Setiap pasangan yang sudah berkahwin mempunyai cerita yang tersendiri. Ada isteri yang kalau boleh, mahu saja menceritakan segala apa yang berlaku kepada pasangannya. Kalau tidak pun, menceritakan apa yang dia makan, apa yang dia rasa, apa perasaan dia pada ketika itu dan macam-macam lagi. Tetapi, tidak semua yang perlu kita beritahu bukan?
Memang tidak salah untuk berahsia tetapi janganlah sampai menipu. Kita juga janganlah terlalu jujur sehingga semua benda ingin diceritakan kepada pasangan apabila ditanya.
Ada tujuh rahsia yang isteri anda tidak akan beritahu tetapi sebagai seorang suami, anda perlulah memahaminya.
1. Isteri mahukan perhatian
Kaum hawa segan nak cakap walaupun pada suaminya sendiri yang dia sentiasa memerlukan kasih sayang suaminya. Dia ingin suami menunjukkan yang suami kisah dengan apa yang berlaku di sekelilingnya.
2. Isteri mahukan kelainan
Hari-hari rutin yang sama, manusia mana yang tidak akan naik bosan? Bangun pagi sediakan sarapan, siapkan anak dan hantar ke sekolah. Hujung minggu kemas rumah. 365 hari perkara yang sama dilakukannya.
Suami buatlah kejutan atau sesuatu yang special buat isteri. Mungkin ada satu hari, si isteri bangun sahaja dari tidur, sarapan telah pun disiapkan dan baju telah dijemur, pasti mengukir senyuman di bibirnya.
3. Isteri mahu suami memuji
Siapa tidak rasa gembira bila dipuji? Selepas semua pengorbanannya untuk keluarga dan anak, isteri anda yang dulu cantik berseri, makin hari makin penat dan tidak bermaya wajahnya.
Ads
Pujilah dia atas jasa yang telah dia lakukan. Ada juga kes si isteri tukar gaya rambutnya semata-mata untuk memberi kelainan pada suami tersayang.
Bila suami pulang dari pejabat, penat melaram buka pintu ambilkan beg, tetapi si suami terus masuk bilik baring tidak sedar pun akan effort yang si isteri lakukan.
Kaum adam, alert ye. Walaupun perkara itu kecil, ia sangat bermakna buat isteri.
4. Isteri berasa dibandingkan
Ini memang tidak dapat dielakkan. Janganlah anda bandingkan isteri anda dengan perempuan lain, tidak kisahlah selebriti mahupun ibu anda.
Ads
Isteri ingin menjadi satu-satunya wanita yang anda lihat di mata hati anda. Isteri ingin rasa dialah isteri yang paling istimewa kerana mengahwini anda. Jadi jagalah kata-kata anda, janganlah mengguriskan hatinya.
5. Isteri mahu anda memimpinnya
Si isteri mahukan seseorang yang boleh memimpinnya menjadi seorang Muslim yang lebih baik, isteri perlukan teguran yang membina.
Lagi-lagi kalau nasihat itu datangnya daripada suaminya sendiri, lagi lembut hatinya untuk menerima teguran tersebut.
6. Isteri sebenarnya tidak suka membebel
Mesti ramai jejaka yang tertawa bila baca point ni dan merasakan admin berat sebelah. Tidak! Si isteri tidak gemar untuk bebel kepada anda, tetapi ada kalanya anda membuatkan si isteri tidak senang hati bila tidak dibebelnya.
Ads
Contoh, anda pasti dah biasa duduk rumah bujang, salin baju tinggal sahaja di lantai, nanti-nanti kemaslah bila ada waktu lapang. Ataupun selesai makan terus letak sahaja pinggan mangkuk di sinki sampai kering sisa makanan.
Wahai abang-abang di luar sana, anda telah berumah tangga, perlulah mengambil tanggungjawab sebagai seorang suami.
Isteri anda dah penat kemas rumah, pastikan rumah kelihatan bersih dan tersusun. Benda paling kecil anda boleh tolong ialah senangkanlah sedikit kerjanya.
Baju tu letaklah ke dalam laundry basket, pinggan tu si isteri tidak minta pun basuh semua, hanya basuh yang part anda pun dah cukup bagus dah untuk isteri.
