Ads

Dari Rakan Kerja Ke Teman Sejiwa, Imbas Perjalanan Cinta Bella Astillah & Syed Saddiq Menjelang Hari Bahagia

Ada kisah cinta yang bermula dengan pertemuan tidak dirancang. Ada pula yang perlahan-lahan berputik ketika dua insan sering meluangkan masa bersama. Buat Bella Astillah dan Syed Saddiq, kerjasama yang pada awalnya mempertemukan mereka atas urusan profesional akhirnya membawa kedua-duanya menuju sebuah ikatan yang lebih bermakna.

Menjelang pernikahan yang dijadualkan pada 10 Oktober 2026, perjalanan pasangan ini kembali menjadi perhatian. Daripada bergandingan dalam kempen fesyen, mencetuskan teka-teki tentang hubungan istimewa, sehinggalah mengikat tali pertunangan, setiap fasa menyimpan kenangan tersendiri.

Bermula Dengan Kerjasama, Keserasian Mencuri Perhatian

Bella dan Syed Saddiq mula bergandingan sebagai duta kempen baju raya Primavalet pada Disember 2024. Kemunculan bersama menerusi kempen tersebut membuka ruang buat mereka mengenali satu sama lain, sementara keserasian yang terlihat menarik perhatian peminat.

Seorang datang daripada dunia seni, seorang lagi dikenali dalam arena politik. Namun, perbezaan latar itu menjadikan gandingan mereka semakin menarik untuk diikuti.

Apabila semakin kerap muncul bersama, peminat mula menggelarkan mereka sebagai ‘BASS’, gabungan nama Bella Astillah dan Syed Saddiq. Daripada sekadar menikmati kandungan yang dikongsikan, ramai mula menitipkan doa agar keserasian itu membawa mereka ke pelamin.

Gunung Kinabalu Menyimpan Kenangan Awal

Antara momen yang mencuri perhatian ialah pendakian Gunung Kinabalu pada Januari 2025. Bella tampil berbaju kurung, manakala Syed Saddiq mengenakan baju Melayu, menjadikan pengalaman tersebut sesuatu yang cukup istimewa dalam perjalanan kerjasama mereka. Di sebalik gambar dan video yang mengundang usikan peminat, status hubungan mereka ketika itu masih menjadi tanda tanya.

Ads

Dalam wawancara bersama Utusan malaysia yang dilaporkan pada Februari 2025, Syed Saddiq memilih untuk tidak mengesahkan atau menafikan spekulasi percintaan. Bagaimanapun, beliau terbuka menyuarakan kekaguman terhadap keperibadian Bella, termasuk ketabahannya ketika mendaki serta sikap prihatin terhadap masyarakat.

Teka-Teki Cinta Terjawab Dengan Sebuah Lamaran

Selepas sekian lama hubungan mereka mengundang pertanyaan, pengumuman pada 28 Mac 2026 akhirnya memberikan jawapan yang dinantikan.

Syed Saddiq berkongsi rakaman lamaran di Gunung Kinabalu dan mengumumkan bahawa majlis pertunangan mereka akan berlangsung pada hari tersebut. Dalam perkongsian itu, beliau turut menjelaskan bahawa hubungan mereka bermula dengan kerjasama biasa sebelum akhirnya menyatukan dua hati.

Ads

Lamaran berkenaan berlangsung ketika pendakian pada Januari 2026, sebelum rakamannya dikongsikan kepada umum pada Mac. Gunung Kinabalu yang pernah menjadi lokasi kerjasama mereka kini turut menyimpan kenangan sebuah lamaran.

BACA JUGA: Potret Berdua Hiasi Kad Kahwin, Syed Saddiq Dan Bella Astillah Serah Undangan Kepada Tetamu Istimewa

Bagi peminat yang mengikuti kisah mereka sejak awal, perkongsian itu menjadi detik manis apabila segala teka-teki akhirnya terjawab dengan kesediaan untuk melangkah ke fasa seterusnya.

Ads

Dalam majlis yang berlangsung di Bamboo Bills, Bella tampil anggun dalam persalinan biru firus lembut berselendang. Cincin pertunangan disarungkan oleh ibu Syed Saddiq, Sharifah Mahani Syed Abdul Aziz, sebuah momen yang menandakan bermulanya fasa baharu hubungan mereka.

10 Oktober 2026, Menanti Lafaz Yang Menyatukan

Penantian menuju hari bahagia semakin terasa apabila pasangan ini mengumumkan tarikh pernikahan pada 10 Oktober 2026 yang bakal diadakan di Aras 118, Menara Merdeka Maybank, Kuala Lumpur. Kemeriahan hari bahagia mereka bakal diteruskan dengan majlis resepsi di MITEC, Kuala Lumpur pada 18 Oktober 2026.

Selain itu, pasangan ini turut merancang dua majlis berkonsepkan Kenduri Rakyat, masing-masing di Muar, Johor pada 25 Oktober 2026 dan Kota Kinabalu, Sabah pada 31 Oktober 2026. Lebih manis, sambutan di Johor dan Sabah itu membuka ruang buat masyarakat setempat untuk sama-sama meraikan penyatuan Bella dan Syed Saddiq, menjadikan kebahagiaan mereka turut dikongsi bersama orang ramai

Buat Pesona Pengantin, indahnya perjalanan ini terletak pada setiap langkah yang dilalui daripada mengenali, membina keserasian, sehinggalah memilih untuk mengikat janji bersama. Semoga segala urusan menuju hari bahagia dipermudahkan, dan perkahwinan yang bakal dibina dilimpahi kasih sayang, ketenangan serta keberkatan. Selamat menanti detik ijab kabul, Bella Astillah dan Syed Saddiq.

Dapatkan cerita, perkongsian dan info menarik. Free jer!
Dengan ini saya bersetuju dengan Terma Penggunaan dan Polisi Privasi

Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download sekarang!

KLIK DI SEENI
∞
∞
Ads

Inspirasi Lain

Bekas Penerjun Negara Kimberly Bong Kini Bergelar Isteri Pemain Bola Sepak,...

Bekas penerjun wanita negara, Kimberly Bong Qian Ping, kini melangkah ke fasa baharu dalam kehidupan apabila selamat bergelar isteri kepada pemain bola sepak negara,...