Berita

Menuju Hari Bahagia, Syed Saddiq Dan Bella Astillah Pilih Tarikh 10.10.26

Share

Khabar bahagia buat peminat Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Bella Astillah apabila pasangan ini bakal melangsungkan pernikahan pada 10 Oktober 2026.

Selepas melalui perjalanan hubungan yang sering mendapat perhatian ramai, pasangan ini kini semakin hampir untuk membuka lembaran baharu sebagai suami isteri.

Menurut laporan media, majlis akad nikah mereka dirancang berlangsung di Aras 118, Menara Merdeka Maybank, Kuala Lumpur, sebuah lokasi yang cukup istimewa untuk meraikan detik penting dalam kehidupan mereka.

Untuk hari bahagia tersebut, Syed Saddiq dan Bella dikatakan memilih konsep serba putih dengan sentuhan Arab dan Islamik, sekali gus memberikan nuansa elegan, bersih dan penuh simbolik buat majlis pernikahan mereka.

Tidak hanya tertumpu di Kuala Lumpur, pasangan ini turut merancang beberapa majlis lain di Muar, Johor serta Sabah, bagi membolehkan keluarga dan insan terdekat sama-sama meraikan penyatuan mereka.

Syed Saddiq dan Bella sebelum ini mengikat tali pertunangan pada Mac lalu. Sejak itu, setiap perkembangan mengenai persiapan perkahwinan mereka terus menjadi perhatian peminat yang tidak sabar menantikan hari bahagia pasangan berkenaan.

BACA JUGA: Hampir Sedekad Bersama, Cristiano Ronaldo Kini Sah Bergelar Suami Georgina Rodríguez

Bagi Pesona Pengantin, setiap perjalanan menuju alam perkahwinan pasti hadir dengan cerita dan perancangannya tersendiri. Apa yang paling utama bukanlah sebesar mana sebuah majlis diraikan, tetapi bagaimana dua insan bersedia membina kehidupan baharu bersama dengan penuh kasih sayang, persefahaman dan komitmen.

Semoga segala urusan Syed Saddiq dan Bella Astillah menuju hari bahagia dipermudahkan serta menjadi permulaan kepada sebuah kehidupan rumah tangga yang penuh keberkatan.

Published by
Fiezreen