteri berhak untuk menuntut fasakh. Pendapat ini juga diriwayatkan daripada Umar Al-Khattab, Sa’ad bin Abi Waqqas, Mu’awiyah, Amru bin Al-‘Aas R.Anhum, Syuraih, Umar bin Abdul Aziz, Thawus dan Al-Auza’ie. Menurut beliau lagi, ini merupakan pandangan para sahabat dan beliau tidak dapati sebarang sanggahan daripada para sahabat lain pada permasalahan ini, maka ia menjadi ijma’.
Selain itu, sabda Nabi SAW juga:
الْمُسْلِمُونَ عَلَى شُرُوطِهِمْ
Maksudnya: Kaum Muslimin itu terikat dengan janji-janji mereka.
Sunan Tirmidzi (1352) dan Sunan Abu Daud (3594)
Dakwaan bahawa syarat seperti ini mengharamkan yang halal juga tidak tepat, kerana syarat itu hanya berbentuk pilihan kepada isteri untuk menuntut fasakh daripada suami, jika syaratnya itu tidak dipatuhi. Namun demikian, tidak diharuskan jika syarat itu menghendaki bakal suaminya untuk menceraikan isterinya yang sedia ada, kerana terdapat larangan yang jelas dalam hadith:
لاَ تَسْأَلُ الْمَرْأَةُ طَلاَقَ أُخْتِهَا لِتَكْتَفِئَ صَحْفَتَهَا وَلْتَنْكِحْ فَإِنَّمَا لَهَا مَا كَتَبَ اللَّهُ لَهَا
Maksudnya: Janganlah seorang wanita meminta bakal suaminya untuk menceraikan isterinya yang sedia ada dan merampas haknya. Berkahwinlah (walaupun tanpa menetapkan syarat demikian), sesungguhnya dia akan memperoleh apa yang Allah SWT telah tetapkan kepadanya.
Sahih Muslim (1408)
(Rujuk Al-Mughni, 7/93-94)
Imam al-Mardawi pula menganggapnya sebagai satu syarat yang sah dan perlu dipatuhi, dan jika suami melanggar syarat ini, isteri berhak untuk memohon fasakh. (Rujuk Al-Insaf fi Ma’rifati al-Rajih min al-Khilaf, 20/390; dan Imam al-Buhuti, Kasyaf al-Qina’, 5/91)
Syeikhul Islam ibn Taimiyyah juga pernah ditanya soalan ini, dan beliau menyebut bahawa syarat tersebut adalah sah, dan suami perlu mematuhinya. Antara dalil beliau ialah kata-kata Umar al-Khattab yang dihadapkan dengan satu kes melibatkan suami isteri yang telah bersetuju sewaktu akad supaya suami tidak berpoligami, beliau mengesahkan syarat tersebut dan berkata:
مَقَاطِعُ الْحُقُوقِ عِنْدَ الشُّرُوطِ
Maksudnya: Pemutus-pemutus hak itu bergantung kepada syarat-syarat yang ditetapkan. (Rujuk Al-Fatawa al-Kubra, 3/90)
Mengikut satu qaul Imam Ahmad yang diterima jumhur fuqaha’ mazhab Hanbali, mematuhi syarat ini hukumnya sunat, dan isteri berhak menuntut fasakh jika suami tidak mematuhinya. Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah pula memilih pandangan yang mewajibkannya, dan ia adalah pendapat yang lebih sahih.
Namun demikian, jika isteri itu redha dengan pelanggaran syarat yang dilakukan oleh suami, isteri tidak berhak lagi untuk menuntut fasakh. Namun kedua-dua suami dan isteri tidak boleh mensyaratkan agar kedua-duanya tidak boleh berkahwin lagi setelah mereka bercerai atau salah seorang daripada mereka meninggal dunia.
Namun jika syarat seumpama ini ditetapkan setelah berlaku akad, maka syarat itu tidak lagi perlu dipatuhi. Namun kata Ibn Rajab, syarat itu tetap wajib dipatuhi meskipun ia ditetapkan setelah akad nikah, dan inilah pandangan yang azhardalam mazhab Hanbali. (Rujuk Syarh Zad al-Mustaqni’, 20/60-62)
Perbahasan Pandangan Ulama dan Tarjih
Imam Ibn Rusyd sewaktu memberi komentar tentang isu ini menulis:
Para ulama’ berbeza pandangan pada hukum mematuhi syarat seumpama ini, seperti suami tidak boleh berpoligami, tidak boleh membawa isteri pergi berperang atau berpindah dari negerinya. Manakala menurut al-Auza’ie dan Ibn Syubrumah, isteri berhak mengenakan syarat itu dan suami mestilah mematuhinya. Ibn Shihab juga menyatakan para ulama’ berpegang pada pendapat ini. Qaul mereka ini diriwayatkan daripada Ali dan Umar R.A. Adapun faktor perbezaan pandangan mereka ialah kerana percanggahan antara nas umum dan nas khusus. Nas umum ialah hadith daripada ‘Aisyah R.Anha:
مَنِ اشْتَرَطَ شَرْطًا لَيْسَ فِي كِتَابِ اللَّهِ فَهْوَ بَاطِلٌ، وَإِنِ اشْتَرَطَ مِائَةَ شَرْطٍ، شَرْطُ اللَّهِ أَحَقُّ وَأَوْثَقُ
Maksudnya: Sesiapa yang mengenakan syarat yang tidak terdapat dalam al-Qur’an maka ia bathil, meskipun dia mengenakan seratus syarat sekalipun. Syarat Allah lebih benar dan dipercayai.