7. Isteri hanya mahukan keluarga bahagia
Bila si isteri setuju untuk mengahwini anda, mereka bukanlah ingatkan perkara ini main-main seperti masa kita kecil dahulu main pondok-pondok.
Isteri memang sudah bersedia untuk mengambil tanggungjawab sebagai seorang isteri dan bakal ibu. Anda sebagai suami haruslah bekerja sama dengan isteri anda untuk membina mahligai cinta yang paling kukuh dan bahagia.
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI.
Download
sekarang!
Setiap pasangan yang baru berkahwin pastinya mahu hidup selesa di dalam rumah sendiri, penat menumpang rumah mentua yang penuh dengan drama juga rumah sewa yang tidak berkesudahan dibayar. Jadi cuba berikan sedikit masa baca perkongsian Raisul Fadhla Safiruddin yang berjaya memiliki rumah sendiri dengan bayaran yang relevan dan tidak membebankan.
Nak beli rumah sebenarnya mudah. Untuk lulus pembiayaan pun tak begitu susah.Yang agak payah adalah macam mana nak pastikan ansuran bulanan hutang rumah itu boleh dibayar sampai habis selama 30-35 tahun.
Jadi sebelum beli rumah, kita terlebih dulu perlu ukur baju di badan sendiri. Berapa harga rumah yang mampu dibeli?
Sekarang berapa sewa rumah anda sebulan? Dan berapa RM anda boleh simpan secara konsisten tiap bulan? Sebelum saya dan isteri beli rumah pertama, kami menyewa RM300 sebulan kat Taman Panchor Jaya, Seremban dan mampu simpan minimum RM900/bulan untuk tabung deposit rumah. RM300 + RM900 = RM1,200
Maknanya kami mampu bayar RM1,200/bulan untuk ansuran rumah. Dengan ansuran RM1,200 sebulan, kami mampu beli rumah harga RM240k-260k. Cari punya cari, akhirnya kami beli rumah teres 2 tingkat unit corner lot kat Desa Anggerik, Bandar Baru Nilai. Mana dapat duit untuk bayar deposit dan kos-kos lainnya?
1. Saya dan isteri berkahwin pada Jun 2010, beli rumah Disember 2011. Kalau sebulan simpan RM900, setahun dah RM10k lebih. Bila dapat bonus, simpan lebih lagi. Kalau bersungguh nak beli rumah, kena sanggup bersusah.
2. Di samping meyimpan RM900/bulan daripada gaji, ada side income juga sikit-sikit buat tambahan simpanan walaupun tak konsisten. Biasalah berniaga kecil-kecilan. Ada hari untung, ada hari cuma balik modal, kadang-kadang rugi. Tapi pengalaman daripada situ sememangnya mahal dan amat bernilai. Cubalah.
3. Saya dan isteri juga ada simpan emas beberapa puluh gram. Tak banyak mana pun. Masa nak beli rumah dulu ada yang dah jual dan ada yang buat gadai sekejap. Sekarang masih simpan 20 gram dan 1 dinar. Perak pun ada simpan juga untuk koleksi. Nak jual, tak untung mana. Huhu.
4. Keluarkan akaun 2 KWSP. Adalah juga beberapa ribu. Yang ini memang keluarkan semua sampai habis licin. Huhu.
5. Dalam Tabung Haji isteri pun ada beberapa ribu. Ini duit yang disimpan sejak masih kecil lagi. Daripada simpan sahaja tak buat apa. Baik guna untuk beli rumah kan? Hehe.
6. Ayah mentua offer bagi pinjam duit sebagai backup. Guna juga sekadar perlu. Alhamdulillah, dah lama habis bayar.
7. Kalau nak kaya, kena miskin alasan. Kalau nak banyak menyimpan, kena banyak berjimat.
Kami tak ada honeymoon mewah, tak pernah travel ke Eropah, sekadar guna gadget murah.
Dulu saya tiada kereta, ke mana-mana naik kapcai lama, isteri pula naik kereta Viva sahaja. Perabot kat rumah sekadar ada, jarang beli baju baru walaupun untuk raya.
Makan yang agak mahal macam KFC dan Pizza hanya sekali sekala. Bahkan hari ini anak dah nak masuk 5 orang, bajet makan kami sekeluarga dalam sehari hanya sekitar RM35 sahaja.
Macam-macam lagi kami buat untuk berjimat. Sekarang walaupun hidup dah agak selesa, kami masih lagi berbelanja secara bersederhana. Tak nampak pun macam orang kaya.
Tahun 2017 lepas dulu, saya ada beli satu rumah pangsa harga RM88k. Sekarang dalam proses jual dengan harga RM124k, market value RM130k. Modal beli rumah itu sekitar RM16k sahaja.
Dapat RM36k dalam masa 3 tahun, ok lah kot. Ibaratnya saya dapat simpan RM1,000 setiap bulan dalam bentuk kenaikan harga rumah.
Pesona Pengantin : Diharapkan dengan perkongsian ini membuatkan anda sebagai suami isteri tahu bagaimana step terbaik untuk memiliki rumah sendiri nanti. Selamat menyimpan semua.
Alam percintaan memang cukup indah untuk dilalui. Segalanya sempurna kerana adanya insan yang sudi berkongsi segala masalah yang dihadapi.
Sebelum mendirikan rumah tangga, pastinya segala hati budi, sikap sama ada luar dan dalam perlu dikenali dengan lebih mendalam agar hubungan yang dibina tidak berlandaskan kepura-puraan semata-mata. Begitu juga setelah berumah tangga, kenalilah hati budi, dan segala-galanya tentang pasangan anda.
Tip berikut pastinya berguna untuk wanita yang akan mengenali, sudah mengenali, dan masih mengenali hati insan yang bernama lelaki atau suami.
Agama
Sebenarnya, perihal agama inilah sepatutnya perlu dilihat terlebih dahulu sebelum berumah tangga. Ini kerana, suami dipertanggungjawabkan untuk memelihara dirinya dan rumah tangganya. Jika terdapat salah dan silap yang dilakukan oleh isteri, suami wajar menegur bagi mengelakkan perkara-perkara yang boleh melanggar syariat agama.
Harta
Tatkala berbicara tentang harta, bukanlah bermakna sebagai wanita, anda perlu memandang harta sebagai perkara utama dalam sesebuah perhubungan. Namun sebenarnya, suami perlu bertanggungjawab ke atas kewangan isterinya atau disebut sebagai nafkah.
Tidak ada manfaat atau faedah jika memiliki suami yang kaya namun kedekut, suami yang berharta namun tidak pula memberi nafkah, dan suami yang masih lagi meminta duit isteri walhal si suami sudah pun berkerjaya. Akan tetapi, suami yang sedar akan tanggungjawabnya adalah suami yang memberi nafkah kepada isteri pada kadar yang termampu.
Akhlaknya
Dalam hal ini, cara penampilan, kekemasan pakaian, cara percakapan, jujur akhlaknya, bersikap rendah diri, dan juga tegas dalam sesuatu perkara adalah antara akhlak mulia yang perlu diperhatikan. Janganlah sekadar memandang sikap yang ditunjukkan pada anda. Namun, lihatlah juga akhlaknya pada orang lain termasuklah ahli keluarga, rakan-rakan, dan juga ahli masyarakat yang lain.
Kusangka Bujang, Rupanya Suami Orang!
Hal ini pasti menggerunkan sesetengah wanita di luar sana. Lagaknya, tutur katanya, semuanya tidak menggambarkan apa-apa petunjuk yang memungkinkan si dia ini suami orang. Jadi, bagaimana untuk mengenal pasti bahawa si dia ini sudah berkahwin? Jika anda pernah menaiki kereta kepunyaan teman lelaki, pasti terasa pelik jika terdapat kasut perempuan atau alat permainan yang sememangnya bukan milik kita, bukan? Tanya dan selidiklah perkara ini jika anda pernah melaluinya walaupun si dia sudah menyatakan hal sebenar.
Bukan untuk mengongkong segala tindak tanduknya, namun pasti hati terasa puas tatkala kita sudah mengetahui perkara yang sebenarnya. Lagi buruk padahnya jika kita mengetahui sesuatu perkara daripada mulut orang lain.
Bebas Penyakit
Penyakit yang dimaksudkan di sini ialah penyakit yang boleh disebarkan sama ada melalui sentuhan mahupun hubungan seks. Ini sangat penting kerana apabila anda sudah berkahwin nanti, pastinya anda dan suami akan melakukan hubungan kelamin. Antara penyakit yang boleh disebarkan melalui hubungan seks ialah AIDS, HIV, Thalassemia, ataupun penyakit kelamin. Kesemua ini perlu diambil kira agar tidak berjangkit setelah anda melakukan hubungan intim. Oleh sebab itulah pemeriksaan sebelum berkahwin sangat penting untuk anda jalani. Berilah sokongan kepada bakal suami atau suami jika terdapat apa-apa penyakit yang dihidapi.
Malas vs Rajin
Hal ini perlu dipandang berat. Memang benar, semasa bercinta tidak semua perkara sama ada yang baik mahupun yang buruk ditonjolkan oleh pasangan. Lantas, selepas berumah tanggalah kesemua sikap dapat dilihat termasuklah sikap malas ataupun rajin. Pastinya, kita sebagai isteri tidak akan ‘menang tangan’ jika si suami tidak pandai menolong dalam menguruskan hal rumah tangga. Oleh yang demikian, amat penting untuk saling membantu antara satu sama lain semasa menguruskan kerja rumah, lebih-lebih lagi jika sudah mempunyai cahaya mata.
Hobi
Apakah hobi bakal suami anda? Jika anda masih lagi belum mengetahuinya, ketahuilah serba sedikit tentangnya. Mungkin hobi anda dan juga suami adalah sama. Jadi, bolehlah anda berdua melakukan hobi itu bersama-sama pada masa terluang. Contohnya, jika anda dan suami sangat gemar memancing, apa kata setiap hujung minggu anda dan juga suami pergi memancing sama ada di sungai ataupun air terjun. Pastinya hujung minggu yang terluang itu diisi dengan aktiviti yang boleh mengeratkan hubungan anda berdua.
Pekerjaan
Pekerjaan merupakan salah satu aspek yang sangat penting. Tidak kira apa jua jenis pekerjaan, namun datang daripada sumber yang halal, pastinya memberikan kebahagiaan bukan sahaja pada anda, malah pada keluarga yang bakal dibina. Pastikan pekerjaan yang dimiliki suami adalah daripada sumber yang halal dan tetap kerana setelah berkahwin, suamilah yang akan menampung segala perbelanjaan keluarga.
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI.
Download
sekarang!
Pengantin berhijab nampak lebih manis, lebih-lebih lagi jika gaya tudung dan jenis fabrik yang digunakan bersesuaian dengan bentuk wajah serta penampilan yang dipilih.
Kadang kala kita lihat juga ada sesetengah pengantin yang kurang selesa dengan tudung yang digayakan. Kemungkinan jenis fabrik yang panas atau terasa seakan-akan tudung seperti nak tercabut dari kepala.
Begitulah pentingnya pemilihan fabrik yang sesuai dan selesa serta stail penggayaan tudung. Yang penting, pengantin rasa selesa dan tidak terlalu berat. Maklumlah, pengantin akan berjalan serata majlis bertemu dan bersalaman dengan para tetamu. Jika dia sendiri rasa tidak selesa, maka mood untuk hari bahagia pun akan terganggu.
Bagi pengantin yang memilih fabrik tudung satin, pastinya akan merasa risau tudung akan senget dan tidak terletak cantik. Jika kena pada gayanya, tudung satin mampu membuatkan si pemakai nampak lebih gah dan menawan namun begitulah, untuk menggayakannya adalah satu cabaran juga ye..
Antara contoh selebriti yang kerap menggayakan tudung satin adalah Neelofa dan Vivy Yusof. Memang cantik terletak kan..
Ok, kami kongsikan video tips bagaimana nak pastikan tudung satin anda tidak senget, kemek atau serabut. Boleh dipraktikkan masa hari bersanding nanti.
Tips dari hijab stylist
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI.
Download
sekarang!