
Seperti ramai sedia maklum, pelakon terkenal, Jazmy Juma sudahpun selamat diijabkabulkan dengan wanita pilihan hatinya, Farah Athirah pada Sabtu lalu, 27 Jun 2026.
Perkahwinan yang berlangsung gemilang itu menyaksikan pasangan bak merpati dua sejoli ini diraikan oleh insan tersayang. Beberapa hari selepas rasi bergelar suami isteri, Jazmy memuat naik gambar pernikahannya dengan luahan rasa yang menyentuh hati.
Menerusi perkongsian penuh makna itu, Jazmy meluahkan rasa syukur apabila hubungan yang dibina bersama Farah selama enam tahun akhirnya disatukan dalam ikatan yang halal.
Baginya, perjalanan cinta mereka bukan sekadar tentang detik manis, tetapi turut dipenuhi liku-liku, pengorbanan, kepercayaan dan toleransi yang menjadi asas kepada hubungan tersebut.

“Selepas segala liku-liku, pengorbanan, kepercayaan dan toleransi yang kami bina bersama selama enam tahun, hari ini saya memikul satu tanggungjawab baharu sebagai seorang suami,” luahnya.
Dalam nada penuh keinsafan, Jazmy turut berkongsi bahawa perkahwinan ini menjadi permulaan kepada satu fasa kehidupan yang lebih besar. Beliau menyedari masih banyak pengajaran dan pengalaman yang bakal ditempuhi bersama isterinya dalam membina sebuah rumah tangga.
“Perjalanan ini mengajar saya bahawa masih banyak lagi pengajaran dan pengalaman yang akan kami lalui bersama. Semoga setiap ujian dan setiap kebahagiaan yang mendatang menjadi kekuatan buat kami berdua dalam membina rumah tangga yang diredai Allah,” katanya.
Lebih menyentuh hati, Jazmy turut menitipkan penghargaan istimewa buat isterinya, Farah Athirah, yang selama ini setia berada di sisi dalam setiap jatuh bangun perjalanan mereka.
“Terima kasih untuk enam tahun dengan perjalanan yang begitu indah, manis dan penuh kenangan yang tak akan pernah saya lupakan. Terima kasih kerana sentiasa ada di sisi saya, dalam setiap jatuh bangun, sehingga ke hari ini,” tulisnya lagi.

Bagi Jazmy, detik pernikahan ini cukup bermakna apabila Allah mengizinkan hubungan yang telah lama dibina akhirnya dihalalkan dalam bulan yang penuh keberkatan.
Perkongsian tersebut nyata memperlihatkan kematangan sebuah cinta yang melalui proses panjang sebelum disatukan dalam ikatan perkahwinan. Bukan sekadar meraikan hari bahagia, ia juga menjadi simbol kepada kesediaan dua hati untuk melangkah ke fasa baharu dengan rasa tanggungjawab, syukur dan harapan.
Kredit foto: IG Jazmy Juma, Villa Busainna
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI.
Download
sekarang!