Riwayat al-Bukhari (2155)
Manakala nas khusus pula ialah hadith daripada ‘Uqbah bin Amir:
إِنَّ أَحَقَّ الشَّرْطِ أَنْ يُوفَى بِهِ مَا اسْتَحْلَلْتُمْ بِهِ الْفُرُوجَ
Maksudnya: Sesungguhnya syarat yang lebih berhak untuk dipatuhi dan ditunaikan ialah syarat yang menghalalkan hubungan kelamin (syarat perkahwinan).
Riwayat Muslim (1418)
Kedua-dua hadith ini adalah sahih, namun yang lebih masyhur dalam kalangan usuliyyun ialah mendahulukan nas khusus ke atas yang umum, dan dalam kes ini, wajib untuk mematuhi syarat yang telah dipersetujui bersama isteri.” (Rujuk Bidayah al-Mujtahid, 3/81-82)
Kesimpulan
Tuntasnya, kami mentarjihkan pandangan yang mengharuskan syarat yang dikemukakan isteri sebelum akad agar suami tidak boleh berpoligami, dan para suami hendaklah mematuhi persetujuan yang telah ditetapkan bersama isteri, demi memelihara keutuhan rumah tangga yang harmoni.
Namun dalam masa yang sama, syarat-syarat yang diletakkan manusia bukanlah hukum Allah SWT yang tidak boleh dipinda dan diubah. Sikap toleransi dan berlapang dada mestilah diutamakan, dan dalam banyak keadaan, perbincangan hati ke hati pastinya akan menatijahkan hasil yang positif. Maka, meskipun isteri memiliki hak untuk menuntut fasakh jika suami tidak mematuhi syarat yang ditetapkan, pertimbangan yang rasional dan pemikiran matang haruslah digunakan dalam membuat sebarang keputusan.
Kami akhiri dengan doa seperti yang diajar oleh Allah SWT:
رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”
(Surah al-Furqan: 74)
Wallahu a’lam.
Sumber : Mufti Wilayah Persekutuan
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
7 Cara Berjimat Pengantin Baru Kena Lakukan Kalau Tak Nak Duit Mengalir Macam Air

Seronoknya bila dah halal. Semua benda boleh lakukan bersama-sama. Baik lelaki atau perempuan perkahwinan itu bukanlah sekadar ‘keseronokan’ semata-mata. Ada tanggungjawab yang anda perlu laksanakan.
Selepas berkahwin pasti banyak komitmen anda perlu lakukan. Namun, anda dan pasangan haruslah merancang dengan teliti apa langkah seterusnya perlu diambil selepas berkahwin.
Ingat, anda kini sudah mempunyai keluarga sendiri. Mungkin tips ini dapat membantu buat pengantin baru dalam mengurus rumah tangga.
1. Elakkan berhutang!
Kalau boleh elakkan daripada berhutang, tidak kira lah dengan kawan anda, atau keluarga sekali pun. Hidup lah bersederhana lebih baik.
2. Beli keperluan yang wajib untuk rumah dulu
Kalau berpindah ke rumah baru, beli lah barangan yang penting sahaja dulu seperti peralatan memasak, peti ais, dan kipas. Ada bajet lebih beli lah barangan tambahan seperti katil, sofa, atau tv.
3. Memasak dari membeli
Dah kalau hari-hari makan luar pun boleh habis jugak duit. Ada baiknya anda memasak sendiri sahaja dirumah daripada membeli makanan luar.
4. Tak perlu malu rumah kosong
Anda tak perlu lah malu kalau rumah lapang tanpa kerusi meja. Jangan cepat terpedaya tengok kawan-kawan, kadang-kadang mereka pun berhutang. Bersyukurlah anda masih anda tempat untuk berteduh.
5. Tak perlu ‘smart tv’, elok persiap tabung ‘baby‘
Tak payah beli tv terlalu canggih sehingga ribuan ringgit. Lebih baik anda simpan sedikit duit anda untuk cahaya mata yang akan datang.
6. Bawa bekal sendiri
Daripada anda membeli di kantin atau cafe tempat kerja anda yang belum tentu murah harganya lebih baik bawa bekal masak sendiri atau disediakan isteri, lebih jimat dan sedapnya hingga menjilat jari.
7. Guna kenderaan yang ada dahulu
Jangan terlalu terburu-buru untuk membeli kereta. Kalau ada motor, guna sahaja dulu. Rancang duit anda dengan betul untuk membeli kereta nanti.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI